::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Isnin, 30 Julai 2012

Temui Cinta Dalam Bulan Ramadhan




Temui Cinta Dalam Bulan Ramadhan


Perjalanan mencari makna cinta seorang gadis yang merasakan terlalu dihimpit rasa terbeban dengan dosa. Maka, dalam sebuah kuliah di bulan Ramadhan yang disertai oleh si gadis, sebuah nasihat telah diberikan oleh seorang Ustaz ; “Carilah cinta kalian wahai anak-anakku dalam keberkatan Ramadhan. Barangkali kalian tidak menjumpainya didunia, bahkan dia ada menanti kalian di syurga. Cemburulah kalian dengan setiap saat waktu tanpa berbuat amal dalam Ramadhan, kerana bukan dalam pengetahuan kita dimana letak makbul doa serta amalan.”


Mendengarkan nasihat tersebut, si gadis berusaha habis-habisan mempersiapkan dirinya memasuki bulan Ramadhan. Ditinggalkan segala keenakkan syahwat yang pada sebahagian manusia merasakan ia nikmat, tetapi sebenarnya adalah laknat awal dari ALLAH ketika manusia di dunia. Dirasai jauh disudut hatinya, kejahilan dahulu adalah hukuman. Maka, untuk keluar, dia perlukan guru sebagai pimpinan.


Bersungguh-sungguh dia melantunkan doa dengan penuh pengharapan terhadap ALLAH عز وجل agar diberikan petunjuk dalam menempuh hari, waktu dan saat di bulan Ramadhan ;


اللهم لا تجعل لفاجر على يدا فيحبه قلبي

Ya ALLAH, Ya Tuhanku! Janganlah Engkau jadikan bagi orang jahat (fajir) mempunyai tangan (berkuasa) keatasku, sehingga ia dikasihi oleh hatiku..


Melalui kuliah-kuliah [talaqqi] yang dilaluinya, rakan-rakan sigadis melihatkan perubahan besar dalam jadual ibadah harian. Menjelang Ramadhan, hatinya kegirangan dengan persediaan, sesekali berlinangan air mata ketika menghadap TUHAN, mengenangkan kesilapan serta kemaksiatan yang pernah dilakukan. Adakah dapat dia menemui cinta.


Hatinya saban waktu dalam Ramadhan berbisik akan pesan yang disampaikan oleh Gurunya dalam kuliah Ramadhan : “..cinta kalian berada dalam bulan Ramadhan...”. Kekuatan itu membuatkan istiqamah langkahnya ke majlis-majlis talaqqi mingguan. Setiap kali selesai majlis, dirasakannya kenikmatan beramal tanpa kesangsian. Pencariannya diteruskan...


Al-Quran yang dibaca dirasakan tidak puas selembar muka. Ditambah bacaannya sehingga merasakan syahdu dan girang akan makna “....cinta...” yang ditemuinya dalam tiap helai al-Quran yang dibaca. Bisik hatinya : “...inikah cinta Ramadhan?....”Cinta yang dibaca membesarkan betapa agungnya ALLAH. Cinta yang dibaca sesekali membuatkan dia tersenyum gembira, ada kala berlinangan air mata.



كَذَلِكَ الْعَذَابُ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
33. Seperti itulah azab (dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui.


ALLAH sesekali tidak menyamakan orang-orang yang baik dengan orang-orang yang buruk.


 إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ
34. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.
[Surah al-Qalam]


Tahajud malam didirikan, berbisik dihatinya, mengapa...mengapa keenakkan serta ketenangan solat ini aku sia-siakan dahulu. Apakah masih ada kesempatan buat diriku menemui cinta dalam baki usia. ALLAH....


Puasanya mengajarkannya erti kesyukuran. Agar mencintai sesama insan yang serba kekurangan. Diletakkan mendahulukan keperluan orang lain melebihi dirinya. Sedekah tidak pernah dia tinggalkan dengan keyakinan apabila ikhlas pemberian, maka ALLAH akan cinta kepada dirinya. Sebagaimana pada permulaan dirinya meninggalkan dan akhirnya dirinya juga yang akan mengambil. Itulah buah pahala yang diusahakan, dimana permulaan urusan itu dengan meninggalkan syahwat dan dunia, pada akhirnya dia akan mengambilnya keenakkan hasil cinta dari ALLAH.


Pertengahan Ramadhan diteruskan dengan pengharapan, apakah berhasil cinta yang diimpikan. Semakin yakin dirinya akan pesan, betapa kecintaan terhadap manusia bukan bersifat kekal. Manusia tidak akan mampu memberikan apa-apa. Kekayaan, harta benda sifatnya sementara, tiba masa semua akan musnah.


Akhir Ramadhan ibadahnya dirasakan amat-amat nikmat. Sesekali hiba mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dijanjikan pengampunan. Kesucian dari dosa bagai bayi yang baru dilahirkan. Sesuai sabdaan Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم :


من قا م رمضان إيما نا وا حتسا با غفر له ما تقدم من ذنبه


Ertinya : “Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan yakin janji ALLAH TAALA dan mengharapkan ganjaran pahala di sisi ALLAH, nescaya diampun dosanya yang telah lalu.”

[Hadith Muttafaqun ‘Alaih, lafaz dari Muslim dalam Mukhtasar Sahih Muslim]


Yakinlah dia, bahawa cinta dalam Ramadhan adalah kelepasan dari segala dosa dan kesalahan. Adapun yang memberi ganjaran ialah ALLAH, adapun selaku hamba, dia wajib berusaha sebaiknya. Jika ALLAH menghendaki kebaikan kepada hambaNYA maka dicabut nikmat darinya.


Mengertilah si gadis, bahawa cinta yang dirinduinya sememangnya berada dalam Ramadhan. Itulah cinta bagi pelepasan dari noda, dosa ibarat bayi yang baru dilahirkan. Kerinduan fitrah setiap insan walau berlumuran dosa yang dikatakan oelh manusia kebanyakkan tidak diampunkan. Tetapi ALLAH mengasihi hambaNYA dengan berfirman ;


وَ مَنْ يَّعْمَلْ سُوْٓءًا اَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهٗ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّٰهَ يَجِدِ اللّٰهَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏
“Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah an-Nisa : 120]


Ya ALLAH, sesungguhnya kami memohon dekat kepadaMU tanpa cubaan yang tidak dapat kami tanggung. Belas kasihanilah kami dalam qadha dan qadarMU. Halangilah kami Ya ALLAH, dari keburukan orang-orang jahat dan tipu daya orang-orang yang berdosa.


Ya ALLAH, peliharalah kami bagaimana dan seperti apa yang ENGKAU kehendaki. Kami mohon kesihatan dan keselamatan dalam agama, dunia dan akhirat. Ya ALLAH, sertakanlah kami dalam permohonan taufik terhadap amal-amal yang sholeh dan berikanlah kami Ya ALLAH, hamba hina ini, yang mengharap akan ikhlas dalam beramal kepada MU. ALLAHUMMA Amiiinn..


WALLAHU’alam


Mohon doa mendoakan.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



6 Ramadhan 1433H / 26072012
al-faqir ilallah : 
almukminun

Selasa, 17 Julai 2012

Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre : Persediaan Menghadapi Ramadhan




Bersama              : Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre
Tajuk                    : Persediaan Menghadapi Ramadhan


Berikut ringkasan kuliah Jumaat oleh Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre yang sempat  alfaqir catatkan. Al-Faqir angat kagum dengan kesungguhan perjuangan al-Fadhil Ustaz Syed, dalam keadaan kesibukkan dengan urusan jamaah dan tuntutan ummah, beliau masih menerima jemputan. Di doakan semoga ALLAH lapangkan kemudahan dan ketenangan dalam usaha dakwah beliau. ALLAHUMM AMiin.


Ustaz Syed memberikan contoh yang diberikan oleh guru beliau al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki : “..orang yang bertemu dalam bulan Ramadhan dalam keadaan tidak bersedia, ibarat orang yang menolak hadiah bernilai jutaan ringgit...itupun selamanya tidak akan mampu menyamai keistimewaan Ramadhan.”


Bulan Ramadhan bagaikan bulan yang tersedia banyak hadiah. Bayangkan kita mendapat jemputan menerima darjah kebesaran daripada Sultan, sudah kita perlengkapkan pakaian sehinggakan andai pakaian kita tidak memenuhi kriteria kita sanggup duduk menanti di pintu pagar dan tanpa memiliki apa-apa hadiah. Sebagaimana kita yang melalui Ramadhan puluhan tahun selama sebulan berpuasa Ramadhan, hanya berpuasa tanpa sebarang peningkatan amalan, paling malang tidak memperolehi apa-apa pahala. Disebabkan merasa cukup tahu sedangkan amal tanpa ilmu adalah sia-sia. Naudzubillah...


من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حا جة في أن يد ع طعامه و شر ا به

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan berbuat dosa, maka ALLAH tidak memerlukan dia untuk meninggalkan makanan dan minumannya”
[Hadith riwayat Bukhari, lafaz dari at Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah dalam Mukhtasar Sahih al-Bukhari no. 876]


Ustaz Syed berkongsi pengalaman beliau mengenai bertemu dengan Sultan yang ditanya oleh seseorang ketika menyampaikan tazkirah dalam program “gelandangan di Chow Kit”  baru-baru ini. Orang itu bertanya kepada beliau : “...kami ni tak da la nak jumpa Sultan, kalau jalan-jalan dalam hutan tu Ustaz, kami terjumpa Puteri Gunung Ledang, apa patut kami buat ya...”


Soalan nampak mudah, jawab Ustaz Syed : “... buatlah apa yang dituntut kita buat oleh Tuhan kepada Gunung Ledang, dalam konteks ibadah dalam Islam..  J  ”


Golongan yang tidak bersiap  untuk memasuki dan merasai keindahan Ramadhan, apabila datang ke Masjid dan Surau akan mencemuh apabila Ustaz mengajarkan bab Ramadhan.  Sama la keadaannya macam orang dok kata bila mengaji Kitab Fiqh, bab Taharah sahaja dah makan masa sebulan. Itu pun untung la sebulan, kepada kami duk di Pondok sebulan Cuma sebaris ayat sahaja. Bagi yang tidak merasa, dilihat jumlah sebagai peningkatan ilmu, tetapi kepada kami, sebaris ayat yang disyarah mendatangkan kepada 1001 ilmu baharu yang kami tadah. ALLAHU ALLAH. –opss, tu tambahan saya, maaf ya...   J


Ustaz Syed menyambung lagi, dengan kalam Syeikh Zanurji dalam Ta’alim al-Muta’allim  : “..orang yang mendapat berkat ilmu,walaupun dia hadir belajar pada kali 1000, dia merasakan nikmat bagaikan kali pertama dia merasainya...”


Seperti orang yang makan nasi ayam, cukup rasanya, bila rasa sedap dia ceritakan kepada orang disekelilingnya, diulang-ulang makan benda yang sama kerana nikmat sedap. Begitu halnya dengan ilmu, apabila kita sudah merasa seronok dengan ilmu, mendengar berpuluh-puluh kali tidak terasa lama. Jika ada persoalan kenapa kita rasa boring (bosan), maknanya ruh yang berada didalam jasadnya cuba mencari jalan membiasakan “makanan ruhani” yang baru diterimanya. Sebagai ubat, carilah Guru untuk kalian mendalami ilmu.


Ustaz Syed mengambil contoh mengenai orang yang berpuluh tahun memasuki madrasah Ramadhan, namun persoalan-persoalan asas masih tidak mampu mengelakkan diri mereka dari belengu kejahilan. Ustaz Syed ditanyai pada satu malam : “... Ustaz, macamana kalau Tok Imam minum air semasa solat..”. Ustaz Syed bertanya : “...dia minum waktu rukuk, sujud atau berdiri...”


Jawab orang itu : “... lepas dia beri salam, dia minum.”


Ustaz Syed menambah, kejahilan adalah hukuman, belajar untuk keluar dari kejahilan adalah kewajiban. Kiaskan kepada diri, bahawa kita tidak berilmu dan sentiasa memerlukan ilmu, maka menjadi kewajiban untuk kita mempelajari ilmu.  Mengapa kebiasaan yang berlaku, awal Ramadhan, ramai berpusu-pusu ke Masjid dengan pelbagai tingkatan ibadah, masuk pertengahan suam-suam kuku dan apabila Ramadhan memasuki fasa akhir, lesu dan semakin lesu. Ini disebabkan ketiadaan stamina. Stamina yang dimaksdukan bukanlah stamina fizikal tetapi stamina iman. Stamina yang membezakan di antara kemahuan dan kehendak yang untung atau merugikan.




Tinggal beberapa malam lagi menjelang Ramadhan, berusahalah peruntukan masa selepas selesai solat fardhu Isyak menunaikan solat sunat 2 rakaat dan 3 rakaat witir. Kita ni hamba, maka berusahalah sebagai hamba, tidak usah dikenang masa singkat untuk membiasakan amalan.


Peruntukan juga masa kalian menatap al-Quran dalam masa 5 minit, had ni buat mereka yang tidak mampu membaca atau dalam keadaan uzur boleh membuka terjemahannya pula. Yang penting, jangan disia-siakan masa yang beredar. Sasarkan, tiap kali lepas solat, kita baca al-Quran. Asalkan jangan ditinggal-tinggalkan. Kita tidak tahu sela mana, saat mana yang memberikan kita buah pahala yang amat dinanti dalam bulan jutaan keistimewaan ini. Banyakanlah berdoa :



اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya ALLAH... Sesungguhnya aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima.” [Hadis Riwayat Ibnu Majah]


Biasakan dalam usrah atau tazkirah jabatan, adakan tadarus al-Quran. Mana yang dah buat bacaan kitab di pejabat, teruskan tetapi pastikan jika yang mengajar itu benar-benar berkelayakkan, nanti tidak pasal-pasal Tuan-Puan terhinggap bawaan penyakit wahhabi-syiah jadian. Akibat tiada sanad ilmu dan memiliki guru.


Ramadhan merupakan bulan penyucian hati. Puasa sebenar ialah puasa hati apabila hati berpuasa dari mengingati dunia melainkan hanya mengingati ALLAH dan menjauhi maksiat. Hatinya sering berkata agar dia tidak menyiakan waktu bekerja kerana ia adalah ibadah. Hatinya memberi ingatan agar sentiasa dia melakukan taat kepada ibu bapa, ahli keluarga, sahabat, Muslimin, makhluk walau berlainan agama dan jiran tetangg, itulah di antara kenikmatan puasa. Memelihara diri dari dosa. Agar natijah selepas 30 hari berpuasa, dengan kebiasaan menjauhi dosa menjadi penyebab kepada berterusan hingga akhir nyawa.





Ustaz Syed menambah seperti yang tercatat dalam Kitab Bidayatul Hidayah berkenaan penyakit hati yang pada kebiasaan melekat di dada mukmin ialah hasad dengki, riak dan ujub. Hasad dengki ialah penyakit hati yang sukar diubati tanpa pinpinan seorang ulama. Bahkan Ustaz-Ustazah pun boleh jadi berpenyakit jika terus-terusan berasa cukup seronok dengan ilmu yang dimiliki. Sebagai contoh, perasaan geram terhadap populariti yang diraih oleh orang lain, sakit hati melihat kebahagiaan orang dengan anak yang ramai. Rugi orang bersifat hasad ini, kerana dia bagaikan orang yang mencarik-carik dan menikam hatinya dengan pisau-pisau tajam. Akhirnya memakan diri sendiri.


Riak dalam suasana Ramadhan. Mahu dilihat amalan, jika satu hari keretanya rosak, dia tidak pergi menunaikan solat sunat tarawikh, tetapi hanya duduk menonton televisen di rumah tanpa amal-amal yang berpahala. Dia buat amalan hanya apabila orang nampak dia buat.


Manakala penyakit ujub ialah merasakan diri bagus, bajet bagus atau merasa dirinya lebih baik hingga memandang hina kepada  orang lain. Kadangkala kita bertemu orang susah dan berkehendak bantuan dari kita. Andai terbit sahaja rasa lebih baik dari dia, maka amal-amal kita ibarat daun-daun kering yang dimamah api. SIA-SIA ! Kita tidak tahu, barangkali yang hadir itu merupakan wali-wali ALLAH yang dihadirkan untuk menguji iman kita.  Samada anda ketua atau bukan ketua sesebuah jabatan, hatta negara misalnya, anda tidak boleh ujub. Jangan pula anak buah kata : “..bos tak boleh nak arah-arahkan saya, tu ujub namanya, sebab Ustaz Syed said so....”. Itu bukan ujub, itu mengarut. Kita tidak tahu siapa di kalangan kita yang ALLAH angkat sebagai insan yang hebat. Ayuh, doa mendoakan semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya.



اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Wallahu’alam


اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Aku berlindung kepada-MU dari siksa kubur.” [Hadis Riwayat Ahmad,]


Alfaqir ilallah :
Almukminun
27 Syaaban 1433H/17072012

Jumaat, 26 Ogos 2011

Kisah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , Bersama Anak Yatim Di Pagi Idulfitri


Kisah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Bersama Anak Yatim Di Pagi Syawal


Tuan-puan yang dikasihi sekalian, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ,yang kita cintai begitu prihatin terhadap anak-anak yatim. Bahkan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , merupakan seorang yatim paitu sejak kecil. Mari kita hayati bagaimana lembut dan ikhlasnya kasih sayang yang diberikan oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , kepada anak-anak yatim.


Pada zaman jahiliah, penduduk kufar Quraisy Makkah sering memperlakukan kezaliman terhadap anak-anal yatim. Anak yatim pada zaman itu seperti anak yang tiada halatuju kehidupan. Sekirannya ibu seorang anak yatim dinikahi oleh lelaki lain, warisan berupa harta si anak dihabiskan oleh bapa tirinya sehingga mengakibatkan si anak yatim hidup merempat.

Namun, kedatangan Islam telah merubah semua persepsi negatif terhadap anak-anak yatim ini. Sebagaimana firman ALLAH SWT :

كَلَّا بَل لَّا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ

“Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya); “

وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ


Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;


وَتَأْكُلُونَ التُّرَاثَ أَكْلاً لَّمّاً

Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),



وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبّاً جَمّاً


Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!

[Surah AL-Fajr : 17-20]


Menurut Muqatil, seorang ahli tafsir ayat tersebut menjelaskan mengenai kisah Qudamah bin Maz'un, yang merupakan seorang anak yatim diperlakukan dengan kejam oleh Umayyah bin Khalaf seorang pembesar Quraisy yang zalim.


Peringatan-peringatan dari ALLAH Subhanahu Wa Taala banyak ditegaskan mengenai kewajiban dan berhati-hati dalam mengendalikan harta anak yatim sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Taala :

“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya”


[Surah al-Isra : 34]


Kita hayati juga kesedihan yang dialami oleh Nabi kesayangan kita Sayyidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , sebagai seorang yang bergelar anak yatim piatu. ALLAH Subhanahu Wa Taala tidak pernah mempersiakan kekasih NYA dan berfirman :


أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيماً فَآوَى


“Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? “


Mari kita fahami dahulu keadaan anak yatim piatu di zaman sebelum kedatangan Islam sebelum saya kongsikan kisah Junjungan Mulia yang kita cintai Sayyidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , bersama anak yatim di pagi Syawal. Barangkali kita boleh bandingkan nasib anak-anak yatim piatu di zaman kita ini.


Ahmad Musthafa Al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut, apabila seseorang bergelar yatim di Makkah, maka kehidupan mereka ibarat sudah di yakinkan akan gelap gelita. Ini termasuklah kerosakan akhlak, kehidupan yang disia-siakan dan tekanan perasaan kerana kehilangan ayah dan ibu. Ini disebabkan tiada sesiapa yang mengambil peduli akan untung nasib anak-anak yatim kerana masing-masing sibuk mementingkan diri sendiri. Anak-anak yatim ketika itu menjadi sesat disebabkan pengaruh jahiliah arab kufar. Walaubagaimanapun tidak kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , yang dipelihara kemaksumannya oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala Yang Maha Mulia.



Ayuh hayati kisah ini :

“Ayahku ialah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ,”



Kisah ini terjadi di Madinah pada pagi Hari raya Idulfitri. Sebagaiamana yang diketahui, betapa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , amat menyintai anak-anak yatim piatu. Diriwayatkan pada suatu hari raya Idulfitri, ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , keluar dari rumah untuk menunaikan solat sunat Idulfitri. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ,telah melihat sekumpulan kanak-kanak girang bermain, tertawa meraikan kehadiran lebaran. Kanak-kanak itu mengenakan pakaian baharu.


Tiba-tiba, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , terpandang kepada seorang kanak-kanak berpakaian lusuh, compang-camping yang duduk sendirian dan menangis tersedu-sedu. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , mendekat gadis kecil itu dan mengusap kepalanya dengan tangan Baginda yang mulia dan bertanya dengan suaranya yang lembut; ”mengapa engkau menangis nak...”. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , yang memiliki hati yang lemah lembut turut pilu.


Anak itu terkejut kehairanan dan menjawab tanpa menoleh kearah yang bertanya, tanpa mengetahui kekasih ALLAH sedang berbicara dengannya :


“Biarkan aku sendirian.” Dia berkata lagi dengan perlahan : “Ayahku telah mati dalam pertempuran bersama Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , dan ibuku berkahwin lagi. Harta ku habis dimakan oleh suami ibuku dan aku diusir dari rumahnya. Pada hari raya yang suci ini, semua anak pasti menginginkan beraya dengan kedua orang tuanya. Aku melihat rakan-rakanku begitu gembira, bahagia bersama keluarga mereka. Sedangkan aku, tidak seperti mereka yang beruntung. Aku teringatkan ayah. Itu sebabnya aku menangis.


Andai ayahku masih bersamaku, tentu dia tidak membiarkaku seperti ini. Hari raya tahun lalu, dia membelikanku baju berwarna hijau lengkap bersepatu. Aku sangat bahagia ketika itu, namu kini aku tidak mendapatkannya lagi untuk selama-lamanya. Aku telah menjadi anak yatim....”


Mendengarkan kisah gadis kecil itu, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , semakin sedih. Tanpa disedari airmata Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , yang mulia menitis membasihi wajahnya. Kemudian dengan penuh kasih sayang Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , membelai rambut anak gadis itu sambil berkata : “anakku, hapuskan airmatamu, angkatlah kepalamu dan dengarlah apa akan kusampaikan kepadamu. Apakah engakau ingin aku menjadi ayahmu ? Apakah engkau ingin agar Fatimah R.A menjadi kakakmu ? Dan apakah engkau ingin Aisyah menjadi ibumu ? Bagaimana pandapatmu mengenai cadanganku ini wahai anakku ? ”


Mendengarkan ucapan itu, gadis tersebut berhenti menangis. Perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya dan memandang dengan takjub wajah penuh bercahaya manusia agung yang berdiri dihadapannya. MASYAALLAH... orang yang turut bersedih bersamanya ialah Sayyidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ,. Betapa anak gadis ini telah mencurahkan segala isi hatinya kepada kekasih ALLAH Subhanahu Wa Taala.


Katakanlah tuan-puan, hati mana, jiwa mana yang akan menolak pelawaan daripada manusia mulia ini. ALLAHU ALLAH. Anak gadis itu tersenyum dan tanpa kata dan mengganggukkan kepalanya perlahan sebagai tanda persetujuan.


Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , memimpin tangan anak itu menuju ke rumah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ,. Sepanjang perjalanan, gadis itu tersenyum riang dan terhapus kesedihan diwajahnya.


Setibanya di rumah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , gadis kecil itu disambut dengan mesra oleh Sayyidah Fatimah Az-Zahra. Sayyidah Fatimah membersihkan tubuh gadis kecil itu, menyisir rambutnya dan memakaikan baju baharu dan sepatu yang indah.


Bahkan, Ummul Mukminin, Aisyah R.A menyediakan makanan khas bersempena Hari Raya Idulfitri. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , juga memberikan wang saku kepada si anak. Setiap ahli keluarga Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , menyantuninya dengan penuh kasih sayang. ALLAHU ALLAH. Betapa girangnya gadis kecil itu memiliki ayah seperti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ,. Begitu pula Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , Sayyidah Aisyah dan Sayyidah Fatimah begitu gembira meraikan kegembiraan anak gadis kecil itu.


Begitulah keperibadian Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam sebagai panduan kita dalam kehidupan. Betapa hampirnya Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam dengan anak-anak yatim-piatu. Kini, cuba Tuan-Puan letakkan perasaan anak-anak yatim tersebut sebagai diri Tuan-Puan. Atau anak-anak yatim piatu yang berdekatan dengan diri Tuan-Puan, raikanlah mereka semampunya. Tidak perlu sehingga berbelanja besar, membuat majlis-majlis besar, cukup mengikut kadar kemampuan yang ada.


ar-Rahiq al-Makhtum

Sollu' alan Nabiyy....

.اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم


Alfaqir almukminun
26 Ramadhan 1432 H
Shah Alam-Selangor
http://almukminun.blogspot.com/2011/08/kisah-rasulullah-bersama-anak-yatim-di.html


p/s : Khusus buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan para pengunjung almukminun.blogspot. , alfaqir memohon maaf zahir dan batin. Semoga beroleh keselamatan dunia dan akhirat. Hati-hati memandu. Jaga syariat dalam bulan Syawal. Semoga beroleh keberkatannya. Mohon doa mendoakan.

Isnin, 22 Ogos 2011

Ramadhan : Kau Kutinggalkan Dengan Harapan











Ramadhan : Kau Kutinggalkan Dengan Harapan


Bagaikan seorang anak yang bakal bermusafir menangisi perpisahan bersama bondanya.


Walaupun dia tahu, kejayaannya meneruskan kecemerlangan kehidupan,kemuliaan akhlak, istiqamah ibadah yang dipelajarinya bakal dirasai dengan berakhirnya pertemuannya bersama himpunan pecinta kepada madrasah yang dia mengenali hakikat cinta.


Itu masih belum mampu menggembirakan hatinya.


Dia khuatir selepas dilepaskan kedalam realiti dunia yang penuh fahsyak,iblis,syaitan yang sealiran didalam salur darahnya bakal melupakannya kepada madrasah yang dilaluinya.


Disaat rakan-rakannya bergembira menyambut kejayaan dan kemenangan yang sememangnya disunnahkan oleh Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم , yang mana dia pasti menjalankan sunnah itu.


Memohon dia kepada ALLAH dengan penuh keyakinan, janganlah niatnya pada awal melalui Ramadhan dengan keinginan bertemu Syawal pujaan.


Namun, jauh disudut hatinya masih hiba dengan perpisahan ini.


Dia masih terus berharap kepada ALLAH agar hati,akhlak,perbuatanya tetap istiqamah dalam madrasah yang sedang dan akan ditinggalkannya ini nanti.


Biarlah ia sebati dalam dirinya.


Sehingga akhir denyut nadinya pasti.


Harapannya terus menjadi akrab dengan didikan Madrasah Ramadhan, terubat segala kecelaannya dengan penggisian ruhani Ramadhan yang dia penuhi,


Tetap dia dengan persoalan, apakah diterima amalan?,


Dia juga berharap agar rahsia kebahagiaan,kemuliaan,kenikmatan yang dijanjikan oleh ALLAH akan ditemuinya yang mana kebaikan ini menyamai 1000 bulan atau bersamaan 83 tahun 4 bulan.


Baki hari yang dimilikinya terus dipenuhi dengan amalan sesuai sanad pengajian daripada Guru-gurunya sehingga sampai kepada Junjungan Mulia Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم ,


Ya ALLAH limpahkanlah cahaya keindahanMU kepada hati-hati yang Engkau pinjamkan ini.


Agar ia selari dengan suruhanMU dan bertepatan kami jauhi larangan MU.


Jadikanlah kami Ya ALLAH manusia yang mengutamakan orang lain dari dirinya “ithar”, tarbiyyah sedeqah Ramadhan,


ALLAHUMMA Ya ALLAH, limpahkanlah kedalam nulari kami kecintaan sesungguhnya sehingga kami melazimi akhlak kekasih MU Sayyidina Musthofa Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم ,


Maafkan kami Ya ALLAH kerana terlalu banyak meminta sedan kurang ikhlas kami beramal kepadaMU.


Fahamkan kami dengan keagungan MU sehingga kami melupai waham,


Dekatkanlah kami Ya ALLAH dengan syarak serta menjauhi jarak,


Hubungkanlah kami Ya ALLAH kepada MU tanpa kecewa dan dibela kami oleh MU dengan yakin kami tidak pernah berasa dukacita,


Bentuklah diri kami Ya ALLAH hamba yang sedia memaafkan kesalahan orang lain, memaafkan walau kami dizalim, memaafkan lalu kami memberi walau ada di kalangan mereka yang bakhil,


Engkaulah Ya ALLAH teman kami disaat gembira dan kami diulit sengsara.


Wahai Tuhan kami....

اللهم مغفرتك أوسع من ذنوبنا ورحمتك أرجى عندنا من أعمالنا .. اللهم إنا نعوذ بك أن نشرك بك شيئاً نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه .. أنت تعلمه منا يا الله يا كريم يا رحيم يا ودود يا حي ويا قيوم يا الله ..


Sesungguhnya keampunanMu lebih luas daripada dosa-dosa kami dan rahmatMU lebih diharapkan oleh kami berbanding amalan-amalan kami sendiri.


Wahai Tuhan kami... Kami berlindung denganMU daripada kesyirikan kami kepada MU dengan apa yang kami tahu, dan kami memohon keampunanMu terhadap apa yang kami tidak mengetahuinya.


Engkau Ya ALLAH, lebih mengetahui kesalahan kami, wahai ALLAH, Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Penyayang.


Engkaulah Ya ALLAH, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Hidup dan Maha Pemelihara.


Ya ALLAHu Ya ALLAH Ya ALLAHu Ya ALLAH..Amiin ALLAHUMMA Amiin.


Alfaqir ilallah :
almukminun
22 Ramadhan 1432 H
Shah Alam-Malaysia
http://almukminun.blogspot.com/2011/08/ramadhan-kau-kutinggalkan-dengan.html

.اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Rabu, 3 Ogos 2011

Pelbagai Peristiwa Bersejarah Dalam Kemuliaan Ramadhan














Pelbagai Peristiwa Bersejarah Dalam Kemuliaan Ramadhan


























Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah ditawarkan dengan pelbagai bentuk batu yang ada di kota Mekah untuk ditukarkan menjadi emas sebagai asset. Dengan rendah hati Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjawab, “Tidak, wahai Tuhan.Tapi (biarkan) aku lapar sehari dan kenyang sehari.Jika aku sedang kenyang,maka aku akan memujiMu,dan di saat lapar aku akan bersimpuh dan berdoa kepada mu.”




[Prof.Sayyid Dr.Muhammad Alwi Al Maliki, Muhammad al Insan Al Kamil, hal. 156.]












Sayyiduna Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم dimahkotakan sebagai Rasulullah di bulan Ramadhan pada tahun ke 13 sebelum Hijriah di Gua Hira' bersama dengan surah al-'Alaq. Dakwah pertama Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ialah kepada isterinya yakni Sayyidatina Khadijah. Isyarat jelas kepada suami, bakal suami atau para remaja lelaki yang sedang merancang untuk “bercinta”, tugas pertama lelaki ialah untuk mendidik isteri dan seluruh ahli keluarganya. Bersedia ?









Bahkan, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم diuji dengan wafatnya Sayyidatina Khadijah Binti Khuwalid pada bulan Ramadhan tahun ke sepuluh selepas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menjadi Nabi yang penuh keberkatan ini. Wanita mulia inilah manusia mulia pertama yang mendukung berhabisan tenaga dan harta demi kelangsungan dakwah Bagindaصلى الله عليه وآله وسلم yang kita kasihi. Ketahuilah wahai para lelaki muslim, kemuliaan keturunanmu melalui kecantikan akhlak bakal isterimu. Juga buat para mukmin samada lelaki dan wanita, Islamnya kita hari ini antaranya disebabkan perjuangan Ummul Mukminin mulia ini yakni Saidatina Khadijah Binti Khuwalid. Ini adalah bukti Islam tidak pernah merendah-rendahkan martabat wanita. Tegaskan kepada “mereka” dengan hikmah.










Didalam bulan Ramadhan juga Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengutus bapa saudaranya Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib sebagai utusan pertama kerajaan Islam dibawah pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم









Akhlak manusia agung ini Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم ketika berlapar masih tetap sabar, masih mampu memimpin jamaahnya menang dalam pertempuran Badar. Kemudian, pada 18 Ramadhan tahun ke 8 Hijriah, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memimpin 12,000 Muslimin menawan kembali Kota Makkah juga dinamakan ia Fathu Makkah. ALLAHU ALLAH.. mukmin semakin hebat bilamana masuknya Ramadhan.










Dunia Islam menangisi kehilangan Ketua Wanita di syurga yang juga merupakan puteri kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Beliau juga merupakan ibu kepada Ketua Pemuda di syurga yakni Saidina Husin dan Saidina Hasan. Beliau menghadap ALLAH Yang Maha Pengasih pada usia tersangat muda iaitu 29 tahun dan meninggalkan suaminya yang tercinta yakni Saidina Ali Bin Abi Talib. Wanita mulia ini ialah Sayyidatina Fatimah Az-Zahrah Binti Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Tepat sebagaimana yang dibisikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketelinga puteri kesayangannya yang membuatkan kesedihan Sayyidatina Fatimah untuk berpisah dengan Ayahndanya kembali tersenyum disaat kewafatan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . ALLAHU ALLAH.








Bulan Ramadhan juga menyaksikan kematian mulia, Sayyidina Ali Bin Abi Talib pada tahun ke 40 Hijriah ditangan pemuka khawarij. Ketika kewafatan Saiyyidna Ali, puak syiah yang berbaki daripada Abdullah Bin saba' meneruskan kelangsungan kesesatan mereka dengan mewar-warkan fahaman-fahaman jelik mereka seperti nikah mut'ah, taqiyyah, bahkan syiah galak menghina para sahabat Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khatabb, Sayyidina Utsman Affan sebagai murtad. Naudzubillahi minzaalik. Mana mungkin Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم akan menikahkan dua anak perempuan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dengan Sayyidna Utsman Affan yang dituduh dengan biadab oleh syiah sebagai murtad. Betapa dangkalnya pemikiran kotor puak syiah, namun ia masih tetap diikuti oleh manusia yang berhati syaitan.









Ummul Mukminin Aisyah Binti Abu Bakar As-Sidiq, telah wafat menghadap ALLAH dan bersama dengan suami yang beliau cintai Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Bukankah jelas hadith mahsyur daripada kalam junjungan Mulia yang kita kasihi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم “Bahawa setiap kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai” [Hadith Riwayat Bukhari]














Panglima Islam Thariq Bin Ziyad pada Ramadhan ke 91 Hijriah berjaya menawan kota Sepanyol yang dikenali sebagai Futuh Andalusia..... ALLAHU ALLAH.. Namun, kejayaan tentera Islam menyebarkan dakwah di benua Eropah terhenti dengan tertewasnya tentera Islam di bawah pimpinan Abdul Rahman Al-Ghafiqiy. Kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menajdi simbol khalifah Islam turut runtuh di tangan talibarut British, yakni Muhammad Bin Abdul Wahab sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Muhammad Abu Zahrah mengenai perperangan yang dimulakan oleh wahabbi terhadap As-Syarif Makkah yakni Syarif Ghalib Ibn Bu' Said yang dilantik oleh Sultan Turki sebagai wakilnya. Mereka (wahabbi) membunuh muslim, merampas harta dan wanita-wanita mereka. Sebelum kewujudan nama bid'ah Arab Saudi, ia dikenali sebagai Hijjaz, ini merupakan di antara bid'ah terbesar yang dilakukan oleh wahabbi.









Masakan mereka tidak hebat, apabila saluran darah mereka disempitkan laluannya daripada dilalui oleh syaitan laknatullah, maka sedikit demi sedikit nafsunya ditundukan. Sebagaimana sepatutnya nafsu malas, nafsu merokok, nafsu mengumpat, nafsu takut tertunduk dengan kehebatan taqwa tuan badan apabila menjelangnya Ramadhan. Maka jauhlah seluruh mukmin daripada perilaku fahsa' dan mungkar apabila ruh jihad Ramadhan dihayati dengan berjihad mengawal nafsu dan meruntuhkan tembok-tembok yang dibina oleh syaitan laknatullahi alaih semenjak 11 bulan leka kita bertemasya. Mohon doa mendoakan. Ingat mengingatkan. Buat alfaqir dan yang mahu peduli.














WALLAHU'A'lam




al faqir ilallah : almukminun










03 Ramadhan 1432H/03 Ogos 2011




Shah Alam-Selangor-Malaysia

Ahad, 24 Julai 2011

Sajak Ramadhan


Ramadhan,


Lari dari NYA, binasa.


Lari menuju NYA, bahagia. Cinta kita tiada nilai.


Cinta kita kosong tiada makna.


Maka, kita sebarkan bahawa cinta itu buta.


Untuk menutupi masalah kita yang gagal fahami cinta.


Sedangkan yang buta adalah kita yang tidak dalam memahami makna cinta, kerana hala tuju cinta kita bukan kepada Pencinta agung [ALLAH Subhanahu Wa Taala]


ALLAH Subhanahu Wa Taala ialah Tuhan yang Maha Esa.


DIA wujud tanpa permulaan, dan DIA tidak akan binasa.


DIA jauh dari persamaan dengan manusia.


Dihadirkan oleh NYA, kekasihNYA yang mendapat keistimewaan dengan diberikan gelaran yang paling mulia.


Yang telah naik ke hadrat ALLAH SUbhanahu Wa Taala, Raja Yang Maha Pemberi.


Kekasih NYA masih hidup kepada mereka yang menghidupkan selawat keatasnya, yang memohon wasilah melaluinya...


dialah manusia mulia lagi agung, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.


Betapa kasih Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam mengatasi kasihnya ibu & ayah yang melahirkan umatnya.


Benarlah, inilah cinta kepada Maha Mulia, ALLAH Azzawajala...


Tidak sesekali DIA biarkan hamba yang meminta, ikhlas, denganb taqwa kepada NYA diperssiakan hidupnya...


ALLAHU ALLAH


Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya


اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله
عدد كمال الله وكما يليق بكماله


alhaqir ilallah : almukminun

BBST, Selangor

22 Syaaban 1432/24072011

http://almukminun.blogspot.com/2011/07/sajak-ramadhan.html

Selasa, 7 September 2010

Amalan Salaf yang dipinggirkan pada Malam Hari Raya



PERKARA YANG SUNAT DILAKUKAN PADA MALAM HARI RAYA




1) Di dalam Sunan Al-Baihaqi pada bab Ibadat pada malam 2 hari raya;




أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُوسَى بْنِ الْفَضْلِ حَدَّثَنَا أَبُو الْعَبَّاسِ الأَصَمُّ أَخْبَرَنَا الرَّبِيعُ أَخْبَرَنَا الشَّافِعِىُّ أَخْبَرَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ قَالَ ثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ عَنْ أَبِى الدَّرْدَاءِ قَالَ : مَنْ قَامَ لَيْلَتَىِ الْعِيدِ لِلَّهِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ حِينَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ. {ش} قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُ�! �ْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.




Maksudnya: Daripada Abu Darda’ beliau berkata: Sesiapa yang menbangunkan 2 malam raya, tidak mengharapkan apa-apa kecuali Allah, nescaya tidak akan mati hatinya ketika matinya kesemua hati.




Berkata Imam Syafie: Terdapat riwayat yang mengatakan Abu darda’ berkata: Sesungguhnya doa mustajab pada 5 malam; malam jumaat, malam hari raya adha, malam raya fithri, malam pertama rejab dan malam nisfu syaaban.




2) Riwayat di dalam Kitab Syuabul Iman;




و مما أنبأني أبو عبد الله الحافظ إجازة و رواه عنه الإمام أبو عثمان إسماعيل بن عبد الرحمن الصابوني أنا أبو عبد الله محمد بن علي بن عبد الحميد نا إسحاق بن إبراهيم أنا عبد الرزاق أخبرني من سمع ابن البيلماني يحدث عن أبيه عن ابن عمر قال : خمس ليال لا يرد فيهن الدعاء ليلة الجمعة و أول ليلة من رجب و ليلة النصف من شعبان و ليلتا العيد



Maksudnya: Dari Ibn Umar beliau berkata: Lima malam tidak akan ditolak doa permintaan. Malam Jumaat, malam pertama dari tejab, malam nisfu syaaban dan dua malam raya (fitri dan adha).




Berkata Imam Manawi di dalam Faidul Qadir: Sunat menghidupkan kelima-lima malam tersebut. Para salaf sentiasa melakukan perbuatan tersebut.




CARA MENGHIDUPKAN MALAM TERSEBUT




1) Imam Nawawi menyebut di dalam Kitab Azkar;




يستحب إحياء ليلتي العيد بالذكر والصلاة وغيرهما فإنه وإن كان ضعيفا لكن أحاديث الفضائل يتسامح فيها قال : والظاهر أنه لا يحصل الإحياء إلا بمعظم الليل



Maksudnya: Disunatkan menghidupkan kedua malam hari raya (Fitri dan Adha) dengan zikir, solat dan selain keduanya. Walaupun hadis berkenaan menghidupkan malam tersebut kedudukannya lemah akan tetapi hadis-hadis berkenaan amalan yang mempunyai kelebihan tertentu diberi kelonggaran untuk berpegang dengannya.




Berkata Imam Nawawi: Secara zahir dapat difahami tidak dikatakan menghidupkan malam kecuali dengan dibangunkan sebahagian besar daripada malam tersebut.





2) Di dalam kitab Al-Imdad’;




وفي الامداد: ويحصل القيام بالصلاة نفلا فرادى من غير عدد مخصوص، وبقراءة القرآن، والاحاديث وسماعها، وبالتسبيح والثناء، والصلاة والسلام على النبي (ص) الحاصل ذلك في معظم الليل




Maksudnya: Maksud mendirikan malam adalah dengan melaksanakan solat sunat secara sendirian tanpa bilangan rakaat tertentu, dengan membaca Al-Quran, membaca hadis dan memperdengarkannya, dengan bertasbih dan memuji Allah, dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang kesemuanya dilakukan pada sebahagian besar daripada malam hari tersebut.




3) Dari Ibn Abbas;




عن ابن عباس رضي الله عنهما بصلاة العشاء جماعة، والعزم على صلاة
الصبح جماعة، كما قالوه في إحياء ليلتي العيدين.
وفي صحيح مسلم قال رسول الله (ص) من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل، ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما قام الليل كله




Maksudnya: Membangunkan malam dengan solat Isyak secara berjamaah dan berazam untuk melaksanakan solat subuh secara berjemaah. Di dalam Sahih Muslim Baginda Nabi bersabda: Sesiapa yang melaksanakan solat Isyak secara berjemaah seolah-olah dia telah membangunkan separuh malam. Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seolah-olah membangunkan keseluruhan malam.





P/s: Di dalam kitab Al-Hawi al-Qudsi: Makruh berhimpun di mesjid untuk membangunkan malam tersebut.




Sumber :



Al-Muttaqin Network support@almuttaqin.tv


28 Ramadhan 1431H



Isnin, 23 Ogos 2010

Misi Bantuan Buat Saudara Seagama di Pakistan

"Humanitarian Mission Across Borders"

GLOBAL PEACE MISSION (GPM)
2-2A, Jalan GJ2 Batu 51/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: +60 3 6188 3230 Fax: +60 3 6188 3233
Email: gpmhq@yahoo.com Website: www.gpm.com.my




Dalam kita gembira menyambut kehadiran Ramadhan dan ada yang bersedih dengan kehadirannya, ALLAH Subhanahu Wa Taala datangkan ujian buat negara saudara seagama kita di Pakistan yang menderita dengan kejadian bah yang meranapkan.





Dari Abu Hurairah rodhiallohu ‘anhu, Nabi Sholallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda, “Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya ALLAH Subhanahu Wa Taala akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya ALLAH Subhanahu Wa Taala akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka ALLAH Subhanahu Wa Taala akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. ALLAH Subhanahu Wa Taala akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka ALLAH Subhanahu Wa Taala akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk membaca Kitabulloh dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat ALLAH Subhanahu Wa Taala akan menyelimuti mereka, dan ALLAH Subhanahu Wa Taala memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya.”
(Hadits diriwayatkan oleh Muslim)




Membantu Kesulitan


Membantu saudaranya untuk terlepas dari kesulitan merupakan kebajikan yang mendatangkan pahala yang sangat besar baik di dunia mahupun di akhirat. Kesulitan apapun dan bantuan dalam bentuk apapun.




Menutup Aib


Menutup aib saudaranya wajib hukumnya. Baik saudaranya banyak berdosa apatah lagi yang taat. Membuka aib hanya boleh dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan tetap memenuhi ketentuan syariat.




Justeru, bersama menyumbangkan sedikit bantuan buat kemaslahatan para saudara kita di Pakistan. Moga bantuan ALLAH Subhanahu Wa Taala terima sebagai ibadah yang diredhai-NYA.




al-Faqir ilallah : ALmukminun

13 Ramadhan 1431H

Petaling