Rabu, 17 Oktober 2012
RUMAHTANGGA : JAUHI PENGHASUT DAN PENYIBUK [P&P]
RUMAHTANGGA : JAUHI PENGHASUT DAN PENYIBUK [P&P]
Punca utama perceraian apabila ramai disekeliling anda cuba menjadi jaguh
bicara. Ya, ada di kalangan mereka niatnya baik “..untuk melihat rumahtangga
bahagia..”, ada pula yang sememangnya dari awal lagi memasang niat jahat “..semoga
rumahtangga depa ni hancuss...buleh aku tackle suami dia/isteri dia/ harta
dia.... ^_^ ”.
Tuan Puan yang dikasihi, di kalangan mereka yang berniat baik terlupa
mereka telah tanpa sengaja melantik diri mereka sebagai seorang P&P [dibaca
Penghasut dan Penyibuk bukan Proffesional dan Pengurusan]. Merekalah penasihat
cabuk yang memberi tanpa diminta. Bukankah Rasulullah Shollallahu Alaihi
Wassalam sendiri memberikan nasihat
mengikut sela masa dan keadaan sesuai mengikut keupayaan mad’u yang hendak
Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam sampaikan. P&P ini memberikan nasihat
sepantas kilat tanpa melihat keseluruhan isu yang dihadapi oleh pasangan.
Sebagai contoh, P&P melihat isteri jirannya menaiki motorsikal ke
tempat kerja sedangkan suami jirannya memandu kereta ke tempat kerja. Lalu
dikhabarkanlah kepada seluruh taman sambil mulut menjuih : “...lihat tu, suami
bukan main bergaya, isteri naik motorsikal je, ada ke patut..”
Sedangkan pada situasi sebenarnya, si isteri menaiki motorsikal kerana
tempat kerjanya hanya di dua blok rumah dengan masa 3 minit untuk ke tempat
kerja. Manakala si suami pula tempat kerjanya terletak lebih 100 km jaraknya
yang mengambil masa 1 jam 30 minit perjalanan. Suami dan isteri jirannya telah saling
redha dengan kenderaan yang dinaiki mereka. Maka telahan apa yang dihamburkan
oleh jirannya yang “Mengambil Berat” itu. Perkataanya sahaja telah menyebarkan
fitnah bermula hanya dengan sangka.
P&P juga memulakan bicaranya dengan sapaan soalan yang menyentuh jiwa
khusus menunjukkan simpati yang bukan dari hati. Kepura-puraan untuk mencungkil
rahsia yang kemudian diguna untuk dijaja meninggikan diri si P&P.
Sebagai suami isteri perkara yang
patut diingati, jangan sesekali menceritakan kisah rumahtangga hatta kepada ibu
bapa, adik beradik, atuk nenek apatah lagi rakan jiran taulan. Lebih 70 peratus
masalah perceraian yang saya kendalikan berpunca dari PENASIHAT TIDAK
BERTAULIAH ini. Ya, mereka manusia yang kita sangat hormati bahkan memiliki
pertalian darah. Tetapi, permasalahan yang ditimbulkan hasil perkongsian
masalah kepada mereka menatijahkan sokongan TIDAK ADIL kepada anda dan pasangan.
Mereka menyokong melulu tanpa melihat isu dan masalah dari ruang yang pelbagai.
Contohnya seperti punca, kesalahan anda, ketidakpuasahan hati pasangan terhadap
diri anda. Hanya disebabkan ada pertalian darah atau termakan budi misalnya
membuatkan perkara hak kabur dibalik silauan cahaya. Tuan puan, jujurlah pada
diri masakan tidak ada sekelumit simpati dari ibu apabila anaknya menceritakan
kegoncangan rumahtangganya. Bukan tiada ibu dan ayah kandung yang adil, tetapi
kehadiran mereka susah dipunca kuasa duakan jumlahnya.
Bukan tidak boleh meluahkan kepada mereka, tetapi dahulukan ribuan USAHA
dimulai dengan pengharapan bantuan kepada ALLAH. Muhasabah melihat kekurangan
dan kesilapan diri sendiri berbanding pasangan. Berfikir untuk menjalani sesi
kaunseling dari Kaunselor Muslim Bertauliah di bawah Akta Kaunselor 1998 di
Malaysia. Sesi kaunseling yang anda jalani ialah rahsia.
Suami dan Isteri mesti bertegas dengan segera menghalang Penyibuk dan
Penghasut ini walau dengan niat tanpa sedar mereka dari memanjangkan simpati
yang tidak Tuan Puan nanti. Contoh ketegasan : “..."..MAAF,ini rumah
tangga saya, awak, abah, umi, abang, kakak, adik tiada hak dalam isu ini kerana
saya TIDAK MINTA dan kami BAHAGIA..". Tuan-Puan pertahankanlah RUMAHTANGGA
habis-habisan. SUAMI atau ISTERI wajib pertahankan ISTERI atau SUAMI apabila dikata
walaupun daripada orang yang kita hormati selagi tidak BERBUKTI.
Sebagai seorang suami, tanggungjawab anda sungguh besar terhadap isteri.
Sebagaimana firman ALLAH SWT :
“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH amat
berat azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA)” [Surah
al-Maidah : 2]
PENYIBUK dan PENGHASUT, jahat sangatkah mereka ? Kadangkala isyarat
subliminal diluar lokus kawalan dalaman P&P berasa apa yang mereka lakukan
amat membantu rumahtangga yang hendak dibantu walau pada dasaarnya mereka
sebenarnya PERASAN begitu. Mereka tertipu bahawa apa yang mereka usahakan
merupakan satu usaha masuk campur urusan rumahtangga pasangan samada dari kalangan ahli keluarga atau
pasangan lain tanpa perlu.
Kerana itu artikel ini bernada ganas ala-ala genre “System Of Down” atau Cromox-Butterfingger
Malaysia. Biar ganas-ganas dahulu sebelum perkara yang halal, tetapi di benci
oleh ALLAH berlaku sebagaimana Imam At-Tirmizi Rahimahullah berkata : Katsir
Bin ‘Ubaid telah menceritakan kepada kami (dia berkata): Muhammad bin Khalid
telah menceritakan kepada kami dari Mu’arrif bin Washil dari Muharib bin Ditsar
dari Ibnu Umar dari Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ
تَعَالَى الطَّلَاقُ
“Perkara halal yang paling ALLAH benci adalah perceraian.” Terpaksa, kerana campurtangan atas nama MAHU
MEMBANTU oleh P&P merupakan malapetaka punca perceraian pasangan yang saya
kendalikan sesi kaunseling. Isu ini sangat serius agar PENYIBUK dan PENGHASUT
tanpa sedar ini memahami bahawa anda telah menceroboh secara keji sebuah rumah
pasangan dan tiba-tiba tanpa diminta anda mengubah atur letak perabot dan
strategi rumahtangga mereka. Itu analoginya jika boleh dikira sebagai yang
dimaksudkan. Saya tambah lagi, dalam soal gaji misalnya, jika isteri yang
bekerja telah diberi izin oleh suami untuk bekerja, tiba-tiba ANDA wahai
P&P memandai menghalang si isteri dari memberi bantuan kepada suami ketika
memerlukan.
Justeru, saya hadirkan sebuah contoh yang ditulis oleh sahabat saya Al-Fadhil
Ustaz Abuzulfiqar di dalam blog
beliau : Penyelesaiannya... tidak lain adalah kebijaksanaan dalam membuat
pertimbangan.
1. Si suami mesti faham dan akur bahawa harta isteri adalah milik isteri.
Si suami tidak boleh pandai-pandai mengguna atau memaksa si isteri menggunakan
wang itu untuk menguruskan perbelanjaan keluarga.
2. Si isteri pula mestilah menghargai keizinan si suami untuk dirinya
mendapat pendapatan sebegitu, dan faham bahawa perbelanjaan si suami
menguruskan rumahtangga bertambah dengan banyaknya apabila si isteri keluar
bekerja.
Di sinilah perlunya kebijaksanaan masing-masing untuk saling menghargai hak
masing-masing dan saling memberi untuk menguruskan keluarga.
Perkara ini harus juga difahami oleh P&P agar usaha menghasut tanpa
sedar ini dapat dijauhkan dari dimulakan. Terimalah, bahawa kita tidak
semsetinya tahu dengan hanya melihat kepada satu isu, lalu disangka dengan
mengaitkan dengan teori penyedap cerita untuk dipanjang-panjangkan.
Tuan-Puan P&P juga perlu insaf, percikan api yang tuan puan mulakan
dengan menokok tambah cerita memiliki peratusan kukuh untuk berkongsi dosa
kerana usaha meruntuhkan sebuah rumahtangga bahagia. Tuan Puan P&P, ALLAH
SWT dengan penuh kasih sayang memperingatkan orang yang memutuskan nasab
kekeluargaan dengan laknat dan azab, di antara firman-NYA :
“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka
bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan ? Mereka itulah orang-orang yang
dilaknati ALLAH dan ditulikan-NYA telinga mereka, dan dibutakan-NYA penglihatan
mereka.” [Surah Muhammad :22-23]
Memutuskan tali silaturahim adalah sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.
Dalam Surah an-Nisa’: ayat 1, ALLAH SWT berfirman :
“Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang
dengan mempergunakan nama-nama-NYA, kamu saling meminta, dan (peliharalah)
hubungan silaturahim.”
Dalam kitab Ahkam al-Qur’an, Ibnu al-Arabi menafsirkan ayat ini dengan
menulis : "Takutlah kepada ALLAH untuk berdosa kepada-NYA dan takutlah
untuk memutuskan tali silaturahim".
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و
صحبه و بارك و سلم
WALLAHU’ALAM. ^_^
P/S : Jemput hadir Majlis Selawat bersama Habib Syech AsSeggaf
20hb Oktober 2012 : Masjid As-Syakirin KLCC
21hb Oktober 2012 : Dataran MBMB Melaka
22hb Oktober 2012 : Dewan Besar UPSI, Tanjung Malik, Perak
Al-Faqir ilallah : almukminun
2 Zulhijjah 1433H/17102012
Posted by almukminun at 11:18:00 PTG
Labels: Ibu Bapa, Kaunseling Islam, Wanita
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan