::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan

Sabtu, 9 Jun 2012

LONGBOARD, Da’wah Rentas Kaedah : Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Memberikan Didikan Dengan Memerhatikan Situasi Keadaan Anak Didik.




LONGBOARD, Da’wah Rentas Kaedah : Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  Memberikan Didikan Dengan Memerhatikan Situasi Keadaan Anak Didik.


Tuan-Puan yang dikasihi,


Kebiasaan yang berlaku, orang dewasa kerap merasakan nasihat mereka perlu pada setiap masa. Maka, nasihat itu perlulah dengan “berkata-kata”. Maka, akan wujudlah generasi belia dan remaja yang akan sentiasa mengelak dari bertembung dengan kalangan orang dewasa kerana takut di “khutbahkan” tanpa mengira suasana. Sesuai ke Tuan-Puan, seorang remaja yang sedang mengayuh basikal, mendaki bukit 47 darjah dengan nafas tercunggap-cunggap,  tiba-tiba dirapati oleh seorang dewasa lantas membahas dan menasihatkan kepentingan menjaga adab pergaulan. Terus diterjah tanpa rapport dan daya “menarik hati”. Ayuh kita lihat, akhlak junjugan mulia Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم    dalam metodologi da’wah Baginda.


Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (pada bab yang menjelaskan tentang upaya Nabi
صلى الله عليه وآله وسلم  dalam mengatasi kebosanan para sahabat dalam mendengar nasihat dan pendidikan ilmu pengetahuan) dan Imam Muslim di dalam Kitab sahihnya (pada bab yang menerangkan tentang sikap cerdas Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم   dalam memberikan nasihat, dengan lafaz berasal dari Imam Muslim) meriwayatkan dari al-‘Amasy, dari Syaqiq Abu Wail, dia berkata : (Pada suatu saat) kami tengah duduk  (menunggu) di samping pintu rumah Abdullah ibn Mas’ud, Yazid ibn Mu’awiyah al-Nakha’i lalu berhampiran kami, maka kami berkata : “Tolong beritahu Abdullah ibn Mas’ud  bahawa kami menantinya”. Maka dia pun menyampaikannya, sehingga tidak berapa lama kemudian Abdullah ibn Mas’ud keluar menemui kami, lalu dia berkata: “Aku telah diberitahu (oleh Yazid bin Mu’awiyah) bahawa kalian sedang menunggu. (Sebenarnya aku telah mengetahui kedatangan kalian) namun aku khuatir saat ini kalian akan merasa bosan (belajar denganku). Kerana, sesungguhnya Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم   sendiri selalu memilih waktu dan (memerhatikan) keadaan kami (sebelum Baginda صلى الله عليه وآله وسلم  mengajar), sehingga tidak setiap hari Baginda صلى الله عليه وآله وسلم    menasihati (mengajar kami) lantaran khuatir kami akan merasa bosan”

[Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam Buku 40 Strategi Pendidikan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Terbitan Pelima Media Sdn. Bhd ]




Longboard


Longboard merupakan sukan yang dikategorikan sebagai ekstrem. Sukan ini juga boleh dikatakan masih  baharu di Malaysia selain dari sukan skateboard. Reka bentuk papan luncur longboard berbeza daripada skateboard, terutama saiznya yang lebih besar. Longboard berasal dari Oahu, Hawaii dan pada mulanya peluncur menggunakan longboard atau skateboard sebagai aktiviti sampingan untuk memanaskan badan apabila laut tenang dan tiada ombak.  


Seharian bersama “longboarders” menggambarkan sikap mereka yang sebenar. Mereka dibahagi-bahagikan tugas yang akan menyapu jalanan untuk memastikan ia bebas dari batu-batuan yang boleh menghalang kelancaran aktiviti “downhill”. Ada di kalangan long boarders memberikan nasihat untuk berdoa menaiki kenderaan sebelum memulakan aktiviti riadah mereka. Ketika segala aktiviti selsai dijalankan, para longboarders akan bersam-sama mengutip sampah seperti botol-botol plastik dan sisa kotoran lain untuk memeastikan keadaan jalan kembai seperti sediakala.




Longboarders juga mengenakan pakaian yang bersesuaian agar selari dengan tuntutan syariat agama. Menurut mereka, peserta yang tidak mengenakan helmet, kasut atau body cover akan dipandang sinis oleh para longbarders kerana tidak berdisiplin.


Tuan-Puan yang dikasihi.


Perkongsian ini untuk mengajak semua di kalangan kita dalam kesibukkan berteggang urat mencari salah, ayuh kita duduk semeja mengatur langkah kerja da’wah yang tidak pernah sudah. Kepelbagaian da’wah harus ada di kalangan dai’e ummah. Selari dengan peredaran zaman, akan terus lahirlah pelbagai sukan, permainan, aktiviti remaja dan belia. Maka, dengan kefahaman kita beragama perlu terus bersedia untuk turut sama menjadi tenaga penggisi kepada mereka. Jangan nanti, setelah dihinggapi penyakit sosial, keruntuhan aqidah dan murninya wahhabi juga syiah di kalangan belia, baru kita terhencut-hencut untuk mengatur langkah.




 Firman Allah   :

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu (sepenuh jiwa ragamu) kepada agama (Islam/ tauhid) dalam keadaan bersih (dari syirik), (ia adalah) fitrah Allah yang mana Allah menjadikan manusia berada atas fitrah ini, tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah, itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.

[Surah al-Rum : 30]




Permasalahan yang berlaku hari ini ialah ramai menjadi ‘penghukum’ kepada REMAJA berbanding ‘pendakwah’ yang berusaha mendekati mereka. Ramai yang pandai berkata-kata tetapi mengelak apabila diajak bersama berusaha mempelbagaikan metodologi da’wah buat belia remaja. Perlu ada rasa khuatir, bahawa kita menjadi di antara penyebab remaja lari dari mencintai keperibadian hidup beragama. Ia boleh sahaja berlaku disebabkan sikap tergopoh gapah kita menjadi penghukum. Akhirnya kita menjadi “pendosa” dibalik rasa bahagia.


Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم    dalam sabda baginda:

إِذَاْ أَذْنَبَ الْعَبْدُ نُكِتَ فِيْ قَلْبِهِ   نُكْتَةٌ سَوْدَاْءُ  فَإِنْ تَاْبَ صَقُلَ مِنْهَاْ فَإِنْ عَاْدَ زَاْدَتْ حَتَّى تَعْظُمَ فِيْ قَلْبِهِ فَذَلِكَ الرَّاْنُ الَّذِيْ ذَكَرَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ كَلَّاْ بَلْ رَاْنَ عَلَى قُلُوْبِهِمْ مَاْ كَاْنُوْا يَكْسِبُوْنَ

Maksudnya : Apabila seseorang mukmin itu melakukan sesuatu dosa maka ada titik hitam dalam hatinya, sekiranya dia bertaubat dan beristighfar maka bersihlah hatinya itu, sekiranya ia berulang (dosanya) maka bertambahlah (titik hitam itu) sehingga ia menutupi hatinya, maka itulah al-ran yang disebut oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud “bahkan apa yang telah mereka usahakan itu (kekufuran dan kemaksiatan) telah menutup hati mereka”

[Al-Hakim, al-Mustadrak `Ala al-Sahihayn, Juz.1, halaman 45]


Jom, sertai saya  J

Wallahu’alam

Mohon doa mendoakan ya.

Jom berselawat:

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم
19 Rejab 1433/09062012

Rabu, 14 Mac 2012

Syurga buatmu wahai adik Nurul Nadhirah




:: Syurga buatmu wahai adik Nurul Nadhirah ::



Inilah bebanan bukti betapa kejamnya akhlak manusiawi

Anak comel ini dimangsakan oleh kerosakan akhlak yang melanda umat

Sudah pupuskah kasihan belas

Atau lenyap nurani disibukkan damba dunia

Boleh dianggap seperti haiwan yang merupakan manusia kerana kehidupan mereka hanya makan minum, hiburan dan seks

Persoalan Tuhan dan Akhirat sudah padam dari fikir dan zikir

Mereka telah mendahului matimu wahai adik Nadhirah

Jiwa mereka kosong....

Tidak boleh disentuh oleh ujian atau musibah, mereka akan menjadi resah, merana dan rusuh

Peroleh nikmat mereka terlajak dan lupa daratan, menjadi sombong dan acap membuat orang tersinggung

Lawannya akan dimusnah dengan sekejam cara

Tidak boleh ditegur atas kebenaran

Tegur dan kritik dianggap penentang

Pujian dianggap sokongan dan kesetiaan

Membazir, berfoya-foya adalah resam dan budaya hidup mereka

Gejala negatif tidak dibendung

Terus dibiak demi untung

Agama dan akhlak dianggap persoalan individu, malah dianggap penghalang kemajuan

Agama hanya sekadar upacara sekali sekala

Hanya label dan bukan penghayatan

Agama sekadar propaganda untuk meraih sokongan

"Maafkan aku, Tuhan"

"Jangan tinggalkan aku, Tuhan"

"Aku banyak dosa wahai Tuhan"

Berbahagia dirimu di syurga

al Fatihah buatmu adik Nurul Nadhirah

alfaqir ilallah : almukminun

Khamis, 8 Mac 2012

SSM & SBPA


SSM ka SBPA ka :)


Apa kita didik anak kita apabila menerima pemberian dari orang lain ya. Ya, ucapan pertama, sudah tentu "Terima Kasih" bukan ? :)


Kita TERIMA dan memberi KASIH [mendoakan dia].. eh :)


Terima kasih lebih comey jika didahului : "ALHAMDULILLAH [Syukor kepada ALLAHسبحانه وتعالى ], kemudian terima kasih kepada ;si polan dan si polan;"


Bezakan, jika kita dapat pemberian kita jawab : "hek eleh, ada la tuu.....lalalala" :)


Sedangkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم mendidik kita:


قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من لم يشكر الناس لم يشكر الله


[Barangsiapa yang tidak mensyukuri (berterima kasih) kepada manusia, tidaklah dia mensyukuri (berterima kasih) kepada ALLAH سبحانه وتعالى]


Hadith Shohih dalam Riwayat Al-Tirmizi dalam al-Jami' alMukhtasar (No:1954,1955), al-Bukhori dalam Adab al-Mufrad


Mohon doa mendoakan :)


اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم




Almukminun
15 Rabiulakhir 1433H/08022012

Selasa, 21 Februari 2012

Adab Memuliakan Ulama




Adab Memuliakan Ulama.


Berkata Habib Amri Azmatkhan [anak murid Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdlullah Al-Banjari Al-Makki] di Masjid Negeri Shah Alam pada 11022012:


Firman ALLAH SWT :

"Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman."
[Surah al-Hijr: Ayat 88]


Dia antara kesalahan adab murid terhadap Syeikh mereka :


1-Hari ini kita memperlakukan para masayaikh bagaikan rakan-rakan kita.

2-Kita silangkan kaki di hadapan mereka.

3-Melihat-lihat jam bagaikan berkata "..sudahlah Syeikh, dah lewat ni.."

4-Bersandar

5-Berbual, walaupun berbisik, kira-kira, apa perasaan kita ketika mana kita sedang bercakap, orang lain turut bercakap...

6-Kita menjadi wali dihadapan orang ramai, tetapi menjadi musuh dihadapan ALLAH سبحانه وتعالى .

7-Ber "sms"

8-Firman ALLAH سبحانه وتعالى yang bermaksud:
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman sama ada lelaki atau perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
[Surah al-Ahzab: Ayat 58].

9-Daripada Ibn Abbas RA, katanya:
Barangsiapa menyakiti fuqaha’ maka dia telah menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, barangsiapa yang menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم maka dia telah menyakiti ALLAH سبحانه وتعالى.

10-Jangan disebabkan kita yang menjemput dan "membelanjakan" wang atas urusan dakwah para masyaikh, kita secara tidak perasan terkurang adab dihadapan para masyaikh. Seolah-olah kita memperlakukan mereka secara paksa tanpa mahu tahu keuzuran yang dihadapi mereka dalam usaha dakwah yang berterusan.

11-Berebut untuk bersalaman sehingga para masyaikh tertolak disebabkan kegopohan untuk bertabaruk, tetapi yang sunnah menjadi punah.

12-Terfikirkah kita bebanan, tanggungan di mahsyar bagi para masyaikh yang mengajar, mereka menanggung bebanan kita yang tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari. Mereka khuatir, tidak menjalankan dakwah secara menyeluruh sehingga umat yang jauh dari Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم mengenal dan cinta kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Tetapi apa pula perlakuan kita kepada orang yang mengajarkan kita cinta ?

13-
إذا لم تكن حافظًا واعيًا فجمعك للكتب لا ينفع

Maksudnya:

Jika kamu tidak seorang penghafal lagi seorang yang faham [ulama],
Maka kitab-kitab yang kamu himpun [pelajari] itu tiada manfaat.

14-Ayuh cintailah para ulama,orang yang lebih berusia, jika mereka lebih muda dari kita, anggaplah kelimuan mereka menjauhi kejahilan kita.

Perlakukan mereka pada tempatnya, beradablah dihadapan mereka. Dalam hal ini, alfaqir mencontohi dan meneladani guru-guru al-faqir seperti; al-Fadhil Ustaz Din Kuala Kangsar[Pasir Tumboh], Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki, Habib Wan Izzuddin al-Aidrus as-Sarawaki juga Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll as-Sanariyy. Perhatikanlah, teladanilah mereka apabila bertemu, bersapa dan bertutur bersama para alim ulama.

WALLAHU'alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Mohon maaf zahir dan batin.Mohon doa mendoakan.

alfaqir;almukminun
28 Rabiul'awwal 1433/21022012


Isnin, 20 Februari 2012

Ulama Yang Mana...



ULAMA AL-SU'



by Ustaz Termizi Yaacob on Friday, 29 April 2011 at 11:00 •



وقال معاذ بن جبل وذكر علماء السوء

Dan telah berkata Muadz bin Jabal memperingatkan tentang ulama su’:



من إذا وعظ عنف وإذا وعظ أنف فذاك فى أول درك من النار


- iaitu dia yang jika memberi peringatan kepada manusia, ia bersikap kasar; jika dia diingatkan oleh manusia, ia menolak dengan tinggi hati. maka yg seperti itu di dalam lapisan pertama neraka.



ومن العلماء من يأخذ علمه مأخذ السلطان فذلك فى الدرك الثانى من النار


dan dari ulama itu siapa yang menjadikan ilmunya alat untuk mendapatkan pemberian penguasa/sultan. maka yg seperti itu di dalam lapisan kedua neraka



ومن العلماء من يخزن علمه فذلك فى الدرك الثالث من النار


dan dari ulama itu siapa yang menahan ilmunya (tidak menyampaikannya). maka yg seperti itu di dalam lapisan ketiga neraka.



ومن العلماء من يتخير الكلام والعلم لوجوه الناس ولا يرى سفلة الناس له موضعا فذلك فى الدرك الرابع من النار


dan dari ulama itu siapa yang memilih-milih/memperelok-elokkan pembicaraan dan ilmu guna menarik wajah orang-orang dan ia tidak memandang orang-orang yang memiliki kedudukan rendah. maka yg seperti itu di dalam lapisan keempat neraka.



ومن العلماء من يتعلم كلام اليهود والنصارى وأحاديثهم ليكثر حديثهم فذلك فى الدرك الخامس من النار


dan dari ulama itu siapa yang mempelajari berbagai perkataan dan pembicaraan orang Nasrani dan Yahudi guna memperbanyak pembicaraannya. maka yg seperti itu di dalam lapisan kelima neraka.



ومن العلماء من ينصب نفسه للفتيا يقول للناس سلونى فذلك الذى يكتب عند الله متكلفا والله لا يحب

المتكلفين فذلك فى الدرك السادس من النار


dan dari ulama itu siapa yang mengangkat dirinya sendiri seorang mufti dan ia berkata kepada manusia, “Bertanyalah kepadaku.” Orang itu ditulis di sisi Allah sebagai orang yang memaksakan/membebankan diri dan Allah tidak menyukai orang yang membebankan diri. maka yg seperti itu di dalam lapisan keenam neraka.



ومن العلماء من يتخذ علمه مروءة وعقلا فذلك فى الدرك السابع من النار


dan dari ulama itu siapa yang menjadikan ilmunya sebagai kebanggaan dan kepuasan intelektual saja. maka yg seperti itu di dalam lapisan ketujuh neraka.



كتاب :التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة


( الإمام القرطبي )



http://almukminun.blogspot.com/2012/02/ulama-yang-mana.html


Ustaz Termizi Yaakob


Selasa, 22 November 2011

Guru-Guru Kami Dari Indonesia




Guru-Guru Kami dari Indonesia

Selain daripada Guru-guru yang mahsyur di Tanah Melayu ini, ada di kalangan penuntut-penuntut ilmu di Malaysia yang bergurukan para ahli ilmu dari Indonesia. Guru-guru yang kami cintai di Malaysia terdiri daripada kalangan warga atau berketurunan dari Indonesia sebagai contoh ; Al-Alammah al-Muhaqiq al-Habib Zein Bin Sumaith, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi al-Banjari, Almarhum Habib Syeikh Bin Ahmad Al-Musawa, Almarhum Habib Abdullah Bin Ahmad Bin Bin Hamid al-Kaff, Habib Munzir Fuad Al-Musawa, Habib Ali Zeinal Abidin Al-Hamid, Syeikh Rohimuddin Nawawi al-Jahary al-Banteni, serta ramai lagi. Itu belum sebut nama sahabat-sahabat Indonesia saya semasa ngaji di Pondok atau di [FB] ini sendiri..  Maksudnya apa :) ...

Maksudnya, orang yang "berilmu", pasti tidak mahu memusuhi atau di musuhi hanya kerana “sifat kebencian” yang berasal dari “syaitan”. Ya, syaitan. Pelik ya, kita bazirkan tenaga negatif dengan membenci saudara seIslam. Berbanding menyalurkan kebencian yang dituntut terhadap penghina-penghina agama Islam. Saling berbalas kata-kata mungkar sudah pasti tidak akan membina penyatuan. Bagaimana ditukar dengan kata-kata mulia, nasihat-menasihati dengan menjadi pengharmoni suasana.

Ada pihak yang sengaja menanam benci di antara dua buah negara Islam yakni Malaysia dan Indonesia. Tuan-Puan bayangkan jika kedua-dua buah negara ini bersatu, kuffar harbi pasti tidak keruan kerana takut akan kesatuan umat Islam. Maka, kepada kita yang mengaku Islam, usah terjebak sama menyirami api yang marak dengan petrol yang semakin hari semakin naik harganya.  .

Uh, semalam semasa kuliah Maghrib, jumlah jamaah yang hadir dalam 3 sof. Satu pertiga dari kalangan remaja dan kanak-kanak. Disebabkan waktu Isya’ la awai. Tamat zikir dan doa, Tok Imam seloroh pakat balik awai ngadap bola.

Bagi para pendakwah, membuat keputusan tepat mengikut suasana setempat amat bermanfaat. Perhati mad’u didepan mata. Barangkali dengan keputusan kita membuatkan mad’u yang baharu mendekati agama semakin cinta bahawa Islam tidak rigid rupanya, tidak larang bermain bola sepak asal kena syariat. Lain pula halnya dengan orang berilmu yang menjadi mad’u kita. Bergantung kepada kebijaksanaan dan situasi semasa.

Mana mungkin orang berilmu sengaja melibatkan dirinya ke lembah yang membawa dosa. Uh, siapa kata saya tidak bermain bola sepak . Kot ada lepas ni cadangan lepas tamat kuliah, kita turun beriadah futsal, badminton dan ragbi.  . Jangan lupa hubungi saya.  Kesihatan ruhani dan fizikal dicergaskan. Badan yang cergas menghasilkan otak yang cerdas. Mudah-mudahan para pencinta Saydina Muhammad صلى الله عليه وسلم. dihimpunkan oleh ALLAH di syurga di mana tiadanya rasa-rasa benci permusuhan melainkan yang ada hanya cinta. Islam untuk semua dan bukan terhad kepada bangsa. Mohon doa-mendoakan.

Sollu’ alan Nabiy ... 

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Alfaqir almukminun
26 Zulhijjah 1432H/22112011
http://almukminun.blogspot.com/2011/11/guru-guru-kami-dari-indonesia.html


Sabtu, 19 November 2011

Berusahalah Pendokong ASWJ



ALHAMDULILLAH.. rasanya hari ini saya mahu terus tersenyum...


Selawat dan salam keatas Junjungan Mulia Saydina Muhammad صلى الله عليه وسلم ...


اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



1-ALLAH izinkan alfaqir duduk bersama Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki juga bersama Tuan Guru Muhammad Subki Abdul Rahman Al-Hafiz, Ustazuna Tuan Guru Muhadir Hj. Joll, Ustazuna Abu Zahrah , ahbab Maahad Az-Zein dan pendokong Ahlu Sunnah Wal Jamaah.


2-Syeikh Nuruddin mensyarahkan hadith dari Kitab La Takhrinna Minal Ma'ruf Syai'a, hadith-hadith yang disyarahkan oleh Syeikh Nur bagaikan mengubat duka hati para pejuang ASWJ. Tak gitu Ustaz Jom Faham :) . Benar kata Ustaz Abu Zahrah, tidak kenal, maka tidak cinta... :)


3-Perasmian Pustaka Syeikh Nuruddin [PNS] yang berpusat di Subang Bestari. Lahir sebuah lagi Penerbitan Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang berikrar untuk menerbitkan "HANYA" bahan ilmiah ilmuwan ASWJ.Penerbitan ini bukan bersifat populis atau kewangan semata.. Ia usaha menguuhkan AQIDAH ASWJ.


4-Sedang berlangsung Forum Perdana : Bid'ah:Antara Hasanah dan Dhalalah. Panel [Syeikh Muhammad NUruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dan Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri ]


5-Pesanan Syeikh Nuruddin khusus buat Asatiz, Pejuang, Pendokong Ahlu Sunnah Wal Jamaah ; Usah Putus Asa :) ... Anggap kejayaan dan kegagalan sebagai nikmat dari ALLAH. Dengan kejayaan, kita tidak menjadi lupa bahawa ramai lagi diluar sana mahu merasakan kemanisan buah AQIDAH yang sohih. Dengan kegagalan, kita bangkit bahawa ada kekurangan yang wajib kita "tampal" untuk bergelar "YB [Yang Berjaya]".


Biar derita di dunia, kerana lebih banyak derita, lalu dia bertaqwa, derita itulah peringatan hampirnya haruman kejayaanya di akhirat sana. Asal sahaja hadir dengan ikhlas. J


Syeikh Nuruddin kaitkan dengan wudhu' kita. Jika untuk urusan berkaitan jabatan, kita lakukan sesempurna mungkin untuk dilihat kesungguhan oleh bos atasan. Tetapi untuk urusan akhirat dalam hal wudhu misalnya, untuk tunduk membasuh kaki dengan sempurna pun dirasakan bagaikan kepayahan yang besar. Seolah-olah kemanisan kejayaan di dunia lebih panjang berbanding kemuliaan di akhirat...


Maka, bangkitlah berusaha para pejuang ASWJ.... Kesukaran ini ALLAH hadirkan untuk yang berusaha mendapat keberhasilan yang akan kita tuai di akhirat sana. INSYAALLAH.... ALLAHU ALLAH... :)


…di waktu Baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-NYA kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)


Senyumlah wahai para Pejuang ASWJ .... :)

alfaqir ilallah :

almukminun

23 Zulhijjah 1432/19112011

http://almukminun.blogspot.com/2011/11/berusahalah-pendokong-aswj.html

Jumaat, 18 November 2011

Dosa Orang Berilmu




Dosa Orang Berilmu


Mutakhir, saya menyaksikan bebondong-bondong manusia mendaftarkan diri sebagai pelajar Sarjana dan calon Doktor Falsafah di sebuah Universiti Awam. Lalu terfikir dibenak saya, tujuan saya dan mereka menyambung pengajian.


Saya berbual bersama seorang calon Doktor Falsafah. “MASYA’ALLAH, pada usia 38 tahun Tuan telah memulakan pengajian PhD, apa matlamat Tuan dalam hidup..”. Jawab beliau; “Gelaran Doktor kot. Biasalah, zaman moden ni, orang nak dengar latarbelakang pendidikan. Kalau ada gelaran-gelaran ni, mudah sikit cari makan, naik jawatan.. (sambil tersenyum)”


Dalam peristiwa lain pula, ada di kalangan manusia yang menyembah manusia. Dia tidak sedar bahawa dia menyembah manusia, tetapi apabila dikatakan kepadanya, dia tetap menafikan. Begitulah kilauan harta dan pangkat. Manusia sanggup melakukan apa sahaja deminya. Mereka dengan rela ditunggang gelojak nafsu walaupun dengan mengenepikan persaudaraan serta persahabatan yang telah lama dibina.


Kasihan mereka, bersusah payah mereka mengejar dunia yang dicita. Terlihat kebodohan mereka, di antara menimbunkan harta dan mengumpulkan pahala. Tetap terlihat dimatanya dosa, lalu berlumba-lumba mereka dapatkannya. Ditabur fitnah, ditambah pelbagai cerita demi memastikan para pesaingnya dimatikan karakter.


Aduhai manusia, mengapakah kau letakkan kemuliaan dirimu didepan penguasa. Tidak sedarkah kamu bahawa penguasa tidak engkau cinta, tetapi yang engkau cintakan ialah kemampuan penguasa itu memberikanmu “segred” pangkat. Itu pun jika si penguasa masih ALLAH izin untuk terus bernyawa memenuhi kegelojohanmu.


Jujur, saya juga merupakan seorang pelajar juga pekerja yang memegang amanah. Cetusan ini sebagai peringatan agar saya tidak tersasar, dimulut berkata benci dunia, dihati erat mengenggam kemanisannya. ALLAHU ALLAH, mohon jauhkan sikap buruk ini dari diri.


Ketika ini, saya teringatkan pesan guru saya, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi ketika mensyarahkan kitab Bustanul Ariffin dalam satu siri pengajian di Pondok Derang. Menurut beliau dalam hadith riwayat Imam Ahmad menyebutkan, para Nabi, para ulama dan para syuhada memiliki keistimewaan untuk memberikan syafaat di akhirat kelak. Ini merupakan bukti ketinggian kedudukan ulama selepas para Nabi dan syuhada. Ini merupakan pengkitirafan terhadap ulama tanpa sijil.


Begitu pula halnya dengan orang-orang berilmu yang mempelajari al-Quran. Pelik, kerana mereka dilemparkan kedalam api neraka disebabkan mereka mempergunakan ilmu yang mereka miliki agar mereka mendapat pujian dari manusia.


Dari Anas bin Mali R.A dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Baginda Bersabda :


Malaikat Zabaaniah [Malaikat yang menyeksa orang yang berdosa dalam neraka] lebih dekat kepada pembaca Al-Quran yang derhaka berbanding penyembah berhala. Maka mereka berkata, mengapa kami didahulukan diseret ke dalam neraka berbanding penyembah berhala. Maka, Malaikat Zaabaniah menjawab pertanyaan mereka. Orang yang mengetahui hokum tidak sama dengan yang tidak mengetahui.
[H.R Thabrani dan Abu Na’im]


Lihatlah, dua kumpulan yang mempelajari ilmu, namun nasib akhir berbeza. Sebuah kumpulan ulama berada dibelakang kedudukan para Nabi, sementara yang lainnya berada di dasar api neraka.


Kedua-dua perbuatan mereka baik, namun apa yang membezakan keduanya ? Itulah niat dan tujuan mereka. Para ulama yang ikhlas, menjadikan ilmu yang mereka miliki sebagai modal untuk menghidupkan syariat Islam di tengah-tengah kehidupan masyarakat.


Ada di antara ulama yang menginginkan ajal yang datang ketika mereka sedang menyebarkan ilmu. Ada pula yang sedang menghadapi sakaratul maut segera menyuruh muridnya membacakan kitab atau segera mendakap kitab sebagai “ulangkaji” akhir sebelum bertemu Rabb nya. ALLAHU ALLAH.


Persoalannya bagaimana pula saat tibanya kematian kita yang sedang berusaha merai dan menggembirakan ketua jabatan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan jawatan. Akhirnya mati dalam kemalangan dengan timbunan keinginan keduniaan. Jauhkan kami Ya ALLAH.


Maka, pusatkanlah perhatian kita terhadap usaha memperbetulkan niat. Para arifbillah menyatakan ; “Ucapkan kalimatmu agar ALLAH membenarkanmu, bukan agar manusia membenarkan kalimat-kalimatmu”. Maksudnya dengan mengutamakan ALLAH dalam setiap keadaan.


Peribadi para ulama amat berakhlak dan tidak sesekali mereka melalaikan syariat ALLAH. Mereka belajar dari guru ke guru yang lain, zaman demi zaman, hingga sampai ilmunya kepada Saydina Rasulullah . Jalan dakwah mereka adalah semata-mata ikhlas kerana ALLAH. Jalan mereka bukan jalan yang keras tetapi penuh santunan lemah lembut. Tiada riak gentar dihati dan wajah mereka menghujam para penguasa yang ingkar akan sayariat ALLAH. Itulah beza Sarjana-pHD dan para ulama yang tenang tidak dipuji juga tetap sabar apabila dimaki.


Manusia yang berdakwah dengan menuruti kehendak masyarakat bagaikan meletakkan ilmu syariat mengikut kesesuaian kehendak masyarakat. Mereka mahu menjadi popular, lalu takut menegah kemungkaran si penguasa. Mereka mahu dikenali, lalu dikeluarkan pelbagai kritikan yang mencetuskan kontroversi serta tidak selari dengan kesapakatan ulama.


Sedangkan keberadaan ulama lebih luhur, lebih agung dan terhormat daripada pekerjaan-pekerjaan lain yang berusaha menghiburkan manusia dengan gelak ketawa dengan mengharapkan kemahsyuran dan kepingan wang. Tanpa Sarjana-pHd, para ulama tidak terjatuh sedikit kemuliaannya disisi ALLAH .


Guru-guru alfaqir pernah berwasiat; Berhati-hatilah, jangan kau curahkan perhatian objek dakwahmu terhadap dirimu. Curahkan perhatianmu pada apa yang wajib disampaikan dari hak-hak ALLAH . Jangan enkau nantikan ucapan terima kasih atau cercaan. Jika nasihat datangnya dari hati, pasti mengenai hati. Tetapi, andai ia hadir melalui lidah, ia tidak akan mampu masuk jauh ke hati tetapi terhenti di telinga para pendengar.


WALLAHU’a’lam.

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم


Alfaqir ilallah: almukminun
21 Zulhijjah 1432H/17112011
http://almukminun.blogspot.com/2011/11/dosa-orang-berilmu.html