Selasa, 17 Julai 2012
Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre : Persediaan Menghadapi Ramadhan
Bersama : Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre
Tajuk : Persediaan Menghadapi Ramadhan
Berikut ringkasan kuliah
Jumaat oleh Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre yang sempat alfaqir catatkan. Al-Faqir angat kagum dengan kesungguhan perjuangan al-Fadhil Ustaz Syed, dalam keadaan kesibukkan dengan urusan jamaah dan tuntutan ummah, beliau masih menerima jemputan. Di doakan semoga ALLAH lapangkan kemudahan dan ketenangan dalam usaha dakwah beliau. ALLAHUMM AMiin.
Ustaz Syed memberikan contoh
yang diberikan oleh guru beliau al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu
Abdullah al-Banjari al-Makki : “..orang yang bertemu dalam bulan Ramadhan dalam
keadaan tidak bersedia, ibarat orang yang menolak hadiah bernilai jutaan
ringgit...itupun selamanya tidak akan mampu menyamai keistimewaan Ramadhan.”
Bulan Ramadhan bagaikan bulan
yang tersedia banyak hadiah. Bayangkan kita mendapat jemputan menerima darjah
kebesaran daripada Sultan, sudah kita perlengkapkan pakaian sehinggakan andai
pakaian kita tidak memenuhi kriteria kita sanggup duduk menanti di pintu pagar
dan tanpa memiliki apa-apa hadiah. Sebagaimana kita yang melalui Ramadhan
puluhan tahun selama sebulan berpuasa Ramadhan, hanya berpuasa tanpa sebarang
peningkatan amalan, paling malang tidak memperolehi apa-apa pahala. Disebabkan
merasa cukup tahu sedangkan amal tanpa ilmu adalah sia-sia. Naudzubillah...
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حا جة في
أن يد ع طعامه و شر ا به
“Barangsiapa yang tidak
meninggalkan cakap dusta dan berbuat dosa, maka ALLAH tidak memerlukan dia
untuk meninggalkan makanan dan minumannya”
[Hadith riwayat Bukhari, lafaz
dari at Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah dalam Mukhtasar Sahih al-Bukhari no.
876]
Ustaz Syed berkongsi
pengalaman beliau mengenai bertemu dengan Sultan yang ditanya oleh seseorang
ketika menyampaikan tazkirah dalam program “gelandangan di Chow Kit” baru-baru ini. Orang itu bertanya kepada
beliau : “...kami ni tak da la nak jumpa Sultan, kalau jalan-jalan dalam hutan
tu Ustaz, kami terjumpa Puteri Gunung Ledang, apa patut kami buat ya...”
Soalan nampak mudah, jawab
Ustaz Syed : “... buatlah apa yang dituntut kita buat oleh Tuhan kepada Gunung
Ledang, dalam konteks ibadah dalam Islam..
J ”
Golongan yang tidak
bersiap untuk memasuki dan merasai
keindahan Ramadhan, apabila datang ke Masjid dan Surau akan mencemuh apabila
Ustaz mengajarkan bab Ramadhan. Sama la
keadaannya macam orang dok kata bila mengaji Kitab Fiqh, bab Taharah sahaja dah
makan masa sebulan. Itu pun untung la sebulan, kepada kami duk di Pondok
sebulan Cuma sebaris ayat sahaja. Bagi yang tidak merasa, dilihat jumlah
sebagai peningkatan ilmu, tetapi kepada kami, sebaris ayat yang disyarah
mendatangkan kepada 1001 ilmu baharu yang kami tadah. ALLAHU ALLAH. –opss, tu
tambahan saya, maaf ya... J
Ustaz Syed menyambung lagi,
dengan kalam Syeikh Zanurji dalam Ta’alim al-Muta’allim : “..orang yang mendapat berkat ilmu,walaupun
dia hadir belajar pada kali 1000, dia merasakan nikmat bagaikan kali pertama
dia merasainya...”
Seperti orang yang makan nasi
ayam, cukup rasanya, bila rasa sedap dia ceritakan kepada orang
disekelilingnya, diulang-ulang makan benda yang sama kerana nikmat sedap.
Begitu halnya dengan ilmu, apabila kita sudah merasa seronok dengan ilmu,
mendengar berpuluh-puluh kali tidak terasa lama. Jika ada persoalan kenapa kita
rasa boring (bosan), maknanya ruh yang berada didalam jasadnya cuba mencari
jalan membiasakan “makanan ruhani” yang baru diterimanya. Sebagai ubat, carilah
Guru untuk kalian mendalami ilmu.
Ustaz Syed mengambil contoh
mengenai orang yang berpuluh tahun memasuki madrasah Ramadhan, namun
persoalan-persoalan asas masih tidak mampu mengelakkan diri mereka dari belengu
kejahilan. Ustaz Syed ditanyai pada satu malam : “... Ustaz, macamana kalau Tok
Imam minum air semasa solat..”. Ustaz Syed bertanya : “...dia minum waktu
rukuk, sujud atau berdiri...”
Jawab orang itu : “... lepas
dia beri salam, dia minum.”
Ustaz Syed menambah, kejahilan
adalah hukuman, belajar untuk keluar dari kejahilan adalah kewajiban. Kiaskan
kepada diri, bahawa kita tidak berilmu dan sentiasa memerlukan ilmu, maka
menjadi kewajiban untuk kita mempelajari ilmu. Mengapa kebiasaan yang berlaku, awal Ramadhan,
ramai berpusu-pusu ke Masjid dengan pelbagai tingkatan ibadah, masuk
pertengahan suam-suam kuku dan apabila Ramadhan memasuki fasa akhir, lesu dan
semakin lesu. Ini disebabkan ketiadaan stamina. Stamina yang dimaksdukan
bukanlah stamina fizikal tetapi stamina iman. Stamina yang membezakan di antara
kemahuan dan kehendak yang untung atau merugikan.
Tinggal beberapa malam lagi
menjelang Ramadhan, berusahalah peruntukan masa selepas selesai solat fardhu
Isyak menunaikan solat sunat 2 rakaat dan 3 rakaat witir. Kita ni hamba, maka
berusahalah sebagai hamba, tidak usah dikenang masa singkat untuk membiasakan
amalan.
Peruntukan juga masa kalian
menatap al-Quran dalam masa 5 minit, had ni buat mereka yang tidak mampu
membaca atau dalam keadaan uzur boleh membuka terjemahannya pula. Yang penting,
jangan disia-siakan masa yang beredar. Sasarkan, tiap kali lepas solat, kita
baca al-Quran. Asalkan jangan ditinggal-tinggalkan. Kita tidak tahu sela mana,
saat mana yang memberikan kita buah pahala yang amat dinanti dalam bulan jutaan
keistimewaan ini. Banyakanlah berdoa :
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا،
وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya ALLAH... Sesungguhnya aku memohon
kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima.” [Hadis
Riwayat Ibnu Majah]
Biasakan dalam usrah atau
tazkirah jabatan, adakan tadarus al-Quran. Mana yang dah buat bacaan kitab di
pejabat, teruskan tetapi pastikan jika yang mengajar itu benar-benar
berkelayakkan, nanti tidak pasal-pasal Tuan-Puan terhinggap bawaan penyakit
wahhabi-syiah jadian. Akibat tiada sanad ilmu dan memiliki guru.
Ramadhan merupakan bulan
penyucian hati. Puasa sebenar ialah puasa hati apabila hati berpuasa dari mengingati
dunia melainkan hanya mengingati ALLAH dan menjauhi maksiat. Hatinya sering
berkata agar dia tidak menyiakan waktu bekerja kerana ia adalah ibadah. Hatinya
memberi ingatan agar sentiasa dia melakukan taat kepada ibu bapa, ahli
keluarga, sahabat, Muslimin, makhluk walau berlainan agama dan jiran tetangg,
itulah di antara kenikmatan puasa. Memelihara diri dari dosa. Agar natijah
selepas 30 hari berpuasa, dengan kebiasaan menjauhi dosa menjadi penyebab
kepada berterusan hingga akhir nyawa.
Ustaz Syed menambah seperti
yang tercatat dalam Kitab Bidayatul Hidayah berkenaan penyakit hati yang pada
kebiasaan melekat di dada mukmin ialah hasad dengki, riak dan ujub. Hasad dengki
ialah penyakit hati yang sukar diubati tanpa pinpinan seorang ulama. Bahkan
Ustaz-Ustazah pun boleh jadi berpenyakit jika terus-terusan berasa cukup
seronok dengan ilmu yang dimiliki. Sebagai contoh, perasaan geram terhadap
populariti yang diraih oleh orang lain, sakit hati melihat kebahagiaan orang
dengan anak yang ramai. Rugi orang bersifat hasad ini, kerana dia bagaikan
orang yang mencarik-carik dan menikam hatinya dengan pisau-pisau tajam.
Akhirnya memakan diri sendiri.
Riak dalam suasana Ramadhan.
Mahu dilihat amalan, jika satu hari keretanya rosak, dia tidak pergi menunaikan
solat sunat tarawikh, tetapi hanya duduk menonton televisen di rumah tanpa
amal-amal yang berpahala. Dia buat amalan hanya apabila orang nampak dia buat.
Manakala penyakit ujub ialah
merasakan diri bagus, bajet bagus atau merasa dirinya lebih baik hingga
memandang hina kepada orang lain.
Kadangkala kita bertemu orang susah dan berkehendak bantuan dari kita. Andai
terbit sahaja rasa lebih baik dari dia, maka amal-amal kita ibarat daun-daun
kering yang dimamah api. SIA-SIA ! Kita tidak tahu, barangkali yang hadir itu
merupakan wali-wali ALLAH yang dihadirkan untuk menguji iman kita. Samada anda ketua atau bukan ketua sesebuah
jabatan, hatta negara misalnya, anda tidak boleh ujub. Jangan pula anak buah
kata : “..bos tak boleh nak arah-arahkan saya, tu ujub namanya, sebab Ustaz
Syed said so....”. Itu bukan ujub, itu mengarut. Kita tidak tahu siapa di
kalangan kita yang ALLAH angkat sebagai insan yang hebat. Ayuh, doa mendoakan
semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك
و سلم
Wallahu’alam
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ،
وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ
“Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung
kepada-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Aku berlindung kepada-MU dari siksa
kubur.” [Hadis Riwayat Ahmad,]
Alfaqir ilallah :
Almukminun
27 Syaaban 1433H/17072012
Posted by almukminun at 2:56:00 PTG
Labels: Ramadhan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan