::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label Mazhab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mazhab. Papar semua catatan

Rabu, 25 Jun 2008

Mengapa Bermazhab? (ii)


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ


Mengapa Bermazhab? (ii)

Terdapat golongan sering menimbulkan syak wasangka bagi mereka yang ingin bermazhab khasnya mazhab al-Shafie (di Tanah Melayu ini) dengan menyatakan ia adalah seolah-oleh bertentangan dengan mazhab para sahabat r.anhum.

Mereka juga sering mewar-warkan bahawa kita perlu ikut al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Pernyataan mereka ini seolah2 mereka sahajalah yang ingin mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Pernyataan mereka ini juga bermaksud bahawa mengikut mazhab itu bererti tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah? [Astanghfirullah]. Bahkan, lebih jauh lagi, mereka kata tak perlu ikut mazhab, tapi ikut dalil, sedangkan mereka (pun orang awam) yang sedang bercakap dengan orang awam.

Apabila seseorang berkata bahawa dia bermazhab al-Shafie, maka mereka cuba mengenengahkan soalan yang menimbulkan syak seperti:

"Kalau anda bermazhab al-Shafie, Saidina Umar al-Khattab r.a. itu bermazhab apa?"

Mereka berlagak seolah-olah merekalah yang mempertahankan Saidina Umar al-Khattab r.a. tapi dalam bab solat tarawih 20 rakaat dan talak 3 dalam satu majlis jatuh tiga, mereka tidak pula mempertahankan mazhab Umar al-Khattab r.a.?

Maka umat Islam masyarakat awam perlu berwaspada dengan sikap berpura-pura ini.

Yang jelas, sikap mereka ini ialah mereka memilih pendapat Umar al-Khattab r.a. yang mereka suka sahaja dan meninggalkan pendapat Umar al-Khattab yang bertentangan dengan fahaman mereka .

Isu yang utama dalam perkara ini adalah:

  • Bolehkah kita bermazhab dengan mazhab Sahabat r.anhum?
  • Dan kenapakah sebahagian ulama' seperti Imam al-Nawawi memilih untuk bermazhab dalam mazhab al-Shafie? Adakah ia semata-mata taqlid buta? [Astaghfirullah janganlah anda beranggapan demikian]

Mari kita lihat kata-kata Imam al-Nawawi.

Kata-kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu'


‏ ‏

Terjemahan

"Dan tidak boleh bagi si awam itu bermazhab dengan mazhab salah seorang daripada imam-imam di kalangan para sahabat r.anhum dan selain daripada mereka daripada generasi-generasi yang terawal, walaupun mereka lebih alim dan lebih tinggi darjatnya berbanding dengan (ulama’) selepas mereka; ini adalah kerena mereka tidak meluangkan masa sepenuhnya untuk mengarang ilmu dan meletakkan prinsip-prinsip asas dan furu’nya. Maka tidak ada bagi salah seorang daripada mereka sebuah mazhab yang telah dihalusi, dianalisis dan diperakui.

Hanyasanya, (ulama’2) yang datang selepas mereka yang merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien lah yang melakukan usaha meletakkan hukum-hukum sebelum berlakunya perkara tersebut; yang bangkit menerangkan prinsip-prinsip asas dan furu’ mereka seperti (Imam) Malik dan (Imam) Abu Hanifah dan selain dari mereka berdua."

[Kemudian Imam al-Nawawi menjelaskan kelebihan mazhab Imam al-Shafie dari pandangan beliau dan dengan secara tersiratnya menerangkan mengapa beliau bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie]

"Dan oleh kerana Imam al-Shafie adalah merupakan imam yang terkemudian dari sudut masa, maka beliau telah melihat mazhab-mazhab mereka seperti mana mereka melihat mazhab-mazhab ulama’ sebelum mereka.

Maka beliau menperhalusinya, mengujinya dan mengkritiknya dan memilih yang paling rajih (kuat) dan beliau mendapat hasil daripada usaha ulama’2 sebelum beliau yang telah meletakkan gambaran dan pengasasan, maka beliau telah meluangkan masa untuk memilih dan mentarjih dan menyempurnakan dan meminda, dengan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu.

Dan dengan perkara ini beliau mendapat kedudukan yang lebih kuat dan rajih, kemudian tidak ada selepas beliau, (alim) yang mencapai kedudukan seperti beliau dalam perkara ini.

Maka dengan ini, mazhab beliau(Imam Syafie) adalah mazhab yang paling utama untuk diikuti dan bertaqlid dengannya – dan ini dengan jelasnya bahawa kita mestilah berlaku adil dan tidak ada meletakkan sebarang sikap memandang rendah pada salah seorang daripada para imam. Hal ini, apabila diteliti oleh si awam akan memandunya kepada memilih mazhab Imam al-Shafie dan bermazhab dengannya."

Sedikit Ulasan

  • Mengikut mazhab yang empat pada hakikatnya mengikut mazhab para sahabat dan tabien kerana ulama’ mazhab empat merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien yang mengikut sunnnah Rasulullah SAW.
  • Terdapat beberapa Imam dalam mazhab al-Shafie yang menerangkan sebab kenapa mereka bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie seperti Imam al-Nawawi, Imam al-Bayhaqi dan Imam al-Suyuthi. Jelaslah mereka bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie bukan kerana taqlid semata-mata.
  • Kalau andadapat cari sebab-sebab yang dikemukan oleh para imam tersebut, Insya Allah, akan bertambah kuat pegangan anda dengan mazhab yang muktabar seperti mazhab Imam al-Shafie .
  • Ada saper2 nak bantah kata2 Imam al-Nawawi ini?!
  • Pelik sungguh bila melihat orang ramai sanggup mengikut pendapat golongan Wahhabi yang tidak mempunyai latar belakang pengajian agama yang kukuh, bahkan sebahagian besar mereka adalah daripada golongan professional [pilot pun ader, pegawai syarikat komunikasi pun ader, pegawai bank pun ader] yang tidak mahir berbahasa arab dan meninggalkan ulama’ mazhab yang empat seperti Imam al-Nawawi .
  • Fikir-fikirkanlah untuk mencari jalan kebenaran bersama para guru-guru yang mursyid...
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"


Almukminun

21 Jamadilakhir 1429H
http://al-ashairah.blogspot.com/
http://almukminun.blogspot.com/


Jumaat, 13 Jun 2008

Mengapa Empat Mazhab?


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووا


Mengapa Empat Mazhab?

Persoalan:

Islam itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah, tetapi kenapa ada empat mazhab di dalam Islam?

Terjemahan melalui bahasa mazhab diertikan sebagai tempat untuk pergi. Ia berasal dari perkataan zahaba - yazhabu - zihaaban (ذهب - يذهب - ذهابا) iaitu akar dari kata tersebut. (Untuk kepastian nahu Arab, Tuan diminta merujuk kepada yang ahli).

Manakala, mazhab membawa methodologi atau kaedah yang disimpulkan melalui al-Quran dan dan Sunnah Nabawiyyah. Mazhab yang dimaksudkan adalah “Mazhab Fiqih”.

Sesungguhnya mazhab fiqih itu bukan hanya ada empat sahaja, tetapi masih ada banyak lagi yang lainnya. Bahkan jumlahnya mencapai puluhan. Namun yang terkenal hingga sekarang ini memang hanya empat sahaja.

Sedangkan yang kita kenal empat mazhab sekarang ini adalah kerana keempatnya merupakan mazhab yang telah terbukti sepanjang zaman dan tetap bertahan, sehingga usianya sudah menjangkau dari 1000 tahun.

Al-Hanafiyah, Al-Malikiyah, Asy-Syafi'iyah dan Al-Hanbali’yah adalah empat dari sekian puluh mazhab yang pernah berkembang di masa kejayaan fiqih dan mampu bertahan hingga sekarang ini.

Mazhab Fiqih adalah penting dalam memberi umat Islam pemahaman mengenai nas-nas agama. “Mazhab bukan pecahan di dalam agama ISLAM

Walaubagaimanapun, kepada golongan yang mengatakan “kami HANYA berpegang kepada al-Quran dan Sunnah!”. Ia bukan semudah yang dikatakan. Mazhab empat yang muktabar wujud bagi memperjelaskan isu-isu atau keadaan yang tidak terfikir dek akal cetek manusia sebelumnya.

Tuan-tuan bayangkan kesudahan daripada pemikiran-pemikiran logik akal akan mewujudkan kelompok-kelompok menafsir al-Quran dan Sunnah mengikut hukum akal. Maka, hukum-hukum fiqih di dalam dunia umat Islam akan berlaku dengan jumlah tidak terhitung. Setiap umat Islam mengaku mempunyai istimbath sendiri dalam berpegang kepada ijtihad hukum.

Contohnya: Jika berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu dia bebas membuat keputusan beradasarkan hukum akal logik.

Munculnya aliran sesat semacam penganut Islam “LIBERAL”, Ahmadiyah, serta kelompok lainnya adalah akibat dari tidak adanya sistem istimbath hukum yang pasti dalam menarik kesimpulan hukum yang benar dari Quran dan sunnah.

Mazhab Fiqih Adalah Memudahkan

Kita mengenal Al-Quran dengan lebih 6000 ayatnya, serta mengenal jutaan hadith nabawi. Tentunya, tidak semua orang mampu membaca semuanya, apalagi sampai menarik kesimpulan hukumnya.

Apalagi mengingat bahwa Al-Quran tidak diturunkan dalam format kitab undang-undang atau peraturan. Al-Quran berbentuk prosa yang mempunyai kelazatan apabila dibaca sebagai bentuk sastera. Tentunya, menelusuri lebih 6000 ayat untuk sebuah kitab undang-undang adalah berat.

Maka para ulama pendiri mazhab itulah yang berperanan untuk menyelesaikan pengistilahan dalam setiap ayat di dalam al-Quran itu. Satu demi satu ayat Quran dibaca, ditelaah, diteliti, dikaji, dibandingkan dengan ayat lainnya, kemudaian dijadikan kesimpulan hukum yang terkandung di dalamnya.

Manakala hadith Rasulullah SAW yang berjumlah jutaan itu, lebih sukar untuk dimengertikan. Ini disebabkan ia memerlukan beberapa peringkat proses sebelum kesimpulan hukum dan sebagainya diletakkan. Antaranya ialah proses meletakkan taraf hadith, samada furu’, dhoif atau maudhu’ bagi mendapatkan darjat shohih. Ia tidak semudah yang dilakukan oleh kelompok pelampau agama dengan sewenag-wenangnya meletakkan taraf sesuatu hadits tersebut tanpa merujuk kepada “sepakat ulama”.

Di dalamnya terdapat ratusan tokoh-tokoh ulama ahli yang meneruskan dan menyebar luaskan mazhab gurunya. Dan masing-masing memiliki pengikut yang jumlahnya paling besar, serta mampu bertahan dalam waktu yang sangat lama.

Para ulama mazhab itu kemudian menulis kitab yang tebal-tebal dalam jumlah yang sangat banyak, kemudian diajarkan kepada umat Islam di seluruh penjuru dunia.

Hasil dari penelusuran dari ayat al-Quran mahupun jutaan butir hadits itu kemudian ditulis dengan susunan yang mudah, dengan bahasa yang lebih difahami khalayak oleh para ulama mazhab itu. Dengan mengikuti sebuah pola tertentu yang sudah ditetapkan sebelumnya secara ilmiah. Ada puluhan bahan, ribuan ulama ahli dan pakar-pakar di bidangnya yang bekerja siang dan malam untuk melakukan proses ini sepanjang zaman. Sehingga menghasilkan kesimpulan dan rincian hukum yang sangat spesifik dan mampu menjawab semua masalah syariah sepanjang zaman.

Penghasilan daripada imam-imam mazhab ini menghasilkan jasa besar sepanjang kehidupan umat Islam hingga abad 15 Hijriah ini.

Dan semua itu kita sebut sebagai mazhab fiqih!!!

Sekiranya ada, dan sememangnya ada kalangan manusia yang mengatakan mengapa harus bermazhab dan tidak langsung merujuk al-Quran dan Sunnah, sudah terang, lagikan bersuluh bahawa manusia ini tidak tahu akan persoalan usul.

Akibat daripada golongan yang mengambil hukum sendiri daripada al-Quran Kalamullah dan Sunnah, secara tidak sedar dia telah mewujudkan sebuah mazhab baru tanpa bersandar kepada ulama muktabar.

Bagaimana berlaku kesalahan dalam menafsir daripada al-Quran dan hadith dalam sudut hukum? Sanggupkah yang berijtihad diri dalam kapasitui tidak tahu akan ilmu usul menanggung dosa-dosa orang yang telah diajarkannya?

Mengapa Ada Banyak Mazhab?

Banyak orang salah sangka bahawa adanya mazhab fiqih itu bererti sama dengan perpecahan, sebagaimana berpecah umat lain. Sehingga ada dari sebahagian umat Islam yang menjauhkan diri dari bermazhab, bahkan ada yang sampai anti mazhab!

Banyaknya mazhab itu tidak ada kaitannya dengan perpecahan, apalagi permusuhan di dalam tubuh umat Islam. Sebaliknya, banyaknya mazhab dan pendapat itu menunjukkan sangat dinamiknya syariat Islam, serta sangat luasnya wilayah ijithad.

Semakin banyak mazhab sepatutnya kita semakin bangga, bukan semakin sedih. Sebab mazhab itu tidak seperti pecahan-pecahan yang saling bermusuhan. Adanya mazhab-mazhab itu menunjukkan kecanggihan dan keistimewaan syariah Islam.

Analogikan binaan sebuah organisasi yang mempunyai banyak jabatan menunjukkan betapa besarnya jangkauan organisasi tersebut. Ia memudahkan segala urusan dalam memperincikan perkara dan menggambarkan sikap proffesional yang tinggi.

Perbezaan pendapat telah berlaku semenjak Nabi Muhammad SAW masih hidup. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berbeda pendapat dengan para shahabat dalam hasil ijtihadnya, dan pernah ijtihad shahabatnya yang dibenarkan oleh ALLAH SWT.

Penting Untuk Kita Bermazhab

Maka kesimpulan dari jawaban ini ialah, bermazhab itu adalah bentuk paling benar dari slogan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala pandangan yang berbeza terjadi di kalangan pendokong mazhab itu adalah sebuah perkara yang mustahil dihindari. Namun perbezaan itu haram untuk dijadikan dasar perpecahan dan permusuhan, sebaliknya harus menjadi sebuah khazanah kekayaan syariah Islam yang luas dan praktikal.

Maka, sedangkan seorang yang tingkat keilmuannya sudah mendalam seperti Al-Imam al-Ghazali rahimahullah sekalipun tetap berbalik kepada salah satu mazhab yang ada, iaitu mazhab As-Syafi'iyah. Bgaiaman dengan kita? Beliau (Al-Imam al-Ghazali rahimahullah) tetap bermazhab walaupun terbukti kepakarannya mengistimbath hukum sendiri. Begitu juga halnya dengan ulama besar lainnya seperti Al-Mawardi, An-Nawawi, Al-'Izz bin Abdissalam dan lainnya.

Jadi bagaimana pula dengan kita samada mahu bersandar kepada ulama atau ikut nafsu diri….?

Wallahu a'lam bishshawab, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun

9 Jamadilakhir 1429H / 13062008

1028am

http://www.almukminun.blogspot.com/

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"