بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه
::USRAH QIYADIY 1429H::
::TAFSIR SURAH AL-HUJURAT : JUZU’ 26: 49: 10-12::
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah saudara-mara. Oleh itu damaikanlah di antara saudara-mara kamu dan bertaqwalah kepada ALLAH agar kamu dikurniakan rahmat”
(al-Hujurat:10)
Hasil persaudaraan wujud:
Hubungan mesra-keamanan-kerjasama-perpaduan yang menjadi perkara asas dalam masyarakat Islam.
Peperangan dan perbalahan hanya wujud pada permulaan dan pengakhiran sebenar ialah kebaikan dan kemanan.
Dasar persaudaraan dan keamanan berdasarkan Islam dibenarkan untuk memerangi puak yang zalim dan hendaklah mereka dikenakan tindakan yang tegas.
Antara kehendak persaudaraan Islam ialah: puak yang cedera di dalam perang tahkim hendaklah tidak dibunuh, orang yang lari dan membuang senjata jangan dibunuh serta harta benda puak yang zalim tidak diambil. Melainkan mereka diajak untuk kembali kepada Islam.
Dasar masyarakat Islam, apabila seorang Imam dilantik dengan muba’yah, maka jika terdaapt para penderhaka, hendaklah dibunuh dan diperangi.
Sebagaimana yang berlaku dalam Perang Siffin dan Perang Jammal, ada di kalangan para sahabat Imam Ali tidak turut serta berperang seperti: Sa’id, Muhammad Ibn Maslamah, Usamah ibn Za’id dan Abdullah ibn Umar R.A. Mereka melihat peperangan yang berlaku hanya disebabkan fitnah. Selain itu, al-Imam al-Jassas juga berkata mereka mungkin berpendapat “memandang al-Imam Ali itu sudah cukup dengan orang-orang yang ada bersamanya dan tidak lagi memerlukan kepada sahabat-sahabatnya dengan alasan inilah mereka tidak ikut berperang”.
Tetapi, Abdullah ibn Umar R.A ada menyatakan kekesalan tidak turut berperang bersama Imam Ali.
Oleh itu, orang Islam wajib memerangi golongan pemberontak bersama Imam yang tunggal sehingga mereka berjaya menggembalikan Islam dalam keadaan yang yang zalim kembali tunduk kepada hukum ALLAH SWT.
“Wahai orang-orang beriman! Janganlah satu kaum menghinakan satu kaum yang lain kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghina, dan janganlah pula wanita-wanita menghinakan wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang dihinakan itu lebih baik dari wanita yang menghina. Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil di antara kamu dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama ialah nama fasiq sesudah seseorang itu beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang zalim.”
(al-Hujurat:11)
Masyarakat Islam yang tunduk dengan Islam adalah masyarakat bermaruah tinggi. Punyai adab dan sopan santun.
Mereka dilarang dari mengaibkan orang lain. Di dalam ayat tersebut ada dinyatakan mengenai ungkapan halus. Ukuran luaran manusia tidak dapat dinilai oleh akal manusia. Sebagaimana dinyatakan di dalam puisi:
Pelik kita lihat pekerjaan TUHAN
Kita pun tidak tahu hikmah sebenarnya
Tapi kita yakin setiap kerja TUHAN
Mesti berhikmah dan ada pengajaran
Juga kita tidak dapat menyingkap rahsia NYA
Mari kita lihat sedikit kerja TUHAN
Walaupun sedikit tetap ada hikmahnya
Memang pelik dan unik kerja TUHAN
Apabila ALLAH TAALA murka pada seseorang
Didorongnya orang itu berlaku zalim kepada seseorang
Agar dia derhaka dan berdosa
Bila TUHAN cinta pada seseorang
Dia dizalimi oleh seseorang
Maka dia pun mendapat pahala
Untuk menghapuskan dosanya
Begitu juga seseorang yang diberi rezeki secara istidraj
Ertinya mendapat rezeki secara murka
Kemudian dialirkan sebahagian rezeki
Kepada seseorang yang bertaqwa dengan tidak ikhlas
Yang diberi rezeki mendapat pahala kerana dia bersyukur
Anehnya yang memberi tidak mendapat pahala
Yang kena beri pula mendapat pahala
Begitulah seterusnya
Sebagai contoh lagi
Apabila TUHAN murka pada seseorang
Didorongnya orang itu memaki seseorang
Kemudian jika TUHAN cinta seseorang
Dibiarkan dia dimaki oleh orang
Mengapa orang yang ALLAH murka dibenarkan menyusahkan orang
Tapi orang yang dicintai NYA disusahkan oleh orang
Anehnya kerja TUHAN
Kalau kita tidak faham
Mungkin kita menyalahkan TUHAN
Maha Besar NYA, Suci NYA TUHAN daripada melakukan kesalahan
Maha Besar NYA, Suci NYA TUHAN daripada melakukan kesalahan
|Diwani|
Mengaibkan Diri Sendiri
Di dalam al-Quran jelas memperingatkan manusia dengan saranan membangkitkan sentimen yang halus bahawa mereka ibarat satu diri sahaja dan sesiapa yang mencela orang lain bererti dia mencela dirinya sendiri:
“Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri.”
Tilmizu dinyatakan sebagai ungkapan yang tajam.
Rasulullullah SAW telah menggantikan nama-nama yang tidak manis dizaman jahilliyyah dengan nama-nama yang indah.
Kefasiqan dan penyelewengan dari keimanan merupakan sesuatu yang menyerupai perbuatan murtad. Ayat ini seterusnya mengancam perbuatan fasiq dan menganggapkanya perbuatan yang zalim, dan kezaliman itu pula adalah salah satu dari pengungkapan-pengungkapan syirik:
“Barang siapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang zalim.”
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka kerana setengah-setengah prasangka itu berdosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain. Apakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentulah kamu jijikannya. Hendaklah kamu bertaqwa kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Menerima Taubat dan Maha Pengasih.”
(Al-Hujrat:12)
Ayat ini mendirikan pagar kawalan di dalam masyarakat Islam untuk melindungi kehormatan dan kebebasan individu-individu apabila ia mengajar manusia supaya membersihkan perasaan dhamir dengan uslub yang baik.
Ayat ini menyatakan supaya manusia menjauhkan:
“Setengah-setengah prasangka itu berdosa”
Umat Islam perlu menjauhi sebarang prasangka kerana di dalam prasangka itu tidak diketahui yang mana disertai dengan keburukan dan akhirnya membawa dosa. Oleh itu, al-Quran mengingatkan agar dhamir dibersihkan. Apabila dhamir bersih, maka ia bersih dari dicemari sebarang prasangka bahkan menanamkan perasaan mesra di kalangan saudara-saudara se Islam. Malah ia jauh dari perasaan resah dan gelisah. Alangkah indahnya hidup didalam masyarakat yang bersih dari prasangka-prasangka.
Rasulullah bersabda: “Jika engkau menaruh prasangka (terhadap seseorang), maka janganlah engkau membenarkannya.”
[at-Tabrani dan Harithah ibn Nu’man]
Mengintip
Kemudian al-Quran menyebut dasar untuk menjamin kententeraman masyarakat dengan arahan menjauhi berprasangka:
“Dan janganlah kamu mengintip”
Hasil prasangka, ia adalah tindakan mengintip-intip bagi mencari keaiban orang lain. Al-Quran jelas menentang tindakan ini. Tidak ada alasan kepada Muslimin untuk mencari-cari keaiban orang lain dan disebarkan. Sehingga siasatan jenayah keatas seseorang juga tidak dibenarkan untuk dijadikan alasan bagi mengintip.
Tiada seorang pun yang berhak menaruh prasangka buruk atau menduga mereka akan melakukan kesalahan, lalu ia pun mengintip mereka, walaupun ia tahu mereka pernah melakukan sesuatu kesalahan secara sembunyi-sembunyi dan dia hanya berhak menangkap mereka ketika mereka melakukan jenayah itu dan ketika terdedahnya jenayah itu. Di samping itu terdapat pula berbagai-bagai jaminan yang lain yang dinaskan oleh syarak bagi setiap jenayah.
Ujar Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh Abu Bakr ibn Abu Syaibah katanya: Kami telah diceritakan oleh Abu Mu’awiyah dari al-A’masy dari Zaid ibn Wahab katanya: Abdullah ibn Mas’ud datang, lalu ada orang berkata kepadanya: Si polan itu janggutnya menitis dengan arak. Jawab Abdullah: “Kita dilarang mengintip dan mencari kesalahan orang lain, tetapi jika kesalahan itu benar-benar ternampak dengan kita, bolehlah kita menangkapnya.”
Dari Mujahid: “Janganlah kamu mengintip (mencari kesalahan orang lain), ambilah dengan kesalahan yang nampak kepada kamu sahaja dan tinggalkanlah kesalahan yang dilindungi ALLAH.”
Menurut riwayat Imam Ahmad dengan sanadnya dari Dujayn kerani Uqbah katanya” Aku berkata kepada Uqbah: “Kami ada jiran-jiran yang minum arak, aku mahu memanggil mata-mata menangkap mereka.” Jawab Uqbah: “Jangan buat begitu, nasihatkan mereka dan ugut mereka. Kata Dujayn, dia pun berbuat begitu tetapi mereka tidak juga berhenti. Kata rawi: Dujayn pun datang menemui Uqbah dan berkata kepadanya: “Aku mahu memanggil mata-mata menangkap mereka.” Jawab Uqbah: Jangan buat begitu kerana aku mendengarRasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang mukmin, maka seolah-olah dia menghidupkan kanak-kanak yang ditanam hidup-hidup dari kuburnya”
[Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i]
Kata Sufyan ath-Thauri dari Rasyid ibn Sa’d dari Mu’awiyah ibn Abu Sufyan katanya: Aku dengar Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesungguhnya jika engkau mencari-cari keaiban-keaiban orang lain bererti engkau telah merosakkan mereka atau engkau hampir-hampir merosakkan mereka.”
[Riwayat Abu Daud]
Mengumpat
Kemudian datang pula larangan mengumpat melalui ungkapan yang menarik dan indah:
“Janganlah kamu mengumpat satu sama lain. Apakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentulah kamu jijikannya.”
Larangan mengumpat disertakan dengan satu pandangan yang menjijikkan seorang manusia yang mempunyai hati yang paling tebal dan mepunyai jiwa yang paling kebas perasaanya iaitu pemandangan seorang manusia yang memakan daging bangkai saudaranya yang telah mati. Bayangan jijik tersebut digambarkan dengan perbuatan mengumpat.
Kemudian larangan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut disertakan dengan ajakan melakukan segera bertaubat untuk mendapatkan rahmat ALLAH:
“Hendaklah kamu bertaqwa kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Menerima Taubat dan Maha Pengasih.”
Ayat ini sebagai ajakan kepada mengembalikan diri kepada kecintaan dan ketaqwaam kepada ALLAH SWT serta merasakan kejijikan dan kejengkelan melakukan perbuatan yang dilarang Islam.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh al-Qa’nabi, kami telah diceritakan oleh Abdul Aziz ibn Muhammad dari al-‘Ala dari bapanya dari Abu Hurairah katanya: Ada orang bertanya: “Wahai Rasulullah SAW! Apakah ta’rif mengumpat?” Jawab Rasulullah SAW:
“Engkau menyebut perihal saudaramu dengan apa sahaja yang tidak disukainya.”
Kemudian orang iru bertanya lagi: “Terangkanlah kepada kami begaimana jika saudaraku itu mempunyai sesuatu (kecelakaan) yang wajar saya katakan?” Jawab Rasulullah SAW:
“Jika dia mempunyai sesuatu (kecelaan) yang dapat engkau katakan bererti engkau telah mengumpatnya, dan jika ia tidak mempunyai sesuatu (kecelaan) yang dapatengkau katakan beerti engkau telah berdusta terhadapnya.”
[Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan beliau mensahihkannya]
Kata Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh Musaddad, kami telah diceritakan oleh Yahya dari Sufyan, saya telah diceritakan oleh Ali ibn al-Aqmar dari Abu Huzayfah dari Aisyah R.A katanya: “Aku telah berkata kepada Nabi SAW: Cukuplah anda dengan Safiyah (isteri Nabi) yang begitu begini”. (Kata Abu Daud dari Musaddad: Aisyah bermaksud menyindir bahawa Safiyah itu pendek orangnya). Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Anda telah mengeluarkan satu perkataan (yang keji) jika dicampur dengan air lautan nescaya ia akan mengeruhkannya.”
Kata Aisyah: “Aku telah menceritakan kepada Rasulullah SAW perihal seseorang yang lain, beliau menjawab: “Aku tidak suka menceritakan hal orang lain sedangkan aku mempunyai begini begini.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya dari Anas ibn Malik katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Pada masa aku dimikrajkan, aku telah melalui sekumpulan manusia yang berkuku tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu aku pun bertanya: Siapakah mereka, wahai Jibrail? Jawab beliau: Itulah orang-orang yang makan daging manusia dan mengumpat mereka.”
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Rujukan: Terjemahan Oleh ; Yusoff Zaky Haji Yaakob; Kitab Tafsir Fizalil Quran: 1420H, Kelantan
Disediakan Oleh: almukminun
7 Jamadilawal 1429 H / 13 Mei 2008
1 ulasan:
Majlis Pengajian Kitab Bersama al-Fadhil asy-Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki - Bulan Mei 2008 di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya
Tarikh : 11 Jumadil Awwal 1429H / 17 Mei 2008
Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari
Kitab Pengajian: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.
Masa: Selepas Maghrib
Kitab Pengajian: Qawaid Fiqhiyyah (Zubdah al-Qawaid al-Fiqhiyyah)
*********
Tarikh : 12 Jumadil Awwal 1429H / 18 Mei 2008
Masa: 9.30 pagi – 12.30 tengahari
Kitab Pengajian: Kitab Hadits Riwayat 10 Shahabat – Jilid 2 dan Nashihat Agama dan Wasiat Iman.
Muslimin dan Muslimat di jemput hadhir
Catat Ulasan