::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label Liberal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Liberal. Papar semua catatan

Rabu, 26 Januari 2011

PEMBELA : BEBERAPA CATATAN DAN PEMBETULAN FAKTA


PEMBELA
Beberapa catatan DAN PEMBETULAN Fakta



Saya merasa terpanggil untuk menulis beberapa aspek tentang sejarah penubuhan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sebagai respons terhadap beberapa tanggapan sinis terhadap gagasan tersebut. Sangat memeranjatkan apabila tanggapan sedemikian rupa datangnya daripada mereka yang mengaku sebagai aktivis gerakan Islam, dan membiarkan sikap taksub pada politik kepartian mereka menafikan peranan PEMBELA sebagai rangkaian perjuangan umat Islam di Malaysia serta gagasan murni yang melangkaui sebarang kepentingan politik kepartaian demi mempertahankan kesejahteraan aqidah umat Islam.




Jelas kedapatan beberapa kenyataan yang tidak bersifat objektif serta emosional terhadap tulisan Hj. Zainur Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di dalam akhbar Berita Harian (Isnin, 24 Januari 2011) tentang keperluan untuk mewujudkan semula PEMBELA sebagai rangkaian alternatif NGO Islam dalam memperjuangkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai salah seorang pimpinan kanan ABIM pada ketika itu, yang turut terlibat merencana serta mewujudkan PEMBELA bersama-sama dengan Yusri Mohamad, Presiden ABIM ketika itu, Hj. Zainur Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia ketika itu, dan ramai lagi rakan-rakan pimpinan NGO Islam lain, saya fikir elok sekiranya saya merakamkan beberapa fakta berkenaan PEMBELA dan mengapa kita perlu bersungguh-sungguh merealisasikan semula peranan PEMBELA di dalam menghadapi situasi ancaman terhadap aqidah umat Islam yang semakin getir akhir-akhir ini.




Tulisan ini berdasarkan maklumat yang dibincangkan secara panjang lebar di mesyuarat khas Peguam-peguam Muslim Malaysia dan Organisasi Kerajaan Dan Bukan Kerajaan (NGO) pada 12-Julai-2006 di Bilik Mesyuarat Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Damansara. Fakta-fakta yang terkandung dalam tulisan ini diringkaskan berdasarkan pada kupasan kes Murtad Azlina Jailani (Lina Joy) yang dibincang di hadapan peguam-peguam Muslim Malaysia dan organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang hadir pada taklimat tersebut, serta berdasarkan pada kupasan kes yang telah dibentang dan dibincangkan bersama rakan-rakan peguam Muslim di sepanjang berlangsungnya kes perbicaraan Azlina Jailani tersebut.




LATAR BELAKANG YANG MEMBAWA PADA PENUBUHAN PEMBELA




Bangsa Melayu khususnya di Malaysia, adalah satu-satunya bangsa di dunia yang menyediakan definisi yang jelas di dalam perlembagaan untuk mentakrifkan definisi istilah “Melayu” serta skop yang mencakupi istilah tersebut. Tidak ada definisi yang sama dibuat untuk mana-mana bangsa lain, di Malaysia atau di dunia. Dalam menafsirkan istilah tersebut, seseorang diiktiraf sebagai seorang “Melayu” apabila memenuhi tiga ciri penting yang telah dipersetujui di dalam mendefinisikan perkataan Melayu, iaitu; Bercakap Melayu, Beramal dengan budaya Melayu dan seorang yang penganut agama Islam. Pada hakikatnya Islam dan Melayu mengikut definisi Perlembagaan Persekutuan sama sekali tidak boleh dipisahkan.



Aspek ini mempunyai kedudukan yang sangat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi suatu undang-undang di Malaysia untuk Melayu tidak dibenarkan meninggalkan Islam, dan Melayu dan bangsa lain yang menganut agama Islam adalah tertakluk di bawah syariat Islam dan perundangan Mahkamah Syariah di Malaysia.




AZLINA JAILANI @ LINA JOY SEBAGAI PENCETUS GERAKAN PENUBUHAN PEMBELA



Kes yang melibatkan seorang wanita Melayu bernama Azlina Jailani, pernah ditukar kepada Azlina Lelani, dan sekarang berdaftar sebagai Lina Joy untuk menafikan nama Islam yang terdahulu. Beliau berbangsa Melayu keturunan Jawa, berumur 40- an dan telah mendakwa tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990, mempunyai sijil Baptis yang dikeluarkan pada 11-May-1998, dan pada tahun 2000 menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau.




Selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau memohon untuk pendaftaran perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan sebab di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beragama Islam.



Beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara. Permohonan sejak tahun 2000 untuk memadamkan perkataan “Islam” di dalam kad pengenalan beliau tetapi tidak dibenarkan oleh JPN disebabkan tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah yang membenarkan beliau keluar Islam.



Mahkamah Syariah mengguna pakai undang-undang Islam yang tidak membenarkan seseorang Muslim keluar dari Islam (Murtad), dan Sijil Penukaran Agama (Murtad) seperti yang dikehendaki oleh JPN tidak dapat dikeluarkan.




Permohonan bermula di Mahkamah Tinggi, seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 13-April-2006, dan semua peringkat Mahkamah mengiktiraf bahawa kes tersebut adalah dalam kuasa Mahkamah Syariah. Setelah semua permohonan tidak berjaya, kes di rayu ke Mahkamah Persekutuan oleh barisan peguambela Lina Joy.



Kes telah didengar oleh tiga orang Hakim (2 Muslim dan 1 bukan Islam) pada dasarnya berpendirian yang sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan, sehinggalah Majlis Peguam yang hanya menjadi barisan peguam pemerhati beserta banyak lagi NGO yang menyokong Lina Joy meminta keizinan Mahkamah untuk memberi hujah dan bersuara, dan dibenarkan oleh Hakim yang terlibat.




Detik tersebut adalah permulaan isu ini dibesarkan yang mana tidak pernah dalam sejarah perundangan negara peguam pemerhati dibenarkan berhujah di dalam Mahkamah.




Hujah yang dibawa oleh barisan peguam pemerhati yang diketuai oleh Majlis Peguam tersebut melarikan isu utama kes berkenaan daripada hak dan kuasa Mahkamah Syariah tetapi mengemukakan hujah bahawa Lina Joy berhak untuk mempraktikkan kepercayaannya dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai hak individu seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.




Isu yang diperjuangkan oleh kesebelas NGO bukan Muslim atas nama kumpulan Artikel 11 dan berada di belakang rencana jahat penggagasan Inter-Faith Commission (IFC) adalah untuk menafsirkan perkataan "person" (individu) yang terkandung di dalam Artikel 11 tersebut untuk merujuk kepada individu as per say, bukan lagi kumpulan atau agama secara umumnya.



Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia percubaan yang sebegitu berani yang dilakukan untuk menafsirkan istilah tersebut untuk menguraikan ikatan Islam mengikut kefahaman peribadi seseorang penganut itu sendiri, dan menafikan hak Islam sebagai agama untuk mewajibkan umatnya mempraktikkan amalan dan syariat Islam seperti yang terkandung dalam undang-undang Islam.



IMPLIKASI DARI TAFSIRAN "INDIVIDU"




· Orang Islam dibenarkan meninggalkan Islam pada bila-bila masa sahaja, walaupun mengakui mereka adalah Melayu pada bangsanya. Ini bermakna Melayu di Malaysia bukan lagi terikat dengan agama Islam seperti yang telah digazetkan dalam perlembagaan;




· Apabila definisi "person" didefinisikan sebagai hak individu, maka agama Islam boleh ditafsirkan mengikut kefahaman individu sendiri tanpa ada undang-undang Islam yang boleh mengawalselia;




· Kesalahan syarie oleh seorang Muslim tidak boleh diambil tindakan disebabkan undang Syariah sudah tidak relevant. Sebagai contoh, solah boleh dilakukan mengikut sedap hati mengikut rakaat solah yang difahami sendiri, puasa dalam Ramadhan boleh ditinggalkan apabila membuat deklarasi “bukan Islam” pada bulan itu tanpa boleh diambil tindakan;




· Semua badan-badan Islam tidak relevan lagi dalam perundangan semasa, sebab hak mempraktikkan secara individu diperjuangkan.




· Raja-raja Melayu hilang kuasa sebagai benteng dan simbol agama.Kanak-kanak apabila masuk umur 18 tahun, ibu bapa akan terus hilang kuasa untuk menetapkan agama dan fahaman mereka, dan tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang memaksa anak mereka mengamalkan Islam;



· Perukunan Islam pada dasar sudah tidak sah disebabkan tiada satu pun akta-akta berkaitan Solat, Zakat, Haji dan aspek lain yang mengikat seseorang Muslim di dalam perlembagaan.




MENGAPA KES LINA JOY?



Mereka yang berselindung di sebalik kes Lina Joy mengambil kesempatan dalam kekalutan semasa umat Islam di dunia dan di Malaysia khususnya yang dilihat lemah dan dirasakan tidak ada keupayaan untuk mempertahankan Islam. Tindakan pihak-pihak tersebut telah menyalahgunakan saluran mahkamah sivil untuk menafikan kedudukan istimewa Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.



Kes ini pada dasarnya adalah rentetan daripada tuntutan 14 perkara yang menjadi asas pada desakan menubuhkan Inter-faith Commssion (IFC), serta desakan kumpulan “Artikel 11” yang pernah cuba berkumpul di Pulau Pinang pada 14-Mei-2006 yang menuntut kepada pemerintah untuk membenarkan sepenuhnya kebebasan Murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, setelah kekalahan mereka untuk kes Mohamed Abdullah @ Moorthy, S. Sharmala dan Nyonya Tahir.




Amat mendukacitakan sekali apabila kumpulan Artikel 11 yang juga bersekongkol dengan gagasan Inter-Faith Commission (IFC) disertai oleh beberapa individu Melayu dan Islam termasuklah Sisters-in-Islam, yang digerakkan oleh pemimpin-pemimpin dan sekutu pemimpin-pemimpin negara yang Beragama Islam.




Kes Lina Joy adalah percubaan yang boleh memberikan kesan yang amat besar yang mana ia mencabar undang-undang Syariah oleh Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan, samaada dipinda atau dihapuskan sepenuhnya.



Berikutan kes Lina Joy, maka terlalu banyak kes-kes permohonan Murtad dan sebagainya yang telah lama menunggu dan sedang menunggu, dan kejayaan dari kes ini akan membenarkan banyak permohonan untuk keluar Islam akan dibenarkan oleh perlembagaan.




Kes ini menjadi perhatian penuh organisasi dan individu bukan Islam seluruh dunia, dan seluruh negara-negara besar didunia menghantar wakil untuk memberikan tekanan yang besar ke atas hakim dan sistem perundangan negara yang amat lemah untuk membela aqidah seorang rakyat Islam.



Sebagai contoh, The Becket Fund for Religious Liberty (www.becketfund.com) menyenaraikan dengan jelas fakta kes dan bagaimana organisasi ini menjadi salah satu dalang yang membela permohonan murtad ini dan bersama-sama pelbagai pertubuhan hak asasi manusia sedunia yang mendokong usaha menyerang Islam dan didukung oleh pelbagai NGO hak asasi manusia, serta segelintir pemimpin dan parti politik di Malaysia.



Di Malaysia pula 11 NGO dan organisasi menghantar wakil ke Mahkamah Persekutuan untuk memberi tekanan kepada Hakim yang terlibat setelah mereka dibenarkan bersuara untuk membela Lina Joy, antaranya Majlis Peguam (Bar Council), Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha dan Sikh, National Council of Women Organization, All Women Action Society, Sisters in Islam, Women Health Organization, Women Council of Change, Women Development for Change, Pergerakan Hak Asasi Rakyat Malaysia (Suaram).



TINDAKAN PENUBUHAN PEMBELA



Pada waktu tersebut, memandangkan kes ini hanya mempunyai tempoh 6 minggu sebelum diputuskan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dari tarikh 04-Julai-2006, maka tindakan segera telah diputuskan untuk diambil oleh segenap lapisan masyarakat Islam, antara keputusan jangka masa pendek yang telah dicadang dan dipersetujui akan diusahakan secepat mungkin adalah;



Penubuhan segera kumpulan Peguam Pembela Islam (PPI) yang diketuai oleh Peguam Zainur Zakaria, untuk melakukan bantahan kepada Majlis Peguam di atas keputusan beberapa ahli jawatankuasa eksekutif untuk menyokong kes Lina Joy secara terbuka;



Isu secara langsung menunjukkan seolahnya Majlis Peguam menjadi dalang utama kes ini setelah mereka menyatakan sokongan penuh kepada kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan, sedangkan tidak pernah mendapat mandat tersebut daripada badan dan ahli Majlis Peguam yang dilantik. Untuk rekod, ahli-ahli daripada kalangan peguam Muslim membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan keahlian Majlis Peguam.



Majlis Peguam juga telah menjadi pemangkin kepada tindakan berani pelbagai pertubuhan NGO Hak Asasi Manusia/bukan Islam untuk mengajar orang-orang Islam untuk bagaimana mengamalkan Islam di Malaysia.



Mesyuarat tersebut juga telah membuat keputusan untuk mendesak suatu mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam diadakan untuk membantah dengan mendapat tandatangan lebih 200 peguam Islam yang hadir dalam perjumpaan 12-Julai-2006 untuk menghalang Majlis Peguam daripada menyebelahi Lina Joy dalam kes beliau.



Mesyuarat tersebut juga telah melantik beberapa ahli jawatankuasa, serta mengusulkan supaya suatu gabungan NGO Islam yang lebih besar dan merangkumi sebanyak mungkin NGO Islam di Malaysia dari segenap lapisan masyarakat diwujudkan. Pertemuan selanjutnya untuk kupasan serta pelan tindakan telah diadakan pada. Ahad 16-Julai-2006, 02.30pm di Anjung Rahmat, Ibu Pejabat ABIM di Jalan Gombak untuk merangka pelan strategi oleh seluruh NGO dan organisasi Muslim dan Malaysia. Pada pertemuan tersebut, lebih dari 70 organisasi Islam Bukan Kerajaan telah sepakat menubuhkan PEMBELA sebagai salah satu gabungan NGO Islam yang khusus untuk menangani masalah murtad serta lain-lain cabaran yang dihadapi umat Islam di Malaysia.



Diantara tindakan-tindakan yang telah diadakan oleh PEMBELA bagi menangani isu tersebut ialah mewujudkan satu laman web menjadi rujukan kepada fakta kepada kes ini. Suatu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh Peguam Pembela Islam untuk mendesak semua pihak yang terlibat untuk menghormati undang-undang dan menafikan penglibatan Majlis Peguam di dalam membela kes Lina Joy.



Forum Shariah dan Isu Semasa yang dianjurkan PEMBELA telah berlangsung pada 23-Julai-2006 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur dan mendapat sambutan luar dugaan dan melebihi ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur. Forum tersebut telah menggagaskan resolusi berikut:



1. Kami, yang berkumpul di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari ini untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem Syariah di Negara ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan dengan berselindung di sebalik nama Kumpulan sekular ini tidak mendapat sokongan bagi membawa agendanya di kalangan besar masyarakat Malaysia, perjuangan mempertahankan hak-hak asasi.



2. Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun lalu di mana Syariah diterimapakaikan di dalam kehidupan individu dan masyarakat di negara kita. Kami juga bimbang dengan ruang yang diberikan kepada usaha-usaha negatif ini dalam media masa tempatan dan antarabangsa walaupun pandangan ini hanya merupakan suara-suara terpencil dan pinggiran berbanding dengan faham dan penghayatan majoriti umat Islam



3. Kita bimbang mungkin usaha negatif ini didalangi oleh unsur-unsur luar negara yang berhasrat melumpuhkan Islam. Situasi ini pasti akan bertambah buruk jika pandangan-pandangan liar ini turut dilayan oleh pihak-pihak yang berwewenang dalam negara kita. Sekiranya masyarakat Islam tidak cukup prihatin dan peka terhadap perkembangan ini mereka akan terus menyalah-gunakan saluran perundangan untuk mencapai matlamat mereka. Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Wilayah untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 23 Julai 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:



i. Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.



ii. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.



iii. Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.


iv. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.



v. Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi melalui roadshow (majlis penerangan ) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.



vi. Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (mainstream) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai Islam.



vii. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.



viii. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.



ix. Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha barat dan badanbadan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.



x. Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.



xi. Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40 peratus dari jumlah keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.




Susulan Forum tersebut dan pelbagai kempen di masjid dan surau, jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Muslim di Malaysia, PEMBELA juga telah berjaya mengumpulkan lebih setengah juta tandatangan umat Islam untuk membantah sebarang percubaan untuk merendahkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui kes-kes di Mahkamah Sivil.




Memorandum beserta tandatangan tersebut di serahkan kepada Majlis Raja-raja melalui pejabat Penympan Mohon Besar Raja-Raja. Tandatangan yang dikepil dalam salinan beberapa jilid buku bertajuk 'Tandatangan Sokongan Rakyat Mempertahan Kesucian Islam' itu diserah oleh Yusri Mohamad, Pengerusi PEMBELA merangkap Presiden ABIM ketika itu, kepada wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Dato' Sabtu Awab di pejabatnya jam 11.00 pada 29 September 2006. Turut hadir ialah, Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Mohd Munir; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Dato' Mustapha Ma; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Hj. Zainur Rijal Abu Bakar; Pengerusi Yayasan Pembangunan Ummah, Anuar Tahir, Wakil Peguam Pembela Islam (PPI), Kamar Ainiah Kamaruzzaman serta lain-lain pimpinan NGO Islam.




Saya perlu tegaskan di dalam tulisan ini bahawa PEMBELA tidak didalangi sebarang kepentingan, khususnya yang bersifat politik kepartaian. Rentetan sejarah dan umat Islam menjadi saksi pada hakikat ini. Pelbagai perkembangan telah berlaku hingga ke saat ini, yang menzahirkan keperluan untuk kembali memanfaatkan peranan PEMBELA di dalam perjuangan mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kes Lina Joy, walaupun telah memihak pada kepentingan umat Islam, hanya merupakan sekelumit dari cabaran-cabaran yang wujud sebagai ancaman yang menggugat aqidah umat Islam.




Saya bersetuju dengan tulisan Hj. Zainur Rijal, bahawa umat Islam perlu diberi kesedaran terhadap ancaman dan bahaya yang terbit daripada kekeliruan mereka menyebarkan fahaman merosakkan ajaran Islam ditunjangi ajaran liberalisme, pluralisme, sekularisme dan literalisme agama sama ada melalui individu tertentu ataupun organisasi.




Apatah lagi, kita melihat kecenderungan sesetengah NGO Islam untuk tidak membuat pendirian jelas mengenai isu-isu serius dan besar melibatkan aqidah umat Islam akhir-akhir ini. Tidak pasti samaada mereka ini khayal diulit dengan nostalgia lampau, atau terlalu mendewa-dewakan bekas pemimpin mereka yang kini saban hari mengimpikan tampuk kekuasaan politik, sehinggakan sebarang teguran berkaitan isu ancaman aqidah umat dipandang sebagai tidak beradab.




Yang pasti, pihak NGO Islam perlu sedar bahawa perjuangan mempertahankan aqidah umat Islam ini pada hakikatnya sentiasa berdepan dengan mereka yang buta hati terhadap realiti sebenar perjuangan islam. Sejajar dengan hasrat teman-teman lain yang memimpin NGO-NGO Islam, adalah menjadi harapan saya agar PEMBELA ini dapat dijadikan gagasan penengah (wasit) yang berwibawa yang dapat bertindak sebagaimana yang dinukilkan Hj. Zainur Rijal, sebagai “perantara pada pelbagai permasalahan wujud dalam kalangan umat Islam bagi mengukuhkan panji ahlul sunnah wal jamaah dalam akidah, syariah dan akhlak.”





Azril Mohd Amin
Naib Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
dan
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI)

Chua Soi Lek & Lee Kuan Yew : Rakyat Malaysia Bukan Islam Jangan Terpengaruh.








Kenyataan Media (26hb Januari 2011)
Rakyat Malaysia Bukan Islam Jangan Terpengaruh Dengan Chua Soi Lek dan Lee Kuan Yew.





Dalam sehari dua ini, ketenteraman hubungan antara rakyat Malaysia berbagai agama telah diganggu oleh kenyataan Dato’ Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA dan beberapa pemimpin politik bukan Islam lain yang sedang berkempen dalam kempen pilihanraya kecil Tenang, Johor Darul Takzim.







Kenyataan-kenyataan mengkritik dan menyalahkan sikap calon wanita Muslimah yang enggan bersalaman dengan lelaki yang bukan Muhrim tanpa berlapik sarung tangan adalah kenyataan yang membayangkan kejahilan tentang hukum Islam dalam isu tersebut. Ia juga membayangkan ketidak-pekaan terhadap perasaan umat Islam dan keberanian melulu dalam mencampuri urusan dalaman agama lain.





Dalam kes yang berbeza tetapi ada persamaannya, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pula membuat komentar negatif terhadap komitmen penganut Islam di Singapura yang majoritinya berbangsa Melayu. Beliau memberi gambaran seolah-olah kuatnya pegangan penganut Islam dengan agama mereka menjadi penghalang kepada intergrasi kaum dan perpaduan negara.






Oleh kerana kenyataan ini dibuat di negara jiran terdekat yang punya kaitan sejarah dengan negara kita, adalah wajar kenyataan yang ‘beracun’ ini turut disanggah oleh kita di Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa dalam konteks Singapura mahupun Malaysia malah mana-mana negara sekalipun, kuatnya pegangan agama rakyat beragama Islam dengan agama mereka, secara benar dan suci dari penyelewengan, tidak akan menjadi faktor penghalang kepada integrasi dan pembinaan negara-bangsa.






Pada asasnya, seorang Muslim yang baik akan menjadi seorang warganegara yang juga baik dan kurang bermasalah. Lebih komited dan faham seseorang Muslim itu dengan agamanya maka lebih baiklah beliau sebagai rakyat, jiran dan teman kepada rakyat yang lain. Lainlah kalau komitmen itu berbaur dengan fahaman Islam yang ekstrim atau menyeleweng. Dengan membuat kenyataan seperti itu, Lee Kuan Yew sebenarnya secara tak langsung telah menuduh Islam sebagai agama yang pincang atau bermasalah. Kenyataan bersifat menyerang ajaran agama lain ini tidak boleh dibiarkan tanpa sanggahan.





Alhamdulillah, beberapa Pertubuhan Islam dan tokoh-tokoh Islam telahpun mengeluarkan kenyataan dan komentar membantah kenyataan–kenyataan yang mencemarkan imej Islam tersebut. Mewakili pertubuhan-pertubuhan dibawah serta di atas kapasiti peribadi, saya menyokong penuh sanggahan dan penjelasan teman-teman pimpinan pertubuhan dan umat Islam tersebut.






Semoga teman-teman kita di kalangan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam adalah lebih peka dan bijaksana daripada terikut-ikut dengan kenyataan-kenyataan liar tersebut. Bagi Lee Kuan Yew, Dato’ Seri Chua Soi Lek dan mereka yang telah mengeluarkan kenyataan yang serupa, jika mereka telah sedar kesilapan yang telah mereka lakukan maka buktikanlah kebesaran jiwa kepimpinan mereka dengan mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf.






InsyaAllah, agama kami mengajar kami untuk memaafkan mereka yang mahu mengaku kesilapan dan memohon maaf.




Dr. Yusri bin Mohamad





Yang Di Pertua Yayasan Sofa
Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia
Presiden Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selasa, 28 Disember 2010

Ancaman Pluralisme Agama : Satu Tinjauan Awal / Dr. Yusri Mohamad


Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia : Satu Tinjauan Awal

Oleh:
Dr. Yusri bin Mohamad



BismiLlahirrahmanirahim, AlhamduliLlahi Rabbil `Alamin wa bihi Nasta`in, Wassolatu wassalamu `ala Sayyidina wa Habibina Muhammadinilamin wa `ala Aalihi wa Sohbihi Ajma`in.




Muqaddimah, Definisi dan Premis Asas




Tulisan ini adalah catatan ringkas pengamatan awal penulis di sekitar tajuk yang dikirakan sudah cukup jelas dan terang maksudnya. Pun begitu, adalah dirasakan perlu makna beberapa istilah di dalam tajuk tersebut tetap diteliti kerana mungkin masih terdapat percanggahan tanggapan yang akhirnya menyukarkan kita mencapai suatu kesimpulan dan persetujuan, semata-mata kerana berbeza dalam mendefinisikan istilah. Sedangkan para hukama sudah sekian lama menegaskan kaedah bahawa, “Tidak wajar bertelingkah semata-mata kerana berbeza memahami istilah” (La Mushaahata fi al-Istilah).




Merujuk kepada tajuk kita, jika istilah-istilah kuncinya tidak diperjelaskan, berkemungkinan besar kita tidak akan mampu bersetuju bahawa apa yang akan dibentangkan sebagai realiti-realiti yang wujud di Malaysia sudah pun memenuhi apa yang disebut sebagai ‘Pluralisme Agama’ dan sudah pun mencapai tahap suatu ‘ancaman’.




Kata-kunci pertama yang perlu dihuraikan adalah kalimah ‘Pluralisme Agama’. Oleh kerana kertas-kertas awal dalam Wacana ini telah menjurus kepada perbahasan teori dan konsep ‘Pluralisme Agama’ maka tidak perlulah lagi kita mengulangi perbahasannya di sini dan rujukan bolehlah dibuat terus kepada kertas-kertas tersebut. Memadailah buat penegasan, kita memetik pandangan seorang pengkaji yang menekuni isu ini, Dr. Anis Malik Toha, yang mengingatkan kita bahawa,




“Yang perlu digaris-bawahi di sini adalah bahwa bagi kalangan pluralis sejati, Pluralisme pada umumnya dan Pluralisme Agama pada khususnya bukanlah sekadar toleransi belaka, sebagaimana yang jamak di(salah)fahami oleh kalangan pentaklid pluralis. Penekanan Pluralisme lebih pada “kesamaan” atau “kesetaraan” (equality) dalam segala hal, termasuk “beragama”. Setiap pemeluk agama harus memandang sama pada semua agama dan pemeluknya. Oleh kerananya, sejatinya pandangan ini pada akhirnya akan menggerus konsep keyakinan “iman-kufur”, “tawhid-syirik”, dalam sangat sentral dalam agama Islam.”




Beliau kemudian merumuskan beberapa ciri asasi faham ini iaitu :




1. Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk



2. Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.




3. Relativisme. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.




4. Reduksionisme. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan pribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.




5. Eksklusivisme. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme.




Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakikatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajemukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahwa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.”





Kita juga merasakan, ada satu lagi kata-kunci yang turut perlu ditakrifkan iaitu kalimah ‘Malaysia’ itu sendiri. Mungkin kenyataan ini mengejutkan sesetengah pembaca, tetapi kita merasakan bahawa salah satu punca utama perbezaan sikap terhadap beberapa isu yang terkait dengan agama dan bangsa di negara kita berbalik kepada tanggapan yang berlainan terhadap makna dan hakikat sebenar ‘Malaysia’ atau ‘Ke-Malaysiaan’ itu sendiri. Kita hanya boleh berlaku adil terhadap isu-isu seperti kebebasan beragama, pluralisme agama, ketuanan Melayu atau seumpamanya, jika kita membincangkannya dengan berakar kepada realiti khusus Malaysia.




Secara ringkas, kita tegaskan bahawa ‘Malaysia’ adalah sebuah negara yang beragama dan agamanya adalah Islam. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah syahadah rasminya yang telah pun dilafazkannya ketika Islam mula sampai ke perpantaiannya. Namanya, iaitu ‘Malaysia’ pula, berakar-umbikan kalimah ‘Melayu’ seperti yang lebih jelas dalam nama asalnya iaitu ‘Tanah Melayu’ atau ‘Kepulauan Melayu’ kerana memang tanah dan kepulauan rantau ini ada penduduk asalnya iaitu kaum Melayu, termasuklah semua kerabat pecahannya. Seperti mana benua India, Afrika, Tanah Arab dan Tanah Besar Cina yang semuanya ada kaum penduduk asalnya yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Pencipta. Malaysia berbeza dengan Australia, Amerika Syarikat atau yang lebih dekat Singapura. Adalah kurang bermanfaat malah berbahaya kalau Malaysia hendak mengikut acuan yang tidak serasi dengan hakikat dirinya.





Kesan dan Implikasi Faham Pluralisme Agama




Jika telah jelas kepada kita bahawa Pluralisme Agama adalah suatu faham yang menyeleweng daripada asas Islam, wajar pula kita meneliti kesan dan implikasinya dalam konteks Malaysia secara khusus.




1. Implikasi Aqidah




Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati-diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas dalam hal aqidah berbanding aspek lain.




Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani, kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi aggresif masyarakat Islam. Pihak yang berwewenang, setakat ini, nampaknya masih bertahan dengan tafsiran dan perlaksanaan undang-undang yang lebih menutup pintu murtad.




Disuatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak. Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Bezanya, Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta dengan imej faham Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah dan menyesatkan.





2. Implikasi Keutuhan Umat




Jika kita sudah berkompromi dalam bab aqidah maka keutuhan umat sudahpun terhakis dan kita telah menempah kebinasaan. Kalaupun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan, lambat laun Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di tengah-tengah tubuh Umat. Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat akan terpecah kepada dua puak yang mungkin sahaja ketajaman perselisihannya itu lebih tajam berbanding dengan perselisihan politik kepartaian. Malah sudah nyata bahawa pendokong parti politik yang sama pun boleh jadi terjauh hati dan berpecah-belah akibat gejala Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran Umat yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia.




3. Implikasi Sosio-politik




Susulan dan terkait dengan implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila kecemburuan umat Islam di Malaysia terhadap agama dapat dicairkan melalui faham ini, maka agama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan dirobohkan. Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama. Merongkai formula yang sudah terbukti ini bererti merongkai ikatan yang selama ini mengikat kesebatian masyarakat.




Pendek kata, Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, kalau pun Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, di Malaysia ia adalah racun yang membunuh.




Aliran Pemikiran Berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia




Adalah lebih memudahkan kita mendapat gambaran yang jelas tentang Pluralisme Agama di negara ini jika kita dapat mengenal-pasti terlebih dahulu tren atau kecenderungan pemikiran yang ada dan bergerak dalam konteks Malaysia. Sesudah mengenali lebih dekat madrasah-madrasah pemikiran ini kita akan turut meninjau isu-isu spesifik berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia yang ditimbulkan oleh mereka.




1. Madrasah Arus Perdana Umat




Umat Islam yang berpegang kepada tafsiran para ulama muktabar dalam menangani persoalan. Jika ada lebih daripada satu pandangan atau khilafiyah maka mereka ini akan sedia untuk mengikut pandangan yang dipilih oleh pihak autoriti agama dalam negara atas kaedah (Hukm al-Hakim Yarfa` al-Khilaf). Misalnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.




2. Madrasah Arus Pinggiran Umat




Dari kalangan umat Islam yang tidak suka merujuk kepada khazanah warisan atas alasan mahu membebaskan diri dari kongkongan dan kejumudan atau alasan yang senada dengannya. Mereka mungkin berimej Islam, berlatarbelakang aktivis Islam ataupun masih aktif dalam parti berimej Islam tetapi telah terpengaruh dengan ideologi dan fahaman yang tidak selari dengan Islam.




3. Madrasah Arus Luaran




Dari kalangan orang Islam atau orang bukan Islam yang tidak yakin dengan Islam sebagai cara hidup dan lebih terbudaya dengan gaya hidup bukan Islam.




Boleh juga dikatakan terdapat kategori ke empat, iaitu kes-kes berbau Pluralisme Agama yang terjadi tanpa disengajakan atau disedari terutama di kalangan orang awam. Kategori ini tidak didorong oleh ideologi yang khusus tetapi semata-mata tunduk kepada tuntutan kehidupan bermasyarakat atau berpolitik dalam sebuah negara majmuk seumpama Malaysia.




Isu-isu dan Gejala Pluralisme Agama di MalaysiaKalaupun suara Pluralisme Agama di negara kita tidak selantang di negara lain seperti di Indonesia misalnya, sebenarnya terdapat di sana sebaris isu-isu yang sebenarnya berakarkan atau terbaur dengan faham ini.




1. Isu murtad dan cinta rentas Agama.




Merujuk kepada kes-kes mendokong usaha pemurtadan umat Islam termasuk melalui tindakan mencabar melalui mahkamah. Turut mempengaruhi segelintir orang Islam. Dalam menyokong murtad atas nama kebebasan beragama, seseorang Muslim boleh terlanjur memperkecilkan kesalahan menukar agama serta mencairkan kebencian terhadap kekufuran.




2. Penubuhan IFC (Interfaith Commission / Suruhanjaya Antara Agama)




Merujuk kepada usaha penubuhan platform dianggotai wakil pelbagai agama secara sama rata bagi menangani pelbagai isu-isu hubungan antara agama. Tuntutan-tuntutan di sebalik penubuhan IFC ini melibatkan usaha menyamakan kedudukan dan hak agama-agama lain agama Islam.




3. Perkongsian Perayaan dan Acara Keagamaan.




Merujuk kepada penganjuran majlis-majlis sambutan hari-hari kebesaran agama secara bersama. Juga penyertaan orang-orang Islam khususnya pemimpin-pemimpin Muslim dalam acara keagamaan di rumah-rumah ibadat agama lain. Boleh terlibat kepada pengiktirafan dan turut memakmurkan kekufuran dan kebatilan. Juga mencairkan kebencian terhadap kekufuran.




4. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.




Merujuk kepada persoalan sama ada para penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan atau sembahan dalam agama mereka. Selain berupakan pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan adab terhadapNya, boleh meleburkan garis-garis pemisah antara Islam dan agama-agama lain.5. Isu pengharaman Yoga bagi umat Islam.




Merujuk kepada Fatwa Kebangsaan mengharamkan penglibatan orang-orang Muslim dalam senaman Yoga kerana ada unsur-unsur agama lain di dalamnya. Boleh meleburkan pemisahan antara Islam dan agama lain.




6. Mengucapkan salam kepada bukan Islam.




Amalan mengucapkan salam Islam kepada orang bukan Islam. Salam merupakan doa keselamatan dan kesejahteraan yang hakikatnya tidak selari dengan kekufuran dan kebatilan yang ada pada diri mereka. Tanpa menafikan adanya perbezaan pandangan dalam hal ini.




7. Penggunaan ayat-ayat al-Quran dan Hadis oleh orang bukan Islam dalam ucapan-ucapan politik.Merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam membaca dan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadis serta mengulasnya mengikut kefahaman mereka. Boleh membawa gambaran bahawa agama-agama yang berbeza itu berkongsi-kongsi dan berbahagi-bahagi dalam kebenaran.




Selain isu-isu di atas dan yang seumpamanya, Pluralisme Agama juga muncul dalam bentuk gejala-gejala tertentu terutamanya pada kecenderungan sesetengah pemimpin dan tokoh masyarakat beragama Islam untuk membawa mesej Pluralisme Agama dalam ucapan mahu pun tindakan mereka. Nampaknya kecenderungan ini wujud merentasi batas politik kepartian, kerajaan mahupun pembangkang.




Contohnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu ucapannya bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World” pada 18 Mac 2010 di London School of Economics ada mengatakan:




“... it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations.” (underline added)
(…adalah suatu realiti dunia hari ini bahawa sesetengah kumpulan agama percaya bahawa hanya aqidah tertentu yang mampu mencapai keselamatan di Akhirat. Sikap eksklusif sebegini, malangnya dikongsi merentasi pelbagai agama dan mazhab dalaman agama.) (garis bawah ditambah)




“Back in the 13th century, the mystical poet Jalaluddin al-Rumi wrote in the Masnawi:The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”(Penyair Sufi , Jalaluddin al-Rumi menulis dalam Mathnawinya, “Lampu-lampunya berbeza tetapi mengeluarkan cahaya yang sama yang datang dari alam lain. Kalau kamu menumpukan hanya pada lampu, kamu akan keliru)
“I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:




We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.” (underline added)




(Saya percaya bukan saya seorang yang mengatakan bahawa untuk Pluralisme Agama berkembang subur dalam dunia berpecah-belah, adalah salah secara moral jika kita mengatakan kepada penganut agama lain :



Kami beriman dengan Tuhan kami dan kami percaya kami lah yang benar , kamu beriman dengan Tuhan kamu tetapi kepercayaan kamu itu salah.) (garis bawah ditambah)





Di pihak kerajaan pula kita perhatikan kecenderungan pendekatan meraikan acara keagamaan agama lain seperti penyertaan YAB Perdana Menteri dan isteri beliau dalam sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves atau acara sambutan bersama hari besar agama-agama (kongsi raya). YAB Menteri Besar Kelantan juga tidak terkecuali menerima kritikan atas penyertaannya dalam majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan.




Satu lagi gejala yang dapat diperhatikan ialah kecenderungan sesetengah individu dan kumpulan di negara kita terhadap tokoh-tokoh luar yang jelas-jelas menjuarai Pluralisme Agama. Contohnya pujian terhadap tokoh liberalis-pluralis seperti Ulil Absar Abdullah dan Jaringan Islam Liberal yang diasaskannya bersama teman-temannya yang sefikrah.




Kesimpulan dan Saranan




Daripada isu-isu yang telah kita himbau, nampak wujudnya beberapa kecenderungan pemikiran Pluralisme Agama yang bergerak aktif di Malaysia telah tersasar dari asas fahaman Islam yang sebenar.




Walaupun tidak seburuk jika di banding dengan beberapa negara umat Islam lain tetapi oleh kerana masalah ini melibatkan aspek aqidah, apa-apa kepincangan perlu dianggap serius dan kritikal. Dalam realiti dunia tanpa sempadan hari ini, situasi di negara kita boleh mudah terpengaruh oleh perkembangan di negara lain dan keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam jangka masa yang singkat.




Oleh kerana kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia membuka jalan kepada penanganan isu ini secara komprehensif, maka segala pendekatan yang ada termasuk pendidikan, kempen kesedaran, dialog, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membenteras gejala Pluralisme Agama di negara kita.




Antara langkah yang disarankan:




1. Fatwa-fatwa yang jelas dikeluarkan berkenaan dengan faham Pluralisme Agama dan apa-apa amalan yang berkaitan dengannya.




2. Penerangan tentang Pluralisme Agama, bahaya dan perinciannya perlu dimasukkan dalam sukatan pendidikan di semua peringkat yang sesuai.




3. Maklumat dan penerangan tentang Pluralisme Agama perlu disebarkan di kalangan umat Islam dalam pelbagai bentuk kempen penerangan yang sesuai.




4. Individu dan kumpulan yang menyebarkan faham ini perlu dinasihatkan dan jika mereka berterusan melakukannya perlu disusuli dengan tindakan undang-undang.




5. Pada masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi penerangan tentang asas dan falsafah di sebalik ajaran Islam berkaitan dengan hubungan dan interaksi dengan penganut agama lain. Dengan ini tidak akan timbul salah-faham terhadap ketegasan umat Islam dalam aspek ini. Mereka juga tidak akan secara sengaja terlibat dalam menganjurkan sesuatu yang boleh menjuruskan rakan-rakan Muslim mereka dalam gejala Pluralisme Agama.




Semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan kepada kita kebenaran itu dengan sejelas-jelasnya dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikutinya dan mempertahankannya, serta menunjukkan kebatilan itu sebagai kebatilan dan memberi kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan mencegahnya. Dan semoga Allah SWT sentiasa memelihara Islam dan Umat Islam di negara yang dicintai ini.




WaLlahu a`lam.



Isnin, 9 Februari 2009

ANCAMAN & PENENTANGAN TERHADAP AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH


ANCAMAN & PENENTANGAN

TERHADAP AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH [1]



Oleh: Ustaz Mohd Rasyiq Bin Mohd Alwi


Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dialah Yang mencipta ‘arasy, langit dan bumi, Dialah jua Pencipta tempat, wujudNya tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.


MUQADDIMAH


Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita pula menamakan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?


Kita jua ketahui bahawa ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya.


Apakah mauqif dan peranan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?


Ramai jua yang tahu peranan masing-masing tetapi mengabaikan tindakan segera atau menganggap ia sebagai suatu yang boleh dilakukan pada masa yang akan datang tanpa disedari semakin hari semakin pupus insan yang mengetahui erti aqidah yang sebenar, semakin hari semakin hilang mutiara ilmu aqidah yang menjadi senjata utama dalam menguatkan serta memajukan lagi taraf insan yang bergelar Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Tidak pernah tahukah insan sebegini dengan sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Asakir dan Imam Abdary bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud :


“ Sesungguhnya manusia itu apabila ia melihat (mengetahui) kemungkaran, tiada pula ia merubahkannya maka Allah akan mengumumkan azabNya ke atas

semua manusia ”.

Terlupakah insan ini akan kata-kata yang sering diungkap oleh para ulama seperti Imam Ali Ad-Daqqoq yang bermaksud :


“ Senyap dari menyatakan kebenaran merupakan syaitan bisu ”.

Semoga dari tulisan dan pembentangan ini dapat menguatkan lagi semangat kita dalam memperjuangankan agama Allah. Amin.


1. AQIDAH


1.1. ERTI AQIDAH DAN KAITANNYA DENGAN AMALAN SOLEH


Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah. Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah.


Tanpa akidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan soleh. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan kebururkan.


Jesteru itu perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan-senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan soleh ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud :


“ Dan barangsiapa melakukan amalan soleh dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan kedalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit ”.

An-Nisa Ayat 124.


Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan soleh yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud :


“ Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan RasulNya

( beraqidah dengan aqidah yang betul) ”.H.R. Sohih Bukhari.


Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.


1.2. PARA ULAMA MENGUTAMAKAN ILMU AQIDAH


Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh para ilmuan islam akan mengutamakan ilmu aqidah. Perkara ini dapat dipetik dari kenyataan Imam tertua diantara mazhab empat iaitu Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitab beliau Fiqhul Absot yang bermaksud :


“ Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu feqh ”.


Kenyataan ini tidak bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu feqah langsung akan tetapi Imam Abu Hanifah menerangkan kemulian mempelajari dan mengutamakan ilmu aqidah.


Begitu juga para ulama yang lain mengutamakan ilmu ini seperti Imam yang menjadi pegangan mazhabnya di tanah air kita iaitu Imam Syafie menyatakan yang bermaksud : “ Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum ilmu ini (feqh) ”.


1.3. AQIDAH AHL SUNNAH WAL JAMAAH


Kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan Al-Quran, Al-Hadith serta ijmak ulama. Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah ta’ala sendiri di dalam Al-Quran dan apa yang telah dinyatakan leh Rasulullah di dalam Hadith baginda tanpa mereka meyandarkan sifat tasbih atau tajsim bagi Allah, mereka juga menafikan sifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas ‘arasy, dan sebagainya dari sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang mencipta segala makhlukNya.


Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam surah As-syura ayat 11 yang bermaksud :

“ Tiada sesuatupun yang menyerupaiNya ”.


Wujudnya Allah tanpa diliputi tempat berdalilkan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud :


“ Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali ”. Riwayat Bukhari dalam Sohih Bukhari.


Ini menunjukkan bahawa Dia sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, ‘arasy, langit, dan selainnya bukan azali.


Ijmak para ulama yang telah dinukilkan oleh Imam Abdul Qohir Bin Tohir Al-Baghdadi dalam kitab Al-Farqu Bainal Firaq halaman 333 cetakan Darul Ma’rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada diatas ‘arasy akan tetapi Allah wujud tanpa diliputi oleh tempat :


“ Dan telah disepakati dan diijmakkan bahawa Allah tidak diliputi tempat ”. Demikian ijmak para ulama yang tidak boleh ditolak lagi oleh golongan mujassimah dan musyabbihah.


1.4. AQIDAH ULAMA SALAF


Ulama Salaf (bukan Wahhabi) adalah ulama yang pernah melalui kehidupannya pada era 300Hijriah pertama. Kesemua ulama Salaf berpegang dengan akidah bahawa:


Allah adalah Tuhan sekelian alam yang mencipta setiap sesuatu, wujudNya tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran, Maha Suci Allah dari dilingkungi dan diliputi oleh tempat, bahkan wujudNya tanpa berada di sesuatu tempat, bukan di langit wujudNya bukan di bumi pula tempatNya. Allah lah Pencipta ‘arasy, diciptakannya untuk menunjukkan kekuasaanNya, bukan pula ianya dijadikan tempat bagi Zat Allah. Kerana Dia Pencipta tempat maka Dia tidak memerlukan tempat.


Pegangan ulama Salaf pada ayat mutasyabihat mengenai sifat Allah ta’ala pula kebanyakan ulama Salaf memilih jalan tidak mentakwilkan secara tafsily (teperinci) ayat tersebut akan tetapi ditakwil secara ijmaly (menafikan makna zohirnya) dan diserahkan makna sebenar kepada Yang Maha Mengetahui tanpa berpegang dengan zohirnya, tanpa menyandarkan sifat tasybih, tajsim dan bertempat bagi zat Allah.


Akan tetapi wujud dikalangan ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsily ayat mutasyabihat seperti Imam Bukhari di dalam kitab beliau Sohih Bukhari mentakwilkan firman Allah di dalam surah Al-Qosos ayat 88 :


“ wajahNya ” bererti kerajaanNya ”.


Di sini akan dibawa sebahagian sebahagian sahaja kenyataan dari para ulama Salaf termasuk para sahabat Nabi yang menunjukkan bahawa aqidah ulama Salaf antaranya adalah Allah wujud tanpa memerlukan tempat :-


1 – Seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan keilmuan beliau pernah dipuji oleh Rasulullah iaitu Imam Saidina Ali Karramallahu Wajhah wafat pada 40Hijriah pernah berkata yang bermakna :


“ Sesungguhnya Allah telah wujud tanpa tempat, maka Dia sekarang tetap sedia wujud tanpa tempat ”. Kenyataan ini dinyatakan dalam kitab karangan Imam Abu Mansur Al-Baghdadi dalam kitab beliau yang masyhur Al-Farqu Bainal Firaq pada halaman 256 cetakan Dar Kutub Ilmiah .


Ini memberi erti bahawa diantara aqidah para sahabat serta ulama Salaf adalah Allah wujud tanpa bertempat iaitu tidak dilingkungi oleh sesuatu tempat mahupun semua tempat. Dalam halaman kitab yang sama juga dinukilkan kenyataan Imam Ali yang bermaksud :


“ Sesungguhnya Allah mencipta ‘arasy adalah untuk menzahirkan kekuasaanNya dan bukanlah untuk dijadikan tempat bagi zatNya."


2- Imam Syafie Rahimahullah yang wafat pada 204Hijriah pernah berkata:


“ Dalil bahawa Allah wujud tanpa tempat adalah Allah ta’ala telah wujud dan tempat pula belum wujud, kemudian Allah mencipta tempat dan Allah tetap pada sifatNya yang azali sebelum terciptanya tempat, maka tidak harus berlaku perubahan pada zatNya dan begitu juga tiada pertukaran pada sifatNya ”.


Kenyataan Imam Syafie ini dinyatakan oleh Imam Al-Hafiz Murtadho Zabidi didalam kitab beliau berjudul Ithaf Sadatul Muttaqin, juzuk kedua, mukasurat 36, cetakan Dar Kutub Ilmiah.


3- Imam yang terkenal dengan karangan kitab aqidah beliau berjudul Aqidah At-Tohawiyah bernama Imam Al-Hafiz Abu Ja’far At-Tohawy wafat pada 321Hijriah (merupakan ulama Salaf) telah menyatakan dalam kitab beliau tersebut pada halaman 15 cetakan Dar Yaqin yang bermaksud : “ Allah tidak berada (tidak diliputi) pada enam penjuru (atas, bawah, kanan, kiri, depan, belakang) seperti sekalian makhluk ”.


1.5. AQIDAH ULAMA KHALAF


Ulama Khalaf adalah mereka yang hidup selepas 300Hijriah pertama. Aqidah ulama Khalaf juga tidak terkeluar dari landasan Al-Quran dan Al-Hadith serta Ijmak ulama. Aqidah ulama Khalaf tidak sama sekali berlawanan dengan aqidah ulama Salaf bahkan akidah ulama Salaf itu adalah aqidah ulama Khalaf begitu jua sebaliknya.


Cuma pada segi penerangan mengenai perkara yang berkaitan dengan sifat Allah yang tertentu ulama Khalaf memilih cara penerangan yang lebih terperinci bagi mengelakkan anggapan yang bersifat tasybih atau tajsim pada sifat Allah.


Contohnya ramai dikalangan ulama Khalaf mentakwilkan secara tafsily (terperinci) sifat-sifat Allah yang tertentu kepada makna yang selari dengan bahasa arab dan layak bagi Allah serta mudah difahami oleh orang awam dan penuntu ilmu bertujuan menjauhkan anggapan yang tidak benar pada sifat Allah. Namun ada juga dikalangan ulama Khalaf yang tidak mentakwilkan secara terperinci.


Disini akan disebut sebahagian sahaja kenyataan para ulama Khalaf bahawa Allah wujud tanpa memerlukan tempat :-


1- Al-Hafiz Ibnu Jauzy Al-Hambaly Rahimahullah wafat pada 597Hijriah telah menyatakan di dalam kitab karangan beliau berjudul Daf’u As-Subah Wa At-Tasybih mukasurat 189 cetakan Dar Imam Nawawi :

“ Sesungguhnya telah sahih di sisi ulama islam bahawa Allah ta’ala tidak diliputi oleh langit, bumi dan tidak berada di setiap tempat ”.


2- Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali yang wafat pada 505Hijriah menyatakan dalam kitab beliau yag masyhur berjudul Ihya Ulumuddin : “ Dan Allah juga tidak diliputi oleh tempat dan Allah tidak diliputi arah enam dan Allah tidak pula dilingkungi oleh langit dan bumi ”. Rujuk kitab Ifhaf Sadatul Muttaqin Fi Syarh Ihya Ulumuddin, juzuk 2 mukasurat 36 cetakan Dar Kutub Ilmiah, Beirut.


Maka ini bermakna antara aqidah ulama Khalaf adalah Allah wujud tanpa tempat.


1.6 KESEMUA ULAMA SALAF & KHALAF MENTAKWIL AYAT MUTASYABIHAT DARIPADA ZOHIRNYA


Ramai dikalangan para penceramah aqidah menyalah ertikan perkara ini dengan mengatakan ulama Salaf tidak langsung mentakwilkan ayat mutasyabihat mengenai sifat Allah hanya ulama Khalaf sahaja yang mentakwilkan ayat tersebut. Ini adalah tanggapan yang tidak langsung berunsurkan pengkajian yang sebenar kerana dari pentakwilan Imam Bukhari yang dinukilkan diatas serta takwilan beliau dalam Sohih Bukhari juga pada ayat 56 Surah Hud jelas menunjukkan beliau sebagai ulama Salaf telah mentakwilkan ayat mustasyabihat mengenai sifat Allah.


Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany di dalam Fathul Bary Syarh Sohih Bukhary pada menyatakan Hadith Ad-Dohiku (ketawa) berkata:


“ Bukhary telah mentakwilkan hadith Ad-Dohiku (ketawa) dengan erti rahmat dan redho ”.


Begitu juga Imam Ahmad Bin Hambal yang merupakan ulama Salaf telah mentakwilkan ayat 22 Surah Al-Fajr seperti yang diriwayatkan secara bersanad yang sohih oleh Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib Ahmad dari Imam Ahmad:


“ Firman Allah : “Dan telah datang Tuhanmu” ditakwilkan oleh Imam Ahmad dengan : Telah datang kekuasaan Tuhanmu ”.


Antara ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsily iaitu terperinci pada ayat 5 dalam Surah At-Toha adalah Imam Salaf Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Yahya Bin Al-Mubarak wafat 237Hijriah dalam kitab Ghoribul Quran Wa Tafsiruhu halaman 113 cetakan Muassasah Ar-Risalah, Beirut :


“ Firman Allah : “ Ar-Rahman di atas ‘arasy beristawa” istawa disini ertinya Menguasai ”.

Diantara ulama Khalaf pula yang mentakwilkan ayat tersebut secara tafsily adalah Imam Abdul Rahim Bin Abdul Karim Bin Hawazan atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Qusyairy telah mentakwilkannya dalam kitab beliua Tazkirah As-Syarqiyah : “ Ar-Rahman di atas ‘arasy beristawa” istawa disini ertinya Menguasai, Menjaga dan menetapkan ‘arasy ”.


Maka natijahnya bahawa kedua-dua jalan pilihan ulama Salaf dan Khalaf adalah benar dan tidak menyimpang kerana kedua-duanya mentakwilkan cuma bezanya kebanyakan Salaf mentakwil secara ijmaly dan kebanyakan Khalaf mentakwil secara tafsily.


2. ANCAMAN TERHADAP AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Ancaman terhadap Ahli Sunnah datang dari perbagai sudut, samada dari golongan yang mengizharkan mereka bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian mahupun golongan yang mendakwa sebagai Islam seperti puak Syiah, Wahhabiyah, Hizbu Tahrir, Ikhwanjiyyah (Khawarij), Islam liberal, Sister in Islam dan banyak lagi. Ini merupakan ujian Allah terhadap mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di zaman kini supaya memperjuangkan sunnah (aqidah dan syariat) bagi mendapat ganjaran syahid dalam peperangan.


Ini berdasarkan dari Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan sunnah ku (aqidah dan syariat ku) ketika rosaknya ummat ku, maka baginya pahala syahid”.


2.1 FAHAMAN SYI‘AH.


Fahaman Syi’ah jelas terkeluar dari aqidah Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah, kerana percanggahan dari pelbagai sudut dan yang paling asas dalam soal-soal aqidah.

Sebahagian contoh kesesatan Syi’ah dalam aqidah:


1. Imam adalah ma‘sum.


2. Para sahabat menjadi kafir kerana tidak melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w.


3. Hanya berpandukan Quran dan Hadith versi mereka.


Sebahagian contoh percanggahan dalam furu‘:


1. Nikah Mut‘ah dihukumkan halal dan bercanggah sama sekali dengan ijma‘ Ulama‘.

2. Tidak menerima Qias.

3. Tidak menerima Ijma‘.

4. Hukum agama hanya untuk orang awam dan bukan Imam.

5. Dan lain-lain.


2.2 FAHAMAN WAHHABIYYAH.


Sejarah Ringkas Ajaran Wahhabi


Ajaran Wahhabi diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H yang mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka. Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.


Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama islam serta mengkafirkan umat islam. (Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut: “Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab” dan “ Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah”).


Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu islam dan beliau menyatakan kepada para ulama: “Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini”. ( Sebagai bukti sila rujuk kitab “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275). Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat islam agar berwaspada dengan ajaran TAKFIR yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.


Kenyataan Para Mufti Perihal Wahhabi


Mufti Mazhab Hambali Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H menyatakan dalam kitabnya “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” m/s 276 : “Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh”.


Mufti Mazhab Syafi’e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya “ Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42: “ Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik ”.


Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketikamana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).

Tokoh Wahhabi Abdur Rahman bin Hasan Aal-As-Syeikh mengkafirkan golongan Al-Asya’iroh yang merupakan pegangan umat islam di Malaysia dan di negara-negara lain. Rujuk kitabnya Fathul Majid Syarh Kitab Al-Tauhid m/s 353 cetakan Maktabah Darus Salam Riyadh. Seorang lagi tokoh Wahhabi iaitu Soleh bin Fauzan Al-Fauzan turut menghukum golongan Al-Asya’iroh sebagai sesat akidah dan bukan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Rujuk kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 cetakan Riasah ‘Ammah Lil Ifta’ Riyadh.


Wahhabi bukan sahaja menghukum sesat terhadap ulama’ Islam bahkan umat islam yang mengikut mazhab pun turut dikafirkan dan dihukum sebagai musyrik dengan kenyataannya :


“ Mengikut mana-mana mazhab adalah syirik ”. Dan Wahhabi ini berani juga mengkafirkan Ibu bani adam iaitu Saidatuna Hawwa dengan kenyataannya:


“ Sesungguhnya syirik itu berlaku kepada Hawwa ”.


Tokoh Wahhabi tersebut Muhammad Al-Qanuji antara yang hampir dengan Muhammad bin Abdul Wahhab. Rujuk kenyataannya dalam kitabnya Ad-Din Al-Kholis juzuk 1 m/s 140 dan 160 cetakan Darul Kutub Ilmiah.


Maka fahaman ini menjadi kewajiban kepada Ulama‘ membongkar untuk diperjelaskan memandangkan ramai orang Islam yang terkeliru dengan propaganda aliran ini.

Aliran ini turut bertunjang kepada pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Khariji (al-Jauzi) antaranya:


Membawa konsep Bid‘ah yang bercanggah dengan Jumhur Ulama‘.

Mempromosi Bid‘ah dalam Usul (Aqidah) dan Furu‘.


Percangahan dalam masalah Aqidah:


1. Membawa kaedah tauhid “Tiga T” Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Asma’ Was Sifat, penyelewengan mereka dalam hal tersebut adalah kerana membeza-bezakan antara Tauhid Uluhiyyah dengan Tauhid Rububiyyah sehingga menghukum kesemua orang kafir juga beriman kepada Allah serta menetapkan Tauhid Asma’ Wa Sifat dengan erti yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah sejati bahkan lebih menjerumus kepada akidah Tajsim yang ditolak oleh ulama Islam, pembahagian tauhid mereka tersebut tidak pernah wujud di dalam sejarah ilmu tauhid Ahli Sunnah Wa al-Jama‘ah tulen.


2. Membawa fahaman “Tajsim dan Tasybih” iaitu menjerumus kepada menjisimkan Allah dengan mengatakan Allah itu adalah jisim dan menyamakan Allah dengan makhluk seperti menyifatkan Allah dengan sifat mulut, telinga, baying-bayang dan selainnya dari sifat yang tidak pernah Allah nyatakan dalam Al-Quran mahupun Al-Hadith.


3. Menolak Pengajian Sifat Dua Puluh.


4. Menghukum Syirik amalan tawassul, tabarruq, ziarah qubur dan isthtighathah.


5. Mengkafirkan dan membid’ahkan ramai Ulama’-Ulama’ yang diperakui kebenarannya di antaranya Imam Abu Hassan al-Asy‘ari, perumus aliran Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah, Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany turut dihina oleh kelompok Wahhabi.


6. Mengelirukan pengertian Takwil , Ta‘til dan Tafwid.


7. Mendakwa dari golongan salaf.


8. Mendakwa sesiapa yang menta‘zimkan Nabi Muhammad membawa kepada syirik.


Percanggahan dalam Furu’ iaitu cabangan agama:


1. Menganggap talqin sebagai bid‘ah sesat.


2. Mengganggap amalan tahlil, yasin, kenduri arwah sebagai bid‘ah sesat.


3. Menganggap qunut Subuh sebagai bid‘ah.


4. Tidak ada qada’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan.


5. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah sesat.


6. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir.


7. Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah sesat.


8. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah sesat. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram.


9. Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai.


10. Menolak sambutan mawlid nabi, bahkan menolak cuti sempena hari Maulid Nabi Muhammad bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan mawlud nabi dengan perayaan Kristian.


11. Menolak amalan barzanji/marhaban/berdiri sewaktu selawat. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani. Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik.


12. Menganggap amalan menziarahi maqam Rasulullah, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid‘ah sesat lagi syirik. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab Sufi yang mu‘tabar.


2.3 HIZBU TAHRIR.


1. Pengasas – Taqiuddin al-Nabhani. Berasal dari Palestin dan telah berhijrah ke Lubnan.


2. Di Lubnan tinggal di Ra’su al-Naba’ pada ahkir tahun 50an.


3. Dia merasakan dirinya sebagai Amir al-Mu’minin dan menamakan isterinya Lami’ah Um al-Mu’minin.


4. Mempunyai 3 orang anak: Taj, Usamah dan Ibrahim.


5. Mendakwa anak yang pertama sebagai pemerintah Syam, yang ke dua pemerintah Iraq dan yang ke tiga pemerintah Mesir.


6. Pergerakan ini banyak di United Kingdom.


7. Mengkafirkan pemerintah Muslim di mana-mana juga dunia Islam.


8. Ber‘aqidah seperti orang Mu‘tazilah, dengan menyakini segala perbuatan hamba adalah hasil ihtiyar hamba dan tiada kaitan dengan Allah. Dengan kata lain Af‘al hamba bukan ciptaan Allah. Tiada kaitannya dengan Qada’ dan Qadar. (Kitab al-Shahsiyah Islamiah).


9. Hidayah dan kesesatan adalah dari hamba dan tiada kaitannya dengan Allah. (al-Shahsiyah Islamiyah/kitab Nizom al-Islam).


10. Ma‘sum bagi para Ambiya’ adalah setelah di lantik, mereka sebelum di lantik adalah tiadak ma‘sum, dengan kata lain mereka terdedah dengan segala dosa. (Kitab al-Syahsiyah Islamiyah).


11. Majlis Syura mereka berhak memutuskan untuk keluar dari mematuhi pemerintah berdasarkan pemerintah yang ada, Fasiq yang nyata. (Kitab al-Shahsiyah Islamiyah/Dustur Hizbu Tahrir).


12. Sekiranya pemerintah yang ada bercanggah dengan Syara‘ dan tidak berkemampuan untuk menegakkan pemerintahan yang Islam berkewajiban keluar dari mematuhi pemerintah. (Nizom al-Islam). Di dalam Aqidah Ahlus Sunnah, wajib mematuhi pemerintah sekalipun zalim dan fasiq amal.


13. Barangsiapa tidak membai‘ah khalifah, mati dalam jahiliyah. Di dasari dengan katanya Nabi mewajibkan setiap orang Islam membai‘ah khalifah. (al-Syahsiyah Islamiyah).


14. Orang-orang Islam semuanya berdosa besar kerana gagal untuk melantik khalifah. Dan masa yang dimaafkan 2 malam, dan kalau malam yang ke 3 gagal maka berdosa. (al-Daulah al-Islamiyah).


15. Sebenarnya mereka mengajak kepada oramg ramai untuk membai‘ah peminpin mereka Taqiuddin al-Nabhani.


16. Perjalanan (safar) untuk melakukan maksiat adalah tidak berdosa, melainkan setelah melakukan perbuatan itu.


17. Mengharuskan salam dan bercium pipi bersama perempuan yang ajnabiyyah (bukan mahram).


Pelbagai lagi golongan yang tidak mengikut bahkan terkeluar dari aliran sebenar Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah.


Semoga Allah menyelamatkan dan menetapkan iman sebenar di dalam hati kita.


PENUTUP


Ketahuilah bahawa illmu agama Islam lah menjadi asas kepada segala penyelesaian. Dalam keperitan umat Islam dan ulamanya menghadapi tentangan dan ancaman yang datang dari agama luar umat Islam turut memikul tanggung-jawab menyelesaikan permasaalahan yang terbit dari dalam, maka ilmu agama lah merupakan satu-satunya langkah terawal yang perlu ada dalam diri setiap insan yang bergelar muslim dan ilmu tersebut adalah ilmu aqidah bertepatan dengan kenyataan Nabi kepada umat ini Nabi kita Nabi yang tercinta: telah bersabda:


“ Tuntutlah ilmu, sesungguhnya ilmu diambil dengan belajar ,” dan Rasulullah turut bersabda: Janganlah kamu menuntut ilmu untuk menghina ulama Islam, janganlah kamu menuntut ilmu untuk mengutuk orang-orang jahil dan janganlah kamu menuntut ilmu bertujuan agar manusia memuji kamu, barangsiapa yang melakukan sedemikian maka dia dalam api neraka”.

Riwayat Ibnu Hibban.


Dengan ilmu dan amal serta mencegah dari kemungkaran juga beristiqomah dalam amalan ma’ruf kebaikan maka yakinlah bahawa kita telah hampir berada dalam kejayaan. Semoga kita dianugerahkan syurga oleh Allah ta’ala.


Amin Ya Robbal ‘alamin.

Disediakan dan disusun oleh hamba Allah yang mengharap keredhoaaNya:

Mohd Rasyiq Bin Mohd Alwi.

Tel: 012-2850578

Email: m_shiq@yahoo.com


Website:

- www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

- www.abu-syafiq.blogspot.com

- www.darulfatwa.org.au

- http://almukminun.blogspot.com/

.


[1] Ini adalah kertas kerja yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Rasyiq bin Mohd Alwi pada 7hb Februari 2009 di Multaqa Nuqaba’ Kebangsaan Persatuan Pelajar Islam Malaysia [PKPIM],bertempat di Kolej Dar Hikmah [ABIM], Kajang Selangor.