::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label al-Quran Kalammullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label al-Quran Kalammullah. Papar semua catatan

Selasa, 13 Mei 2008

::TAFSIR SURAH AL-HUJURAT : JUZU’ 26: 49: 10-12::

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

::USRAH QIYADIY 1429H::

::TAFSIR SURAH AL-HUJURAT : JUZU’ 26: 49: 10-12::

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah saudara-mara. Oleh itu damaikanlah di antara saudara-mara kamu dan bertaqwalah kepada ALLAH agar kamu dikurniakan rahmat”

(al-Hujurat:10)

Hasil persaudaraan wujud:

Hubungan mesra-keamanan-kerjasama-perpaduan yang menjadi perkara asas dalam masyarakat Islam.

Peperangan dan perbalahan hanya wujud pada permulaan dan pengakhiran sebenar ialah kebaikan dan kemanan.

Dasar persaudaraan dan keamanan berdasarkan Islam dibenarkan untuk memerangi puak yang zalim dan hendaklah mereka dikenakan tindakan yang tegas.

Antara kehendak persaudaraan Islam ialah: puak yang cedera di dalam perang tahkim hendaklah tidak dibunuh, orang yang lari dan membuang senjata jangan dibunuh serta harta benda puak yang zalim tidak diambil. Melainkan mereka diajak untuk kembali kepada Islam.

Dasar masyarakat Islam, apabila seorang Imam dilantik dengan muba’yah, maka jika terdaapt para penderhaka, hendaklah dibunuh dan diperangi.

Sebagaimana yang berlaku dalam Perang Siffin dan Perang Jammal, ada di kalangan para sahabat Imam Ali tidak turut serta berperang seperti: Sa’id, Muhammad Ibn Maslamah, Usamah ibn Za’id dan Abdullah ibn Umar R.A. Mereka melihat peperangan yang berlaku hanya disebabkan fitnah. Selain itu, al-Imam al-Jassas juga berkata mereka mungkin berpendapat “memandang al-Imam Ali itu sudah cukup dengan orang-orang yang ada bersamanya dan tidak lagi memerlukan kepada sahabat-sahabatnya dengan alasan inilah mereka tidak ikut berperang”.

Tetapi, Abdullah ibn Umar R.A ada menyatakan kekesalan tidak turut berperang bersama Imam Ali.

Oleh itu, orang Islam wajib memerangi golongan pemberontak bersama Imam yang tunggal sehingga mereka berjaya menggembalikan Islam dalam keadaan yang yang zalim kembali tunduk kepada hukum ALLAH SWT.

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah satu kaum menghinakan satu kaum yang lain kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghina, dan janganlah pula wanita-wanita menghinakan wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang dihinakan itu lebih baik dari wanita yang menghina. Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil di antara kamu dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama ialah nama fasiq sesudah seseorang itu beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang zalim.”

(al-Hujurat:11)

Masyarakat Islam yang tunduk dengan Islam adalah masyarakat bermaruah tinggi. Punyai adab dan sopan santun.

Mereka dilarang dari mengaibkan orang lain. Di dalam ayat tersebut ada dinyatakan mengenai ungkapan halus. Ukuran luaran manusia tidak dapat dinilai oleh akal manusia. Sebagaimana dinyatakan di dalam puisi:

Pelik kita lihat pekerjaan TUHAN

Kita pun tidak tahu hikmah sebenarnya

Tapi kita yakin setiap kerja TUHAN

Mesti berhikmah dan ada pengajaran

Juga kita tidak dapat menyingkap rahsia NYA

Mari kita lihat sedikit kerja TUHAN

Walaupun sedikit tetap ada hikmahnya

Memang pelik dan unik kerja TUHAN

Apabila ALLAH TAALA murka pada seseorang

Didorongnya orang itu berlaku zalim kepada seseorang

Agar dia derhaka dan berdosa

Bila TUHAN cinta pada seseorang

Dia dizalimi oleh seseorang

Maka dia pun mendapat pahala

Untuk menghapuskan dosanya

Begitu juga seseorang yang diberi rezeki secara istidraj

Ertinya mendapat rezeki secara murka

Kemudian dialirkan sebahagian rezeki

Kepada seseorang yang bertaqwa dengan tidak ikhlas

Yang diberi rezeki mendapat pahala kerana dia bersyukur

Anehnya yang memberi tidak mendapat pahala

Yang kena beri pula mendapat pahala

Begitulah seterusnya

Sebagai contoh lagi

Apabila TUHAN murka pada seseorang

Didorongnya orang itu memaki seseorang

Kemudian jika TUHAN cinta seseorang

Dibiarkan dia dimaki oleh orang

Mengapa orang yang ALLAH murka dibenarkan menyusahkan orang

Tapi orang yang dicintai NYA disusahkan oleh orang

Anehnya kerja TUHAN

Kalau kita tidak faham

Mungkin kita menyalahkan TUHAN

Maha Besar NYA, Suci NYA TUHAN daripada melakukan kesalahan

Maha Besar NYA, Suci NYA TUHAN daripada melakukan kesalahan

|Diwani|

Mengaibkan Diri Sendiri

Di dalam al-Quran jelas memperingatkan manusia dengan saranan membangkitkan sentimen yang halus bahawa mereka ibarat satu diri sahaja dan sesiapa yang mencela orang lain bererti dia mencela dirinya sendiri:

“Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri.”

Tilmizu dinyatakan sebagai ungkapan yang tajam.

Rasulullullah SAW telah menggantikan nama-nama yang tidak manis dizaman jahilliyyah dengan nama-nama yang indah.

Kefasiqan dan penyelewengan dari keimanan merupakan sesuatu yang menyerupai perbuatan murtad. Ayat ini seterusnya mengancam perbuatan fasiq dan menganggapkanya perbuatan yang zalim, dan kezaliman itu pula adalah salah satu dari pengungkapan-pengungkapan syirik:

“Barang siapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang zalim.”

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka kerana setengah-setengah prasangka itu berdosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain. Apakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentulah kamu jijikannya. Hendaklah kamu bertaqwa kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Menerima Taubat dan Maha Pengasih.”

(Al-Hujrat:12)

Ayat ini mendirikan pagar kawalan di dalam masyarakat Islam untuk melindungi kehormatan dan kebebasan individu-individu apabila ia mengajar manusia supaya membersihkan perasaan dhamir dengan uslub yang baik.

Ayat ini menyatakan supaya manusia menjauhkan:

“Setengah-setengah prasangka itu berdosa”

Umat Islam perlu menjauhi sebarang prasangka kerana di dalam prasangka itu tidak diketahui yang mana disertai dengan keburukan dan akhirnya membawa dosa. Oleh itu, al-Quran mengingatkan agar dhamir dibersihkan. Apabila dhamir bersih, maka ia bersih dari dicemari sebarang prasangka bahkan menanamkan perasaan mesra di kalangan saudara-saudara se Islam. Malah ia jauh dari perasaan resah dan gelisah. Alangkah indahnya hidup didalam masyarakat yang bersih dari prasangka-prasangka.

Rasulullah bersabda: “Jika engkau menaruh prasangka (terhadap seseorang), maka janganlah engkau membenarkannya.”

[at-Tabrani dan Harithah ibn Nu’man]

Mengintip

Kemudian al-Quran menyebut dasar untuk menjamin kententeraman masyarakat dengan arahan menjauhi berprasangka:

“Dan janganlah kamu mengintip”

Hasil prasangka, ia adalah tindakan mengintip-intip bagi mencari keaiban orang lain. Al-Quran jelas menentang tindakan ini. Tidak ada alasan kepada Muslimin untuk mencari-cari keaiban orang lain dan disebarkan. Sehingga siasatan jenayah keatas seseorang juga tidak dibenarkan untuk dijadikan alasan bagi mengintip.

Tiada seorang pun yang berhak menaruh prasangka buruk atau menduga mereka akan melakukan kesalahan, lalu ia pun mengintip mereka, walaupun ia tahu mereka pernah melakukan sesuatu kesalahan secara sembunyi-sembunyi dan dia hanya berhak menangkap mereka ketika mereka melakukan jenayah itu dan ketika terdedahnya jenayah itu. Di samping itu terdapat pula berbagai-bagai jaminan yang lain yang dinaskan oleh syarak bagi setiap jenayah.

Ujar Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh Abu Bakr ibn Abu Syaibah katanya: Kami telah diceritakan oleh Abu Mu’awiyah dari al-A’masy dari Zaid ibn Wahab katanya: Abdullah ibn Mas’ud datang, lalu ada orang berkata kepadanya: Si polan itu janggutnya menitis dengan arak. Jawab Abdullah: “Kita dilarang mengintip dan mencari kesalahan orang lain, tetapi jika kesalahan itu benar-benar ternampak dengan kita, bolehlah kita menangkapnya.”

Dari Mujahid: “Janganlah kamu mengintip (mencari kesalahan orang lain), ambilah dengan kesalahan yang nampak kepada kamu sahaja dan tinggalkanlah kesalahan yang dilindungi ALLAH.”

Menurut riwayat Imam Ahmad dengan sanadnya dari Dujayn kerani Uqbah katanya” Aku berkata kepada Uqbah: “Kami ada jiran-jiran yang minum arak, aku mahu memanggil mata-mata menangkap mereka.” Jawab Uqbah: “Jangan buat begitu, nasihatkan mereka dan ugut mereka. Kata Dujayn, dia pun berbuat begitu tetapi mereka tidak juga berhenti. Kata rawi: Dujayn pun datang menemui Uqbah dan berkata kepadanya: “Aku mahu memanggil mata-mata menangkap mereka.” Jawab Uqbah: Jangan buat begitu kerana aku mendengarRasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang mukmin, maka seolah-olah dia menghidupkan kanak-kanak yang ditanam hidup-hidup dari kuburnya”

[Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i]

Kata Sufyan ath-Thauri dari Rasyid ibn Sa’d dari Mu’awiyah ibn Abu Sufyan katanya: Aku dengar Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesungguhnya jika engkau mencari-cari keaiban-keaiban orang lain bererti engkau telah merosakkan mereka atau engkau hampir-hampir merosakkan mereka.”

[Riwayat Abu Daud]

Mengumpat

Kemudian datang pula larangan mengumpat melalui ungkapan yang menarik dan indah:

“Janganlah kamu mengumpat satu sama lain. Apakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentulah kamu jijikannya.”

Larangan mengumpat disertakan dengan satu pandangan yang menjijikkan seorang manusia yang mempunyai hati yang paling tebal dan mepunyai jiwa yang paling kebas perasaanya iaitu pemandangan seorang manusia yang memakan daging bangkai saudaranya yang telah mati. Bayangan jijik tersebut digambarkan dengan perbuatan mengumpat.

Kemudian larangan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut disertakan dengan ajakan melakukan segera bertaubat untuk mendapatkan rahmat ALLAH:

Hendaklah kamu bertaqwa kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Menerima Taubat dan Maha Pengasih.

Ayat ini sebagai ajakan kepada mengembalikan diri kepada kecintaan dan ketaqwaam kepada ALLAH SWT serta merasakan kejijikan dan kejengkelan melakukan perbuatan yang dilarang Islam.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh al-Qa’nabi, kami telah diceritakan oleh Abdul Aziz ibn Muhammad dari al-‘Ala dari bapanya dari Abu Hurairah katanya: Ada orang bertanya: “Wahai Rasulullah SAW! Apakah ta’rif mengumpat?” Jawab Rasulullah SAW:

“Engkau menyebut perihal saudaramu dengan apa sahaja yang tidak disukainya.”

Kemudian orang iru bertanya lagi: “Terangkanlah kepada kami begaimana jika saudaraku itu mempunyai sesuatu (kecelakaan) yang wajar saya katakan?” Jawab Rasulullah SAW:

“Jika dia mempunyai sesuatu (kecelaan) yang dapat engkau katakan bererti engkau telah mengumpatnya, dan jika ia tidak mempunyai sesuatu (kecelaan) yang dapatengkau katakan beerti engkau telah berdusta terhadapnya.”

[Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan beliau mensahihkannya]

Kata Abu Daud: Kami telah diceritakan oleh Musaddad, kami telah diceritakan oleh Yahya dari Sufyan, saya telah diceritakan oleh Ali ibn al-Aqmar dari Abu Huzayfah dari Aisyah R.A katanya: “Aku telah berkata kepada Nabi SAW: Cukuplah anda dengan Safiyah (isteri Nabi) yang begitu begini”. (Kata Abu Daud dari Musaddad: Aisyah bermaksud menyindir bahawa Safiyah itu pendek orangnya). Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Anda telah mengeluarkan satu perkataan (yang keji) jika dicampur dengan air lautan nescaya ia akan mengeruhkannya.”

Kata Aisyah: “Aku telah menceritakan kepada Rasulullah SAW perihal seseorang yang lain, beliau menjawab: “Aku tidak suka menceritakan hal orang lain sedangkan aku mempunyai begini begini.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya dari Anas ibn Malik katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Pada masa aku dimikrajkan, aku telah melalui sekumpulan manusia yang berkuku tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu aku pun bertanya: Siapakah mereka, wahai Jibrail? Jawab beliau: Itulah orang-orang yang makan daging manusia dan mengumpat mereka.”

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Rujukan: Terjemahan Oleh ; Yusoff Zaky Haji Yaakob; Kitab Tafsir Fizalil Quran: 1420H, Kelantan

Disediakan Oleh: almukminun

7 Jamadilawal 1429 H / 13 Mei 2008

http://www.almukminun.blogspot.com/

Selasa, 11 Mac 2008


بسم الله الرحمن الرحيم


Maksud firman Allah:
Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya (urusan) mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.
(Al An'aam:159)

Selasa, 15 Januari 2008

Tujuan-Tujuan Dasar al-Quran

Agama Islam, agama yang kita ini dan dianuti oleh jutaan kaum Muslim di seluruh dunia, merupakan ‘way of life’ yang menjamin kebahagiaan hidup penganutnya di dunia dan di akhirat.

Ia mempunyai satu sendi utama yang: berfungsi memberi petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya. Allah berfirman,
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk menuju jalan yang sebaik-baiknya “ (QS17: 9).

Al-Quran memberikan petunjuk dalam persoalan-persoalan akidah, syariah, dan akhlak, dengan jalan meletakkan dasar-dasar prinsip mengenai persoalan-persoalan tersebut; dan Allah SWT menugaskan Rasul saw untuk memberikan keterangan yang lengkap mengenai dasar-dasar itu:”Kami telah turunkan kepadamu Al-Zikr (Al-Quran) untuk kamu terangkan kepada manusia apa-apa yang diturunkan kepada mereka agar mereka berfikir” (QS 16:44).

Di samping keterangan yang diberikan oleh Rasulullah saw., Allah memerintahkan juga kepada umat manusia seluruhnya agar memperhatikan dan mempelajari Al-Quran: “Tidaklah mereka memperhatikan isi Al-Quran, bahkan ataukah hati mereka tertutup “ (QS 47:24).

Justeru ayat-ayat Al-Quran memberikan bimbingan kepada kaum Muslim menuju jalan yang diredhai Allah di samping mendorong mereka untuk berjihad di jalan Allah, sambil memberikan didikan akhlak yang sesuai dengan keadaan mereka dalam pelbagai situasi (kalah, menang, bahagia, sengsara, aman dan takut).

Dalam perang Uhud misalnya, di mana kaum Muslim menderita tujuh puluh orang syahid, turunlah ayat-ayat penenang yang berbunyi: “Janganlah kamu sekalian merasa lemah atau berdukacita. Kamu adalah orang-orang yang tinggi (menang) selama kamu sekalian beriman. Jika kamu mendapat luka, maka golongan mereka juga mendapat luka serupa. Demikianlah hari-hari kemenangan Kami perganti-gantikan di antara manusia, supaya Allah membuktikan orang-orang beriman dan agar Allah mengangkat dari mereka syuhada, sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang aniaya” (QS 3:139-140).

Huraian di atas menunjukkan bahawa ayat-ayat Al-Quran disesuaikan dengan keadaan masyarakat saat itu. Sejarah yang diungkapkan adalah sejarah bangsa-bangsa yang hidup di sekitar Semenanjung Arab. Peristiwa-peristiwa yang dibawakan adalah peristiwa-peristiwa mereka. Adat-istiadat dan ciri-ciri masyarakat yang dikecam adalah yang timbul dan yang terdapat dalam masyarakat tersebut.

Tetapi ini bukan bererti bahawa ajaran-ajaran Al-Quran hanya dapat diterapkan dalam masyarakat yang ditemuinya atau pada waktu itu saja. Kerana yang demikian itu hanya untuk dijadikan penghujahan dalam berdakwah. Sejarah umat-umat diungkapkan sebagai pelajaran dan peringatan bagaimana perlakuan Tuhan terhadap orang-orang yang mengikuti jejak-jejak mereka.

Sebagai suatu perbandingan, Al-Quran dapat diumpamakan dengan seseorang yang ingin menanamkan sesuatu idea, tidak terlepas dari keadaan, situasi atau kondisi masyarakat yang merupakan objek dakwah. Tentu saja method yang digunakannya harus sesuai dengan keadaan, perkembangan dan tingkat kecerdasan objek tersebut.

Demikian juga dalam menanamkan ideanya, cita-cita itu tidak hanya sampai pada batas suatu masyarakat dan masa tertentu; tetapi mengharapkan agar ideanya berkembang di semua tempat di sepanjang masa. Untuk menerapkan ideanya, seorang da'i tidak boleh jemu dan berputus-asa. Dan dalam merealisasikan cita-citanya, ia harus mampu menyatakan dan mengulangi usahanya walaupun dengan cara yang berbeza-beza.

Demikian juga ayat-ayat Al-Quran yang mengulangi beberapa kali satu persoalan. Tetapi untuk menghindari terjadinya perasaan jemu, susunan kata-katanya --oleh Allah SWT-- diubah dan dihiasi sehingga menarik pendengarannya.

Bukankah hujah dan dalil Al-Quran mengenai soal-soal yang dipaparkan dapat digunakan di mana, bila dan bagi sesiapa sahaja, serta dalam situasi dan kondisi apa pun? Sebagai kesimpulan, kita dapat bahagikan tujuan-tujuan dasar Al-Quran sejak dari sejarah diturunkannya kepada tiga perkara:

1. Petunjuk akidah dan kepercayaan yang harus dianut oleh manusia yang tersimpul dalam keimanan akan keesaan Allah dan kepercayaan akan kepastian adanya hari pembalasan.

2. Petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan jalan menerangkan norma-norma keagamaan dan tatasusila yang harus diikuti oleh manusia dalam kehidupannya secara individu atau masyarakat.

3. Petunjuk mengenal syariat dan hukum dengan jalan menerangkan dasar-dasar hukum yang harus diikuti oleh manusia dalam hubungannya dengan Tuhan dan sesama insan. Atau dengan kata lain, "Al-Quran adalah petunjuk bagi seluruh manusia ke jalan yang harus ditempuh demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat."

SUBHANALLAH...

Al-Fatihah

Surah Al Fatihah


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.


الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Praise be to Allah, the Lord who safeguards and governs the entire worlds.


الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ

Most Gracious, Most Merciful.


مَـالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Master of the Day of Judgment (the Hereafter).


إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

It is You alone (O! Allah) we worship, and to You alone we look for help.


اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ

Guide us to the Straight Path.


صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

The path of those on whom You bestowed Your eternal grace, not (the path) of those who invited Your wrath, nor those who have gone astray.