::Teman Bersama::

Memaparkan catatan dengan label Wanita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Wanita. Papar semua catatan

Rabu, 17 Oktober 2012

RUMAHTANGGA : JAUHI PENGHASUT DAN PENYIBUK [P&P]





RUMAHTANGGA : JAUHI PENGHASUT DAN PENYIBUK [P&P]


Punca utama perceraian apabila ramai disekeliling anda cuba menjadi jaguh bicara. Ya, ada di kalangan mereka niatnya baik “..untuk melihat rumahtangga bahagia..”, ada pula yang sememangnya dari awal lagi memasang niat jahat “..semoga rumahtangga depa ni hancuss...buleh aku tackle suami dia/isteri dia/ harta dia.... ^_^ ”.



Tuan Puan yang dikasihi, di kalangan mereka yang berniat baik terlupa mereka telah tanpa sengaja melantik diri mereka sebagai seorang P&P [dibaca Penghasut dan Penyibuk bukan Proffesional dan Pengurusan]. Merekalah penasihat cabuk yang memberi tanpa diminta. Bukankah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam  sendiri memberikan nasihat mengikut sela masa dan keadaan sesuai mengikut keupayaan mad’u yang hendak Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam sampaikan. P&P ini memberikan nasihat sepantas kilat tanpa melihat keseluruhan isu yang dihadapi oleh pasangan.



Sebagai contoh, P&P melihat isteri jirannya menaiki motorsikal ke tempat kerja sedangkan suami jirannya memandu kereta ke tempat kerja. Lalu dikhabarkanlah kepada seluruh taman sambil mulut menjuih : “...lihat tu, suami bukan main bergaya, isteri naik motorsikal je, ada ke patut..”



Sedangkan pada situasi sebenarnya, si isteri menaiki motorsikal kerana tempat kerjanya hanya di dua blok rumah dengan masa 3 minit untuk ke tempat kerja. Manakala si suami pula tempat kerjanya terletak lebih 100 km jaraknya yang mengambil masa 1 jam 30 minit perjalanan. Suami dan isteri jirannya telah saling redha dengan kenderaan yang dinaiki mereka. Maka telahan apa yang dihamburkan oleh jirannya yang “Mengambil Berat” itu. Perkataanya sahaja telah menyebarkan fitnah bermula hanya dengan sangka.



P&P juga memulakan bicaranya dengan sapaan soalan yang menyentuh jiwa khusus menunjukkan simpati yang bukan dari hati. Kepura-puraan untuk mencungkil rahsia yang kemudian diguna untuk dijaja meninggikan diri si P&P.



Sebagai suami  isteri perkara yang patut diingati, jangan sesekali menceritakan kisah rumahtangga hatta kepada ibu bapa, adik beradik, atuk nenek apatah lagi rakan jiran taulan. Lebih 70 peratus masalah perceraian yang saya kendalikan berpunca dari PENASIHAT TIDAK BERTAULIAH ini. Ya, mereka manusia yang kita sangat hormati bahkan memiliki pertalian darah. Tetapi, permasalahan yang ditimbulkan hasil perkongsian masalah kepada mereka menatijahkan sokongan TIDAK ADIL kepada anda dan pasangan. Mereka menyokong melulu tanpa melihat isu dan masalah dari ruang yang pelbagai. Contohnya seperti punca, kesalahan anda, ketidakpuasahan hati pasangan terhadap diri anda. Hanya disebabkan ada pertalian darah atau termakan budi misalnya membuatkan perkara hak kabur dibalik silauan cahaya. Tuan puan, jujurlah pada diri masakan tidak ada sekelumit simpati dari ibu apabila anaknya menceritakan kegoncangan rumahtangganya. Bukan tiada ibu dan ayah kandung yang adil, tetapi kehadiran mereka susah dipunca kuasa duakan jumlahnya.



Bukan tidak boleh meluahkan kepada mereka, tetapi dahulukan ribuan USAHA dimulai dengan pengharapan bantuan kepada ALLAH. Muhasabah melihat kekurangan dan kesilapan diri sendiri berbanding pasangan. Berfikir untuk menjalani sesi kaunseling dari Kaunselor Muslim Bertauliah di bawah Akta Kaunselor 1998 di Malaysia. Sesi kaunseling yang anda jalani ialah rahsia.



Suami dan Isteri mesti bertegas dengan segera menghalang Penyibuk dan Penghasut ini walau dengan niat tanpa sedar mereka dari memanjangkan simpati yang tidak Tuan Puan nanti. Contoh ketegasan : “..."..MAAF,ini rumah tangga saya, awak, abah, umi, abang, kakak, adik tiada hak dalam isu ini kerana saya TIDAK MINTA dan kami BAHAGIA..".  Tuan-Puan pertahankanlah RUMAHTANGGA habis-habisan. SUAMI atau ISTERI wajib pertahankan ISTERI atau SUAMI apabila dikata walaupun daripada orang yang kita hormati selagi tidak BERBUKTI.



Sebagai seorang suami, tanggungjawab anda sungguh besar terhadap isteri. Sebagaimana firman ALLAH SWT :



“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH amat berat azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA)” [Surah al-Maidah : 2]



PENYIBUK dan PENGHASUT, jahat sangatkah mereka ? Kadangkala isyarat subliminal diluar lokus kawalan dalaman P&P berasa apa yang mereka lakukan amat membantu rumahtangga yang hendak dibantu walau pada dasaarnya mereka sebenarnya PERASAN begitu. Mereka tertipu bahawa apa yang mereka usahakan merupakan satu usaha masuk campur urusan rumahtangga  pasangan samada dari kalangan ahli keluarga atau pasangan lain tanpa perlu.



Kerana itu artikel ini bernada ganas ala-ala genre “System Of Down” atau Cromox-Butterfingger Malaysia. Biar ganas-ganas dahulu sebelum perkara yang halal, tetapi di benci oleh ALLAH berlaku sebagaimana Imam At-Tirmizi Rahimahullah berkata : Katsir Bin ‘Ubaid telah menceritakan kepada kami (dia berkata): Muhammad bin Khalid telah menceritakan kepada kami dari Mu’arrif bin Washil dari Muharib bin Ditsar dari Ibnu Umar dari Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:



أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ

Perkara halal yang paling ALLAH benci adalah perceraian.”  Terpaksa, kerana campurtangan atas nama MAHU MEMBANTU oleh P&P merupakan malapetaka punca perceraian pasangan yang saya kendalikan sesi kaunseling. Isu ini sangat serius agar PENYIBUK dan PENGHASUT tanpa sedar ini memahami bahawa anda telah menceroboh secara keji sebuah rumah pasangan dan tiba-tiba tanpa diminta anda mengubah atur letak perabot dan strategi rumahtangga mereka. Itu analoginya jika boleh dikira sebagai yang dimaksudkan. Saya tambah lagi, dalam soal gaji misalnya, jika isteri yang bekerja telah diberi izin oleh suami untuk bekerja, tiba-tiba ANDA wahai P&P memandai menghalang si isteri dari memberi bantuan kepada suami ketika memerlukan.



Justeru, saya hadirkan sebuah contoh yang ditulis oleh sahabat saya Al-Fadhil Ustaz Abuzulfiqar di dalam blog beliau : Penyelesaiannya... tidak lain adalah kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan.



1. Si suami mesti faham dan akur bahawa harta isteri adalah milik isteri. Si suami tidak boleh pandai-pandai mengguna atau memaksa si isteri menggunakan wang itu untuk menguruskan perbelanjaan keluarga.



2. Si isteri pula mestilah menghargai keizinan si suami untuk dirinya mendapat pendapatan sebegitu, dan faham bahawa perbelanjaan si suami menguruskan rumahtangga bertambah dengan banyaknya apabila si isteri keluar bekerja.



Di sinilah perlunya kebijaksanaan masing-masing untuk saling menghargai hak masing-masing dan saling memberi untuk menguruskan keluarga.



Perkara ini harus juga difahami oleh P&P agar usaha menghasut tanpa sedar ini dapat dijauhkan dari dimulakan. Terimalah, bahawa kita tidak semsetinya tahu dengan hanya melihat kepada satu isu, lalu disangka dengan mengaitkan dengan teori penyedap cerita untuk dipanjang-panjangkan.



Tuan-Puan P&P juga perlu insaf, percikan api yang tuan puan mulakan dengan menokok tambah cerita memiliki peratusan kukuh untuk berkongsi dosa kerana usaha meruntuhkan sebuah rumahtangga bahagia. Tuan Puan P&P, ALLAH SWT dengan penuh kasih sayang memperingatkan orang yang memutuskan nasab kekeluargaan dengan laknat dan azab, di antara firman-NYA :



“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan ? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati ALLAH dan ditulikan-NYA telinga mereka, dan dibutakan-NYA penglihatan mereka.” [Surah Muhammad :22-23]



Memutuskan tali silaturahim adalah sesuatu yang dilarang oleh agama Islam. Dalam Surah an-Nisa’: ayat 1, ALLAH SWT berfirman :



 “Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang dengan mempergunakan nama-nama-NYA, kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan silaturahim.”



Dalam kitab Ahkam al-Qur’an, Ibnu al-Arabi menafsirkan ayat ini dengan menulis : "Takutlah kepada ALLAH untuk berdosa kepada-NYA dan takutlah untuk memutuskan tali silaturahim".



اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



WALLAHU’ALAM.  ^_^


P/S : Jemput hadir Majlis Selawat bersama Habib Syech AsSeggaf
20hb Oktober 2012 : Masjid As-Syakirin KLCC
21hb Oktober 2012 : Dataran MBMB Melaka
22hb Oktober 2012 : Dewan Besar UPSI, Tanjung Malik, Perak



Al-Faqir ilallah : almukminun
2 Zulhijjah 1433H/17102012

Isnin, 30 Julai 2012

Temui Cinta Dalam Bulan Ramadhan




Temui Cinta Dalam Bulan Ramadhan


Perjalanan mencari makna cinta seorang gadis yang merasakan terlalu dihimpit rasa terbeban dengan dosa. Maka, dalam sebuah kuliah di bulan Ramadhan yang disertai oleh si gadis, sebuah nasihat telah diberikan oleh seorang Ustaz ; “Carilah cinta kalian wahai anak-anakku dalam keberkatan Ramadhan. Barangkali kalian tidak menjumpainya didunia, bahkan dia ada menanti kalian di syurga. Cemburulah kalian dengan setiap saat waktu tanpa berbuat amal dalam Ramadhan, kerana bukan dalam pengetahuan kita dimana letak makbul doa serta amalan.”


Mendengarkan nasihat tersebut, si gadis berusaha habis-habisan mempersiapkan dirinya memasuki bulan Ramadhan. Ditinggalkan segala keenakkan syahwat yang pada sebahagian manusia merasakan ia nikmat, tetapi sebenarnya adalah laknat awal dari ALLAH ketika manusia di dunia. Dirasai jauh disudut hatinya, kejahilan dahulu adalah hukuman. Maka, untuk keluar, dia perlukan guru sebagai pimpinan.


Bersungguh-sungguh dia melantunkan doa dengan penuh pengharapan terhadap ALLAH عز وجل agar diberikan petunjuk dalam menempuh hari, waktu dan saat di bulan Ramadhan ;


اللهم لا تجعل لفاجر على يدا فيحبه قلبي

Ya ALLAH, Ya Tuhanku! Janganlah Engkau jadikan bagi orang jahat (fajir) mempunyai tangan (berkuasa) keatasku, sehingga ia dikasihi oleh hatiku..


Melalui kuliah-kuliah [talaqqi] yang dilaluinya, rakan-rakan sigadis melihatkan perubahan besar dalam jadual ibadah harian. Menjelang Ramadhan, hatinya kegirangan dengan persediaan, sesekali berlinangan air mata ketika menghadap TUHAN, mengenangkan kesilapan serta kemaksiatan yang pernah dilakukan. Adakah dapat dia menemui cinta.


Hatinya saban waktu dalam Ramadhan berbisik akan pesan yang disampaikan oleh Gurunya dalam kuliah Ramadhan : “..cinta kalian berada dalam bulan Ramadhan...”. Kekuatan itu membuatkan istiqamah langkahnya ke majlis-majlis talaqqi mingguan. Setiap kali selesai majlis, dirasakannya kenikmatan beramal tanpa kesangsian. Pencariannya diteruskan...


Al-Quran yang dibaca dirasakan tidak puas selembar muka. Ditambah bacaannya sehingga merasakan syahdu dan girang akan makna “....cinta...” yang ditemuinya dalam tiap helai al-Quran yang dibaca. Bisik hatinya : “...inikah cinta Ramadhan?....”Cinta yang dibaca membesarkan betapa agungnya ALLAH. Cinta yang dibaca sesekali membuatkan dia tersenyum gembira, ada kala berlinangan air mata.



كَذَلِكَ الْعَذَابُ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
33. Seperti itulah azab (dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui.


ALLAH sesekali tidak menyamakan orang-orang yang baik dengan orang-orang yang buruk.


 إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ
34. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.
[Surah al-Qalam]


Tahajud malam didirikan, berbisik dihatinya, mengapa...mengapa keenakkan serta ketenangan solat ini aku sia-siakan dahulu. Apakah masih ada kesempatan buat diriku menemui cinta dalam baki usia. ALLAH....


Puasanya mengajarkannya erti kesyukuran. Agar mencintai sesama insan yang serba kekurangan. Diletakkan mendahulukan keperluan orang lain melebihi dirinya. Sedekah tidak pernah dia tinggalkan dengan keyakinan apabila ikhlas pemberian, maka ALLAH akan cinta kepada dirinya. Sebagaimana pada permulaan dirinya meninggalkan dan akhirnya dirinya juga yang akan mengambil. Itulah buah pahala yang diusahakan, dimana permulaan urusan itu dengan meninggalkan syahwat dan dunia, pada akhirnya dia akan mengambilnya keenakkan hasil cinta dari ALLAH.


Pertengahan Ramadhan diteruskan dengan pengharapan, apakah berhasil cinta yang diimpikan. Semakin yakin dirinya akan pesan, betapa kecintaan terhadap manusia bukan bersifat kekal. Manusia tidak akan mampu memberikan apa-apa. Kekayaan, harta benda sifatnya sementara, tiba masa semua akan musnah.


Akhir Ramadhan ibadahnya dirasakan amat-amat nikmat. Sesekali hiba mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dijanjikan pengampunan. Kesucian dari dosa bagai bayi yang baru dilahirkan. Sesuai sabdaan Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم :


من قا م رمضان إيما نا وا حتسا با غفر له ما تقدم من ذنبه


Ertinya : “Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan yakin janji ALLAH TAALA dan mengharapkan ganjaran pahala di sisi ALLAH, nescaya diampun dosanya yang telah lalu.”

[Hadith Muttafaqun ‘Alaih, lafaz dari Muslim dalam Mukhtasar Sahih Muslim]


Yakinlah dia, bahawa cinta dalam Ramadhan adalah kelepasan dari segala dosa dan kesalahan. Adapun yang memberi ganjaran ialah ALLAH, adapun selaku hamba, dia wajib berusaha sebaiknya. Jika ALLAH menghendaki kebaikan kepada hambaNYA maka dicabut nikmat darinya.


Mengertilah si gadis, bahawa cinta yang dirinduinya sememangnya berada dalam Ramadhan. Itulah cinta bagi pelepasan dari noda, dosa ibarat bayi yang baru dilahirkan. Kerinduan fitrah setiap insan walau berlumuran dosa yang dikatakan oelh manusia kebanyakkan tidak diampunkan. Tetapi ALLAH mengasihi hambaNYA dengan berfirman ;


وَ مَنْ يَّعْمَلْ سُوْٓءًا اَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهٗ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّٰهَ يَجِدِ اللّٰهَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏
“Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah an-Nisa : 120]


Ya ALLAH, sesungguhnya kami memohon dekat kepadaMU tanpa cubaan yang tidak dapat kami tanggung. Belas kasihanilah kami dalam qadha dan qadarMU. Halangilah kami Ya ALLAH, dari keburukan orang-orang jahat dan tipu daya orang-orang yang berdosa.


Ya ALLAH, peliharalah kami bagaimana dan seperti apa yang ENGKAU kehendaki. Kami mohon kesihatan dan keselamatan dalam agama, dunia dan akhirat. Ya ALLAH, sertakanlah kami dalam permohonan taufik terhadap amal-amal yang sholeh dan berikanlah kami Ya ALLAH, hamba hina ini, yang mengharap akan ikhlas dalam beramal kepada MU. ALLAHUMMA Amiiinn..


WALLAHU’alam


Mohon doa mendoakan.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



6 Ramadhan 1433H / 26072012
al-faqir ilallah : 
almukminun

Rabu, 11 Julai 2012

Bakal Isteri & Bakal Suami




Bakal Isteri & Bakal Suami,

Jika perintah ALLAH terlalu sukar dilaksana,
Bagaimana nasibmu suami di alam rumahtangga,
Nasibmu isteri dalam bahagia sementara,
Bagaimana kira taatkah mereka kepada kedua ibu bapa,
Mertua?
Andai ketaatan kepada ALLAH Maha Pemberi Bahagia sudah diingkari,
Apakah masih ada bahagia di akhirat yang kekal selamanya,

Bakal Isteri & Bakal Suami,
Jika taat kepada ALLAH kayu ukurannya,
Bagaimana mahu bimbingan rumahtangga ke syurga,

Perkahwinan bukan...
Sekadar menjadi peneman setia di dunia,
Tidak juga perkahwinan sekadar menambah zuriat,

Lebih besar dari itu,
Perkahwinan adalah tanggungjawab suami kepada seluruh wanita,
Dalam keluarganya,
Dalam keluarga mertuanya,
Anaknya yang ditinggalkan menjadi pendoa setia,
Perkahwinan bermatlamat SELAMAT di AKHIRAT,
Suami,
Engkaulah nakhodanya,
Engkaulah jurumudinya,
Engkaulah IMAMnya,
Keluargamu adalah negara di bawah tadbiranmu,

Bakal Isteri & Bakal Suami,
Usah ditakuti akan alam perkahwinan,
Ia dilalui setiap umur insan,
Nikah menutupi 2 nafsu besar,
Syahwat jantina dan syahwat perut,
Dengan pernikahan terselamatlah separuh masalah hidupmu,

Bakal Isteri & Bakal Suami,
Pernikahan berumahtangga,
Pasti dengan ribuan ujian,
Hanya dengan ujian meningkatkan iman,
Dengan ujian menghapus dosa lalu,
Tempuhi ujian dengan ILMU,
Talaqqi berguru,
Bukan buku,
Bukan INTERNET,
Dibawah pimpinan Guru dan Ulama muktabar,

Bakal Isteri & Bakal Suami,
Terimalah kecantikan pasanganmu,
Perbaikilah kecelaan akhlakmu,
Bersedialah menerima kedut wajah pasanganmu,
Setialah selagi keduanya taat kepada ALLAH,
Memelihara aqidah,
Mohon doa mendoakan,
Buat Nabi Junjungan Mulia,
Ahli Keluarga Baginda,
Ayah serta Ibu,
Keluarga kalian,
Sahabat jiran,
al-Fatihah..........

21 Sya'aban 1433H
al-faqir ilallah : almukminun

Sabtu, 9 Julai 2011

Apabila Lelaki Bercinta Dengan Mendahulukan Taqwa


Apabila Lelaki Bercinta Dengan Mendahulukan Taqwa



Al-Mubarrid menyebutkan dari Abu Kamil dari Ishaq bin Ibrahim dari Raja' bin Amr An-Nakha'i, ia berkata: ''Adalah di Kufah terdapat seorang pemuda tampan, dia sangat kuat beribadah dan rajin berkerja. Suatu saat dia berkunjung ke kampung dari Bani Na-Nakha'. Dia melihat seorang wanita cantik dari kalangan mereka sehingga dia jatuh cinta dan kebingungan. Ternyata, si wanita cantik ini berkongsi perasaan yang sama padanya. Kerana sudah jatuh cinta, akhirnya pemuda itu mengutus seseorang melamar wanita tersebut melalui ayahnya. Tetapi si ayah menyatakan bahawa puterinya telah dijodohkan dengan sepupunya. Walau demikian, cinta keduanya tidak terpadam bahkan semakin berkobar-kobar.



Si wanita, akhirnya mengirimkan pesanan melalui temannya untuk si pemuda, surat itu berbunyi : “Aku telah tahu betapa besar cintamu kepadaku, dan betapa besar pula aku diuji dengan kamu. Bila kamu setuju, aku akan mengunjungimu atau aku akan mempermudahkan jalan bagimu untuk datang menemuiku di rumahku”. Dijawab oleh pemuda tadi melalui orang suruhannya : “'Aku tidak bersetuju dengan dua alternatif itu:



''Sesungguhnya aku merasa takut bila aku berbuat maksiat pada Rabbku akan adzab yang akan menimpaku pada hari yang besar.'' [Yunus: 15]



‘Aku takut pada api yang tidak pernah mengecil nyalanya dan tidak pernah padam kobarannya.'



Ketika disampaikan pesan tadi kepada si wanita, dia berkata: ''Walau demikian, rupanya dia masih takut kepada ALLAH? Demi ALLAH, tidak ada seseorang yang lebih berhak untuk bertakwa kepada ALLAH dari orang lain. Semua hamba berhak untuk itu.''



Kemudian dia meninggalkan urusan dunia dan menyingkirkan perbuatan-perbuatan buruknya serta mulai beribadah mendekatkan diri kepada ALLAH. Akan tetapi, dia masih menyimpan perasaan cinta dan rindu kepada si pemuda. Tubuhnya mulai kurus kerana menahan perasaan rindunya, sampai akhirnya dia meninggal dunia kerananya.



Dan si pemuda itu seringkali berziarah ke kuburannya, dia menangis dan mendoakannya. Suatu waktu dia tertidur di atas kuburannya. Dia bermimpi berjumpa dengan kekasihnya dengan penampilan yang sangat indah. Dalam mimpi si pemuda sempat bertanya: ''Bagaimana keadaanmu? Dan apa yang kau dapatkan setelah meninggal dunia?''



Dia menjawab: ''Sebaik-baik cinta wahai orang yang bertanya adalah cintamu. Sebuah cinta yang dapat menggiringku menuju kebaikan''.



Pemuda itu bertanya: ''Jika demikian, kemanakah tujuanmu?''



Dia menjawab: ''Aku sekarang menuju kepada kenikmatan dan kehidupan yang tidak berakhir. Di Syurga yang bersifat kekal serta dapat kumiliki dan tidak akan pernah rosak.''



Pemuda itu berkata: ''Aku berharap kau selalu ingat padaku di sana, sebab aku di sini juga tidak melupakanmu.'' Dia menjawab: ''Demi ALLAH, aku juga tidak melupakanmu. Dan aku minta kepada Tuhanku dan Tuhanmu (ALLAH Subhanahu Wa Taala) agar kita nanti dapat dikumpulkan. Maka, bantulah aku dalam hal ini dengan kesungguhanmu dalam ibadah.''



Si Pemuda bertanya: ''Bilakah aku dapat melihatmu?'' Jawab si wanita: ''Tidak lama lagi kau akan datang melihat kami.'' Tujuh hari setelah mimpi itu berlalu, si pemuda dipanggil oleh ALLAH menuju kehadirat-Nya dan dia meninggal dunia.



Sumber: Kisah-Kisah Nyata Tentang Nabi, Rasul, Sahabat, Tabi'in, Orang-orang Dahulu dan Sekarang, Syaikh Ibrahim bin Abdullah Al-Hazimi, Darul Haq



Begitulah hebatnya penangan cinta, ia mampu mendekatkan diri kepada ALLAH atau langsung menderhakai ALLAH akibat bertuhankan nafsu.



Perasaan cinta ini melanda setiap jiwa samada remaja atau mereka yang telah berusia. Saidina Umar Al-Khattab R.A, daripada seorang yang tiada belas kasihan, kepada seorang yang penyayang, bahkan menyayangi Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam melebihi dirinya sendiri. Taubat Malik bin Dinar, melakar sejarah baru dalam dunia kesufian, takkala si dia yang mabuk dengan kepalsuan “wanita” dan “khamar”, lantas berubah menjadi seorang yang mabuk dalam lautan cinta Ilahi. Taubatnya Rabiatul Adawiyah, merubah hidupnya dari seorang hamba kepada seorang hamba, kepada seorang yang merdeka di persada kehambaan sejati.



Taubat, adalah penyembuh kepada kesakitan yang dirasai insan. Walaupun dosa lampau dilakukannya masih dingati oleh manusia kebanyakkan, dia tidak sesekali berundur daripada menikmati kecintaan mulia yang ditemuinya kini. Kejujuranlah yang membezakan taubat insan terus berpaling daripada kemaksiatan.



Kita pilih untuk sakit dengan mencintai duniawi. Apa yang perlu kita cintai ialah pertemua abadi bersama ILAHI Rabbi. Dunia tidak pernah menjanjikan sebarang keabadian bahagia. Jika kita lengkap memiliki sijil, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah belum menjadi bukti meyakinkan bahawa kita bakal terselamat daripada tipu daya dunia. Barangkali tipuannya berupa syak, lagak dan taksub. Sehingga menidakkan ulama yang diejek sebagai ketinggalan dan usang. Kadangkala kita berusaha untuk dihargai oleh manusia dan membiarkan penghargaan maha agung daripada ALLAH Yang Mencipta.



Ku disedarkan kini, cinta yang ku cari ialah penerimaan ILLAHI. Dia mencintai tanpa perlu aku membalas kembali. Cinta NYA tidak pernah kenal kehinaan yang dimiliki oleh para hamba NYA. Walau dikhianati, DIA tetap mencintai hamba NYA yang mahu kembali.



Kejahilan, jauh dari pencinta keilmuan menjadi punca utama seseorang berbuat dosa tidak merasakan maksiat kepada Tuhannya. Pendosa jahil tidak mengenali dirinya, bahkan dia disibukkan untuk mencintai insan lain tanpa mengakui hakikat Tuhannya. Barangkali, apabila dia mengenali ALLAH, tidak mungkin tergamak dia mengkhianati cinta paling agung ini.



WALLAHU’alam


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghaniy:

Al-Mukminun

8 Syaaban 1432H / 09072011

http://almukminun.blogspot.com/2011/07/apabila-lelaki-bercinta-dengan.html

BBST, Sepang, Selangor, Malaysia.

P/S : Peristiwa hari ini : Perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur

Sabtu, 12 Mac 2011

Selamat Hari Lahir Buat Isteri Tercinta 1432 h/ 2011 m

Selamat Hari Lahir Buat Isteri Tercinta 1432 h / 2011 m



Wahai Isteriku yang tercinta,



Hari ini, sambutan hari lahirmu diraikan didalam halaqah taman-taman ilmu. “Hadiah bernilai bagi seorang isteri ialah "ilmu" beserta suami yang mampu memimpin-mendidik dirinya sehingga ke akhir hayat.” Itu kata yang keluar daripada hatimu. Itulah pemberian bernilai disisi hati daripada seorang suami yang mahu melihat kejayaan isteri dan keluarganya di dunia dan akhirat. Rakan sejawatanku, para Suami .. ALLAH Subahanhu Wa Taala telah mengingatkan kita melalui Firman NYA yang Maha Mulia :



"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada ALLAH terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" [Surah at-Tahrim : 6]



Andai tidak termampu membimbing-mendidik isteri, anak-anak, maka menjadi wajib bagi dirimu wahai para suami untuk memimpin mereka ke arah berguru dan lazim didalam majlis-majlis ilmu. Perkenalkanlah kepada mereka akan keutamaan cinta kepada ALLAH Subhanahu Wa taala, Cinta kepada Sayyiduna Muhammad Rasulillahi Shollallahu Alaihi Wassalam, Cinta kepada Suami, Ibu-bapa dan semestinya para ulama. Sebelum kita kehilangan penerus nubuwwah.



Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." [H.R. Muslim] –Kitab 40 Hadith Akhir Zaman, susunan Sheikhna Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwi



Itulah persediaan buatmu wahai para suami, agar mereka beramal dengan amal Islami pimpinanmu disaat dirimu sudah tiada bersama dunia dan isinya.




Itulah bekal berharga ketika manusia lain menderita dalam ketawa dan menitip kecintaan mereka terhadap penghargaan dunia-pangkat di jabatan, hiburan melalaikan. Kita merasakan selesa dengan keperluan dan kehendak yang kita impikan. Setelah memiliki rumah, kita hiasi lagi dalam dan luarnya agar dilihat menarik supaya tidak dikeji oleh yang melihat, melainkan puji-puji akan kekemasan dan kemewahan yang menyaluti syurga dunia yang kita miliki.



Perlu ada khuatir sebagai suami-ayah, bahawa salutan emas kemewahan yang menyelimuti penghuni rumah, perlu diselidiki agar terpalit dengan kerendahan diri. Bimbanglah dengan kasih sayang yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak supaya tidak menjadi beban kebertanggungjawaban kita di mahsyar. ALLAH Subhanahu Wa Taala dengan kelembutan kasih sayang NYA terus mengingatkan kita :



Firman ALLAH SWT yang bermaksud:



"Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isteri kamu dan anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. [at-Taghabun : 14]



Isteri serta anak-anak mampu meragut keselamatan kita ketika berada di akhirat kelak, andai didikan yang kita sampaikan berlawanan dengan fitrah kejadiaan yang diciptakan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala Yang Maha Mulia. Ketika kita mahu melakukan kebaikan, mereka tanpa sedar menjadi penghalang kerana diminta mengutamakan mereka melebihi urusan umat.




Bencana musibah yang melanda dunia, tsunami di Jepun tanggal 11 Mac 2011, huru-hara di jazirah arab adalah petanda nyata setiap bernyawa ada akhirnya. Tidakkah ini cukup meragut kelalaian kita akan berakhirnya segala kegembiraan yang merugikan ini?



Sepuluh Tanda-tanda Kiamat yang Besar


Ertinya :



Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka". [H.R Muslimi] –Kitab 40 Hadith Akhir Zaman, susunan Sheikhna Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwi



Kehadiran hari lahirmu ini wahai isteriku, kita bersama-sama bermuhasabah akan tuanya usia dunia. Kita berbual mengenai bencana serta pengajaran buat diri kita berdua. ALLAHU ALLAH. Sambil disertai tangis, bahawa segala kegembiraan yang kita miliki ini akan berakhir. Betapa lemah dan dhoifnya diri kita ini. Sambutan hari lahirmu wahai isteriku, pada kebanyakan manusia, pasti disambut dengan kemeriahan. Tidak bagi kita wahai isteriku. Betapa kita berusaha meletakkan empati di kalangan mereka yang derita dengan kemusnahan akibat bencana. Semoga diterima oleh ALLAH SWT.



Sambutan hari lahirmu ini beserta dengan amaran-amaran daripada ALLAH SWT bahawa kita serta dunia menghampiri saat-saat penghujung nyawa. Maka berbahagialah bagi mereka yang merasa akan peringatan penuh kasih sayang daripada PEMILIK diri ini. Agar kita sentiasa bersedia dalam segala keadaan duka dan gembira.




Ambil kesempatan melalui peringatan seta bisikan oleh ALLAH SWT ini, agar kita menyusun kembali jalur-jalur muhasabah diri buat diri-isteri, anak-anak yang kita miliki agar kembali kepada fitrah Ilahi.




Hari Lahir Isteri Tercinta


Al-haqir ilallah : almukminun

BBST

7 Rabuilakhir 1432h

12 Mac 2011 m

http://almukminun.blogspot.com/2011/03/selamat-hari-lahir-buat-isteri-tercinta.html