::Teman Bersama::

Sabtu, 12 Mac 2011

Selamat Hari Lahir Buat Isteri Tercinta 1432 h/ 2011 m

Selamat Hari Lahir Buat Isteri Tercinta 1432 h / 2011 m



Wahai Isteriku yang tercinta,



Hari ini, sambutan hari lahirmu diraikan didalam halaqah taman-taman ilmu. “Hadiah bernilai bagi seorang isteri ialah "ilmu" beserta suami yang mampu memimpin-mendidik dirinya sehingga ke akhir hayat.” Itu kata yang keluar daripada hatimu. Itulah pemberian bernilai disisi hati daripada seorang suami yang mahu melihat kejayaan isteri dan keluarganya di dunia dan akhirat. Rakan sejawatanku, para Suami .. ALLAH Subahanhu Wa Taala telah mengingatkan kita melalui Firman NYA yang Maha Mulia :



"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada ALLAH terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" [Surah at-Tahrim : 6]



Andai tidak termampu membimbing-mendidik isteri, anak-anak, maka menjadi wajib bagi dirimu wahai para suami untuk memimpin mereka ke arah berguru dan lazim didalam majlis-majlis ilmu. Perkenalkanlah kepada mereka akan keutamaan cinta kepada ALLAH Subhanahu Wa taala, Cinta kepada Sayyiduna Muhammad Rasulillahi Shollallahu Alaihi Wassalam, Cinta kepada Suami, Ibu-bapa dan semestinya para ulama. Sebelum kita kehilangan penerus nubuwwah.



Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." [H.R. Muslim] –Kitab 40 Hadith Akhir Zaman, susunan Sheikhna Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwi



Itulah persediaan buatmu wahai para suami, agar mereka beramal dengan amal Islami pimpinanmu disaat dirimu sudah tiada bersama dunia dan isinya.




Itulah bekal berharga ketika manusia lain menderita dalam ketawa dan menitip kecintaan mereka terhadap penghargaan dunia-pangkat di jabatan, hiburan melalaikan. Kita merasakan selesa dengan keperluan dan kehendak yang kita impikan. Setelah memiliki rumah, kita hiasi lagi dalam dan luarnya agar dilihat menarik supaya tidak dikeji oleh yang melihat, melainkan puji-puji akan kekemasan dan kemewahan yang menyaluti syurga dunia yang kita miliki.



Perlu ada khuatir sebagai suami-ayah, bahawa salutan emas kemewahan yang menyelimuti penghuni rumah, perlu diselidiki agar terpalit dengan kerendahan diri. Bimbanglah dengan kasih sayang yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak supaya tidak menjadi beban kebertanggungjawaban kita di mahsyar. ALLAH Subhanahu Wa Taala dengan kelembutan kasih sayang NYA terus mengingatkan kita :



Firman ALLAH SWT yang bermaksud:



"Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isteri kamu dan anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. [at-Taghabun : 14]



Isteri serta anak-anak mampu meragut keselamatan kita ketika berada di akhirat kelak, andai didikan yang kita sampaikan berlawanan dengan fitrah kejadiaan yang diciptakan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala Yang Maha Mulia. Ketika kita mahu melakukan kebaikan, mereka tanpa sedar menjadi penghalang kerana diminta mengutamakan mereka melebihi urusan umat.




Bencana musibah yang melanda dunia, tsunami di Jepun tanggal 11 Mac 2011, huru-hara di jazirah arab adalah petanda nyata setiap bernyawa ada akhirnya. Tidakkah ini cukup meragut kelalaian kita akan berakhirnya segala kegembiraan yang merugikan ini?



Sepuluh Tanda-tanda Kiamat yang Besar


Ertinya :



Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka". [H.R Muslimi] –Kitab 40 Hadith Akhir Zaman, susunan Sheikhna Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki An-Nadwi



Kehadiran hari lahirmu ini wahai isteriku, kita bersama-sama bermuhasabah akan tuanya usia dunia. Kita berbual mengenai bencana serta pengajaran buat diri kita berdua. ALLAHU ALLAH. Sambil disertai tangis, bahawa segala kegembiraan yang kita miliki ini akan berakhir. Betapa lemah dan dhoifnya diri kita ini. Sambutan hari lahirmu wahai isteriku, pada kebanyakan manusia, pasti disambut dengan kemeriahan. Tidak bagi kita wahai isteriku. Betapa kita berusaha meletakkan empati di kalangan mereka yang derita dengan kemusnahan akibat bencana. Semoga diterima oleh ALLAH SWT.



Sambutan hari lahirmu ini beserta dengan amaran-amaran daripada ALLAH SWT bahawa kita serta dunia menghampiri saat-saat penghujung nyawa. Maka berbahagialah bagi mereka yang merasa akan peringatan penuh kasih sayang daripada PEMILIK diri ini. Agar kita sentiasa bersedia dalam segala keadaan duka dan gembira.




Ambil kesempatan melalui peringatan seta bisikan oleh ALLAH SWT ini, agar kita menyusun kembali jalur-jalur muhasabah diri buat diri-isteri, anak-anak yang kita miliki agar kembali kepada fitrah Ilahi.




Hari Lahir Isteri Tercinta


Al-haqir ilallah : almukminun

BBST

7 Rabuilakhir 1432h

12 Mac 2011 m

http://almukminun.blogspot.com/2011/03/selamat-hari-lahir-buat-isteri-tercinta.html

Tiada ulasan: