::Teman Bersama::

Jumaat, 31 Disember 2010

[Kecelakaan Jalan Raya 22 Muharram 1432H - 29 Disember 2010 ; Sedikit Muhasabah. ]


اللّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَاسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّاَفِي لَاَ شِفَآءَ إِلاَّ شِفآؤكَ شِفآءً لاَ يُغَادِرُ سَقَماً



Ertinya: “Ya Allah Tuhan segala manusia, jauhkanlah kesukaran/penyakit itu dan sembuhkanlah ia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada ubat selain ubat-Mu, ubat yang tidak meninggalkan sakit lagi."



Inilah doa yang diucapkan diwaktu kita menziarahi orang yang sakit. Faqir kongsikan serba sedikit pengalaman ketika dilanda musibah ketika dilanggar oleh sebuah kereta di Persimpangan Seksyen 11 Shah Alam, dihadapan sebuah stesyen minyak. Mudah-mudahan musibah ini ALLAH SWT datangkan atas rahmat belas ihsan, sebagai penghapus dosa dan tazkirah MAUT buat diri ini yang lalai. Tidak lain perkongsian ini atas niat mahu diri ini yang faqir mengambil ribuan pengajaran daripada sedikit ujian daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala. ALLAHU ALLAH.



[Kecelakaan Jalan Raya 22 Muharram 1432H - 29 Disember 2010 ; Sedikit Muhasabah. ]



Sebelum Kejadian



Ana kongsikan sedikit perasaan sebelum melalui sebuah pengalaman yang tidak akan dapat ana lupakan. Selama tiga minggu berturut-turut mata kiri ana berkenyit tanpa henti. Puas bertanya kepada isteri sebab dan punca juga penjelasan saintifik. Tapi ketika itu, hati sudah berbicara untuk bersedia bagi berita dukacita. Ana tidak mahu berbicara panjang mengenainya daripada sudut pandang adat.



Dalam tempoh sebulan, ana kerap berhubung dengan para asatizah dan masyaikh-masyaikh, selain daripada menghadiri majlis pengajian mereka, ana tidak akan lepaskan peluang memohon didoakan oleh mereka. Walaupun ini merupakan kebiasaan seorang anak murid kepada gurunya. Tapi peluang ana bersama para masyaikh sangat dimudahkan rezekinya oleh ALLAH SWT.



Kemuncaknya, selama tiga hari sebelum kejadian, setiap malam ana akan terjaga pada jam 2 pagi dan 4 pagi. Selama tiga hari berturut-turut ana terjaga pada waktu tersebut. Ana jarang terjaga awal sebegitu, kerana kebiasaannya ana laksanakan qiyammulail sebelum masuk waktu Subuh. Tugasan di tempat kerja baharu yang jaraknya 62 km membuatkan alfaqir perlu bangun daripada tidur seawal 5 pagi. Ana perasan juga mengenai perubahan ini. Persoalan mengapa dan kenapa berlaku begini sentiasa bermain di kotak fikir.



Semasa Kejadian



ALLAHU AKHBAR! ALLAHU AKHBAR ! ALLAH....Ini perkataan akhir yang alfaqir ingat dan sempat laungkan ketika motorsikal dipandu dalam kelajuan 70 km/jam ketika hampir merempuh kereta tersebut. Kejadian berlaku ketika alfaqir dilorong paling kiri ketika melepasi bulatan Kayangan Shah Alam. Tiba-tiba keluar sebuah kereta daripada arah stesyen minyak tersebut ke arah pusingan U tanpa diberikan isyarat lampu kereta, dan alfaqir tidak sempat mengelak dan melanggar belakang keretanya dalam impak yang kuat.



Ana didudukkan ditengah pembahagi jalan dengan lelehan darah yang banyak. Ketika sedar, ana tertanya ana dimana dan kemana arah yang dituju. ALLAHU ALLAH. Saat ini berkecamuk diminda, barangkali nyawaku sudah tiada atau aku sudah menjadi seorang amnesia [hilang ingatan]. Jujur, ana ditanya dimana tinggal, kerja dimana, siapa yang boleh saya hubungi, semuanya ana jawab dengan tidak tahu.



Ketika impak pelanggaran, alfaqir melambung tinggi dan terseret sedikit kehadapan yang mungkin menjadi asbab luka di bibir, dagu, tengkuk, paha, betis, tangan, lengan dan pinggang mengalami luka dan bengkak yang agak besar. ALLAHU ALLAH.



Firman ALLAH SWT:


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka), "Sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka)".

[al-Baqarah: 186]



Menurut saksi ditempat kejadian, seorang pakcik dengan janggut, kumis yang sangat kemas berkata, akibat impak pelanggaran tersebut ana melambung tinggi. Sebuah MyVi putih sempat mengelak ke kiri dan hampir-hampir melanggar. Beliau juga tidak henti-henti meminta alfaqir bertenang dan mengajarkan mengucap dan berselawat, hanya selawat ini yang mampu diingati dan diucapkan oleh ana :


اللهم صل على سيدنا محمد النبي الأمي وعلى آله وصحبه وسلم



Ana berasa tenang. Maaf ya, sangat sukar untuk ana katakan, kalimat tahlil-tauhid dan selawat yang berulang-ulang ana ucapkan, terasa memudahkan kesukaran untuk ana bernafas. Jika menurut pandangan ahli kaunseling-psikologi, ana sedang mengalami panic attack. Panic attack merupakan satu perasaan luar kawalan daripada pesakit akibat kecelaruan fikiran berlaku.



Seorang pemuda dengan kacamata hitam, berhelmet dengan tenang berkata ; “abg rileks...jangan gerakkan badan, kami semua jaga jalan, abang jangan risau”. Ana melihat sebuah kereta mengundur kebelakang. Keluar seorang wanita berusia awal 30-an, dengan tenang dia berkata : “adik okay tak, adik, akak minta maaf, memang salah akak”. Ana pula, terpingga-pingga apa kaitan akak ni dengan kejadian yang menimpa.



Kemudian ana dialihkan dan didudukkan ditembok stesyen minyak tersebut. Saat ni, dah ramai orang berkerumun dan ana bertanya kepada pakcik yang mengajarkan syahadah dan selawat tersebut, saya dimana? Hari ini hari apa pakcik? Pakcik tersebut menjelaskan, tak mengapa nak, bertenang, anak selamat, sebentar lagi bapa wanita tersebut akan bawa anak ke hospital”.



Datang pula seorang pemuda dengan loghat Sabah, “Bang, saya sudah alihkan motor , minta kunci motor untuk saya lock motor abang”. Saya menggeleng tidak tahu dimana saya letakkan kunci motrsikal. Kemudian, beliau datang dan berikan kembali kunci motorsikal saya. Ya ALLAH...disaat ini, saya merasa sebak. Saya sebak kerana ALLAH SWT masih izinkan saya untuk bernyawa. Saya sebak kerana diwaktu kesukaran ini, saya dikelilingi oleh manusia berhati mulia dan mereka menyapu lelehan darah saya tanpa riak muka yang jijik. Ya ALLAH, berkati kehidupan mereka dengan keselamatan aqidah dan kemudahan urusan dunia agar berbahagia kekal mereka di akhirat.



Menurut isteri tercinta ini merupakan simptom pre-traumatic brain injury dan mild concussion. Sedikit kecederaan mild concussion, muscle abrasion, lip tear, abrasion wound,muscle sprain, below kneel joint dan small wound 2cm x 1.5cm. Dimana ia melibatkan rasa pening, separuh sedar, keliru, pandangan yang kabur, hilang ingatan dan sakit kepala. Manakala, kecederaan untuk motorsikal yang berusia 7 bulan tidak kurang peritnya, sekadar pedal bengkok, lampu depan pecah dan body cover pecah.



Saya sedar kembali ketika berada diatas kerusi pra rawatan untuk pesakit luar disebuah Hospital Swasta. Disini, saya menunggu selama sejam, kemudian saya diberikan rawatan dengan diberi suntikan tetanus toxoid, itupun selepas dijelaskan bayaran bil hospital.



Maaf, tiada niat mahu menyakiti, sekadar berkongsi, jika kebanyakkan orang berbangga dengan rawatan Hospital Swasta berbanding Hospital Kerajaan, maka saya lahirkan rasa kecewa. Saya kecewa kerana ditanya oleh jururawat yang menerima kes saya : “tuan, siapa yang akan langsaikan bayaran bil Hospital tuan ?, kerana rawatan selanjutnya akan diberikan selepas bayaran bil dijelaskan.” Ucapan jururawat ini sangat bersopan, dan saya tidak mampu memberi maklumbalas kerana mulut terasa amat sakit.



Saya ditanya oleh seseorang untuk menghubungi siapa bagi memaklumkan keadaan saya, saya benar-benar buntu dan tidak tahu, kenapa dan apa yang berlaku kepada diri saya. Saya tidak mampu bercakap kerana pendarahan didalam mulut terlalu banyak. Saya melihat beg ditangan orang tersebut dan menunjuk-nunjukkan kepadanya. Beliau mencari dan menjumpai telefon bimbit saya. Telefon pertama, orang terakhir yang saya hubungi ialah isteri tercinta saya, manakala telefon kedua, orang terakhir yang saya hubungi ialah rakan sejawatan saya Saudara Ramesh Subramaniam, maka orang tersebut menelefon kedua-duanya. Saya sendiri buntu apabila ditanya siapakah kedua-dua mereka. Barangkali mild concussion yang saya alami masih saya rasai dan tidak dapat berfikir secara rasional.



Kata orang tersebut, wanita yang dihubunginya tidak mahu bercakap dengan saya, manakala saya sempat bercakap dengan rakan sejawatan saya Saudara Ramesh Subramaniam, mendengar suara kaget beliau, saya sedikit tersedar dan mengenali suara tersebut dan saya bertanya: “dimana ? dan ada apa di pejabat saya?”.



Bayaran bil, saya jelaskan apabila mendengar pesan jururawat tersebut. Maaf ya, disaat kita tidak mampu dan tiada daya janganlah mengharap dan meletakkan upaya kepada manusia yang berlainan keperluan, kehendak, daya tindaknya dengan kita. Kita merancang dengan kepelbagaian persediaan dan kemungkinan, sehingga lupa bahawa ALLAH SWT mempunyai segala daya dan perancang terbaik buat makhluk ciptaannNYA yang diberi gelar manusia. ALLAHU ALLAH. Jangan terlalu berkira, utamakan mana yang dahulu dan Jangan Pilih Bulu..Al-maklum pesakit yang dirawat hanya menunggang motorsikal kapcai. Tidak mengapa, dimaafkan, perkongsian ini pun sebagai satu iktibar dan pengajaran terutama buat diri faqir dan tuan-puan yang peduli.



Saya kongsikan disini tulisan Syeikh Tokku Pulau Manis didalam Hikamnya ; Kata Sheikh R.A yang bermaksud : Setengah daripada alamat orang yang bergantung(bersandar) atas amal itu ialah kurang harapannya apabila melakukan kesalahan(maksiat).



Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala yang bermaksud, "Dan pada sisi ALLAH jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." [Surah Al-An'am: 59]




Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan ALLAH Subhanahu Wa Taala.




Lalu Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam membaca firman ALLAH yang bermaksud :


"Sesungguhnya di sisi ALLAH jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya ALLAH Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Pengetahuannya." [Surah Luqman: 34]



Rakan-rakan sejawatan, tiba dahulu di bilik pra rawatan. Ana dapat mengenali wajah-wajah rakan sejawatan saya.



Ana sungguh terharu dan memuji sikap ayahnda mertua ana yang sangat mengambil berat akan keadaan menantu ketiganya ini. Beliau menghentikan mesyuarat jabatan atas urusan kecemasan. Menerima berita daripada isteri saya selepas dihubungi oleh bapa kepada wanita yang melanggar saya, bapa mertua saya bergegas mengambil isteri saya yang segera pulang ke rumah kami. Maklum, ini bukan kali pertama ahli keluarga kami menerima berita kemalangan jalan raya, malah lebih dahsyat, kami kehilangan empat orang ahli keluarga dalam satu kejadian kemalangan jalan raya. Menurut isteri, bapa mertua ana diam membisu ketika memandu untuk melihat keadaan menantunya ini.



Ibu dan ayahnda saya juga telah dimaklumkan oleh isteri saya. Ketika berita ini diketahui oleh ayah dan ibu, mereka baru selesai menguruskan persiapan kemasukan ke sekolah berasrama penuh adik bongsu di Rembau. Sepanjang perjalanan ibu berzikir dan berselawat mengharapkan keselamatan anaknda sulung keluarga dalam esak tangis dan kerisauan ibunda tercinta. Menurut ibunda, mereka bergegas pulang dan tiba di Kajang dalam masa 30 minit! dan tidak sempat menjamah sebarang makanan. ALLAHU ALLAH..Kasihi,peliharalah kedua ibu-ayahndaku sebagaimana mereka memelihara diriku sejak kecil Ya ALLAH.



Ana kongsikan sedikit petikan daripada blog Al-Fadhil Ustaz Haji Adlan As-Sarawaki, sebuah kisah mengenai bagaimana pertemuan seorang lelaki soleh bernama Bilal al-Khawwash dengan Sayyidina Khidhir AS. Kisah ini tercatat pada halaman 405 dalam karya agung Imam al-Qusyairi yang berjudul "ar-Risalah al-Qusyairiyyah".



"... Aku telah mendengar Bilal al-Khawwash berkata: " Adalah satu waktu, ketika aku berada di padang Tih Bani Israil (yakni padang pasir tempat Bani Israil berkeliaran apabila terhalang memasuki bumi Palestin), tiba-tiba muncul seorang lelaki berjalan bersamaku. Kemunculannya secara tiba-tiba tersebut amat menghairankan aku, lalu aku diilhamkan bahawa lelaki tersebut adalah Nabi Khidhir AS. Aku pun bertanya kepadanya: "Demi Allah, siapakah engkau?" Baginda menjawab: "Saudaramu al-Khidhir." Maka aku berkata lagi kepadanya: "Aku mohon untuk bertanya kepadamu". Nabi Khidhir berkata: "Tanyalah". Maka aku bertanya: " Apa yang engkau kata mengenai Imam asy-Syafi`i rahimahUllah ta`ala?" Baginda menjawab: "Dia tergolong dalam kalangan wali awtad (yang menjadi pasaknya agama)." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Imam Ahmad bin Hanbal?" Baginda menjawab: "Dia seorang lelaki yang shiddiq." Aku bertanya lagi: " Bagaimana pula dengan Bisyr bin al-Harits al-Haafi?" Baginda menjawab: " Allah belum lagi mencipta seseorang seumpamanya setelah dia meninggal dunia. Kemudian aku bertanya lagi: "Apakah penyebabnya sehingga aku dapat bertemu denganmu?" Baginda menjawab: "Dengan sebab kebaktianmu kepada ibumu."



Ketika berada di atas kerusi pra rawatan ana dapat melihat seorang wanita berjalan ke arah kerusi yang ana duduki. Nah, pada ketika inilah ingatan ana sedikit pulih dan beliaulah wanita yang bergelar isteri kepada faqir. Beliau seorang yang sangat tenang, sangat berbelas ihsan dan penyayang. Riak wajah beliau yang tenang dan senyuman yang memcerminkan kegembiraan dengan keselamatan suaminya.



Selepas dan Keseluruhan



Wahai Zaujah solehah kepada suami yang soleh,



Tika suatu hari nanti juga, kamu bakal menjadi ibu. Kamulah itu yang akan menjadi penanam benih jilun-mansyud atau generasi yang ditunggu-tunggu. Begitu juga bakal ibu kepada jilun Qurani Farid!



Kamulah itu yang akan mendidik anak-anak agar meletakkan cinta dan Redha ALLAH di tangga yang utama. Juga sentiasa membajai dengan ilmu warisan Islam, dan kemuncaknya adalah hidup dan mati untuk agamanya, mati berdarah sebagai syahid! Tetaplah ukht ku akan jalan yang payah ini. Taat, patuh juga menjaga amanah, harta, anak-anak tika suami tiada di rumah.

-Kak AlBazrah



Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala yang bermaksud:


"Dan Kami uji mereka dengan kesenangan dan kesusahan agar mereka kembali kepada kebenaran." [Al-'Araf:168]



FirmanNya lagi yang bermaksud:


"Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukkan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan." [Al-Anbiya:35]



Ana yakin bahawa apa sahaja perkara buruk dan baik merupakan satu ujian yang datang ditentukan oleh ALLAH SWT. Dia mendatangkan musibah bukan agar manusia sengsara, namun hendak menguji siapa di antara hamba-hambaNya yang benar-benar beriman dan pendusta.



Jalan yang bukan mudah. Perlu dibayar dengan darah dan airmata. Moga-moga ALLAH Subhanahu Wa Taala menyaksikan segalanya, bahawa musibah ini adalah sebagai satu ujian buat diri penuh dosa. Dan diberi ganjaran yang selayaknya buat pendokong risalah dakwah yang sukar dan penuh rencam berupa ancaman musuh di kalangan iblis, syaitan, manusia jahil dan semestinya nafsu yang durjana.



Wallahu’alam.


"
وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"


Mohon doa-mendoakan.

Alfaqir ilallah:

Almukminun

BBST, Sepang

24 Muharram 1432 H / 30122010

http://almukminun.blogspot.com/2010/12/kecelakaan-jalan-raya-22-muharram-1432h_7646.html

1 ulasan:

Ummu Fateh berkata...

berita amat mengejutkan. moga kitak cepat sembuh, bg ikhram.