Wahai Wanita Solehah, Ini Pesanku بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه Kelihatan ramai yang bergembira apabila diri bakal bergelar isteri. Kerana mereka mensyukuri nikmat ALLAH Subhanahu Wa Taalla atas kurniaan insan yang bergelar suami. Daripada status sendiri kini jiwa telah dimiliki. Mereka berasa bertuahnya diri berbanding sahabiah lain yang masih mencari. Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar r.a., Rasulullah Sallallahualaihi-Wasallam bersabda : “Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah wanita yang solehah.” Dalam sebuah hadis daripada Rasulullah shallallahual aihi wasallam bersabda: “Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.” (HR:Ibnu Majah) Seorang Isteri yang solehah itu akan mengutamakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Segala tindak tanduknya pasti disandarkan kepada keredhaan Allah. Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah: 1. Mentaati suami yang soleh Rumahtangga bahagia bukan ditunjangi oleh suami soleh, tetapi ia dipacu juga oleh isteri yang solehah. Perintah Allah dan Rasul akan menjadi autoriti disamping mencurahkan kesetiaan kepada suami yang soleh. “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” [Surah An-Nisa’:34]
Isteri cerdik lagi solehah, di samping patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, dia sentiasa menampakkan wajah manis dihadapan suami. Rahsia rumah tangga samada di dalam atau di luar rumah pasti dijaga rapi bagi menjaga aib suami. Segala perintah suami pasti dituruti, asal sahaja baik arahannya. Segalanya dikerjakan dengan patuh kerana redha ALLAH Subhanahu Wa Taala. Bertambah kasih suami kepada si isteri, apabila isteri yang dinikahi baik budi.
Mulianya isteri diangkat juga dengan kelembutan bicaranya terhadap suami. Isteri tidak sesekali memberi perintah kepada suami, melainkan diucapkannya dengan nada mengharap suatu pertolongan sebagai simbol penghormatan. Manakala kepada suami, hak yang dimiliki bukan bererti memperhambakan isteri dalam urusan rumahtangga, tetapi ia dikongsi bersama. Wanita yang bergelar isteri tidak pernah jatuh martabatnya dengan taat kepada suami. Ketaatan isteri solehah terhadap perintah suaminya hanya terletak kepada perkara yang tidak melanggar syarak. Isteri dibenarkan membantah arahan suami yang jelas melanggar syarak dan mendatangkan dosa. 2. Menguruskan rumahtangga Isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah agar sentiasa berada di rumah sebagai keutamaan. Tanpa keizinan suami, adalah haram buat siisteri untuk melangkah kaki sesukanya ke luar rumah. Islam tidaklah kejam hingga dalam hal darurat, isteri tidak dibenarkan keluar rumah.Terlalu banyak hikmah terhadap suruhan agar isteri mengutamakan untuk tinggal di rumah dan memohon izin suami ketika mahu berpergian. Dengan kelembutan sifat fitrah si isteri, anak-anak menjadi mudah dilentur. Hubungan ibu dan anak semenjak 9 bulan di dalam rahim, memungkinkan kelembutan didikan ibu disalurkan dengan berkesan terhadap anak. Manakala, keizinan suami untuk isteri berpergian, memberi kemuliaan terhadap si isteri agar fitnah dapat dikekang tanpa ditemani mahram. Peringatan! Mendidik anak, menghias, mengemas rumah bukanlah seratus peratus tanggungan isteri. Tugasan tersebut harus dibahagikan juga kepada suami sebagai keringanan buat si isteri. 3. Isteri Berhias Umum mengetahui, menghias diri adalah fitrah wanita. Walaubagaimanapun, salah faham sering berlaku di kalangan para isteri. Sangkaan berhias di luar rumah (tabarujj) sebagai perkara biasa adalah satu kesalahan besar yang sering dilihat ringan. Wahai para isteri di luar sana, jelaskan, untuk apa berhias di luar rumah? Untuk dilihat menarik oleh sesama wanita? Dilihat menarik oleh lelaki ajnabi agar dipuji? Mahu mengikut peredaran fesyen supaya diri dihargai? Mengapa pula penghargaan orang di luar sana lebih utama daripada insan bernama suami? Keistimewaanmu wahai isteri, perhiasanmu khusus buat suami. Pujian kerana kecantikan aslimu wajib buat tatapan suami. Kerana suamimu, dirimu diangkat menjadi mulia. Andai dilihat secara kasar, pasti ramai yang menyangka apa ada pada pandangan seorang suami terhadap si isteri. Tetapi itulah bukti yang menunjukkan pengikitirafan Islam dalam mengangkat hak wanita bernama isteri. Kemulian wanita pada perhiasannya hanya untuk seorang lelaki bergelar suami. Andai menjadi tatapan umum dan sentiasa mendapat puji itu adalah penghinaan kepada wanita. Disebabkan batasan dirinya adalah hak kepada suami, maka balasan syurga menanti sebagai balasan tidak ternilai yang perlu sabar dinanti. Tetapi, andai ketika di rumah isteri dalam keadaan tidak bersih, kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami. Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri. Sabda Rasulullah SAW: “Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya.” (HR:Muttafaqun Alaihi) Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana , kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami. 4. Melayani suami Hubungan seks merupakan penawar kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian rumahtangga. Oleh sebab itu isteri hendaklah memberikan layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuan suaminya . Seorang isteri akan dikutuk oleh malaikat apabila ia menolak kemahuan suaminya sehinggalah suaminya reda kepadanya. Mungkin dalam keadaan tertentu isteri boleh menolak kemahuan suaminya seperti dalam keadaan sakit, atau dalam keadaan yang dilarang oleh syara’ untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid dan sebagainya. 5. Berpakaian menurut ajaran Islam Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah, ramai wanita pada zaman sekarang ini yang berpakaian tetapi telanjang kerana ia menutup bahagian tertentu sahaja, kalau menutup semua pun tetapi bentuk badannya tetap nampak jelas. Allah SWT berfirman, ertinya:
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” [Surah Al-A’raaf:26] Jilbab merupakan satu fesyen pakaian wanta Islam yang menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab tidak menampakkan tubuh badan. Allah memerintahkan supaya berpakaian demikian supaya dapat membezakan antara wanita beriman dan tidak beriman, ia juga supaya terhindar dari golongan munafik. Firman Allah yang bermaksud:
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri- isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan Jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka.”Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Ahzab:59] 6. Memberi motivasi terhadap cita-cita suami Isteri yang solehah adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri yang selalu diertikan orang sebagai “teman hidup”.Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya. Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama. Wallahu’alam "وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم" Al-Faqir ila ALLAH Al-Ghaniy; Almukminun Pulau Pinang 3 Zulhijjah 1430H/20112009 http://almukminun.blogspot.com/2010/06/wahai-wanita-solehah-ini-pesanku.html |
Khamis, 3 Jun 2010
Wahai Wanita Solehah, Ini Pesanku
Posted by almukminun at 9:55:00 PTG
Labels: Wanita
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Assalamualaikum..
orang berkata hidup bagai dalam mimpi, bercinta umpama mimpi yang indah. semoga mimpi indah saya menjadi isteri solehah pada bakal suami termakbul. Insha'ALLAH. aminn
[semoga impian saya untuk ke kota suci ini bersama bakal suami termakbul jua]
Catat Ulasan