بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه
Kita dan Remaja
Ana terpanggil untuk berkongsi kepada satu persoalan yang ditanyai oleh golongan remaja yang begitu marah dan sedih dengan hukuman tidak adil dikenakan keatas mereka. Ana terkesan kepada kenyataan-kenyataan berupa hukuman tanpa ada keadilan. Kesalahan yang dilakukan oleh para remaja terus ditunding jarinya sebagai pelaku dan layak dihukum tanpa usul periksa. Lalu mereka ditinggalkan tanpa rasa belas dek kerana hanya berbeza pakaian dan tidak menyantuni keperibadian Islam.
Bahkan ditambah hinaan, paling malang disertai umpatan dek kerana mereka tersalah arah dalam memilih jalan kebenaran. Rupanya di kalangan penghukum hampir sahaja terlupa kepada pernyataan:
Bersabda Rasulullah S.A.W:
“Seseorang Muslim ialah orang yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari bencana lidahnya dan tangannya. Dan seorang Mukmin pula, ialah orang yang teraman daripadanya kaum Mukminin lainnya keatas diri dan harta benda mereka. Dan orang Muhajir (yang berpindah negeri), ialah orang yang menjauhi kejahatan dan menjauhi diri daripadanya”
Lalu, bagaimana kita hendak mengetahui perihal seseorang itu sangat berkehendak akan agama. Andai tidak digerakkan keinginan untuk turut membantu mendampingi dan memperhalusi jiwa-jiwa yang kontang iman disebabkan tewas dalam urusan menundukkan nafsu. Jika dilihat khalayak, dari sudut luaranya sahaja, pakaian menampakkan tiada langsung ciri-ciri menepati syarak. Wanita tidak dapat membezai adab juga etika busana muslimah begitu juga dengan muslimin tidak mampu memperlihat bahawa dia adalah seorang imam yang mampu mengimami solah berdasarkan pakaiannya yang tidak menepati kehendak Islam.
Menghukum dan Melabel
Bahkan, budaya menghukum juga melabel telah menjadi pelakuan harian. Sehingga insan-insan yang berkehendak akan agama merasa takut untuk mendekati dek kerana si “murrobbi” payah didekati dan sentiasa sangsi akan niat yang cuba mendekati. Pertama sekali yang dilakukan oleh si “murrobbi” adalah menilai luarnya sahaja lalu diletakkan label: 1.Berpotensi, 2. Sipi-sipi, dan 3. Tiada Harapan ke atas mad’u atau orang yang didakwah.
Mungkin sahaja berpotensi dicirikan berdasarkan latar belakang didikkan, bahawa yang mendapat penggajian agama formal itu adalah mudah dilentur imannya. Sangat tidak dinafikan. Manakala golongan sipi-sipi pula tergolong kepada mereka yang keliru, berpakaian menutup aurat tapi tidak secara keseluruhan. Golongan ini dikatakan sedikit liat untuk dilentur, perlu kerja keras katanya.
Paling malang ialah golongan tiada harapan, yang dilihat pada gerak lakunya, ana pinjam istilah “hancur”. Lalu golongan ini jangan kata menegur, melihat pun tidak, oleh kalangan mengaku “murrobbi” celupan.
Fitrah
Nah, apakah golongan yang memiliki latar “berpotensi” itu sentiasa hebat keseluruhannya. Atau golongan yang dikatakan berpotensi itu juga sudah dijamin kemudahan dalam menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menjelma. Sehingga dengan enak kita menidakkan hak golongan yang dikatakan “sipi-sipi” dan “tiada harapan” dalam menerima ajakkan kembali kepada Islam dengan keseluruhan. Istilah yang diberikan sebaiknya digantikan kepada “berpotensi” jua. Kerana setiap manusia mempunyai fitrah berbalik kepada Islam yang syumul.
Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud:
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui"
(Surah ar-Rum: Ayat 30).
Anologi mengapa apabila usia telah meningkat tua, kaki-kaki terasa ringan langkahnya ke mussolah atau masjid-masjid. Inilah natijah fitrah insaniah, yang bermula mahu sujud kembali kepada Penciptanya. Mahu merasa berTuhan dan dibela sifat dirinya setelah sekian lama diri dialun dengan keseronokkan dan keasyikkan dunia.
Persoalannya mengapa hanya ketika usia meningkat baru merasa ingin kembali ke fitrah. Mengapa tidak ketika usia muda. Juga mengapa tidak disambut atau diterokai sifat ingin kembali kepada fitrah itu oleh kalangan mereka yang mengaku sebagai “agen perubah masyarakat”.
Kepada para pendukung dakwah yang dikatakan mengakui memegang teguh agamanya kadangkala terlalu sibuk dengan urusan ilmu. Mereka merasa nyaman dan selesa umpama hidup di “pulau damai” ditengah lautan berombak dan berbadai. Tanpa mengambil peduli perihal lapangan yang hiruk-pikuk dengan pelbagai kejadian. Penyusunan aktiviti besifat eksklusif tanpa ada keterbukaan kepada ketiga-tiga golongan yang dinyatakan.
Mereka juga seperti kita, mahu mendambakan kasih tertinggi hanya kepada ALLAH SWT.
"Dan apa-apa nikmat yang ada pada kalian , maka itu semua dari ALLAH"
(Al Baqarah : 165)
Mereka juga mahu merasa kembali kepada mengabdikan diri kepada ALLAH SWT dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam solat: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi ALLAH Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".
Berubahlah
Adalah mustahil! Remaja Muslim yang menutupi dirinya daripada suasana semasa, bercita-cita ingin mengubah masyarakat kearah kesempurnaan mengikut acuan Islam. Maka, selaku murrobbi, dai’e atau anda namakan sahaja, perlu bercampur dan bergaul dengan mempelajari fakta hidup yang sedang terjadi di kalangan ketiga-tiga kelompok remaja tersebut.
Kita optimumkan segala upaya mereka, kita rapati dan meraikan mereka dalam bidang dan minat masing-masing yang pada dasarnya perlu selari dengan syariat Islam. Mereka adalah sumber penerus perjuangan. Sudah cukup kita menjadi penghukum, kini masa untuk bersama-sama bertindak.
Wallahu’alam
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun
26 Rabiulawwal 1429H
1545
Cyberjaya, Selangor
http://www.almukminun.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan