::Teman Bersama::

Jumaat, 4 April 2008

Persoalan Tentang Tauhid

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

Persoalan Tentang Tauhid

1) 1.Berikan Penakrifan Ilmu Tauhid dan Bagaimanakah Cara Untuk Menguatkan Keimanan?

Ilmu tauhid ialah ilmu yang menetapkan aqidah-aqidah agama, berdasarkan dalil-dalil yang diyakini lagi qot’ei (muktamad) daripada al-Quran, sunnah yang mutawatir, ijma’ dan aqal.

Sekiranya kita hendak menguatkan keimanan, maka hendaklah kita mempelajari ilmu tauhid daripada kitab-kitab Ahli Sunnah wal Jama’ah kerana ALLAH SWT telah berfirman:

“Maka ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan ALLAH”

(Muhammad:19)

Dengan mempelajari ilmu tauhid, seseorang Muslim akan dapat melindungi dirinya daripada terjerumus ke dalam lubuk kesesatan dan menolak sebarang keraguan yang dibawa oleh orang-orang kafir dan atheis.

Dengan mempelajari ilmu ini juga, seorang Muslim akan mengetahui cara-cara untuk menolak serangan kumpulan-kumpulan yang sesat seperti golongan Mujassimah (yang menyatakan ALLAH berjisim) dan Musyabbihah (menyerupakan ALLAH dengan makhluk).

Keimanan juga boleh diperkuatkan dengan bertafakkur tentang kejadian (makhluk) ALLAH SWT, sebagaimana firman ALLAH SWT:

“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat), tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ditinggikan binaannya?”

(Al-Ghaasyiah: 17,18)

Keimanan juga boleh diperkukuhkan dengan sentiasa mengingati ALLAH SWT sehingga diri kita berasa tenang dengan mengingatiNYA. Sesungguhnya ALLAH SWT telah berfirman:

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia ”

(Al-Ra’ad:28)

2) 2. Apakah yang diajar di dalam ilmu tauhid?

Ilmu tauhid mengajar perkara-perkara berikut:

1. Zat ALLAH; perkara wajib bagi ALLAH,perkara mustahil bagi ALLAH dan perkara yang harus bagiNYA.

2. Zat para Rasul; perkara-perkara yang wajib bagi Rasul, perkara-perkara yang mustahil dan harus bagi mereka.

3. Perkara-perkara Sam’iyyat; perkara-perkara yang wajib bagi diimani dan tidak dapat kita saksikan dengan mata kasar seperti syurga, neraka, azab dan nikmat kubur, Siratul Mustaqim, telaga Kauthar, neraca timbangan dan sebagainya. Adapun masalah-masalah yang berkaiatan dengan kubur , tawassul dan istighathah bukanlah permasalahan tauhid.

3) 3.Apakah kalimah tauhid?

Kalimah tauhid ialah firman ALLAH SWT:

“Maka ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan ALLAH.”

(Muhammad:19)

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan ALLAH...’.Maka sekiranya mereka berkata demikian, akan terpeliharalah daripadaku darah-darah dan harta-harta mereka melainkan dengan haknya dan hisab mereka adalah di sisi ALLAH”

[Dirawayatkan oleh al-Bukhari, lihat Fath al Bari, Jilid:1, H:75 cetakan Dar al-Ma’rifah dan Muslim Jilid: 1, H:53. Hadith no 36, cetakan Dar al Ihya’ al Kutub al Arabiyyah]

4) 4.Berapakah pembahagiaan ilmu Tauhid?

Ilmu tauhid tidak mempunyai pembahagian, bahkan ia terbina di atas kalimah yang satu iaitu:

Penyaksiaan bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Muhammad itu pesuruh ALLAH.

Dalilnya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas ibn Malik R.A, daripada Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidaklah seorang hamba yang menyaksikan: ‘Bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu hamba dan Rasulnya’, melainkan ALLAH mengharamkannya daripada api neraka”

[Diriwayatkan oleh al-Muslim, jilid 1, H:61, hadith no:53]

Wallahhu Walii’yu Taufiiki Wass Saddadi

[Sumber:Kitab Agamamu Dalam Bahaya: Al Allamah Abu Abdullah ‘Alawi Al-Yamani]

[Terjemahan -2005- dan Penggajian Oleh:

Tuan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki]

Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun

26 Rabiulawwal 1429H

1228

http://www.almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: