Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ke hadapan teman- temanku yang dikasihi. Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk berkongsi sesuatu dengan teman, memandangkan Pilihanraya Umum ke 12 akan berlansung tidak lama lagi. Tarikh mengundi telah pun diumumkan. Maka gendang ‘perang’ pilihanraya telah pun bergema.
Seperti biasa, ahli politiklah manusia yang paling sibuk ketika PRU ini. Mereka akan berhempas pulas memastikan kejayaan di tangan mereka. Tetapi, biarlah, itu memang tugas mereka pun. Kita hormati peranan mereka. Saya mahu berkongsi dengan teman- teman ialah, apa pula peranan kita sebagai rakyat biasa?
Dalam pilihanraya, kita sebagai rakyat diberi tanggungjawab untuk mengundi calon pemimpin yang kita percayai akan membawa perubahan yang baik. Akan tetapi saya menyoal teman- teman yang bijaksana, apakah kita selamanya menjadi pengundi yang pasif? Yang sekadar memangkah calon atau parti tanpa berfikiran kritis?
Ah, maafkan saya kerana agak keterlaluan soalnya. Saya sebenarnya menujukan warkah ini kepada teman- teman saya yang masih muda- muda ini, yang dikatakan belia ini. Sebelum itu tidak terlambat saya alukan teman- teman yang baru sahaja layak mendaftar sebagai pengundi PRU ke 12 ini. Sememangnya saat menjadi pengundi ketika di alam kampus adalah pengalaman yang luar biasa sekali.
Teman- temanku,
Kenapa saya seru kita supaya tidak menjadi pengundi yang pasif? Sudah pasti teman- teman bertanya- tanya ingin mengetahuinya jawapannya kan? Beginilah, saya harus berterus terang kepada teman- teman bahawa kita sebagai generasi muda, dan rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa, iaitu memilih dan menolak pemimpin yang kita mahu.
Dalam pilihanraya, mengundi adalah caranya. Dalam konteks kita hari ini, teman- teman harus menyatakan tuntutan dan hasrat teman- teman kepada bakal- bakal wakil rakyat nanti. Kita harus tegas dalam menuntut hak dan yang paling penting apa yang baik untuk kita.
Saya melontarkan beberapa isu yang perlu kita sama- sama fikirkan, iaitu;
1. Kita belajar hari ini sudah kering daripada biasiswa, yang ada hanyalah pinjaman. Saya rasa ramai yang berhutang ketika belajar dan selepas belajar. Maka, bila berhutang ini, semacam kaki kita terikat sehinggakan asyik terfikir cara membayar hutang. Bukankah dalam Hadith Nabi ada mengatakan sebenarnya orang yang berhutang ini hina di siang hari? Kenapa kita tidak dapat lagi biasiswa? Walhal keuntungan negara agak memberangsakan.
2. Saya percaya mahasiswa sekarang pasti lebih mengenali Mawi daripada mengenali Naib Canselor- Naib Canselor universiti, percaya tak? Sekarang ini prestij universiti sebagai pusat intelektual sudah hilang nilainya. Pelajar semua sudah jadi macam ‘budak’ sekolah, dikawal dan diperhatikan sepanjang masa. Inilah akibatnya apabila universiti telah dijadikan perkakas kepentingan parti politik. Jika itu, lebih baik sahaja universiti ditutup sahaja, sebab hilang maruah akibat kerakusan politik. Kuasa autonomi universiti pun sudah hilang.
3. Nasib bahasa Melayu juga semakin merosot teman- teman. Kita ada pemimpin Melayu di peringkat Eksekutif yang ramai, tetapi bahasa Melayu semakin menyepi. Kenapa ye, wakil- wakil yang kita pilih tidak berusaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat yang tinggi?
Ini adalah sebahagian isu yang saya rasa teman- teman tahu dan risau. Sebenarnya banyak lagi isu yang bersepah yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Kerana itulah kita harus menghantar mesej yang jelas kepada bakal pemimpin dan kerajaan akan datang, bahawa kita generasi muda mahukan mandat yang segar dan baru. Saya kaitkan juga dengan pelbagai masalah luar seperti rasuah kehakiman berleluasa, jenayah meningkat, mutu universiti merosot, gejala sosial meningkat, akhlak pemimpin yang rosak, dan pelbagai lagi.
Kita tidak mahu kerja ‘tampal- menampal’ sistem yang rosak ini. Kita juga tidak mahu janji- janji mahu merubah sistem sedia ada yang rosak ini mendatang. Kita sepatutnya jelik dan bosan dengan janji- janji sesetengah wakil rakyat ini. Sebab itu Benjamin Disraeli ada menyatakan tentang politik, “Is the art of governing people by deceiving them”. Maksudnya, politik ialah seni mengurus manusia dengan cara menipu mereka (janji palsu).
Maaf, tidak semua saya katakan ahli politik sebegitu, tetapi ramai yang sebegitu.
Justeru apa peranan kita, teman- teman bertanya ya. Kita harus menggerakkan kesedaran kepada semua rakyat dan kita sendiri mengenai hak dan kuasa kita. Kita ada kuasa memilih yang harus dimanfaatkan. Kita harus menggunakan kuasa ini untuk kepentingan dan kebaikan kita.
Sebab itu kita perlu faham, bahawa ‘Yang Berhormat’ perlu ditukar kepada ‘Yang Berkhidmat’. Kita wajib menuntut daripada mereka supaya menunaikan hak dan tuntutan kita, sebab mereka adalah wakil kita dalam parlimen kelak. Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasallam ada bersabda, “Saiidul kaum, khadimuhum”, maksudnya pemimpin kaum adalah khadam (berkhidmat) kepada kaumnya”.
Maka dengan inilah saya memohon kerjasama teman- teman semua supaya kita menyampaikan tuntutan dan hak kita. Setiap di kalangan kita harus membawa ‘wish list’, misalnya mahukan biasiswa dan pendidikan percuma kepada calon wakil rakyat, dan nyatakan kepada mereka adalah kamu boleh memperjuangkan biasiswa dan pendidikan percuma? Jika beliau mengatakan boleh, maka kita katakan kita akan menyokong beliau. Jika tidak, kita tinggalkan calon yang tidak berguna ini.
Misal yang lain ialah ‘wish list’ kita mahukan jenayah dikurangkan, kita berjumpa dengan calon wakil rakyat dan katakan adalah beliau bersetuju supaya membawa hasrat kita jenayah dikurangkan, jika bersetuju maka kita akan sokong, jika tidak kita kata bye...bye sahaja!
Kerja ini memerlukan kerjasama semualah. Saya tidak memaksa teman- teman untuk memilih siapa dan parti tertentu yang teman- teman cenderung, kerana saya menghormati pandangan semua. Saya juga menyerahkan kebijaksanaan teman- teman untuk memilih yang boleh membawa kebaikan. Apa yang saya seru ialah SUPAYA HAK DAN TUNTUTAN KITA MENJADI KEUTAMAAN BAKAL PEMIMPIN KITA.
Kita harus mencerdaskan dan mendidik rakyat dalam hal ini. Kita tidak mahu rakyat yang tidak cerdik dan bobrok, kerana nescaya pemimpin yang diangkat oleh rakyat pasti di kalangan yang tidak cerdik dan bobrok juga. Kita mahukan pemimpin yang lahir di kalangan masyarakat ialah mereka yang terbaik, yang mampu memimpin negara...ahh..saya terhimbau sebentar kepimpinan Umar Abdul Aziz yang penuh dengan keberkatan. Itulah yang kita mahukan.
Teman- teman sekalian,
Sebelum akhir, saya sekadar memohon kita sekadar menjadi rakyat dan pengundi yang bijak, yang meletakkan tuntutan dan hak kita di bahu bakal pemimpin akan datang supaya dapat dilaksanakan. Tugas ini agak sukar dan penat, tetapi saya yakin jika kita buat secara bersama, Insyallah, semua akan senang. Kita mahukan pemimpin yang boleh tunaikan hak kita, itu sahaja. Maka, kita wajib mendidik dan mencerdaskan rakyat. Selamat mengundi kepada teman- teman yang baru mendaftar!
Yang Ikhlas,
Mohd Hilmi Ramli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gombak
http://warkah-buat-teman.blogspot.com/
Isnin, 18 Februari 2008
Warkah Buat Teman: Sempena PRU-12
Posted by almukminun at 2:57:00 PTG
Labels: muhasabah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan