::Teman Bersama::

Selasa, 28 Disember 2010

Ancaman Pluralisme Agama : Satu Tinjauan Awal / Dr. Yusri Mohamad


Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia : Satu Tinjauan Awal

Oleh:
Dr. Yusri bin Mohamad



BismiLlahirrahmanirahim, AlhamduliLlahi Rabbil `Alamin wa bihi Nasta`in, Wassolatu wassalamu `ala Sayyidina wa Habibina Muhammadinilamin wa `ala Aalihi wa Sohbihi Ajma`in.




Muqaddimah, Definisi dan Premis Asas




Tulisan ini adalah catatan ringkas pengamatan awal penulis di sekitar tajuk yang dikirakan sudah cukup jelas dan terang maksudnya. Pun begitu, adalah dirasakan perlu makna beberapa istilah di dalam tajuk tersebut tetap diteliti kerana mungkin masih terdapat percanggahan tanggapan yang akhirnya menyukarkan kita mencapai suatu kesimpulan dan persetujuan, semata-mata kerana berbeza dalam mendefinisikan istilah. Sedangkan para hukama sudah sekian lama menegaskan kaedah bahawa, “Tidak wajar bertelingkah semata-mata kerana berbeza memahami istilah” (La Mushaahata fi al-Istilah).




Merujuk kepada tajuk kita, jika istilah-istilah kuncinya tidak diperjelaskan, berkemungkinan besar kita tidak akan mampu bersetuju bahawa apa yang akan dibentangkan sebagai realiti-realiti yang wujud di Malaysia sudah pun memenuhi apa yang disebut sebagai ‘Pluralisme Agama’ dan sudah pun mencapai tahap suatu ‘ancaman’.




Kata-kunci pertama yang perlu dihuraikan adalah kalimah ‘Pluralisme Agama’. Oleh kerana kertas-kertas awal dalam Wacana ini telah menjurus kepada perbahasan teori dan konsep ‘Pluralisme Agama’ maka tidak perlulah lagi kita mengulangi perbahasannya di sini dan rujukan bolehlah dibuat terus kepada kertas-kertas tersebut. Memadailah buat penegasan, kita memetik pandangan seorang pengkaji yang menekuni isu ini, Dr. Anis Malik Toha, yang mengingatkan kita bahawa,




“Yang perlu digaris-bawahi di sini adalah bahwa bagi kalangan pluralis sejati, Pluralisme pada umumnya dan Pluralisme Agama pada khususnya bukanlah sekadar toleransi belaka, sebagaimana yang jamak di(salah)fahami oleh kalangan pentaklid pluralis. Penekanan Pluralisme lebih pada “kesamaan” atau “kesetaraan” (equality) dalam segala hal, termasuk “beragama”. Setiap pemeluk agama harus memandang sama pada semua agama dan pemeluknya. Oleh kerananya, sejatinya pandangan ini pada akhirnya akan menggerus konsep keyakinan “iman-kufur”, “tawhid-syirik”, dalam sangat sentral dalam agama Islam.”




Beliau kemudian merumuskan beberapa ciri asasi faham ini iaitu :




1. Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk



2. Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.




3. Relativisme. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.




4. Reduksionisme. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan pribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.




5. Eksklusivisme. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme.




Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakikatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajemukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahwa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.”





Kita juga merasakan, ada satu lagi kata-kunci yang turut perlu ditakrifkan iaitu kalimah ‘Malaysia’ itu sendiri. Mungkin kenyataan ini mengejutkan sesetengah pembaca, tetapi kita merasakan bahawa salah satu punca utama perbezaan sikap terhadap beberapa isu yang terkait dengan agama dan bangsa di negara kita berbalik kepada tanggapan yang berlainan terhadap makna dan hakikat sebenar ‘Malaysia’ atau ‘Ke-Malaysiaan’ itu sendiri. Kita hanya boleh berlaku adil terhadap isu-isu seperti kebebasan beragama, pluralisme agama, ketuanan Melayu atau seumpamanya, jika kita membincangkannya dengan berakar kepada realiti khusus Malaysia.




Secara ringkas, kita tegaskan bahawa ‘Malaysia’ adalah sebuah negara yang beragama dan agamanya adalah Islam. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah syahadah rasminya yang telah pun dilafazkannya ketika Islam mula sampai ke perpantaiannya. Namanya, iaitu ‘Malaysia’ pula, berakar-umbikan kalimah ‘Melayu’ seperti yang lebih jelas dalam nama asalnya iaitu ‘Tanah Melayu’ atau ‘Kepulauan Melayu’ kerana memang tanah dan kepulauan rantau ini ada penduduk asalnya iaitu kaum Melayu, termasuklah semua kerabat pecahannya. Seperti mana benua India, Afrika, Tanah Arab dan Tanah Besar Cina yang semuanya ada kaum penduduk asalnya yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Pencipta. Malaysia berbeza dengan Australia, Amerika Syarikat atau yang lebih dekat Singapura. Adalah kurang bermanfaat malah berbahaya kalau Malaysia hendak mengikut acuan yang tidak serasi dengan hakikat dirinya.





Kesan dan Implikasi Faham Pluralisme Agama




Jika telah jelas kepada kita bahawa Pluralisme Agama adalah suatu faham yang menyeleweng daripada asas Islam, wajar pula kita meneliti kesan dan implikasinya dalam konteks Malaysia secara khusus.




1. Implikasi Aqidah




Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati-diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas dalam hal aqidah berbanding aspek lain.




Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani, kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi aggresif masyarakat Islam. Pihak yang berwewenang, setakat ini, nampaknya masih bertahan dengan tafsiran dan perlaksanaan undang-undang yang lebih menutup pintu murtad.




Disuatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak. Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Bezanya, Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta dengan imej faham Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah dan menyesatkan.





2. Implikasi Keutuhan Umat




Jika kita sudah berkompromi dalam bab aqidah maka keutuhan umat sudahpun terhakis dan kita telah menempah kebinasaan. Kalaupun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan, lambat laun Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di tengah-tengah tubuh Umat. Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat akan terpecah kepada dua puak yang mungkin sahaja ketajaman perselisihannya itu lebih tajam berbanding dengan perselisihan politik kepartaian. Malah sudah nyata bahawa pendokong parti politik yang sama pun boleh jadi terjauh hati dan berpecah-belah akibat gejala Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran Umat yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia.




3. Implikasi Sosio-politik




Susulan dan terkait dengan implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila kecemburuan umat Islam di Malaysia terhadap agama dapat dicairkan melalui faham ini, maka agama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan dirobohkan. Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama. Merongkai formula yang sudah terbukti ini bererti merongkai ikatan yang selama ini mengikat kesebatian masyarakat.




Pendek kata, Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, kalau pun Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, di Malaysia ia adalah racun yang membunuh.




Aliran Pemikiran Berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia




Adalah lebih memudahkan kita mendapat gambaran yang jelas tentang Pluralisme Agama di negara ini jika kita dapat mengenal-pasti terlebih dahulu tren atau kecenderungan pemikiran yang ada dan bergerak dalam konteks Malaysia. Sesudah mengenali lebih dekat madrasah-madrasah pemikiran ini kita akan turut meninjau isu-isu spesifik berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia yang ditimbulkan oleh mereka.




1. Madrasah Arus Perdana Umat




Umat Islam yang berpegang kepada tafsiran para ulama muktabar dalam menangani persoalan. Jika ada lebih daripada satu pandangan atau khilafiyah maka mereka ini akan sedia untuk mengikut pandangan yang dipilih oleh pihak autoriti agama dalam negara atas kaedah (Hukm al-Hakim Yarfa` al-Khilaf). Misalnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.




2. Madrasah Arus Pinggiran Umat




Dari kalangan umat Islam yang tidak suka merujuk kepada khazanah warisan atas alasan mahu membebaskan diri dari kongkongan dan kejumudan atau alasan yang senada dengannya. Mereka mungkin berimej Islam, berlatarbelakang aktivis Islam ataupun masih aktif dalam parti berimej Islam tetapi telah terpengaruh dengan ideologi dan fahaman yang tidak selari dengan Islam.




3. Madrasah Arus Luaran




Dari kalangan orang Islam atau orang bukan Islam yang tidak yakin dengan Islam sebagai cara hidup dan lebih terbudaya dengan gaya hidup bukan Islam.




Boleh juga dikatakan terdapat kategori ke empat, iaitu kes-kes berbau Pluralisme Agama yang terjadi tanpa disengajakan atau disedari terutama di kalangan orang awam. Kategori ini tidak didorong oleh ideologi yang khusus tetapi semata-mata tunduk kepada tuntutan kehidupan bermasyarakat atau berpolitik dalam sebuah negara majmuk seumpama Malaysia.




Isu-isu dan Gejala Pluralisme Agama di MalaysiaKalaupun suara Pluralisme Agama di negara kita tidak selantang di negara lain seperti di Indonesia misalnya, sebenarnya terdapat di sana sebaris isu-isu yang sebenarnya berakarkan atau terbaur dengan faham ini.




1. Isu murtad dan cinta rentas Agama.




Merujuk kepada kes-kes mendokong usaha pemurtadan umat Islam termasuk melalui tindakan mencabar melalui mahkamah. Turut mempengaruhi segelintir orang Islam. Dalam menyokong murtad atas nama kebebasan beragama, seseorang Muslim boleh terlanjur memperkecilkan kesalahan menukar agama serta mencairkan kebencian terhadap kekufuran.




2. Penubuhan IFC (Interfaith Commission / Suruhanjaya Antara Agama)




Merujuk kepada usaha penubuhan platform dianggotai wakil pelbagai agama secara sama rata bagi menangani pelbagai isu-isu hubungan antara agama. Tuntutan-tuntutan di sebalik penubuhan IFC ini melibatkan usaha menyamakan kedudukan dan hak agama-agama lain agama Islam.




3. Perkongsian Perayaan dan Acara Keagamaan.




Merujuk kepada penganjuran majlis-majlis sambutan hari-hari kebesaran agama secara bersama. Juga penyertaan orang-orang Islam khususnya pemimpin-pemimpin Muslim dalam acara keagamaan di rumah-rumah ibadat agama lain. Boleh terlibat kepada pengiktirafan dan turut memakmurkan kekufuran dan kebatilan. Juga mencairkan kebencian terhadap kekufuran.




4. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.




Merujuk kepada persoalan sama ada para penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan atau sembahan dalam agama mereka. Selain berupakan pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan adab terhadapNya, boleh meleburkan garis-garis pemisah antara Islam dan agama-agama lain.5. Isu pengharaman Yoga bagi umat Islam.




Merujuk kepada Fatwa Kebangsaan mengharamkan penglibatan orang-orang Muslim dalam senaman Yoga kerana ada unsur-unsur agama lain di dalamnya. Boleh meleburkan pemisahan antara Islam dan agama lain.




6. Mengucapkan salam kepada bukan Islam.




Amalan mengucapkan salam Islam kepada orang bukan Islam. Salam merupakan doa keselamatan dan kesejahteraan yang hakikatnya tidak selari dengan kekufuran dan kebatilan yang ada pada diri mereka. Tanpa menafikan adanya perbezaan pandangan dalam hal ini.




7. Penggunaan ayat-ayat al-Quran dan Hadis oleh orang bukan Islam dalam ucapan-ucapan politik.Merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam membaca dan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadis serta mengulasnya mengikut kefahaman mereka. Boleh membawa gambaran bahawa agama-agama yang berbeza itu berkongsi-kongsi dan berbahagi-bahagi dalam kebenaran.




Selain isu-isu di atas dan yang seumpamanya, Pluralisme Agama juga muncul dalam bentuk gejala-gejala tertentu terutamanya pada kecenderungan sesetengah pemimpin dan tokoh masyarakat beragama Islam untuk membawa mesej Pluralisme Agama dalam ucapan mahu pun tindakan mereka. Nampaknya kecenderungan ini wujud merentasi batas politik kepartian, kerajaan mahupun pembangkang.




Contohnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu ucapannya bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World” pada 18 Mac 2010 di London School of Economics ada mengatakan:




“... it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations.” (underline added)
(…adalah suatu realiti dunia hari ini bahawa sesetengah kumpulan agama percaya bahawa hanya aqidah tertentu yang mampu mencapai keselamatan di Akhirat. Sikap eksklusif sebegini, malangnya dikongsi merentasi pelbagai agama dan mazhab dalaman agama.) (garis bawah ditambah)




“Back in the 13th century, the mystical poet Jalaluddin al-Rumi wrote in the Masnawi:The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”(Penyair Sufi , Jalaluddin al-Rumi menulis dalam Mathnawinya, “Lampu-lampunya berbeza tetapi mengeluarkan cahaya yang sama yang datang dari alam lain. Kalau kamu menumpukan hanya pada lampu, kamu akan keliru)
“I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:




We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.” (underline added)




(Saya percaya bukan saya seorang yang mengatakan bahawa untuk Pluralisme Agama berkembang subur dalam dunia berpecah-belah, adalah salah secara moral jika kita mengatakan kepada penganut agama lain :



Kami beriman dengan Tuhan kami dan kami percaya kami lah yang benar , kamu beriman dengan Tuhan kamu tetapi kepercayaan kamu itu salah.) (garis bawah ditambah)





Di pihak kerajaan pula kita perhatikan kecenderungan pendekatan meraikan acara keagamaan agama lain seperti penyertaan YAB Perdana Menteri dan isteri beliau dalam sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves atau acara sambutan bersama hari besar agama-agama (kongsi raya). YAB Menteri Besar Kelantan juga tidak terkecuali menerima kritikan atas penyertaannya dalam majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan.




Satu lagi gejala yang dapat diperhatikan ialah kecenderungan sesetengah individu dan kumpulan di negara kita terhadap tokoh-tokoh luar yang jelas-jelas menjuarai Pluralisme Agama. Contohnya pujian terhadap tokoh liberalis-pluralis seperti Ulil Absar Abdullah dan Jaringan Islam Liberal yang diasaskannya bersama teman-temannya yang sefikrah.




Kesimpulan dan Saranan




Daripada isu-isu yang telah kita himbau, nampak wujudnya beberapa kecenderungan pemikiran Pluralisme Agama yang bergerak aktif di Malaysia telah tersasar dari asas fahaman Islam yang sebenar.




Walaupun tidak seburuk jika di banding dengan beberapa negara umat Islam lain tetapi oleh kerana masalah ini melibatkan aspek aqidah, apa-apa kepincangan perlu dianggap serius dan kritikal. Dalam realiti dunia tanpa sempadan hari ini, situasi di negara kita boleh mudah terpengaruh oleh perkembangan di negara lain dan keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam jangka masa yang singkat.




Oleh kerana kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia membuka jalan kepada penanganan isu ini secara komprehensif, maka segala pendekatan yang ada termasuk pendidikan, kempen kesedaran, dialog, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membenteras gejala Pluralisme Agama di negara kita.




Antara langkah yang disarankan:




1. Fatwa-fatwa yang jelas dikeluarkan berkenaan dengan faham Pluralisme Agama dan apa-apa amalan yang berkaitan dengannya.




2. Penerangan tentang Pluralisme Agama, bahaya dan perinciannya perlu dimasukkan dalam sukatan pendidikan di semua peringkat yang sesuai.




3. Maklumat dan penerangan tentang Pluralisme Agama perlu disebarkan di kalangan umat Islam dalam pelbagai bentuk kempen penerangan yang sesuai.




4. Individu dan kumpulan yang menyebarkan faham ini perlu dinasihatkan dan jika mereka berterusan melakukannya perlu disusuli dengan tindakan undang-undang.




5. Pada masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi penerangan tentang asas dan falsafah di sebalik ajaran Islam berkaitan dengan hubungan dan interaksi dengan penganut agama lain. Dengan ini tidak akan timbul salah-faham terhadap ketegasan umat Islam dalam aspek ini. Mereka juga tidak akan secara sengaja terlibat dalam menganjurkan sesuatu yang boleh menjuruskan rakan-rakan Muslim mereka dalam gejala Pluralisme Agama.




Semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan kepada kita kebenaran itu dengan sejelas-jelasnya dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikutinya dan mempertahankannya, serta menunjukkan kebatilan itu sebagai kebatilan dan memberi kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan mencegahnya. Dan semoga Allah SWT sentiasa memelihara Islam dan Umat Islam di negara yang dicintai ini.




WaLlahu a`lam.



Tiada ulasan: