::Teman Bersama::

Rabu, 26 Januari 2011

Chua Soi Lek & Lee Kuan Yew : Rakyat Malaysia Bukan Islam Jangan Terpengaruh.








Kenyataan Media (26hb Januari 2011)
Rakyat Malaysia Bukan Islam Jangan Terpengaruh Dengan Chua Soi Lek dan Lee Kuan Yew.





Dalam sehari dua ini, ketenteraman hubungan antara rakyat Malaysia berbagai agama telah diganggu oleh kenyataan Dato’ Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA dan beberapa pemimpin politik bukan Islam lain yang sedang berkempen dalam kempen pilihanraya kecil Tenang, Johor Darul Takzim.







Kenyataan-kenyataan mengkritik dan menyalahkan sikap calon wanita Muslimah yang enggan bersalaman dengan lelaki yang bukan Muhrim tanpa berlapik sarung tangan adalah kenyataan yang membayangkan kejahilan tentang hukum Islam dalam isu tersebut. Ia juga membayangkan ketidak-pekaan terhadap perasaan umat Islam dan keberanian melulu dalam mencampuri urusan dalaman agama lain.





Dalam kes yang berbeza tetapi ada persamaannya, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pula membuat komentar negatif terhadap komitmen penganut Islam di Singapura yang majoritinya berbangsa Melayu. Beliau memberi gambaran seolah-olah kuatnya pegangan penganut Islam dengan agama mereka menjadi penghalang kepada intergrasi kaum dan perpaduan negara.






Oleh kerana kenyataan ini dibuat di negara jiran terdekat yang punya kaitan sejarah dengan negara kita, adalah wajar kenyataan yang ‘beracun’ ini turut disanggah oleh kita di Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa dalam konteks Singapura mahupun Malaysia malah mana-mana negara sekalipun, kuatnya pegangan agama rakyat beragama Islam dengan agama mereka, secara benar dan suci dari penyelewengan, tidak akan menjadi faktor penghalang kepada integrasi dan pembinaan negara-bangsa.






Pada asasnya, seorang Muslim yang baik akan menjadi seorang warganegara yang juga baik dan kurang bermasalah. Lebih komited dan faham seseorang Muslim itu dengan agamanya maka lebih baiklah beliau sebagai rakyat, jiran dan teman kepada rakyat yang lain. Lainlah kalau komitmen itu berbaur dengan fahaman Islam yang ekstrim atau menyeleweng. Dengan membuat kenyataan seperti itu, Lee Kuan Yew sebenarnya secara tak langsung telah menuduh Islam sebagai agama yang pincang atau bermasalah. Kenyataan bersifat menyerang ajaran agama lain ini tidak boleh dibiarkan tanpa sanggahan.





Alhamdulillah, beberapa Pertubuhan Islam dan tokoh-tokoh Islam telahpun mengeluarkan kenyataan dan komentar membantah kenyataan–kenyataan yang mencemarkan imej Islam tersebut. Mewakili pertubuhan-pertubuhan dibawah serta di atas kapasiti peribadi, saya menyokong penuh sanggahan dan penjelasan teman-teman pimpinan pertubuhan dan umat Islam tersebut.






Semoga teman-teman kita di kalangan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam adalah lebih peka dan bijaksana daripada terikut-ikut dengan kenyataan-kenyataan liar tersebut. Bagi Lee Kuan Yew, Dato’ Seri Chua Soi Lek dan mereka yang telah mengeluarkan kenyataan yang serupa, jika mereka telah sedar kesilapan yang telah mereka lakukan maka buktikanlah kebesaran jiwa kepimpinan mereka dengan mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf.






InsyaAllah, agama kami mengajar kami untuk memaafkan mereka yang mahu mengaku kesilapan dan memohon maaf.




Dr. Yusri bin Mohamad





Yang Di Pertua Yayasan Sofa
Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia
Presiden Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan: