::Teman Bersama::

Isnin, 16 Julai 2012

Program Solat Cegah Mungkar 2012


Program Solat Cegah Mungkar 2012





Dalam mendepani isu gejala sosial remaja, pelbagai pendekatan diambil dalam usaha mendekati mereka.  Pelbagai program diatur bukan sekadar menjadi tempelan, tetapi ia perlukan gemblengan tenaga dari seluruh individu yang memiliki kepakaran. Bidang keagamaan, psikologi dan kaunseling perlu digabungkan dalam melahirkan sebuah pasukan bermodul untuk melaksanakan kaedah mencegah dan merawat buat jiwa para remaja.


Kita sudah dihidangkan dengan “SIAPA YANG BERSALAH” dan sayang, amat jarang menyinsing lengan bersama berusaha menyelamatkan jiwa remaja yang kian dahaga akan pimpinan para du’at.


Dalam usaha tersebut, alfaqir bersama pasukan fasilitator dijemput memberikan penggisian kepada 30 orang remaja yang pernah terjebak dengan isu-isu aqidah juga moral seperti rompak, rogol, samun, gengsterisme, rempit dan pelbagai lagi jenayah yang dikategorikan atas kesalahan pesalah muda. Program berlangsung selama 3 hari 2 malam di kawasan Tanjung Malim, Perak. ALHAMDULILLAH, program-program sebegini telah dilaksanakan hampir ratusan kali. Dan.... ia adalah percuma.... Kecuali kepada pengurusan berkaitan perjalanan, penginapan, makanan dan lain-lain.


Tidak mudah menguruskan emosi muda yang dimiliki oleh mereka. Apatah lagi mahu diperkenalkan pendekatan Solat Sebagai Benteng Mencegah Mungkar. Provokasi dan pelbagai ragam dari mereka harus ditangani dengan ketenangan oleh para fasilitator. Kata-kata fasilitator wajib dilaksana terlebih dahulu sebelum mengajukan agar dilaksana oleh mereka.


Program motivasi hanya tinggal basi jika matlamatnya hanya mahukan mereka terus berubah setelah 3 hari berprogram. Paling malang, jika sesi “air mata atau muhasabah” dilihat berjaya dengan aliran air mata mereka. Ini merupakan salah satu kesilapan besar apabila fasilitataor mencarik atau memerah limau diatas titisan luka peserta tanpa tahu kaedah merawat. Dalam konteks program yang kami jalankan, program motivasi merupakan 40 peratus kepada kesan kesedaran, manakala, kehadiran peserta dituntut dalam menghadiri sesi-sesi kaunseling individu atau berkelompok dari kalangan Pegawai Kaunselor yang bertauliah dengan Ijazah serta berdaftar dari Lembaga Kaunselor Malaysia. Dalam konteks program pula, ia boleh dilakukan secara berkala, contohnya setiap 2 atau 3 bulan sekali dengan pendekatan Kaunseling Kelompok.


Ribuan kelebihan buat Kaunselor yang mengamalkan teknik, kaedah dan pendekatan Islam dalam merawat jiwa klien. Pihak Gereja sendiri memiliki silibus “Biblical Sillibus” yang memiliki ratusan modul untuk mengatasi isu-isu pelbagai latarbelakang masyarakat. Mengapa tidak Kaunselor Muslim mengali khazanah Islami dalam memperhebatkan jatidiri.


Remaja zaman kita hari ini dinamakan oleh “Pemimpin, Pengkaji, Pembuat Dasar” sebagai generasi zaman nuklear, zaman angkasa, zaman robot dan zaman hendonisme. Nama-nama ini daiambil bersempena dengan percambahan teknologi yang begitu pesat sehingga ada yang beranggapan, tanpa teknologi, dunia akan mati. Astaghfirullah...

Manakala para humanis dari kalangan asatizah ahli agama, kaunselor, pembuat dasar, pemimpin yang mengasaskan setiap tindakan mereka atas neraca al-Quran diremehkan meskipun  mereka berjaya memberikan nama paling sesuai dan dipersetujui oleh ramai orang pada zaman ini merupakan : ZAMAN KERESAHAN!


Kejayaan ilmu sosial dan teknologi mendatangkan kemewahan ekonomi dan peningkatan kekayaan. Bersamanya prasarana pengangkutan diupayakan dengan tema “anda bergaya dengan kemewahan”. Sedarkah di kalangan kita betapa kelengkapan material sahaja tidak cukup menghasilkan bahagia. Bahkan ilmu perubatan yang dikatan termoden belum tentu  dapat menyelamatkan penyakit MATI. 


Paling kontradiktif apabila hakikat zaman kemewahan dan keajaiban oenemuan teknologi serta perubatan ini jugalah zaman timbulnya pelbagai penyakit kronik, keresahan dans ifat putus asa. Gejala muak dengan hidup timbul di tengah kepesatan masyarakat yang makmur secara kebendaan dan negara-negara maju.


Bahkan sudah timbul dalm komuniti ini berbagai masalah pemikiran serius, ajaran sesat, kerusuhan agama bangsa, kemiskinan material, keterasingan jiwa, kebejatan budaya di bandar-bandar besar, kezaliman juga kegilaan di kalangan pemimpin.


Akar yang paling dalam bagi keresahan moden ini terletak pada kerangka kejiwaan setiap individu dalam masyarakat.


Tuan-Puan yang dikasihi, melalui pemerhatian alfaqir, masalah paling parah dalam kehidupan moden ini ialah anggapan pada sesetangah manusi bahawa hidup ini sudah kehilangan maknanya. Ia tidak menyelimuti jiwa remaja bahkan si dewasa sudah ramai yang mengetengahkan  rasa hidup tanpa agama. 


Sentimen keagamaan serta tradisi luhur dalam masyarakat moden telah dirobohkan oleh ilmu pengetahuan serta peristiwa-peristiwa antarabangsa yang batil. Orang berilmu hanya dipandang dari gelar dan Ijazahnya tanpa melihat apakah dia intiba’ terhadap sunnah Nabi Muhammad SAW. Maka, terkejar-kejarlah bagi mereka yang tertipu bahawa dunia semakin indah dengan gelar nafsu yang melilit di hadapan nama. Hasilnya, tersebarlah perkataan  “Tuhan telah mati” samada ada  di kalangan agamawan atau ilmuwan yang gagal memaknakan rasa taqwa dalam ilmu yang dipelajari.  Ayuh, hidupkan rasa BERTUHAN.


WALLAHU’alam.

Alfaqir ilallah al-Qawwiy:
Almukminun
26 Syaaban 1433H/16072012

Berikut alfaqir sertakan sekitar gambar-gambar program sebagai renungan dan penambahan idea. Al-Faqir boleh dihubungi : tuhibbun_ihsan@yahoo.co.uk.




Memperbaiki wudhu'



Kuliah 7 minit mengenai fadhilat mandi hadas besar



Bacaan Asma' al Husna, zikir munajat, selawat serta qasidah




Aktiviti LDK dan LLK


Interaktif seputar isu Rukun Islam &Rukun Iman. Kaedah yang dipermudahkan. 



LLK : Diantara pertanyaan adik-adik peserta, bang, lepas rendam nih, betul ka boleh solat sunat Dhuha.


Menyeimbangkan kognitif keselesaan dan ksyukuran



Simple : Sesi muhasabah, betapa asal kalian dari saripati tanah, dari saluran hina, maka keluar juga kalian dari saluran yang hina. Maka, lihatlah kepada Maha Pencipta.


Slot khas tahsin solah daripada al-Fadhil Ustaz Ahmad Shazili Abdullah 
[Mantan Imam Masjid as-Syakirin juga pejuang industri nasyid]. ALHAMDULILLAH, mendapat maklumbalas positif dari kalangan peserta dengan pendekatan terapi ruhaniyyah.



Sesi selawat dan bersalaman sebagai kemestian.



Di antara maklumbalas adik peserta : "..bang, boleh ka solat ataih tempat kotor nih..". "..Kenapa la saya tak terfikir bang, solat ni amat mudah dan banyak hikmah." "..bang, doakan saya..."



Selawat ke atas Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad  صلى الله عليه وآله وسلم. Moga dengan lafaz pujian ke atas Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, terangkatlah duka, dan tersingkaplah cahaya keimanan yang dicari oleh adik-adik yang dikasihi ini. INSYA'ALLAH.. .

Mohon doa mendoakan.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم


1 ulasan:

Athirah Jinal berkata...

alhamdulillah tuan,
barakallah tuan dan kumpulan tuan.
moga allah mempermmudahkan urusan tuan seluruhnya, amin.

saya suka tuan, bila ada program yang berjaya dari kerohaniannya, rohani/tasawwuf itu antara kunci utama mendidik manusia. tapi, kena yang benar2 tahu dan ada guru pembimbing. insya allah.