Berjuang Bersama Ulama Tanpa Rasa Jemu
Mudah-mudahan kisah pecinta tegar manusia agung yang kita kongsikan kasihnya ini menjadi motivasi buat menguatkan iltizam dalam jalan dakwah yang penuh fitnah. Biarlah kita menjadi bahan fitnah, asal sahaja jangan kita tanpa sedar atau sengaja mencipta fitnah. Jalan dakwah ini tidak dihamparkan dengan permaidani kemudahan melainkan kesukaran. Jangan kita sanggah mereka yang berjuang atas kesanggupan dan keupayaan dan kemampuan mereka yang tidak pula sama dengan kita.
Pagi 3 Rabiulakhir 1433 penuh baraqah di Al-Jenderami, alfaqir merenung jauh visi dan misi masyaikh seperti Syeikhna Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki dan Tuan Guru Syeikh Muhammad Hafidz Bin Haji Selamat serta seluruh masyaikh Ahlu Sunnah Wal Jamaah di bumi Melayu Nusantara ini.
Tidak lupa mereka yang bermatian berjuang mempertahankan syiar Islam tanpa lelah sebagaimana Habib Muhammad B. Alawi Al Attas as-Sarawaki, Habib Wan Izzuddin Al-Aidrus as-Sarawaki, Ustazuna Zamihan Mat Zin Al-Ghari, mereka semua berjuang atas landasan ilmu yang berdepan pelbagai peristiwa sedih dan pilu. Mujur, disisi mereka ada para murid setia yang bermandi keringat bersama. Ziarahilah mereka, lihatlah tanpa tanya kepada mereka keperluan yang memungkinkan dakwah mereka dimudahkan melalui sumbangan walau tidak seberapa nilainya.
Pagi hening ini, alfaqir teringat kisah penuh motivasi buat seluruh pendukung para guruguru mulia kita. Abu Qatadah menahan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dari terjatuh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Qatadah RA berkata :
“Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sedang berkhutbah kepada kami dengan bersabda : “Sesungguhnya kamu menghabiskan hidup kamu dan malam kamu dalam perjalanan (bermusafir) kemudian esok kamu juga akan datang membawa air INSYA’ALLAH.” Maka para sahabatpun pergi tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Telah berkata Abu Qatadah: “Ketika Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam perjalanan menunggang kenderaan hingga pertengahan malam, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menguap dan merasa mengantuk maka aku mendatanginya dengan tidak disedari oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk menjadi tempat bersandar badan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia hingga tegak semula serta tidak jatuh dari kenderaannya”
Perawi juga menyebutkan : “Sehinggalah sampai ke pertengahan malam itu sangat melelapkan mata kadangkala Nabi صلى الله عليه وآله وسلم hampir jatuh dari tunggangannya, maka aku telah mendatangi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan menjadi penyandar tubuhnya, kemudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengangkat kepala dan berkata : “Siapa ini?.””
Aku menjawab : “Abu Qatadah.”
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bertanya; “Sejak bila kamu menunggangi kenderaan dan menyanggah badan aku?.”
Aku menjawab : “Semenjak malam tadi.”
Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: “Semoga ALLAH سبحانه وتعالى menjaga kamu sebagaimana kamu menjaga Nabi NYA”
[Hadith Shohih riwayat Imam Muslim 681,472/1]
ALLAHU ALLAH... Abu Qatadah Radhiallahu Anhu menjaga keselamatan Nabi sepanjang malam dalam keadaan serba kekurangan. Begitulah anda pada mata kami, buat para pendukung guru-guru mulia. Walau apa sahaja jawatan anda. Andalah pemilik kemuliaan atas keindahan ilmu para guru-guru mulia yang anda “tegakkan” perjuangan mereka. Berbahagialah dengan kesukaran yang anda pilih dalam memastikan kesinambungan dakwah Ahlu Sunnah Wal Jamaah mekar dibalik sikap ketidakpedulian umat lainnya. Anda adalah wira!.....
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Mohon doa mendoakan
Alfaqir ilallah : almukminun
3 Rabiulakhir 1433H/25022012
Masjid Jenderam Hilir , Dengkil
http://almukminun.blogspot.com/2012/02/berjuang-bersama-ulama-tanpa-rasa-jemu.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan