901 ; [Hakim Yang Menjatuhkan Hukuman]
Dipetik dari diskusi Al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis
14 Safar 1433H/08012012
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلمbersabda:
القضاة ثلاثة : قاضيان في النار وقاض في الجنة . قاض عرف الحق فقضى به فهو في الجنة ، وقاض عرف الحق فجار متعمدا فهو في النار ، وقاض قضى بغير علم فهو في النار
Maksudnya: "Qadhi (hakim atau orang yang menjatuhkan hukuman) ada tiga jenis. Dua daripada mereka masuk neraka dan seorang masuk syurga. Seorang qadhi yang tahu kebenaran lalu dia berhukum dengannya, maka dia di syurga. Seseorang qadhi yang tahu kebenaran tetapi dia menzalimi dengan sengaja, maka dia masuk neraka. Seorang qadhi yang menjatuhi hukuman (menghukum) tanpa ilmu, maka dia juga masuk neraka."
[Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Majah, al-Hakim dan sebagainya]
Biar hakim-hakim dan qadhi buat kerja mereka dan serahkan urusan mereka kepada Allah s.w.t.. Jangan sampai jadi para "hakim" yang tiada ilmu dalam sesuatu isu kemudian terdedah kepada membela kezaliman tanpa disedari.
Imam al-Subki menyebut dalam fatwa al-subki:
لأن القاعدة المقررة أن حكم الحاكم في المجتهدات لا ينقض إلا إذا خالف النص أو الإجماع أو القياس الجلي، أو القواعد الكلية
Maksudnya: Ini kerana, kaedah yang diperakui bahawasanya, hukuman yang dijatuhkan oleh seseorang hakim dalam masalah-masalah yang diputuskan dengan ijtihad tidak boleh dibatalkan melainkan jika menyanggahi nas (al-Qur'an dan al-Sunnah yang jelas), Ijma', Qiyas yang jelas atau Kaedah Kulliyyah.
Dengan cara apa memperbaiki sesuatu kepincangan? Sudah ada salurannya. Ulil Amri di Malaysia sudah jelas iaitu institusi beraja. Struktur kehakiman di Malaysia ini boleh diperbaiki dengan cara yang sudah jelas antaranya melalui pilihanraya dengan melantik kerajaan (wizarah tafwidh) yang mahu mentabdir negara dengan undang-undang Islam.
Setakat ini, apa yang ada adalah lebih baik daripada tiada. Dengan mempertahankan institusi tersebut pada peringkat ini sudah tentu lebih baik daripada menghancurkannya tanpa memberi sesuatu bentuk kehakiman yang lebih baik sebagai solusi, kerana ianya adalah akhaf ad-dhorurian (mudarat yang lebih rendah berbanding mudarat yang lebih besar).
Isu tidak selesai jika semua orang rasa institusi kehakiman tidak betul lalu membetulkan dengan cara yang juga tidak membetulkan. Akhirnya, semua orang mahu lakukan mahkamah jalanan selagimana tidak ada pengadilan syari'e. Apakah itu suatu perkara positif?
Hal ini sudah dijelaskan oleh para ulama', antaranya Imam al-Kasani al-Hanafi dalam Bada'ie al-Shona'ie:
ولأن الضرورة توجب القول بلزوم القضاء المبني على الاجتهاد، وأن لا يجوز نقضه، لأنه لو جاز نقضه برفعه إلى قاض آخر يرى خلاف رأي الأول فينقضه، ثم يرفعه المدعي إلى قاض آخر يرى خلاف رأي القاضي الثاني فينقض نقضه، ويقضي كما قضى الأول فيؤدي إلى أن لا تندفع الخصومة والمنازعة أبداً، والمنازعة سبب الفساد، وما أدى إلى الفساد فساد
Maksudnya: Ini kerana, suatu yang penting yang mana mewajibkan perkataan dengan melazimi (mengikut dan mematuhi) qadha' (keputusan kehakiman) yang dibina atas ijtihad (hakim atau qadhi) dan tidak boleh membatalkannya (keputusan tersebut) kerana jika boleh membatalkannya dengan mengangkat keputusan tersebut kepada qadhi yang lain yang mana qadhi itu berpendapat dengan pendapat yang menyalahi keputusan pertama, lalu qadhi itu membatalkan keputusan pertama. Kemudian, pihak pendakwa pula membawa kepada qadhi yang lain lalu qadhi itu menyalahi pendapat qadhi kedua tadi lalu membatalkan keputusan qadhi kedua sehingga memberi keputusan seperti keputusan qadhi pertama, maka ia akan membawa kepada tidak tertegahnya pertelingkahan dan pergaduhan (kes) tersebut sampai bila-bila. Sedangkan, pertelingkahan tersebut akan membawa kepada kepincangan. Maka, semua yang membawa kepada kepincangan adalah kepincangan juga."
Kita lihat tujuan kehakiman itu diwujudkan dahulu. Dalam sistem mahkamah negara mungkin berbeza dengan penjelasan para ulama' tentang keutuhan keputusan hakim mahkamah kerana sistem Mahkamah di Malaysia mempunyai beberapa peringkat seperti Mahkamah Bawahan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
Jika para ulama' bercakap atas kerangka hukum syara' sekalipun, jika tidak ada kerangka hukumnya di sesuatu tempat, namun tidak ada ulama' yang membahaskan tentang mahkmah rakyat yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak, untuk mendaulatkan kerangka hukum syara'. Salurannya sudah ada.
Adakah kerana kerangka undang-undang civil British, dalam sesuatu isu peribadi, akhirnya semua orang berhak mewujudkan mahkamah rakyat? Kalau tidak setuju, kenapa baru sekarang wujudkan idea ini untuk kes individu tertentu. Sudah berapa banyak kes diadili di bawah kerangka undang-undang civil British ini? Jawapannya sudah tentulah perlu wujudkan negara ISLAM.
Kalau nak baiki institusi mahkamah sedia ada dengan memperbaiki kedudukan mahkamah syariah, perlu didik masyarakat kepada fungsi sebenar ulil amri di Malaysia iaitu sultan sebagai ketua agama di setiap negeri dan YDP Agong sebagai ketua negara. Ramai orang masih keliru kedudukan kerajaan lantikan rakyat dengan kedudukan institusi beraja sehingga tidak tahu kedudukan sebenar ulil amri tertinggi di negara dan negeri-negeri. Ia sedikit sebanyak melibatkan pembaikan mahkamah syariah juga.
Apa yang dibahaskan adalah maqasid umum qadha' dalam Islam dan serahkan sesuatu pada ahlinya, bukan semua orang perlu jadi hakim dalam sesuatu kes.
Saya cuma ingatkan, "hakim-hakim" yang tidak ada ilmu dalam sesuatu kes, tidak tahu bukti pihak pendakwa, bagaimana prosidingnya, apa yang berlaku dalam mahkamah ketika perbicaraan dan sebagainya, terdedah kepada bahaya kerana "menjatuhkan" hukuman tanpa ilmu. Soal mahkamah civil British dan sebagainya, ada saluran yang lebih baik untuk memperbaikinya.
Bab kuasa-kuasa sultan kita perlu lihat sejarah. Mereka sudah menyerahkan kepada wizarah tafwidh (menteri-menteri yang terbabit) agar melaksanakan tugas mewakili mereka. Ia ada dalam al-ahkam al-sultaniyyah. Ketika mereka memberi mandat kepada wizarah tafwidh yang dilantik, di samping mahkamah untuk mengadili sesuatu perkara, maka kesemua pergerakan samada dari sudut perlaksanaan mahupun penghakiman dalam negeri mewakili "kuasa" ulil amri tertinggi.
WALLAHU’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan