::Teman Bersama::

Khamis, 24 November 2011

Homoseksual : Membantu atau Membatu

[Gambar di Puncak Gunung Santubong Sarawak 2005]



Homoseksual : Membantu atau Membatu



Tuan-Puan bayangkan, anak-anak lelaki Tuan-Puan membawa pulang seorang lelaki kacak ke rumah. Dia memperkenalkan kepada Tuan-Puan, “Mama, Papa, inilah teman seumur hidup Sam, kami akan berkahwin...”. Ketika itu, wajah tuan-puan terus tersenyum sebagai mengiyakan ayat penyata anak tuan-puan. Hati tuan-puan berasa teramat gembira apabila melihat anak lelaki yang dibesarkan akhirnya akan berkahwin dengan seorang lelaki yang tampan tetapi gay. Di hati tuan-puan berkata, apa nak risau, dah pilihan dia, kubur lain-lain, aku dah jalankan tanggungjawab aku dengan nasihatkan dia.



Situasi lain. “Mamee, tengok ni, anak dalam perut Meri daripada Papee...”. Reaksi Tuan-Puan ? “Uh, bagus-bagus, bertambah lagi ahli keluarga kita ya. Mamee suka Meri khawin dengan Papee....hak asasi....”



Itu merupakan situasi yang akan berlaku apabila kemungkaran dikatakan hal persendirian atas nama hak asasi manusia yang kita laungkan yang acuannya kita cedok daripada barat. Maksiat dikatakan sebagai isu individu bukan isu agama. Kita telah dan sedang kehilangan punca. Jika didalam bidang ekonomi kita menjadi pengikut dan pembeli tidak sebagai pengeluar dan pemilik komoditi. Begitu juga halnya dengan persoalan agama. Kita hilang jatidiri, tidak menyakini bahawa Islam adalah jalan penyelesaian pelbagai isu dari lahir sehingga ke mati.



Homoseksual Menurut Kaunseling Islam



Pada tahun 1938 homoseksual dianggap sebagai “mental illness” atau penyakit mental. Walaubagaimanapun, pada tahun 1973, kajian baharu telah dijalankan dan dilihat homoseksual bukan satu kesalahan besar. Menjelang tahun 1990-an ia dikatakan penyakit psikosis, split identity dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, ia terus berubah mengikut acuan akal tanpa disandarkan kepada kebenaran beragama dengan menyatakan bahawa homoseksual merupakan hak asasi manusia!



Apa yang boleh difahami disini, homoseksual diktiraf dan diberi pelbagai makna baharu oleh “manusia” sebagai penolakan terhadap apa yang telah difirmankan oleh ALLAH SWT mengenai aktiviti dilaknat ini. Maka, manusia cuba memuliakan apa yang dikaji oleh manusia dengan menidakkan kewujudan ALLAH SWT. Inilah dilema manusia yang menjadikan segala kajian daripada barat sebagai sebuah kebenaran tanpa menyandarkan kepada hakikakt Rabaniyy ALLAH SWT.



Pada tahun 1990, American Psychological Associations menyatakan tiada sebarang terapi atau model yang mampu memulihkan penagih homoseksual. Seolah-olah jalan untuk pelaku homoseksual tertutup rapat tanpa jalan pulang. Soalnya, sebagai Kaunselor atau Psikiatri Muslim, kearah mana kita mahu pandukan keyakinan ini kepada American Psychological Associations (APA) atau al-Quran, Hadith dan segala sumber pengambilan hukum dalam Islam. Sikap berputus asa bukan daripada Islam.



Kaunselor Muslim dan Psikiatri Muslim ketika memberikan bantuan secara proffesional perlu mengawal emosi dengan latarbelakang seorang klien homoseksual. (M.Basheer Ahmed 2006)



Perlu dijelaskan disini, ada perbezaan istilah homoseksual di antara “perasaan dan perlakuan”. Selaku Kaunselor Muslim yang proffessional, sikap menghakimi perlu dijauhi terhadap golongan homoseksual. Pamerkan usaha untuk memahami dan melayan mereka sebagaimana klien lain memerlukan bantuan.



Homoseksual terdiri dari golongan gay dan lesbian mereka tidak dipukul rata sebagai pondan. Ada di kalangan mereka yang menjadi mangsa keadaan. Diliwat ketika muda oleh rakan sebaya, bahkan saudara mara akrab sehingga kehilangan identiti diri sehingga terjebak kekancah yang tidak mereka ingini. Disebabkan itu, Kaunselor bukan penghukum tetapi pemudahcara dalam membantu klien mengkoreksi diri.



Bantuan berupa kaedah dan teknik-teknik terapi dalam sesi kaunseling mampu membantu klien yang berhadapan dengan isu homoseksual. Terapi ini lebih mujarab melalui para kaunselor yang berdaftar dan mampu memberi bimbingan agama dalam usaha klien mencari makna diri. Kaunseling merupakan sebuah proses yang panjang. Ia mampu berjaya melalui kerjasama erat daripada Kaunselor dan Klien.



Kaunseling bukan mengenai Kaunselor yang “akan” menyelesaikan isu yang dihadapi oleh klien. Kaunseling merupakan sesi-sesi pertemuan dimana Kaunselor akan membantu klien memahami kehendak hati dan fitrah semulajadi sehingga menemui rasionalisasi diri. Sesi kaunseling yang terbaik ialah melalui jalan yang mendekatkan diri Kaunselor dan Klien kepada ALLAH SWT. Manakala, teori dan kaedah kaunseling dari barat boleh dijadikan wasilah tetapi bukan kebenaran mutlak.



Undang-Undang



Undang-undang “Perlembagaan Persekutuan” yang kita anuti rupanya jauh daripada melindungi, apabila institusi mahkamah syariah tersekat fungsi. Kita hilang punca kerana gagal memahami ketika berada di institusi pendidikan, Islam gagal dihayati. Tetapi sekadar menjadi pelengkap kepada kecemerlangan sijil peribadi.



Jantina lelaki terjadi apabila alat kelaminnya dikenal pasti dengan adanya penis dan sepasang testis, maka bayi tersebut disahkan sebagai lelaki. Bayi wanita pula, apabila memiliki clitoris, labia, dan introitus maka jadilah bayi wanita. Tetapi, apabila seorang bayi itu memiliki kedua-dua alat kelamin maka ia dikenali sebagai khunsa. [meminjam istilah perubatan]. Setahu saya tidak ada istilah homoseksual diletakkan di sijil-sijil kelahiran bayi yang sangat suci tersebut. Justeru, mengapa adanya istilah lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT). Adakah istilah-istilah jijik ini “naturally or biologically produce” sejak didalam kandungan? Sudah tentu tidak.



Firman ALLAH SWT dalam hal bersangkutan perbezaan jantina lelaki dan wanita:

“Demi penciptaan lelaki (zakara) dan perempuan (untsa), sungguh usahamu berbeza” [Surah al-Layl:36]



Kita akhirnya terperangkap dengan tambahan-tambahan baharu kosakata bahasa. Kita tambahi kosakata (LGBT) yang secara tidak langsung mengiktiraf keberadaan golongan pelik ini. Hari ini, kita dilihat pelik jika tidak menyokong (LGBT), tetapi dilihat molek jika menjadi penyokong.



Segala-galanya bermula dari World Development on Gender Equality and Development Report yang berpangkalan sebagai cawangan United Nations (UN). Sebagai muslim, kita pula yang bersungguh mengiyakan laporan ini kononya wanita ditindas oleh lelaki secara menyeluruh. Kita abaikan pembuktian melalui al-Quran, kita menidakkan usaha mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang mana perjuangan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak lain meningkatkan taraf kesamarataan di kalangan lelaki dan wanita.



Seorang lelaki datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan berkata; “Wahai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , siapakah orang paling berhak untuk aku hormati?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menjawab, “Ibumu”. Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menjawab, “Ibumu”. Sekali lagi dia bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menjawab, “Bapamu”

[Riwayat Bukhari dan Muslim]



Begitu juga halnya dengan kemuliaan Saydina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila mengiktiraf golongan wanita dalam sebuah riwayat : “Sesiapa yang menanggung dua anak perempuan, berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka” [Riwayat al-Bukhari]



Inilah kekeliruan di kalangan umat Islam sendiri yang mencedok bulat-bulat segala “perkataan Hak Asasi Manusia” mengikut acuan barat. Dalam tidak sedar mereka menidakkan kesamaan hak asasi manusia yang disantuni oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan ALLAH telah berfirman : “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun” [Surah al-Nisa’ : 124]




Kekeliruan ini akhirnya mewujudkan di kalangan kita yang menolak secara “legal” homoseksual, tetapi pada masa yang sama menerima homoseksual secara “illegal”. Maksudnya, golongan ini cuba bermatian untuk mencari hujah-hujah mengiyakan kebolehan berhomoseksual dengan menghalalkan dengan perkara yang haram.



Masih tiada yang bersuara lantang dalam isu ini melainkan Sohibus Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria. Itupun beberapa saat sahaja temubual media keatas penyataan oleh Dr. Harussani Zakaria disiarkan dimedia elektronik arus perdana. Tidak kelihatan kesungguhan dari kalangan parti politik memerintah atau “bakal memerintah” untuk sama-sama berganding bahu mengeluarkan kenyataan bersama menolak aktiviti abnormal yang jijik. Barangkali ujian yang dihadapi oleh golongan homoseksual ini merupakan salah satu jalan berpadunya kesatuan Islam dalam memberi bantuan yang sangat diperlukan.



Islam Menyediakan Jalan Buat Homoseksual



Firman ALLAH SWT : “Hai orang yang beriman bertaqwalah kepada ALLAH, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar” [Surah at-Taubah:119]



Islam bukan agama hukuman, tetapi merupakan agama kelembutan dan rasionalisasi disebalik larangan. Apakah kelebihan yang dimiliki apabila bergelar sebagai salah satu daripada golongan (LGBT). Homoseksual samada bagi golongan gay, lesbian dirujuk sebagai al-liwath didalam bahasa arab. Bagaimanapun, Imam al-Mawardi membezakan keduanya dengan homoseksual bermaksud liwath dan lesbian bermaksud sihaq (al-Hawi al-Kabir).



Kemurahan kasih sayang ALLAH melangit luas. Bahkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan tidak menjadi hukuman andai disertai taubat penyesalan yang bersungguh-sungguh. Memilih jalan menjadi golongan (LGBT) adalah kita sebagai manusia yang sentiasa bergelumang dosa. Tiada kaitan langsung dengan menyalahkan ALLAH sebagai punca. Jalan membaiki kesilapan atau berterusan melakukan kemaksiatan terhidang, tinggal kita untuk memilihnya.



Buat mereka yang tersalah dalam memilih jalan, usah menjauhi agama, disaat anda dihina dan ditindas oleh manusia sebangsa dan seagama, Islam membuka ruang kembali seluasnya. ALLAH SWT berfirman :



“Masuklah kamu ke negeri ini (Baitulmaqdis), dan makanlah dari hasil buminya, yang banyak lagi enak di mana yang kamu sukai, dan masukilah pintu gerbangnya sambil bersujud, dan katakanlah: “Bebaskanlah kami dari dosa”, nescaya Kami ampuni kesalahan-kesalahanmu. Dan kelak Kami akan menambah (pemberian Kami) kepada orang-orang yang berbuat baik”. Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu Kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu seksa dari langit, kerana mereka berbuat fasik. [Surah Al-Baqarah : 58-59]



Jangan ada yang mencemik muka apabila dikatakan bahawa jalan perubahan golongan homoseksual adalah melalui jalan agama. Mendekatkan diri secara perlahan dan ditingkatkan kelajuan melalaui kefahaman dengan ilmu akidah, fiqah dan tasawuff. Amat malang kepada para pendakwah yang kata-katanya bersifat hukuman tanpa jalan penyelesaian terhadap golongan ini. Sepatutnya para pendakwah bertanya; bagaimana bantuan yang dapatku hulur buat mereka.



WALLAHu'alam

Alfaqir ilallah :

Almukminun

13 Zulhijjah 1432H/09112011

http://almukminun.blogspot.com/2011/11/homoseksual-membantu-atau-membatu.html

Tiada ulasan: