::Teman Bersama::

Jumaat, 8 Julai 2011

Merenung Kekurangan Diri

08 Julai 2011 / 6 Syaaban 1432 H

0900 pagi : Ceramah Kemuliaan Syaaban dan Pembentukan Psikologi Insan / Petaling Jaya

1000 pagi : Penyelarasan Pengisian Program Sahsiah Remaja Sihat Akhlak / Subang Jaya

1445 petang : Ceramah Insan Termulia Beroleh Nikmat Israk Mikraj / Warga emas Kota Damansara

10 Julai 2011 / 8 Syaaban 1432 H sehingga 13 Julai 2011 / 11 Syaaban 1432 H

1400 petang : Bertolak ke Port Dickson, Program Peningkatan Psikologi Insan / Kakitangan Kerajaan

14 Julai 2011 / 12 Syaaban 1432 H sehingga 16 Julai 2011 / 14 Syaaban 1432 H

Program Peneguhan Sahsiah di Kalangan Remaja Mengandung Luar Nikah / Daerah Klang – Kuala Langat – Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang – Banting

23 Julai 2011 / 21 Syaaban 1432 H

Ceramah Kelestarian Akhlak di Kalangan Pengasuh Taska-Taski / Subang Jaya

25-26 Julai 2011 / 23-24 Syaaban 1432 H

1000 pagi : Pengisian Remaja Sedingin Salju, Sehangat Mentari [Pencegahan Gejala Sosial Di kalangan Remaja Lelaki] / Daerah Petaling-Gombak-Subang Jaya-Hulu Langat

25-28 Julai 2011 / 23-27 Syaaban 1432 H

Program Remaja Bertaqwa Siri 3 [Anti Zina-Pengkid-Lesbian] / Remaja Wanita WP KL & Selangor



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Merenung Kekurangan Diri



Melihat jadual sepanjang bulan Julai 2011 ini hati alfaqir menjadi sayu. Kadangkala timbul persoalan telah banyak hak yang diabaikan. Telah banyak hati yang dikecewakan kerana tidak mampu memenuhi undangan. Isteri yang redha berkorban, ibu, ayahnda dengan doa tidak terhenti agar anaknda mereka ini dilindungi Ilahi dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Bahkan adakah yang menerima kuliah, saranan, menghadiri sesi kaunseling meredhai atas nama keihklasan. Meninggalkan hak masyaikh yang bertungkus lumus mempersiapkan majlis-majlis talaqqi kitab dalam membina jiwa-jiwa insan yang kesunyian.



Betapa besar jasa seorang isteri yang sangat memahami senang, susah, fitnah bersama suami dalam kepayahan melebarkan seruan amal kepada ibadat yang dipelajari agar menjadi amalan. Dia memahami bahawa suami bukan haknya sendiri bahkan dikongsi bersama ummah dan perjuangan yang si isteri fahami dibawah pimpinan para masyaikh [guru-guru] yang mereka tekun hadir bertalaqqi.



Bahkan, tajuk-tajuk yang diberikan kepada saya membuatkan saya termenung sendiri. Terlalu berat untuk dikupas atas keterbatasan usia pengalaman dan apa yang sedang menyakiti nurani umat kini.



Tuan-Puan yang dikasihi, setiap minggu saya akan memperolehi purata 3 kes baharu yang berkaitan isu sosial remaja. Samada isu seks bebas, dadah, arak, pelacuran dan keruntuhan rumah tangga suami isteri muda belia. Isu-isu ini mengakar di kalangan masyarakat tidak mengira status kerjaya, Doktor, Peguam, Arkitek, Jurutera, Guru, Ustaz, Ustazah sehingga kepada Tukang Sapu, Pekerja Kilang, Peniaga Pasar Malam, Usahawan Jutaan RM perniagaan dan Tuan-Puan sebutkan sahaja, pasti ada sahaja yang memiliki pola isu yang sama.



Bermuhasabah kini menjadi kata-kata biasa, tetapi nilainya amat besar bagi yang mengetahui. Bermuhasabah wajib disertai dengan kebesaran ALLAH. Maknai kemuliaan, kehebatan dan kelembutan zat ALLAH diseluruh jiwa yang dilanda gembira dan duka. Kemuliaan ALLAH pasti membenamkan segala sifat-sifat kehambaan manusia lalu memaknai sifat ketuhanan menyelimuti segala kebesaran diri. Seruan nama ALLAH dilafaz tidak berhenti bagai merintih simpati dihimpit kecederaan walhasil kecelakaan yang mana disisinya tiada siapa yang menemani. ILAHI... ILAHI, hambalah abdiMU menyeru cinta hakiki dan melihat kelemahan diri. Jiwa merintih simpati.



Hidup ini dirasakan amat cepat berlalu, dirasakan mata yang melihat keindahan dunia bagai mematikan rasa melihatMU setelah kembali ke negeri abadi. ILAHI, hambaMU dihimpit kepenatan dengan deruan memenuhi kehendak dunia.




Kehidupan yang diselubungi misteri, satu persatu persoalan ditemukan olehMU ILAHI dalam memimpin diri menemui jalan hakiki. Berinteraksi dengan setiap makhlukMU yang mengenaliMu, yang mencintaiMU lalu mereka ajarkan aku rahsia-rahsia mengenaliMU bagaikan cahaya dilorongan gelap. Kutemui bahagia disisi para ahliMU. Zikir menyebut namaMU bagai interaksi Tuhan kepadamu, itulah ikatan cinta tanda kerinduan kepada Tuhan. Melihat segala makhluk ciptaan ALLAH, hati yang rindu pasti mengingati betapa besarnya kemuliaan ALLAH, dia tidak akan nampak kekurangan melainkan ada sahaja pelajaran yang diperolehi.




Gentar hati apabila membaca firman ALLAH Subhanahu Wa Taala :




إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ


Ertinya : Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,

[Surah At Taubah : 111]



Persoalan, bagaimana segala usaha, jerih payah yang dilalui hanya sia-sia kerana sekelumit sumu’ah, ujub, kikir atas nama dakwah. ALLAH...



Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda :

“Sifat takbur ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain”

[Diriwayatkan oleh Muslim dari Ibnu Mas’ud R.A No. Hadith 91 (1/93)]



Jangan pula nanti, kita terus mematikan usaha, menyendiri dari berdakwah walau terbuang sendiri kerana khuatir kononya usaha tidak dirahmati.



Huwa ALLAH... DIA lah yang dicari dalam perjalanan ini. Kadangkala usaha mendapat puji manusia yang tidak diminta, bahkan acapkali disulami hinaan peribadi bahkan dikatakan gila kerana mereka tidak mengetahui.



“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”



Melihat kekurangan insan yang buta, melupakan kebanyakkan manusia bahawa mereka dijauhi daripada penyakit yang ada pada manusia sempurna matanya. Manusia yang dilihat sebagai bodoh sebenarnya tidak tergugat kemuliaannya apabila dibodohkan atas kejahilan yang berkata. Manakala bagi si kaya, dia dikayakan dengan kesempurnaan melaksanakan amalan tanpa mempersiakan setiap digit harta pasti diinfak kepada asnaf yang terbela. Maka dialah si kaya yang layak mengecapi bahagia. Si faqir tidak terhina dengan kurangnya harta, bahkan jika dia berusaha kena pada syariat tidak sesekali ALLAH Subhanahu Wa Taala biarkan dia sengsara dalam kefaqiran tanpa dibela.



Sentiasa diucapkan jauh disudut hatinya dengan doa tersebut, apabila dia dipuji walaupun hakikatnya dia sangat sedih mengenangkan kembara ilmunya terlalu jauh daripada apa yang ditanggapi oleh kebanyakkan manusia yang duduk dilingkarannya.



“ALLAHUMMA Ahdihim Fainnahum La Yaklamun”

“Ya ALLAH...kurniakanlah hidayah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui”



Dia berusaha menjauhi perbincangan yang akhirnya mewujudkan sengketa, tidak sesekali dia bernafsu kepada sesuatu yang bukan disyariatkan keatasnya, amanah ditunaikan semampu olehnya. Apabila dikelilingi orang ramai, dia diam mengiyakan kebenaran, teguh pendirian ketika diajak berbicara perkara aqidah, fiqah, tasawuff dan dia pasti memelihara nafsunya dari terjebak sengketa sesama manusia.



Hatinya dipujuk :




أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢)

Ertinya : "Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) ALlah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama ALlah itu adalah orang-orang yang berjaya"

[Surah Mujadalah : 22]



Maka diniilailah setiap masa yang dilaluinya, adakah amalan-amalan tersebut menepati seluruh hak-hak ALLAH Subhanahu Wa Taala dalam ketaatan.




Perhatikanlah segala kemungkinan akibat amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut. Barangkali ketidaksesuaian uslub dakwah dilakukan, kekasaran bahasa serta lenggok badan yang menyakitkan hati yang melihat.




Perhatikanlah segala niatnya dalam amalan tersebut. Jika benar kerana ALLAH Subhanahu Wa Taala, maka bersyukurlah kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala, kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka pintalah keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.



Sungguh al faqir dengan penuh kehinaan meluahkan segala kekurangan kepadaMU, kepada kekasihMU, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam betapa saya mencintaimu wahai Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Semoga cinta sihina ini terbalas walau sekadar dakwaan jauh daripada keikhlasan.



Ku tambat cinta ini sebagaimana sabda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam :

‏إذا أحب الرجل أخاه فليخبره أنه يحبه



Jika seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah dia mengkhabarkan kepada saudaranya bahawa dia mencintainya”. [Hadith riwayat Imam Abu Daud (4459)]



WALLAHU’alam


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy:

Al-Mukminun

7 Syaaban 1432H / 08072011

http://almukminun.blogspot.com/2011/07/merenung-kekurangan-diri.html

BBST, Sepang, Selangor, Malaysia.

Tiada ulasan: