::Teman Bersama::

Sabtu, 30 Julai 2011

Kegagalan Ini Amat Memeritkan



Kegagalan Ini Amat Memeritkan



Apa rasa hati tuan-puan apabila bertemu dengan insan yang tuan-puan cintai. Bilamana melihat wajah beliau tuan-puan pasti menangis kegembiraan.



Ada sahaja perilaku beliau menjadi ikutan tuan-puan kerana begitu yakin kepada karisma dan kebijaksanaan yang dimiliki olehnya. Tuan-puan juga tidak akan melepaskan peluang untuk berkongsi kisah mengenai dirinya yang tuan-puan kagumi lagi hormati. Segala kasih sayang yang tuan-puan miliki diserahkan bulat-bulat kepadanya. Bahkan, jika memiliki zuriat, tuan-puan akan pastikan setiap mereka menjadikan beliau contoh tauladan. Bahkan, sebolehnya namanya juga akan diabadikan pada nama zuriat yang tuan-puan miliki.



Begitulah detik hati kecil setiap kita yang memiliki rasa cinta. Atau kita yang terus berusaha untuk merasai cintai ini lalu kita bersungguh berkongsi dengan mereka yang kita temui atas belas kasih sesama Islam. Kita tidak malu membanggakan orang yang kita cintai dan kasihi kerana yakin, apabila terbit rasa cinta orang lain kepadanya, maka ia cukup membuatkan jiwa kita ceria.



Tuan-Puan, sebelum memperkenalkan orang yang kita cintai ini, sunahtullah nya, kitalah yang terlebih dahulu meyakini setiap kata-katanya, perbuatannya, lenggok gayanya, bahkan setiap apa yang dilakukan adalah berupa kalam hikmah atas alasan mana mungkin orang yang cinta kepada kita, lalu kita balas cintanya, akan mempersiakan kita. ALLAHU ALLAH.



Saya bukan mahu membungakan ayat apatah lagi untuk melarikan maksud utama yang hendak saya kongsikan kepada setiap ahli keluarga saya, sahabat, adik-adik peserta program-program kendalian saya, juga seluruh insan yang mahu peduli akan penulisan sifaqir ini.



Saya perlu kiaskan garapan tinta ini agar terbit pemahaman jelas kepada maksud yang cuba saya sampaikan. Saya sendiri berasa begitu amat simpati kepada diri yang mengakui cinta kepada kekasih ALLAH, tetapi tingkah lakunya amat jauh daripada kebenaran ucapan. Itu merupakan menisfestasi kepada saya.



Jauh Dari Mengakukan Amalan



Pengalaman saya menjalankan program-program ceramah, pengisian bersama kakitangan kerajaan atau swasta, remaja dengan pelbagai latar isu sosial amat mudah untuk mencetuskan perasaan hiba apabila kisah-kisah mengenai ibu bapa disajikan buat halwa hadirin. Ini disebabkan kedekatan hubungan, nasab keturunan yang pasti hadirin mudah terimbau akan permainan-permainan emosi bagi mencetuskan kenangan indah diwaktu kecil sehingga dewasa bersama kedua ibu bapa. Ini merupakan bukti murninya perhubungan ibu dan ayah bersama anak-anaknya samada yang pernah berbuat dosa atau mereka yang manja.



Tetapi, hati saya menangis kesedihan kerana kegagalan saya menjelaskan maksud cinta kepada insan yang saya war-warkan sebagai sumber keutamaan kasih saya mengatasi kasihnya kedua ibu dan ayahnda saya. Itu merupakan mukadimah yang memeritkan hati saya untuk dikongsikan bersama tuan-puan yang saya kasihi. Tidak keterlaluan saya katakan, kegagalan ini merupakan kelukaan yang amat-amat menyakitkan. ALLAHU ALLAH.



Saya gagahi juga coretan faqir ini. Saya luahkan melalui lembaran rasa agar terubat sedikit duka tatkala kegagalan memuliakan kekasih hati saya ini kepada ribuan manusia yang saya anggap sebagai “ahli keluarga” melalui siri-siri program yang saya berperanan secara langsung didalamnya. Barangkali tuan-puan terus bersemangat memperjuangkan kecintaan ini.



Siapa yang saya maksudkan sebagai ; “dia, kekasih, manusia kita cinta” didalam bunga bahasa tidak lain ialah junjungan mulia Sayyiduna Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم . Benar, teramat malu rasanya apabila gagal memperkenalkan Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم kepada umum. Apatah lagi melihatkan riak wajah audien yang termanggu apabila kisah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dilantunkan.



Bukan menyalahkan audien yang mendengar. Jauh sekali merendahkan tahap cinta mereka kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Bahkan saya ketakutan dalam memperkenalkan cinta ini betapa saya rupanya masih jauh daripada mengenali Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Saya khuatir, sayalah manusia yang gagal memahami, mengenali dan menyanjung tinggi keperibadian manusia yang tersangat istimewa sehingga ALLAH Azzawajalla mengiktiraf Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Sebagai “habibi”. Jadi, apa makna kepada manusia yang mengaku sebagai umatnya masih jauh dari mengenali hati budinya.



Mari kita lihat sikap sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم Amru ibn al ‘As رضي الله عنه dalam hal ini. Beliau berkata: “Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم . Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak dapat memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya.” [Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Iman]



Yang Dinamakan Niat



Hadith mahsyur ini dibacakan tatkala membicarakan perihal niat. Tatkala berlakunya kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu perkara, hadith ini di antara yang menjadi rujukan alfaqir untuk bermuhasabah diri. Niat, sebaik mana juga perancangan dengan kerapian susunan perjalanan program, jika tersasar sedikit niat maka, ia boleh menjadi punca kepada kegagalan besar terhada usaha yang dikerjakan.



Kegagalan melalui niat ini boleh jadi secara zahir dengan mengakukan pengalaman, kemampuan dan menidakkan usaha orang lain. Ia juga terzahir secara sembunyi dengan rasa-rasa takabur yang akhirnya menghalang terus tersampainya maksud terhadap tujuan. Umpamanya, seorang penceramah yang berceramah, dia bangga dengan tumpuan audien terhadapnya. Tanpa sedar, dia merasakan itulah kejayaan hasil usahanya, sedangkan selama kehidupannya dialah yang paling merendah diri apabila berada dihadapan manusia yang ramai. Walaupun pada ketika itu juga dia lantas tersedar, tetapi sebagai teguran daripada ALLAH سبحانه وتعالى natijahnya penyampaian dihalangi daripada sampai kehati yang mendengar, untuk menyelamatkan mereka daripada kepalsuan kata-kata sipenyampai. ALLAHu ALLAH Ya... ALLAH.



Kadangkala tarbiyah yang memeritkan ini amat perlu dihati nurani umat yang mengakui cinta kepada Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Agar mereka sentiasa beringat, cinta ini dibuktikan dengan perlakuan, tekad dihati, perbuatan ketika sembunyi dan dikhalayak umum dengan segala perlakuan Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang kita junjung tinggi.



Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. bersabda:

إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه

Maksudnya:

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang itu, apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kepada (kerana) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”.

[Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim]



Sementara Imam Ahmad dan Imam Syafie pula berkata:



Di dalam hadith ini (iaitu hadith “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat”) mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”



Adakah kita sanggup memilih untuk mengutamakan ALLAH سبحانه وتعالى daripada selain ALLAH سبحانه وتعالى dalam kehidupan kita? Adakah kita sanggup meninggalkan apa yang kita suka dan apa yang kita sayang demi menuju kepada apa yang ALLAH سبحانه وتعالى cintai dan kerana mengharapkan hanya cintaNya? Pernahkah kita memilih sesuatu kerana ALLAH سبحانه وتعالى dengan mengorbankan keinginan kepada selain ALLAH سبحانه وتعالى .



Orang yang mengasihi Nabi صلى الله عليه وآله وسلم juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar juga orang yang menyebarkan kekamilan Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Orang yang mengasihi Nabi صلى الله عليه وآله وسلم akan membenci apa yang dibenci oleh ALLAH dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, membenci dari melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.



ALLAH سبحانه وتعالى menjelaskan: “Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) ALLAH dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. “

[al-Mujadalah: 22]



Didalam ayat tersebut ditujukan kepada para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم seperti Abu Ubaidah al-Jarrah yang sanggup membunuh bapanya yang musyrik dan berterusan menghina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Islam. Sebagaimana yang dikisahkan oleh Ibnu Abbas RA.



Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar RA sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalangi oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bahagi terhadap Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.



Apa agaknya jeritan memohon syafaat darinya akan kedengaran atas kesilapan saya yang gagal untuk menghidupakan segala keperibadian Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم didalam kehidupan harian saya. Tidak sampainya maksud kepada umum yang saya kongsikan barangkali akibat terhalangnya keikhlasan bicara yang saya lontarkan. Sombong yang saya bela tanpa sedar atau keangkuhan adab riak yang saya pamerkan dalam-dalam hati sendirian tanpa saya ketahui. ALLAH......



Amal dengan keakuan, itulah pengkhianatan. Syukur melalui amalan, itulah kehambaan. Cinta kepada ALLAH… Tidak lupa akan ALLAH… Mengutamakan hak ALLAH… serta menyintai kekasih ALLAH yakni, Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , itulah seagung-agung qudwah dan tauladan.



WALLAHU’alam


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghaniy:

alMukminun

28 Syaaban 1432H / 300720

http://almukminun.blogspot.com/2011/07/kegagalan-ini-amat-memeritkan.html

Kajang, Selangor, Malaysia.


Tiada ulasan: