Loading...

::Teman Bersama::

Selasa, 17 Mei 2011

Muhasabah : Kem Juara Remaja Taqwa Siri 2/2011 [JAKIM-JKM WPKL-JKM Selangor] Kuala Kubu Bharu


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ



Muhasabah : Kem Juara Remaja Taqwa Siri 2/2011 [JAKIM-JKM WPKL-JKM Selangor] Kuala Kubu Bharu



Di antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan semasa program anti zina-pengkid-lesbian di Kuala Kubu Bharu. Kata seorang rakan selepas sesi muhasabah: Ana rasa tajuk menyintai Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam terlalu berat, patut enta sentuh tentang kematian. Saya amat sayu dengan kata-kata ini. Saya bertanya kembali kepada beliau apakah apabila mati nanti kita terselamat tanpa terlebih dahulu mengenali ALLAH Subhanahu Wa Taala dan Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam?...ALLAH...




قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَوَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَايُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ ( صحيح البخاري



" Demi zat ( yang ) jiwaku berada di genggamanNYA, belum (sempurna) iman seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya dari orang tuanya dan anaknya ".

[Shahih Al Bukhari ]



ALLAH...ALLAHU ALLAH.



Saya hanya mendiamkan diri kerana memahami majlis “post morterm” merupakan medan memperbaiki kesalahan dan kekurangan sepanjang perjalanan majlis. ALHAMDULILLAH. Adik-adik Darul Quran JAKIM yang saya kasihi di kalangan yang berusia awal 20-an dan saya sendiri berusia lewat 20-an. Tetapi, bagi saya ini bukan penghalang yang berusia mendengar pandangan yang muda, kerana yang berusia belum tentu sentiasa benar dalam lagak dan gaya bicara. Sebagaimana harapan saya kepada yang berusia menghormati yang muda agar yang muda mencintai yang berusia. Lihat tulisan awal saya. Jujur saya nyatakan ia bertitik tolak daripada keegoan, seorang imam yang cemerlang wajib menerima teguran daripada makmum, teguran bukan berakhir di antara imam dan makmum, tetapi mencakupi suami ditegur oleh isteri, bahkan pemimpin negara juga harus bersedia untuk ditegur oleh rakyat jelata.




Bayangkan setiap teguran dan kritikan terus dikatakan sebagai ‘penderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya di kalangan para Rasul dan Khulafah Rasyidin mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat, apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “wanita itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua. ALLAHU ALLAH. Bayangkanlah kehidupan negara yang dipenuhi pengampu disaat pemimpin-pemimpin itu dikuasai nafsu jahat dengan berbuat dan mengalakkan maksiat.




“Jika tidak mahu ditegur, maka usah berjamaah atau duduk dalam halaqah dakwah”. Begitulah pesan murrobbi saya ketika di Sarawak oleh Almarhum Syeikh Awang Pon Sebon. Beliau telah berusia lewat 60-an dan beliaulah yang menuntunkan akhlak mulia apabila cepat mesra bersama pemuda-pemudi seperti saya. Kami baik dari Semenanjung atau anak-anak Sarawak dan Sabah pasti merindui beliau. Kasih sayang beliau kepada kami terpancar melalui pesan-pesan hikmah. Usrah yang dipimpin oleh beliau penuh kasih sayang. Ditanyakan kepadanya, pasti dijawab dengan kebenaran dan kelembutan.




Program saya seterusnya ialah pada 22-26 Mei 2011 di Kenyir bersama kakitangan sebuah Jabatan Kerajaan. Jujur saya katakan program saya pada 12-15 Mei ini lebih saya tumpukan kerana pesertanya terdiri daripada adik-adik muslimah sekitar Lembah Kelang dengan pelbagai isu sosial. Mereka masih muda dan perjalanan masih jauh, manakala para peserta saya di Kenyir lewat 30 an keatas usianya. Bukan memandang rendah, jauh sekali membandingkan di antara para peserta. Tetapi, itulah keutamaan, andai tidak mampu membuat semua maka jangan meninggalkan semua.



Teringat wajah-wajah adik peserta ketika mula-mula mereka hadir dalam program. Ada yang mencuka, termanggu dengan pelbagai pertanyaan kemana agaknya arah pengisian program ini nanti. Sesi Ice Breaking dilaksana oleh sahabat saya dan berjaya menceriakan suasana. Bagi saya agak kekok berdiri dihadapan adik-adik muslimat peserta dan adik-adik fasilitator Darul Quran.




Almaklum, jumlah peserta dicampur dengan fasilitator dan urusetia muslimat berjumlah 40 orang, manakala saya dan urusetia lelaki terus setia, dengan jumlah hanya 5 orang sahaja. Teringat zaman muda keluar daripada pondok, semasa di universiti, andai terlihat kelibat muslimah dihadapan dari jauh yang sejalan dengan saya, pasti saya akan bertukar jalan ke sebarang kerana amat malu untuk berselisih dengan muslimah baik muslim atau bukan muslim. ALLAH.... Saya pernah dimarahi oleh Ustaz Din Kuala Kangsar, apabila menceritakan kepada beliau saya tidak mampu meneruskan pengajian di universiti kerana memerlukan “pengorbanan prinsip” dengan bermuamalah bersama akhwat.




Bahkan, saya sendiri dimarahi kerana menjadi contoh kejumudan pemikiran dengan hanya berjuang atas tiket “keselesaan” dan takut duduk berdakwah dalam kelompok masyarakat. Saya pasti tersenyum sendiri melihat asimilasi diri daripada dahulu sehingga kini. ALLAHu ALLAH. Mudah-mudahan dalam lingkungan yang diaksihi oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala.




Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala :



Maksudnya:

"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

[Al-Kahfi: 28]





Imam Qotadah RA berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"

[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]




Hari Kedua : Tersentak




Pada hari kedua di malam hari, kami adakan aktiviti “Solo Night” berjalan dimalam hari. Jurulatih daripada Yayasan Selangor bernama Atok dan Abang Zek, mereka berdua amat ceria dan ringan tulang membantu sepanjang kami berprogram. Sungguh banyak pengalaman dikongsikan oleh mereka yang juga bekas Komando. Terkejut mereka apabila mengetahui bahawa saya juga merupakan anak sulung kepada bekas Komando.




Kami berjalan sejauh 3 kilometer ke tempat Solo Night. Tiba di “check point 1”, kami bersiap menunaikan solat Maghrib, tazkirah dan menunaikan solat isyak berjamaah berkhauf dan tanpa alas sejadah diatas tanah semata-mata, muslimah diimamkan oleh Ketua Fasilitator DQ yang bijak menyesuaikan diri beliau dengan keadaan. Pada masa yang sama ada yang kepenatan pengsan, pra histeria dan diserang histeria. Apabila dirukyah, ada sedikit gangguan. Walaubagaimanapun tahniah buat dua mujahidah DQ yang setia membantu adik-adik yang keletihan ruhani tersebut. Kedua-dua mereka sedia menjaga adik-adik dengan sabar dan tenang walaupun teringin benar mengikuti pengembaraan malam bersama teman-teman fasi DQ lainnya. Selepas saya menghantar adik-adik peserta dan adik-adik Fasilitator DQ untuk menjaga mereka, perjalanan saya teruskan bersama Abang Zek menaiki van ke tempat program, peserta tertanya-tanya bagaimana keadaan rakan-rakan yang dirawat. ALHAMDULILLAH, kelihatan ada kelikatan ukhuwwah usai “pecah bendungan” dan dua hari berprogram.




Peserta menjalani sesi muhasabah bersama Atok, mereka diajar kata kunci dengan bertanya kepada kelibat manusia : Bulan.... dan dijawab oleh fasilitator : Mengambang....Andai berhadapan dengan “makhluk” yang jarang ditemui atau ditimpa kesukaran, mereka perlu menjerit “Aaa....toookk dan A...bang Zekkkkk....”. Selepas sesi “solo night”, pelbagai maklumbalas diterima baik daripada fasi dan adik-adik peserta. Ada yang kata, apabila dikataan bulan... ada yang menjawab bintang, bulan tak terang dan pelbagai lagi. Tidak kurang juga kisah-kisah lain daripada para fasilitator. Dikatakan oleh Atok dan Abang Zek, bertemu makhluk bukan manusia dinamakan ia sebagai rezeki. Saya?, sibuk bermuzakarah dengan adik-adik fasilitator di “check point” seputar isu sosial, muamalah, wahabbi, syiah, hizbut tahrir dan ta’dud jamaah. ALLAH....




Hari Ketiga : Perjalanan Menuju Aku.




Lawatan ke rumah warga emas terlantar memberikan kesan amat mendalam buat kami para urusetia, adik-adik fasilitator DQ dan para peserta yang dikasihi. Melihatkan seorang demi seorang penghuni pasti membuatkan kalian menitiskan air mata. Muhasabah diri betapa di usia yang muda dengan kekuatan tenaga belum tentu akan menjadikan kita perkasa di usia tua. Betapa kasih sayang yang disemai kepada isteri dan anak-anak bukan prasyarat kita akan dijaga dan dipelihara oleh mereka ketika tidak mampu menguruskan diri. Ibu dan isteri yang penuh ikhlas berkorban demi anak-anak dan suami, menguruskan kelengkapan harian mereka belum tentu akan dibalas dengan jalan bahagia. ALLAH.... Itulah tazkirah mata yang menyentap rasa saya sebagai seorang hamba yang faqir disisi kemuliaan ALLAH Subhanahu Wa Taala. Petang, bumi Kuala Kubu Bharu dihujani dengan limpahan hujan rahmah. ALLAHU ALLAH.




Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:


Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.

(Kitab: Qawaid al-Tasawuf).




Malamnya, dengan izin ALLAH Subhanahu Wa Taala saya sampaikan sedikit kisah mengenai kemuliaan Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam. Saya kisahkan mengenai ketenangan peribadi mulia ini buat adik-adik peserta dengan ingatan bahawa ibu bapa yang kita cintai pasti akan meninggalkan kita didunia ini. Maka, siapakah yang akan terus memandu adik-adik peserta ini dalam kehidupan tanpa ibu dan ayah disisi melainkan kejinakan kepada sunnah dan cinta kepada Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam. Justeru, saya sampaikan kisah manusia yang amat saya kagumi ini mudah-mudahan terlekat rasa cinta agung yang saya sedang rasakan kepada adik-adik peserta yang dikasihi.




Bahkan, berminggu-minggu saya mencari jawaban kepada perkongsian ini dengan malam-malam yang penuh hening. ALLAH..Siapalah saya yang mahu mengisahkan keperibadian agung ini tanpa izin ALLAH Subhanahu Wa Taala. Maka, saya benar-benar insaf untuk mempersembahkan pengisahan ini kerana tahu betapa hinanya diri. Saya gagahi dengan pesan Syeikhuna Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki yang dikasihi : “Dimana pun kamu berada, tebarkanlah perjuangan menegakkan aqidah Ahlu Sunnah Wa Jamaah dan perkenalkan Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam kepada ummah, ia wajib! ”.




“Ya ALLAH seandainya dahulu doa-doaku ketika di dunia tidak ada yang dikabulkan sehingga sehingga menjadi hutang bagi Mu dan Engkau berikan balasannya di akhirat”, kerana mereka melihat banyaknya pahala yang ALLAH siapkan untuk mereka di akhirat atas doa-doa yang belum dikabulkan ketika di dunia. Kita bersyukur kepada ALLAH atas kenikmatan-kenimatan yang diberikan kepada kita, dan janganlah di antara kita berharap untuk sakit atau mendapatkan musibah. Sebahagian orang berkata : “wahai ALLAH jika kenikmatan ini akan mendatangkan azab untukku kelak di akhirat, maka janganlah berikan kenikmatan itu kepadaku, biarkanlah musibah itu menimpaku di dunia”, maka Rasulullah bersabda untuk tidak mengatakan hal seperti itu namun katakanlah :




اللَّهُمَّ رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ




“Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”

[Habib Munzir Fuad Al-Musawaa]




Hari Keempat : Kepada Tautan Hati



Suasana muram, sesekali dihiasi keceriaan adik-adik peserta yang petah berbicara. Saya didatangi beberapa peserta menyatakan penuh minat untuk meneruskan program-program sebegini pada siri-siri berikutnya. ALLAH... benarlah ingatan ini :




هُمُ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيْسُهُمْ



“ Orang yang duduk bersama mereka (yang berzikir) tidak akan dihinakan ”




Selepas sesi bersama ibu bapa para peserta, mereka bersama-sama berikrar untuk meneruskan perjuangan hidup. Terdetik kecewa kepada ibu bapa yang tidak berkesempatan hadir atas sebab tertentu. Kasihan kepada adik-adik yang bersungguh-sungguh untuk berubah hanya melihat, memeluk erat serta mengucapkan lafaz ikrar kepada kakak-kakak fasilitator DQ yang mengantikan tempat kedua ibu bapa mereka. Ketika ini suasana sayu meresapi hadirin.




Dalam konteks motivasi berskala besar ini, khususnya untuk para remaja, betapa peranan ibu bapa, penjaga dan guru-guru amat mustahak untuk menjadi penyokong kepada usaha perubahan yang dilakukan oleh remaja yang baharu pulang daripada program-program motivasi. Amat malang, ada di kalangan ibu bapa, adik-beradik, apabila pulang sahaja anak-anak ke rumah diperli umpamanya : “..kita lihat berapa lama angah bertahan untuk berubah”. Bukan untuk memuji bahkan mengeji mereka apatah lagi untuk terus mendoakan mereka tanpa rasa lelah berputus asa. Inilah salah satu punca berlakunya sekatan untuk berubah di kalangan anak-anak remaja kita.




Akhirnya majlis salam perpisahan diiringi kesyahduan tangisan adik-adik dan para fasilitator yang telah akrab sesama kami. Alunan selawat, qasidah burdah dibacakan bagi meniup terus di telinga kami bahawa pertemuan dan perpisahan adalah kerana ALLAH Subhanahu Wa Taala. Adik-adik fasilitaor DQ memeluk erat adik-adik peserta sambil membisikan nasihat-nasihat akhir. ALLAHU ALLAH. Masing-masing saling tidak mahu melepaskan pelukan dan esak tangisan berterusan. Ya ALLAH, pandanglah mereka dengan kasih sayangMU, betapa mereka ingin berubah dan merindui kebaikan. Tunjukilah mereka dan aku yang kesamaran dalam meneruskan usaha-usaha dakwah kekasihMU Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.




Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda :



مَنْ اغْبرَّتْ قَدمَاهُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ



“ Barangsiapa yang kakinya berdebu (kerana berjalan) di jalan ALLAH maka ALLAH haramkan darinya api neraka ”




Al Imam Ibn Hajar Al Asqalani menjelaskan bahawa perkara itu bukan hanya untuk orang yang berjihad sahaja, tetapi untuk semua orang yang melangkah menuju jalan yang diredhai ALLAH, termasuk berjalan ke majlis zikir, ke majelis ta’lim, ke majlis sholawat atau ke masjid, kerana hadith ini diriwayatkan ketika Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam pergi untuk menunaikan solat Jumaat, maka perkara ini menunjukkan bahawa hadith ini bukan dikhususkan untuk mereka yang berjihad sahaja tetapi untuk semua orang yang melangkah menuju jalan yang diredhai ALLAH, jika hanya kaki yang melangkah ke jalan yang diredhai ALLAH terkena debu maka ALLAH haramkan dia dari api neraka, maka bagaimana dengan jiwa yang rindu kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala.




“Bagaimana mereka? Semoga sihat dan berbahagia dengan ujian dan keringanan ibadat buat adik-adik peserta”




وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم




Wallahu’alam

Alfaqir : almukminun

[18 Jamadilakhir 1432H/12-15 Mei 2011]

BBST

http://almukminun.blogspot.com/2011/05/muhasabah-kem-juara-remaja-taqwa-siri.html

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

masyaALLAH..subhanALLAH..asif wa syukran 'ala kulli hal sebelum,semasa n selepas program...kami fasi2 DQ amat berterima kasih atas peluang yg diberikan..kami mendapat bnyk pgalaman...di sini antara salah 1 medan kami berdakwah...semoga diberkati ALLAH..insyaALLAH..

|makhlukDIA| berkata...

salam.sedikit pandangan~

pd pandangan ana, menekankan isu 'kematian' lebih sesuai jika dilihat pada kondisi peserta2~

bukan bermaksud..

"apakah apabila mati nanti kita terselamat tanpa terlebih dahulu mengenali ALLAH Subhanahu Wa Taala dan Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam?" ..

dengan ingat kematian, akan lebih mudah membuka jalan mengenali Nabi.

sebabnya..formulanya nanti lebih kurang mcmni..

-takut mati..sebabnya takut kena siksa.makanya kena jadi baik.nak jadi baik, kenalah buat baik.macamana?contoh paling terdekat yang boleh diikuti, akhlak Nabi saw sendiri, sbg qudwah-

maka dari situ, kefahaman utk mencintai nabi tu lebih mudah nanti~step by step.

sebab ada dalam kalangan adik2 ni kurang mengenali nabi.tambah2 dengan seribu satu mslh yang dihadapi.

dakwah perlu bersifat tenang tapi kreatif.cekap dan kena pada masa.

wallahualam.sekadar pendapat.

Tanpa Nama berkata...

Life is full of changes..And suprises..And the inexplicables..
syukran kathir ats segala perkongsian ilmu....(solo night)
" A man who decided to change on the 12th hour, dies on 11th.." moga adik2 peserta sentiasa dlm lindungan Allah..