بسم الله الرحمن الرحيم
Berhadapan Dengan “PUJIAN”
Diriwayatkan daripada Abi Muammar bahawa beliau berkata:
Telah berdiri seorang lelaki sambil memuji-muji seorang pembesar. Saidina Miqdad R.A lalu mencurahkan tanah ke atas lelaki tersebut dan berkata: Kami telah diperintahkan oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam supaya mencurahkan tanah pada muka orang-orang yang memuji.
[Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahih beliau, juz m/s 2297]
Di kalangan pembesar dan penguasa serta orang-orang yang menjadi penghamba dunia, saling memuji telah menjadi kebiasaan. Demikian pula di kalangan para penglipurlara dan juru bicara, mereka memuji para hadirin terutama terhadap mereka yang kaya raya.
Menurut Imam Al-Ghazali Rahimahullah, ada enam perkara negatif hasil daripada pujian. Empat bahaya bagi yang memuji dan dua bahaya bagi yang dipuji. Adapun bahaya bagi yang memuji iaitu:
1.Berlebih-lebihan dalam memuji sehingga mengatakan sesuatu yang tidak ada, iaitu dengan melakukan pembohongan.
2.Orang yang memuji kadangkala menampakkan rasa senang secara lahir padahal dalam hatinya tidak, sehingga dia menjadi munafik, natijah bersikap kepura-puraaan.
3.Mengatakan sesuatu yang tidak ada kenyataannya sehingga dia membicarakan dengan omongan kosong, misalnya dia mengatakan bahawa orang yang dipuji itu adil, wara' dan sebagainya, sedangkan realitinya tidak.
4.Pujian yang diberikan berjaya membuatkan orang yang dipuji berasa senang, padahal orang itu adalah orang zalim, sehingga dia semakin zalim kerana pujian itu.
Adapun bahaya bagi orang yang dipuji, iaitu :
1.Pujian boleh menimbulkan kesombongan atau kebanggaan pada diri yang dipuji, sedangkan kesombongan dan kebanggaan akan membinasakan diri sendiri.
2.Orang yang dipuji akan merasa senang dengan pujian itu sehingga dia berhenti beramal, kerana merasa sudah cukup baik dan puas dengan apa yang ada pada dirinya.
Berbeza, apabila kita memuji orang-orang alim, sholeh dan tawadhu dan kita yakin pujian tersebut tidak akan menimbulkan riya dan kesan negatif lainnya, baik bagi yang memuji atau yang dipuji maka pujian itu diperbolehkan bahkan menjadi sunnah.
Sebagaimana Hadith riwayat shahih berikut :
Hassan bin Tsabit RA membaca syair di Masjid Nabawiy, kemudian dia ditegur oleh Sayyidina Umar RA, lalu Hassan berkata : “aku sudah baca syair ini di sini dihadapan orang yang lebih mulia dari engkau wahai Umar (iaitu Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam), lalu Hassan berpaling pada Abu Hurairah RA dan berkata : “bukankah engkau telah dengar Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam menjawab syairku dengan doa : wahai Allah bantulah ia dengan ruhulqudus?, maka Abu Hurairah ra berkata :“betul” (shahih Bukhari hadits no.3040, Shahih Muslim hadits no.2485)
Sabda Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam,
'Seandainya iman Abu Bakar ditimbang dengan iman seluruh alam, nescaya iman Abu Bakar lebih unggul'.'Seandainya aku tidak diutus tentu engkau yang diutus, wahai Umar'.
Dalam pelbagai kesempatan Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam memuji para sahabat, kerana Baginda Sayyiduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam tahu bahawa pujian tersebut akan menambahkan semangat kepada diri mereka (Radhiyallahuanhum) dan tidak menimbulkan kebanggaan.
Menyikapi Pujian.
Bagi orang yang dipuji harus merenungkan tentang bahaya riya yang sangat sulit yang terkesan serta bahaya amal perbuatan. Hendaklah ia mengingat keburukan batin yang ada pada dirinya,terutama yang ada pada fikiran dan kata hatinya yang andai kata diketahui oleh orang yang memujinya, nescaya dia tidak akan memujinya. Sikap ketidaksukaan harus ditampakkan dan juga didalam hatinya bahawa dia kurang suka dipuji.
Sikap Ali Radiyallahuanh jika dipuji, dia akan mengatakan:
'Ya Allah,ampunilah aku atas apa yang mereka tidak ketahui dan jangan hukum aku atas apa yang mereka katakan dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan kepadaku'.
Maka jelaslah bahawa memuji dilarang jika kita tidak tahu orang yang dipuji atau kita tahu bahawa orang yang dipuji itu adalah orang zalim namun kita tetap memujinya. Sebaliknya, jika kita faham orang yang dipuji tidak akan bangga diri kerana kealimannya, boleh-boleh sahaja kita memujinya bahkan mampu pula menjadi sunnah yang dapat diganjarkan pahala oleh Allah SWT.
Wallahu a'lam.
Al Wujud ‘Ainu Al Wujud, Al Wujud Ghoiru Al Wujud
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Al-Faqir ila ALLAH AL-QAWWIYY:
Almukminun
12 Jamadilakhir 1431H
Pulau Pinang
http://almukminun.blogspot.com/2010/10/berhadapan-dengan-pujian.html
2 ulasan:
JazakALLAHU khayral jazaak atas perkongsian ilmu yang sungguh bermanfaat. Agak lama juga sebelum ni tercari-cari doa tersebut (ketika menerima pujian).
Mohon doakan al-faqir, agar dapat berkumpul bersama insan-insan mulia dalam gambar tu (ziarah Pak Su Mid).
sama2 kita ambil mnfaat dri entri ni. ^^
Catat Ulasan