::Teman Bersama::

Sabtu, 3 April 2010

Keruntuhan Ketamadunan Manusia : Kita Masih Mendendangkan Ideologi Pluralisme Barat



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه




Keruntuhan Ketamadunan Manusia : Kita Masih Mendendangkan Ideologi Pluralisme Barat




Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, menjadi isyarat mengejut buat masyarakat Malaysia. Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya. Kita melahirkan kekecewaan teramat sangat, menghina kepada pelaku zalim dan ibu mangsa yang mengaku bersekedudukan. Jijik dengan bersekedudukan-persetubuhan haram. Jangan lupa, lahirkan rasa jijik itu kepada penyebabnya, iaitu pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita.




Manakala adik K. Hareswarral didera, dibunuh dengan kejam dengan patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul, kemaluan dicekak dengan kuat berdasarkan penemuan kesan kuku dan hatinya pecah.




Wanita dan lelaki di Malaysia sangat terkenal dengan budaya ketimuran, wanitanya dianggap amat bersopan-santun, lemah lembut, sangat menjaga pergaulan di antara lelaki dan wanita serta pelbagai lagi ciri ketimuran yang amat selari dengan ajaran Islam. Tetapi, ia dipersoalkan kebenarannya di atas perlakuan umat Islam yang tidak patuh kepada kewajiban yang diperintahkan ke atas mereka.




Ciri-ciri tersebut adalah dogma pada hari ini. Betapa bezanya hasil didikan ibu bapa waktu dahulu dengan masa kini. Jika dahulu, komuniti sesebuah masyarakat sangat akrab. Anak orang lain dianggap anak sendiri. Buruk diberi peduli berupa nasihat dan teguran membina. Penulis akui, sangat merindui masyarakat yang mengambil peduli ehwal remaja sekeliling. Terlebih dahulu, wajib menjauhi buruk sangka, mengadu domba serta sifat mazmumah demi mengembalikan generasi muda Islam khususnya di Malaysia serta amnya di dunia menjadi muda-mudi qudwah kepada penduduk bumi.




Penulis tidak peduli tentang pandangan pesimis terhadap premis yang diberi. Pengulangan sejarah jahilliyah berputar kembali ke zaman ini. Bunuh anak perempuan? Kini, membunuh tanpa mengira jantina dek kerana malu anak yang lahir akibat zina! Menyembah berhala? Kini, penyembahan terhadap budaya hendonisme, artis menjadi pujaan, fesyen, malah agama tiada menjadi panduan. Kekayaan turut menjadi sembahan. Keinginan bergelar hartawan mewujudkan lingkaran manusia yang kehausan dengan kebendaan. Fitnah? Kini, ditukar perkataannya kepada gosip, pengajaran tanpa adab.




Firman ALLAH SWT:

Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

[Surah Hud: 114]




Mari kita lihat jauh dari logika akal yang terbatas ini. Si kaya Muslim, samada dia itu jutawan, artis, ahli politik oppurtunis, atau pemilik harta “sederhana” juga semiskin harta, dengan hartanya menjadikan Haji atau Umrah-Ziarah ke Makkah dan Madinah sebagai salah satu pelengkap kehidupan. Tanya diri, berapa ramai pula yang kembali ke tanah air menjadi mulia akhlaknya. Bukan menafikan tiada langsung, tetapi sedikit sahaja. Haji, Umrah-Ziarah ke Makkah dan Madinah sebagai budaya dan penunjuk skala miskin-kaya! Setuju?




Khuatir, disebalik kekayaan, sedikit harta untuk menjadikan Tanah Suci Makkah-Madinah sebagai tujuan terhijab keikhlasannya kerana ada sedikit calar disebabkan sifat riak, takbur, atau sezarah mazmumah.




Firman ALLAH SWT:

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

[asy-Syura:20]




Penghasilannya kepada Haji-Umrah-Ziarah, penat lelah sai'e, wuquf, jamrah, malah bermusaffir kerana ALLAH SWT tidak diterima langsung oleh ALLAH SWT, malah langsung tidak dipandang oleh ALLAH SWT. Dalam kata lain, hanya ibadah yang sia-sia lagi tidak mendatangkan keuntungan ruhani. ALLAH ALLAHu YA ALLAH. Maka, pulang kita dengan anggapan bahawa kita di antara insan mulia, sedangkan itulah titik dosa riak yang tidak disenggaja kerana lalai kita kepada pengurusan akhlak. Menjadi asbab rosak amalan ibadah yang baharu sahaja kita laksanakan.




Kita Masih Mendendangkan Ideologi Pluralisme Barat




Dalam “Persidangan Antarabangsa Tentang Kependudukan dan Pembangunan” yang diadakan di Kaherah dari 5 hingga 13 September 1994. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memainkan peranan sebagai pengarah dan penyelia terutamanya terhadap deklarasi persidangan yang disediakan oleh Setiausaha Agung pertubuhan pada tahun tersebut.




Jika kita masih ingat, deklarasi tersebut telah mengejutkan dunia Islam. Bahkan berlakunya bantahan-bantahan terhadap deklarasi yang dilihat mencabar kelangsungan moral manusia terutamanya umat Islam. Himpunan Pengkajian Islam dan Jawatankuasa Fatwa di al-Azhar telah menyuarakan bantahan disusuli pernyataan bantahan daripada pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam dari seluruh dunia. Presiden Republik Mesir telah mengisytiharkan tidak bersedia untuk menerima sebarang keputusan deklarasi yang bertentangan dengan syariat Islam.




Begitu juga sokongan menolak deklarasi tidak bermoral [PBB] telah disokong oleh Rabitah al-Alam al-Islami beserta beberapa negara Islam lain di dunia. Bahkan, Paus di Kota Vatican telah mengecam persidangan itu beserta atucara perbincangannya yang membolehkan pengguguran kandungan dan mengesahkan hubungan kelamin secara bebas.




Kemarahan di kalangan negara Islam terjelma apabila sebuah pertubuhan yang mengaku mewakili suara asasi dunia telah menjatuhkan martabatnya sehingga menyamakan manusia sebagai binatang. Bahkan mungkin lebih hina dari itu. Masakan manusia diizin melakukan hubungan kelamin secara bebas atau membenarkan manusia sebebasnya membunuh janin yang telah bernyawa. Juga deklarasi yang dirangka dan diluluskan di bumi suci para anbiya seolah-olah menampakkan penghinaan secara halus terhadap perjuangan para anbiya dalam memartabatkan kesucian Islam pada masa lalu.




Firman ALLAH SWT:

Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.

[al-Isra’ : 18]




Beberapa negara Islam telah berusaha dengan keras agar kandungan tersebut diubah. Namun, hanya sebahagian kecil berjaya diubah serta deklarasi asal dikekalkan. Kejayaan “kecil” negara Islam dan negara yang beragama Katholik diraih dengan penambahan deklarasi seperti berikut: “...sesungguhnya menjadi hak setiap negara untuk melaksanakan deklarasi persidangan ini sesuai dengan nilai-nilai keagamaan serta akhlak dan budaya tanpa harus melaksanakan keputusan yang melanggar nilai-nilai luhur, ajaran agama dan tradisi”.




Persoalan yang harus berada diminda para pemimpin kerajaan Islam, ibu bapa, guru-guru, para pembuat dasar negara atau sesiapa sahaja asal akal mampu memberi panduan ialah adakah terus mendiamkan diri dalam penghinaan terhadap ketamadunan manusia ini. Atau hanya menganggukkan kepala ketika maruah dicaci secara rasmi. Ternyata, kesan daripada deklarasi tersebut berjaya mewujudkan suasana hendonisma di kalangan muda-mudi. Hasilnya, kecintaan kepada suasana hingar-bingar muzik atau kemasyhuran bergelar artis menjadi rebutan. Perjuangan kelompok liberalisma agama bagai mendapat tempat.




Agama yang diperjuangkan oleh kelompok liberalisma agama ini antara lainnya ialah menyamaratakan agama seluruh dunia sebagai bersumber kepada satu pencipta iaitu ALLAH SWT. Natijahnya, penafsiran Al-Quran, Hadith Rasulullah Shollallahu alaihi Wassalam sewenang-wenangnya dilakukan mengikut kehendak nafsu.




Disokong pula dengan para media oppurtunis yang melihat hiburan adalah lubuk kepada laba keuntungan. Lihat sahaja cetusan rasa anak-anak muda yang masih di bangku sekolah rendah berasak-asak mengasah bakat menyanyi semata-mata mahu menjadi terkenal serta alasan basi bagi merubah nasib diri dan keluarga. Kehilangan kecintaan kepada ilmu dihakis secara terang-terangan. Malah, penghinaan kelompok berideologi wahabbi yang terang-terangan menolak pengajian bertalaqqi kitab-kitab turath [kuning] di institusi pondok menghasilkan kelompok manusia yang menjadikan internet sebagai guru-guru menimbulkan persoalan baru, samada wahabbi mempunyai kerjasama rapat dengan ejen liberalisma agama.




Firman ALLAH SWT:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

[Surah Yassin : 60]




Jika diamati, deklarasi persidangan tersebut tidak pernah menjadikan nama ALLAH Subhanahu Wa Taala Yang Maha Mulia sebagai pembuka bicara atau pada akhirnya dengan lafaz pujian sebagai Pemilik Semesta Alam. Maka, deklarasi tersebut terlalu kering daripada asma’ ALLAH Yang Maha Mulia. Ternyata ia lahir daripada nafsu kebendaan yang sangat kental. Pembuat dasar deklarasi tersebut berasa bangga dengan pengisian rohani yang ternyata mengutamakan dunia melebihi akhirat kekal abadi.




Sebagaimana firman ALLAH SWT:

....dan tanah yang tidak subur tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana....[Surah Al-A’araf 7:58]




Deklarasi itu yang dilihat sepi oleh penduduk dunia Islam, sebenarnya sedang merosakkan nilai-nilai moral yang diyakini kebanyakkan penduduk bumi. Lihat kepada hujah pembuat deklarasi yang menyatakan bahawa pertambahan penduduk dunia terutamanya di negara-negara dunia ketiga perlu diperlahankan. Hasilnya, cadangan untuk pembatasan penduduk dilihat pandangan tepat serta diterima sepakat.




Kaedah pembatasan kelahiran dianggap oleh mereka (para sosialis) ini sebagai satu-satunya cara bagi meningkatkan pertumbuhan pembangunan dan menaikkan taraf kehidupan penduduk negara dunia ketiga. Maka, wujud pula “Teori bom demografik (letupan jumlah penduduk)” yang merupakan tipu daya barat agar mereka dapat terus menanamkan penguasaannya terhadap dunia. Sedangkan, yang sedang mengancam kesejahteraan penduduk di bumi bukanlah pertambahan jumlah kanak-kanak di negara-negara dunia ketiga, tetapi satu bentuk kegilaan barat dalam usaha menjarah dan merampas hasil bumi sejak lima abad yang silam. Yang dimulakan dengan penjajahan dan kemudian dengan menggandakan projek-projek antarabangsa.




Mengapa barat yang melaungkan jaguh kesejahteraan penduduk dunia mereka cipta jentera kapal terbang perang induk yang mampu membawa puluhan pesawat-pesawat tempur yang bernilai USD 1.5 billion. Sedangkan dengan jumlah kewangan yang sama mampu menggerakkan usaha penyuburan tanah padang pasir bermula dari Dakar di Senegal hingga ke Mogadishu di Somalia melalui pam-pam berkuasa tenaga sinar matahari tidak pula diberi perhatian.




Juga, ada di kalangan negara yang mengaku pembenteras bid'ah, menolak mazhab, berdebat isu khillafiyyah, merasa bangga menyediakan tapak pelancaran perang oleh negara kuffar Amerika Syarikat terhadap negara Iraq yang majoritinya umat Islam. Kemudian, menyokong penyebaran aqidah Wahabbi Mujjassimmah ke seantero dunia melalui kedutaan mereka sehingga menimbulkan kacau bilau di kalangan umat Islam.




Kesimpulan




Isu kebejatan, kerosakan akhlak muda-mudi juga yang golongan berusia di kalangan umat Islam perlu ditangani daripada akarnya yakni melalui pemantapan aqidah sohih. Pengajaran kalimah LAILAHA ILLALLAH perlu mencakupi iqtiqad bahawa Tiada Tuhan selain ALLAH Subhanahu Wa Taala, DIA Maha Tunggal, ALLAH SWT tidak sama dengan makhluk, ALLAH Subhanahu Wa Taala adalah Pemilik kepada segala-galanya alam maya ini wajib diberi penekanan serius tanpa berlengah.




Penggulangan sejarah zaman jahilliyyah telah terjadi pada zaman ini, jika kita persetujui bersama, maka, garapkan daya tenaga usaha kita dengan menyatakan sokongan bahawa autoriti utama dunia yakni Al-Quran-Sunnah, Hadith Sayyiduna Muhammad Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam beserta ijma', qiyas, sa'dur zaraa'ibb, sahabati Madinah adalah sumber pengambilan hukum umat Islam. Kita tolak mereka yang beraqidah MENYAMAKAN ALLAH SWT dengan makhluk! Kita tolak mereka yang mengakui sebagai Syiah ekstrem, Qaddiani, liberal, tarekat palsu, nasionalis sekular, serta para pemuka kuffar.




Kita kembalikan ruh para pejuang Islam yang seumur hidup mereka menjadikan pengajian berguru sebagai pemandu kepada matlamat ukhrawi. Kita contohi umat terdekat mutakhirrin seperti Al-Hujatul Islam Imam Al-Ghazali bersama Sultan Nuruddin Az-Zinki mempersiapkan sosok Sultan Salahuddin Al-Ayubi memimpin kebangkitan Islam selepas ketiadaan mereka. Ayuh, kita pelajari ilmu Aqidah, Fiqah dan Tasawwuf sebagai akar ilmu bersama-sama ilmu kifffayah yang menjadi tuntutan pada hari ini. Semoga ALLAH Subhanahu Wa Taala melapangkan urusan umat Islam yang benar-benar terarah hati mereka kepada mentaati ALLAH Subhanahu Wa Taala dan Sayyiduna Muhammad Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam. ALLAHU ALLAH. ALLAHUMMA AMEEN YA ALLAH.




"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"




Wallahu'alam

Al-Faqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

22 Rabiulawwal 1431H

08032010

http://almukminun.blogspot.com/2010/04/keruntuhan-ketamadunan-manusia-kita.html

Tiada ulasan: