Bersempena Sambutan Maulid Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasalam [1431H] ;
Siapakah di kalangan Nabi dan Rasul Yang Paling Di kasihi Oleh ALLAH SWT
Fa hualadzi tamma ma'na hu Wa su ratuh'
Summastha fahu habiban baariu'nnasam'
Bagindalah nabi yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh ALLAH, Tuhan Pencipta makhluk sebagai kekasihNya
Munaz'zattu an shariikinm fi ma ha siinihi'
Fajauharul'husni fiihi Ghairu Mungkhassimi'
Segala keindahannya tiada tercabar, maka keindahan permata yang ada padanya tidak pernah dibahagikan kepada orang lain
Daq'maa daa'qthun nasaara fii Nabiiyihimu'
Wahkum bima' Si'ta Madha'anm Fiihi Wahtakim'
Tinggalkanlah cara orang Nasrani (kristian) dalam menyanjung nabi mereka (Nabi Isa a.s) ertinya : Jangan katakan Nabi Muhammad itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda sesuka hati
Fansub' ilaa Zaatihi Maa shi'ta Ming Sharafiin'
Wansub' ilaa Khad'rihi Maashi'ta Ming izaami'
Pujilah kemuliaan zatnya sesuka hatimu dan pujilah segala keagungannya sekehendakmu
Faa' inna Fadhla' Rasullullahi laisalahu'
Haddunnm' Fayuqriba' Anhu Naatikhuun Bi' fami'
Kerana keagungan Rasulullah itu tiada had baginya, lalu lidah tidak dapat mengungkapkan segala keistimewaannya sekalipun dengan bahasa yang indah
Allahumma shalli wa sallim wa barik ‘alayhi wa ‘ala alihi
Wallahu' Taala' a'lam
[Qasidah Burdah : Al-Imam Muhammad Al-Bushiri]
Bersempena Sambutan Maulid Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasalam [1431H] ;
Siapakah di kalangan Nabi dan Rasul Yang Paling Di kasihi Oleh ALLAH SWT
Suatu ketika beberapa sahabat menunggu Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam di masjid Madinah. Mereka berdiskusi soal agama. Sehingga tiba pada suatu tajuk bicara, mereka berbincang tentang kelebihan para rasul dan nabi.
Ibnu Abbas RA menuturkan, sebagaimana dicatatkan oleh Ad-Darami dan At-Tirmidzi didalam kumpulan hadis mereka, ada seorang sahabat berkata, “Sungguh menakjubkan! Allah telah menjadikan Ibrahim sebagai kawan dekat-Nya.”
Yang lain menyahut, “Lebih hebat lagi Allah telah bercakap-cakap secara langsung dengan Musa!”
Sebahagian lagi mengutarakan, “Isa sebagai kalimat Allah dan Ruh-Nya.”
Ada lagi yang mengatakan. “Allah telah memilih Adam.”
Pernyataan-pernyataan para sahabat itu telah menimbulkan perbedaan pendapat. Dan mereka belum menemui kata muktamad, siapakah yang lebih dari yang lain. Sementara dalam ayat Al-Quran ALLAH Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
“Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi itu atas sebahagian yang lain.”
[ Al-Isra’ (17):55]
Tanpa disedari para sahabat, ternyata yang dinanti-nanti iaitu Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam, sudah berdiri dibelakang mereka. Dan baginda sudah mendengar apa yang mereka bicarakan.
Dengan wajah penuh pertanyaan, para sahabat menunggu Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda.
Bukan Kesombongan
“Aku telah mendengar apa yang kalian perkatakan dan memaklumi kehairanan kalian terhadap keberadaan Ibrahim sebagai kawan yang hampir kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala, memang begitulah adanya. Terhadap keberadaan Musa sebagai orang yang diajak bercakap-cakap langsung dengan ALLAH Subhanahu Wa Taala, memang begitulah adanya. Terhadap keberadaan Isa sebagai kalimat dan Ruh-Nya, juga memang begitulah adanya. Sedang aku adalah kekasih ALLAH ( Habib ALLAH ), dan ini bukan kesombongan.”
Beberapa sahabat yang mendengar keterangan Baginda Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam, sedikit gusar hatinya. Ertinya mereka sudah menemukan jawaban atas apa yang mereka perdebatkan.
Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam melanjutkan sabda Baginda, “Aku menjadi pembawa bendera kemulian pada hari kebangkitan, Aku adalah pembela pertama dan orang pertama yang dikabulkan syafa’atnya, dan ini bukan sebuah kesombongan. Aku adalah orang pertama yang mengetuk pintu syurga, dan ALLAH Subhanahu Wa Taala akan membuka pertama kalinya untukku dan mempersilakan aku memasukinya dengan orang-orang miskin di antara kalian. Aku adalah orang yang paling dimuliakan di zaman awal dan di zaman akhir, dan sungguh ini bukan sebuah kesombongan.”
Istilah Habib ALLAH inilah yang sering disebut-sebutkan dalam syair dan qashidah maulid. Majoriti ulama berpendapat, kekasih ALLAH Subhanahu Wa Taala lebih tinggi daripada kawan dekat kepada ALLAH ( Khalilullah ). Salah satunya ialah pendapat Imam Abu Bakar bin Furak, berdasarkan sebuah pendapat ahli kalam, “Khalil mencapai ALLAH melalui sebuah perantaraan sebagai yang diisyaratkan didalam firman-Nya:
“Demikianlah langit dan perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda kekuasaan Kami di langit dan di bumi.” [Surah Al-An’am (6):75]
Sementara itu, bagaimana “ Seorang yang cinta” mencapai ALLAH, diisyaratkan didalam firman-Nya:
“…Dia sangat dekat dua hujung busur mata panah atau lebih dekat lagi.” [Surah An-Najm (53):9]
Khalil berkata: “Dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian.”
[Surah As-Syu’ara (26):84]
Sedang kepada orang yang dicintai dikatakan: “Dan Kami tinggikan bagimu sebutan namamu.” – Surah Alam Nasyrah (Al Insyirah):4.
Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dianugerahkan dengan sejumlah kemuliaan tersebut tanpa baginda memintanya.
Masih banyak lagi perbandingan yang menguatkan bahawa istilah Habib lebih tinggi dari Khalil. Dalam kehidupan sehari-hari, umumnya, kita sendiri lebih mengutamakan kekasih kita daripada kawan kita.
Sejumlah keterangan yang telah disampaikan, menurut Qadhi Iyadh bin Musa Al Yahsubi, didalam bukunya yang berjudul “Keagungan kekasih ALLAH, Muhammad SAW” menunjukkan ketinggian darjat Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.
Ayuh, sertailah perkumpulan Maulid yang sentiasa basah lidah mereka bersholawat ke atas junjungan mulia Habibullah, Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam tanpa rasa waswas. Tanpa khuatir ia menyamai sambutan para kufar. Jauhilah perkumpulan yang menghina-hina majlis maulid Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam. Bentuklah lingkaran kasih kita kepada pesuruh ALLAH Yang Maha Mulia yakni Sayyiddina Muhammad Rasulullah Shollahu Alaihi Wassalam.
Sebagaimana kata Khatimah Al-Huffaz Syeikh Jalaluddin As-Suyuthi r.a didalam kitab beliau “Husnul Maqshad Fi A'malil Mawlid” berkenaan jawaban yang telah ditanya kepada beliau perihal hukum menyambut Mawlid Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam pada bulan Rabiulawwal: apakah hukum melakukannya menurut pandangan syarak dan adakah ia terpuji atau tercela? Dan adakah orang yang melakukannya akan diberi pahala?
Jawab beliau: “Dan jawaban bagi soalan tersebut disisiku ialah: asal menyambut Maulid itu ialah berkumpulnya manusia, membaca sebahagian ayat-ayat al-Quran, meriwayatkan cerita maulid tentang kelakuan dan keperibadian Baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dan tanda-tanda keistimewaan dan keajaiban yang berlaku ketika Baginda Shollallahu alaihi Wassalam dilahirkan. Kemudian dibuat pula jamuan kepada orang ramai dan mereka pun beredar tanpa menambah perkara yang ditegah oleh syarak dan ia termasuk ke dalam bid'ah hasanah kerana menganggungkan keperibadian Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam yang mulia”.
Sabda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam:
Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman qudratNya, tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia menyintai daku melebihi daripada kecintaannya kepada ibu bapa dan anak-anaknya.
[Riwayat Imam Bukhari dalam Sahih beliau, juz 1 m/s 14, Riwayat Imam Muslim,juz 1 m/s 76]
Jika Pohon Tamar Terlalu Mengasihi Baginda Rasulullah SAW, Tergamakah Kita Mencela?
Diriwayatkan daripada ramai sahabat Nabi Muhammad Shollallahu alaihi Wassalam:
“Ketika mana Rasulullah Shollallahu alaihi wassalam berkhutbah sambil berdiri, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memegang di atas batang pohon tamar yang ditegakkan. Apabila Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam berdiri lama, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam meletakkan tangan Baginda yang mulia itu ke atas batang pohon tamar tersebut. Setelah bilangan orang-orang yang bersolat bertambah, para sahabat Nabi Muhamamd Shollallahu Alaihi Wassalam lalu membuat mimbar untuk Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam.
Ketika mana Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam keluar dari pintu Hujrah Syarifah pada hari Jumaat untuk menuju ke mimbar, Baginda melalui batang pohon tamar tersebut. Tiba-tiba batang pohon tersebut berteriak dengan kuat dan merayu-rayu kepada Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam sehingga bergoncang masjid dan batang pohon tersebut terbelah, namun ia masih tidak reda. Sehinggakan Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam turun dari mimbar dan mendekati batang pohon kurma tersebut, lalu Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam meletakkan tangan Baginda yang mulia keatasnya dan menyapu-nyapu batang pohon kurma tersebut. Kemudian Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam memeluk dan mendakap batang pohon tersebut sehinggalah ia tenang.
Kemudian Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam memberikan pilihan kepadanya sama ada menjadi pohon di Syurga yang mana akarnya dapat meminum dari sungai-sungai Syurga atau kembali menjadi pohon yang berbuah lebat di dunia.
Batang pohon tamar tersebut lalu memilih untuk menjadi pohon di dalam syurga. Baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda:
“saya akan lakukannya INSYAALLAH,saya akan lakukannya INSYAALLAH,saya akan lakukannya INSYAALLAH.”
Batang pohon kurma tersebut terus diam, kemudian Baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman kudratNYA, sekiranya aku tidak menenangkannya, nescaya ia akan merayu-rayu sehinggalah ke hari kiamat kerana asyikkan Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam”.”
[Hadith ini telah diriwayatkan oleh ramai Huffaz dengan lafaz yang hampir sama. Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad beliau, juz 3 m/s 293, Imam Bukhari dalam Sahih beliau, juz 3 m/s 1313, Imam Tarmizi dalam Sunan beliau juz 5 m/s 594, Ibnu Majah dalam Sunan beliau juz 1 m.s 454, Ad-Darimi dalam Sunan beliau juz 1 m/s 30, Ibnu Hibban dalam sahih beliau juz 14 m/s 435, Ibnu Abu Syaibah dalam Musonnaf beliau juz 6 m/s 319, At-Thabarani dalam Awsath juz 2 m/s 367 dan Abu Ya'la dalm Musnad beliau juz 6 m/s 114]
Di antara dalil tentang Maulid ini juga ialah melalui firman ALLAH Subhanahu Wa Taala:
“Dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari ALLAH” [Surah Ibrahim : 5]
Maka, bagaimanakah jika dikatakan kita tidak mengasihi Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam sedangkan seluruh makhluk mengenal dan mencintai Baginda Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam. Lihatlah kepada batang pohon tamar yang merupakan makhluk yang tidak bernyawa, ia sangat kasih kepada Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam dan sentiasa rindu dan mengharapkan untuk sentiasa berdekatan dengan Baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Bahkan, pohon tamar itu menangis teresak-esak kerana rindukan Baginda Rasulullahi Shollallahu Alaihi Wassalam dan perkhabaran ini mencapai taraf hadith mutawatir.
Ketahuilah bahawa mencintai Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam itu merupakan antara dasar-dasar iman. Dan ia sentiasa beriringan dengan kecintaan terhadap ALLAH Subhanahu Wa Taala. Sesungguhnya ALLAH SWT sendiri telah mengandingkanNya sebagai Zat Yang Maha Mulia bersama Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Bahkan ALLAH SWT mengancam mereka-mereka yang mendahulukan cinta yang lain, sama ada kaum kerabat, harta benda, tanah air dan perkara lainnya.
Usah berasa mundur, rendah diri, apatah lagi terpedaya dengan kata-kata bahawa Maulid Nabi ini adalah ketinggalan zaman. Di dalam majlis-majlis memperingati Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam inilah merupakan sedikit usaha kita untuk sentiasa menghidupkan di dalam hati dan perlakuan kita sehari-hari akan segala sunnah Baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Di dalam majlis-majlis Maulid ini juga kita mengimbau perjuangan jerih Baginda sehingga kita bergelar Muslim. Memperingati keagungan hamba ALLAH yang sentiasa mengingati kita selaku umatnya. Jadilah Muslim yang menyintai ALLAH SWT dan Rasul NYA melebihi segala yang kita miliki, agar kita tidak rugi ketika insan lain mendapat syafa'at Baginda Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam di akhirat nanti.
Wallahu'alam.
P/S: 12 Rabiulawwal 1430H, Jam 2157 PM, tarikh dan waktu dimana al-Faqir bergelar Suami buat Isteri tercinta. Kepada para penziarah blog al-Faqir almukminun, mohon doakan al-Faqir agar kekal rumahtangga kami didalam inayah,hidayah empunya diri yakni ALLAH SWT, agar kekal hubungan kami suami-isteri sehingga mampu melihat wajah Sayyidduna Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam di akhirat nanti, kerana dengan melihat wajah Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam mampu pula melayakkan kami melihat wajah ALLAH Subhanahu Wa Taalla.....ALLAHU ALLAH ALLAH :
“Ya Tuhanku, ampunilah aku,ibu bapaku,orang-orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan wanita.dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan” [Surah Nuh : 28]
Al-Faqir ila ALLAH AL-GHANIY:
Almukminun
1 Rabiulaawwal 1431H
http://almukminun.blogspot.com/2010/02/siapakah-di-kalangan-nabi-dan-rasul.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan