Bertemu Nasihat Guruku : Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه
Pencarian demi pencarian, akhirnya menemukan si faqir kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala itu kepada sebuah cahaya ilmu. Mudah-mudahan kekal hatinya dalam mengejar cahaya ilmu. Teringat akan pesan As-Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi sewaktu Al-Faqir menghantar dan menjemput beliau ke majlis ilmu anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia[ABIM] sekitar tahun 1429 Hijriah.
Pesanan ini Al-Faqir sematkan dihati buat sekian lamanya, lalu digerakkan naluri hamba ALLAH yang hina ini oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk dijadikan tatapan umum sebagai punca makanan ruhani.
Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala;
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”
[Al-Baqarah : 42]
Guruku berpesan,
Seorang hamba yang belajar kerana ALLAH Subhanahu Wa Taala, maka malaikat mendekatinya manakala ikan-ikan dilaut turut mendoakannya sebagai perajurit yang berjuang untuk ilmunya. Alangkah indahnya para pecinta ilmu dengan limpahan unggul peribadinya. Segalanya teratur mengikut neraca syariat. Asal sahaja guru-guru yang dipilih jauh daripada fahaman wahabbiyyah-mujjassim, syiah-taqqiyyah dan liberalisasi agama.
Para pelajar yang menuju mencari ilmu, orang itu digelar ashabul hatwa. Mereka dipimpin langkah-langkah kakinya oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala ke arah kebenaran. Mereka yang menuju ke majlis-majlis ilmu juga diuji. Ujian, kadangkala hadir dalam bentuk pemikiran. “Tiba-tiba hadir perkara lain yang dilihat melebihi kepentingan daripada untuk hadir ke majlis-majlis ilmu.”
Dikisahkan daripada Sayyiduna Anas ibn Malik Radiallahu Anhu berkata: Telah bersabda Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam;
“Barangsiapa keluar ia pada menuntut suatu pintu daripada ilmu, nescaya meliputi dengan dia oleh segala Malaikat dan mensholawatkan atasnya oleh segala burung pada hawa (udara) dan segala ikan di dalam air dan ditempati akan dia daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala akan tujuh puluh tempat orang yang mati syahid, yakni disediakan akan dia pada ALLAH Subhanahu Wa Taala seumpama tujuh puluh tempat orang yang mati syahid”
Ada pula ujian berupa kekangan berpisah sementara bersama insan tersayang. Umpamanya suami dan isteri. Anak daripada ibu dan bapa. Asalnya perpisahan sementara, namun dorongan nafsu menjadikan perpisahan sementara itu bagaikan terlalu berat bebannya. Hingga terlupa betapa doa malaikat dan rahmat ALLAH Subhanahu Wa Taala bersama mereka yang mengatur langkah menuju menuntut ilmu.
Sesekali jangan kamu pura-pura tahu bila ditanya kerana takut malu. Janganlah kalian berasa malu untuk mengaku tidak tahu, kerana itu juga adalah ilmu. Berkata Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam lagi, dikisahkan datangnya seorang murid daripada Morocco untuk bertanya kepada Imam Malik Radiallahu Anhu mengenai 40 soalan. Namun, Imam Malik Radiallahu Anhu yang terkenal dengan fatwa serta ilmunya hanya menjawab 11 soalan dan sebanyak 29 kali Imam Malik Radialahu Anhu menyatakan Wallahu’alam dan “aku tidak tahu”.
Jelas Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam lagi, di dalam Kitab Hikam Ibnu Atho’illah, jika sesorang itu mampu menjawab semua soalan yang ditanya, maka ia menunjukkan ia seorang yang jahil. Tiada siapa yang mampu bergelar proffesor serba tahu. Seorang hamba ALLAH harus menyelesaikan ilmu fardhu ain baru menuju ilmu fardhu kiffayyah.
Hamba yang tidak mengenal penciptanya tidak mungkin mampu menyedari matlamat ciptaan dirinya oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala. Begitu pula jika tiada ilmu asas (fardhu ain), maka amat sukar untuk membedakan halal haram hukum sesuatu perkara yang terkandung dalam ilmu fardhu kiffayah kerana kunci kepada persoalan yang berlaku berada pada ilmu fardhu ain. Bagaikan hamba yang kehilangan mata hati lagi buta membedakan yang hak dan batil.
Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala;
"Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)."
[Al Isra 7])
Perlu ada di kalangan hamba mempunyai seorang guru atau insan berilmu yang mampu memandunya ketika dalam keadaan keliru terhadap persoalan-persoalan hukum hakam agama. Jangan pula logik-akal-bacaan tanpa sandaran kepada guru yang jauh dari faham wahabbiah-mujjasimmah,syiah dan liberal dijadikan dalil dan takwil.
Sesekali tidak berlaku pembahagian ilmu agama dan ilmu akademik. Ilmu fardhu ain adalah jambatan menuju syurga. Jika ditanya apa ada pada seorang ulama tua yang sepanjang hidupnya mengaji, menulis, membaca kitab-kitab jawi lama. Sabar dahulu dalam berbicara. Janganlah kerana guru itu tiada gelar pHD ditanganya, lalu habis ilmunya dihina.
Apakah disebabkan dia tidak tahu berbahasa Inggeris, maka ilmu dimilikinya tidak boleh dijadikan sendi agama. Sedarlah, bagaimana pula amal ibadah para ulama terdahulu. Adakah hanya kerana mereka tidak punya gelar sarjana lalu menjadi terbatal segala ilmu mereka. Wa’Naudzubillahi Miinzaliik.
Jika begitu halnya, maka segala ajaran ilmu ulama terdahulu menjadi batal serta wajib pula diganti dengan kedatangan ilmuan sarjana dengan gelar yang hebat-hebat belaka.
Dikisahkan daripada Anas ibn Malik Radiallahu Anhu berkata:
“Telah bersabda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam; Bahawasanya seumpama segala ulama pada bumi itu seperti seumpama segala bintang di langit beroleh petunjuklah dengan dia daripada segala kelam darat dan laut, maka apabila bintang itu terhapus ia yakni hilang ia hampirlah bahawa sesat oleh segala orang yang menunjuk itu.”
[Kitab Hidayatul Mukhtar Fii Fadhli Ilmi Wa Fadhli Sahibihi Min Kaalami Sayyidi Akhyar Shollallahu Alaihi Wassalam, Syeikh Al-Hafiz Al-Munziri]
Adab si alim mesti beramal dengan ilmunya. Berterusan mengajak orang disekitarnya agar menzahirkan iman dengan melaksanakan ibadah secara berilmu serta disandarkan (bersanad) kepada ijmak ulama.
Ulama suuk atau ulama hatinya terpaut pada dunia kelihatan bersenang lenang di dunia. Barangkali populariti si ulama mengatasi ilmu yang dimiliki. Dijaja di sana sini isu-isu khilaffiyyah atau furu’iyyah yang telah lama diselesaikan oleh para ulama terdahulu. Pandangan ulama dunia dilihat selari dengan perjuangan para pejuang liberalisasi agama. Segala-galanya dilihat dan dikatakan mudah tanpa perlu mengikuti medium Ahlu Sunnah Wal Jamaah dengan sistem talaqqi dan metodologi ijmak ulama.
Janganlah ilmu yang diajar diniatkan untuk menyaingi ulama atau bermegah-megah bagi mengumpul pengikut. Seksaan paling pilu, apabila orang alim tidak memberi manfaat kepada awam dengan ilmunya.
Al-Faqir diingatkan lagi, jika bertambah ilmu tetapi kelakuan masih buruk, itulah tanda orang itu telah jauh daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala. Orang jahil merasa rajin mengaji sedang dia tidak sedar ilmu yang dipelajarinya itu terhijab kerana ada keinginan dunia dihatinya. Manakala, orang alim (berilmu) merasa segan untuk beramal dengan ilmunya disebabkan masih kurang yakinnya kepada janji-janji ALLAH Subhanahu Wa Taala terhadap ilmu yang dipelajarinya.
Orang jahil, rajin menganjurkan majlis-majlis ilmu. Tetapi dikhuatiri, hatinya diselimuti dengan rasa takjub dengan kehadiran ramai penuntut ilmu. Dia merasakan kerana dirinya, majlis ilmu itu dihadiri ramai. ALLAHU ALLAH. Ya ALLAH. Ketika ini airmata Al-Faqir mengalir tidak berhenti. Betapa kata-kata Syeikh Ahmad Fahmi mengusik hati dengan menyedarkan Al-Faqir yang pernah menganjurkan majlis-majlis ilmu ini. Apakah sudi ALLAH Subhanahu Wa Taala menerima sedikit usaha Al-Faqir ini.
Ulama tidak sesekali menjual agama untuk dunia
Ulama tidak akan bersengkongkol dengan manusia-manusia hina yang menjadikan dunia sebagai tujuan cita-cita. Bukan pula ulama itu hanya akan berdiam diri apabila Islam dicela serta dikeji. Ulama tidak akan membiarkan agenda peribadi melangkaui syarie.
Ulama akhirat
Ulama akhirat menuntut ilmu dengan akhlak agar memberi dirinya manfaat di akhirat. Ulama yang hatinya terpaut kepada akhirat gemar mengajarkan ilmunya kepada orang lain agar berbuat ibadat yang ikhlas. Ulama akhirat tidak mengajar kepada anak muridnya untuk bijak berbahas kerana ditakuti terselit sedikit sebanyak takabbur.
Wallahu’alam
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Al-Faqir ila ALLAH Al-Ghaniy;
Almukminun
16 Zulhijjah 1430H/03122009
http://almukminun.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan