::Teman Bersama::

Khamis, 1 Oktober 2009

Bisyarah Pada Waktu Subuh


BISYARAH (KHABAR GEMBIRA) PADA WAKTU SUBUH

Solat Subuh adalah antara solat yang terafdhal dan mempunyai Bisyarah (Khabar gembira) yang banyak sekali seperti yang disebutkan di dalam hadith-hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Antara Bisyarah yang juga merupakan amalan SUNNAH selepas solat Subuh yang seharusnya tidak ditinggalkan ialah:


1) Membaca sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk Tahiyyat Akhir dan tidak berkata-kata sehingga selesai bacaan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”


Fadhilat: Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”[1]


2) Membaca sebanyak 7 kali sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan:


اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ


“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”


Fadhilat: Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اللهم أجرني من النار 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اللهم أجرني من النار 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”[2]


Cacatan: Boleh juga menggunakan shighah (bentuk) jama’ (ramai) umpamanya:


اَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ


“Ya Allah, peliharalah kami dari api neraka”


Rumusan:


1- Berusaha untuk mengekalkan duduk Tawarruq atau Iftirasy (jika tidak mampu) selepas Tahiyyat Akhir solat Subuh dan Maghrib, dengan tidak berkata-kata sehinggalah selesai membaca bacaan pertama tersebut sebanyak 10 kali. Selepas itu, barulah merubah kedudukan mengikut keselesaan masing-masing. Untuk solat-solat lain, bilangannya bolehlah dibaca 3 kali.


2- Berusaha tidak meninggalkan bacaan kedua sebanyak 7 kali selepas solat Subuh dan Maghrib, dengan tidak berkata-kata sehinggalah selesai membaca bacaan tersebut. Untuk solat-solat lain, bilangannya bolehlah dibaca 3 kali.


3- Hendaklah berusaha mengamalkan kedua-dua sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم yang mudah ini walau sesibuk mana sekalipun kerana keduanya mengandungi ganjaran yang sangat besar[3] di samping tidak mengambil masa yang lama untuk mengamalkannya.


4- Antara tanda cinta seseorang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم ialah dengan mengamalkan sunnah Bagindaصلى الله عليه وسلم.

.Al-Faqir ilallahil Qadir, Ustaz Muhadir Haji Joll. Ramadhan 1430H.

(dizinkan untuk disebar luaskan dengan niat

untuk memanjangkan amalan)


[1] Riwayat Imam At-Tirmizi dengan sanad Hasan, Imam Ath-Thobrani menyebutnya di dalam Al-Aushot dan Al-Kabir. Lihat juga Shahih Targhib wa Tarhib, 1/306.

Imam An-Nasa’i menambah selepas يُحْيِي وَيُمِيتُ dengan بِيَدِهِ الْخَيْرُ Beliau (Imam An-Nasa’i) juga menambah: “Dan baginya setiap yang dibacanya pahala seumpama membebaskan seorang hamba.”

Imam Ath-Thobrani menambah: “Dan baginya setiap yang dibacanya pahala membebaskan seorang hamba dari anak Nabi Ismail dengan harga seorang dari mereka 12000...” (Lihat Khulashah Syawariq al-Anwar min Ad’iyah as-Sadah al-Akhyar susunan Al-Allamah al-Muhaddith al-Habib Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani, Al-Qahirah: Dar Wahdan, ms. 14-15).

[2] Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i. Disebut juga oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam 3 kitabnya iaitu Nata’ij al-Afkar, 2/326, Al-Futuhat ar-Rabbaniyyah, 3/69 dan Hidayah ar-Ruwah, 2/472.

3 mengamal sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم sahaja sudah sangat besar ganjarannya, belum lagi ganjaran tersendiri bagi amalan sunnah itu.


htpp://almukminun.blogspot.com/
13 Syawal 1430 H / 30 September 2009

Tiada ulasan: