::Teman Bersama::

Khamis, 10 September 2009

PERIHAL MEMBATALKAN PUASA ; BERSETUBUH

PERIHAL MEMBATALKAN PUASA ; BERSETUBUH


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Al-Haqir Ila ALLAH Al-QAWWIYY : Almukminun


20 Ramadhan 1430H / 10092009


Kepada para sahabat yang bertanya, Ana mohon maaf atas kelewatan artikel ini. Justeru, terlalu banyak urusan keduniaan, sehingga ruang amalan yang luas seolah-olah ternampak sempit dan sesak. Melalui ruang ini juga, ana jelaskan mengapa isu ini perlu diketengahkan bagi mendalamkan lagi ilmu fiqih kepada diri ana yang faqir ilmu ini juga buat kalangan pengantin dan bakal-bakal pengantin.


Baru-baru ini ana diajukan soalan perihal perkara-perkara yang membatalkan puasa bagi suami isteri. Juga sebuah pertanyaan yang membuatkan ana terkedu dan langsung teringat pesan Guru nan mulia bersempena Ramadhan tahun Hijri lalu. Katanya : “Muda-mudi yang berumah tangga semakin memandang ringan adab, lulus gagal di bulan Ramadhan. Ada segelintir memperlakukan nafsu sebagaimana diluar Ramadhan”.


Ternyata, kekeliruan ini menatijahkan sebuah rumahtangga yang suram daripada cahaya keimanan kepada ALLAH SWT Yang Tidak Bertempat.


Seorang teman bertanya ; “Ana bersetubuh dengan si isteri, tetapi ana telah pun membatalkan puasa bagi mengelakkan dikenakan fidyah yang berat iaitu berpuasa 2 bulan berturut-turut. Ana keliru”


Reaksi Ana ketika itu terlalu terkejut dengan penyataan beliau.


Inilah akibat ketaksuban menjadi Ustaz (Guru agama) segera dengan membaca kitab-kitab fiqah tanpa bimbingan guru-guru yang alim akan perihalnya. Situasi ini juga adalah satu peringatan kepada golongan-golongan di luar sana yang kukuh dengan hujah menolak sistem pengajian lutut bertemu lutut, talaqqi yang rata-ratanya bermetodkan tradisi.


Sebagaimana yang dinukilkan oleh Pemikir Melayu abad ini, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pendidikkan terhadap manusia bukan sekadar untuk mereka beriman kepada bukti-bukti yang zahir tetapi juga tentang roh atau semangat agama.


Memiliki roh demi kelangsungan ilmu, bukan berpondisikan nafsu amarah, keji-mengeji sehingga menimbulkan rasa benci terhadap perkara khilaf. Manakala, semangat beragama itu ialah kemahuan untuk menuntut ilmu daripada yang ahli. Bukan menuntut daripada TV dan CD.


Semestinya kehadiran artikel ini atas izin si sahabat yang bertanya sebagai peringatan serta perkongsian buat saudara-saudara seaqidah di luar sana.


Bersetubuh


Bersetubuh atau berjima’ secara sengaja, sedar dan kehendak. Tidaklah ia diisyaratkan inzal iaitu keluar air mani. Sedangkan ALLAH SWT hanya menginzinkan berjima’ pada sebelah malam sahaja.


Firman ALLAH SWT;

“Dihalalkan kepada kamu pada malam bulan Ramadhan bercampur dengan isterimu”

[Surah Al-Baqarah;187]


Maka, dalam hal sahabat ana tersebut, seseorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan, maka wajiblah keatasnya membayar kafarah, samada;


1.Memerdekakan seorang hamba di kalangan orang yang beriman, lagi tidak terdapat sebarang keaiban pada tubuhnya dan jika tidak mampu, wajiblah...


2.Berpuasa selama dua bulan berturut-turut dengan tidak berselang. Jika tertinggal atau terbatal satu hari sahaja maka hendaklah diulangi semula puasanya itu dan jika tidak mampu juga wajiblah...


3.Bersedekah atau memberi makan kepada enam puluh orang fakir miskin secara serentak atau berasingan. Setiap faqir miskin mendapat satu mud bersamaan 6 ons makanan asasi satu tempat umpamanya beras di Malaysia.


Daripada Abu Hurairah r.a., katanya;


“Datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam katanya; “Sesungguhnya ada seorang dari kaum kami telah bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan. Rasulullah Shollallhu Alaihi Wassalam bertanya (kepada lelaki tersebut) : Dapatkah engkau memerdekankan hamba?”. Jawab lelaki itu: “Tidak.” Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bertanya : “Mampukah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?”. Jawab lelaki itu : “Tidak”. Tanya Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam lagi : “Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberi makan kepada enam puluh orang miskin?” Jawab lelaki itu : “Tidak”. Berkata (perawi) : Maka diberikan orang kepada Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam sebuah bakul besar berisi tamar. Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam berkata : “Berikan kurma ini bagi pihak engkau.” Kata lelaki itu : “Kepada yang lebih berhajat daripada kami kah?. Tidak ada penduduk bandar ini yang terlebih miskin lagi berhajat dari kami,” Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda : “Berikanlah kurma itu kepada keluargamu.”

[Riwayat Bukhari dan Muslim; Al-Lu’lu’uwal-Marjaan no.678]


INGATAN


[; Bicara lanjut boleh tuan-tuan rujuki 14 syarat bagi Qadha’ dan Kaffarah dalm Al-Fiqhul Islaami wa-‘Adillatuh 3/1722-1724]


1.Kaffarah puasa wajib disegerakan. Sekiranya ketiga-tiga perkara tersebut ditangguhkan, tidak dikerjakan lagi,maka kewajiban itu masih terletak diatasnya.


2.Berbilang-bilang kaffarah dengan berbilang-bilangnya hari persetubuhan, dan bukannya berbilang-bilang persetubuhan yang dilakukan dalam sehari. Sekiran ia bersetubuh dua hari dalm bulan Ramadhan, maka wajib keatasnya qadha dua hari dan kali kaffarah, begitu seterusnya.


3.Fakir miskin yang diberikan makan, bukanlah orang yang wajib mendapat nafqah dari orang yang membayar kaffarah, seperti isteri, anak, bapa dan ibu.


4.Kaffarah wajib keatas suami, tidak ke atas isteri. Isteri hanya wajib untuk qadha sahaja. Prof. Dr. Hasbi ash-Shiddiqiy menyatakan: “Menurut mazhab asy-Syafie, tidak ada kaffarah atas wanita sekali-kali, baik memenuhi kemahuan si lelaki dengan sukarela, ataupun dengan dipaksa, hanya lazim mengqadha sahaja.”


Kata Imam Nawawi : Pendapat yang lebih shahih, ialah wajib satu kaffarah sahaja atas lelaki, tidak atas perempuan, kerana kaffarah itu harta yang diberikan kerana jima’ (bersetubuh), maka haruslah diberatkan keatas lelaki sahaja. [Pedoman Puasa, m/s 130]


5.Gugur kaffarah dengan kedatangan mati atau gila pada hari yang sama berlakunya masalah ini, disebabkan ternafi taklif ke atasnya. Dengan syarat mati atau gila yang tidak disengajakan. Tidak gugur kaffarah dengan kedatangan sakit, safar (bermusafir) dengan tujuan yang baik, dipenjarakan atau sebagainya. [Fiqhul-Ibadaat, oleh al-Hajjah Durayyah hal. 338]


Penutup


Sedikit perkongsian ini adalah sebagai sebuah peringatan kepada diri yang menulis. Juga dengan sifat bimbang, asbab keruntuhan susila, akidah umat berpunca daripada kalangan benih-benih HARAM yang wujud di dalam rahim si ibu yang dipimpin oleh para suami yang berajakan nafsu syahwat semata.


Moga dengan sedikit pengetahuan perihala perkara membatalkan puasa di bulan Ramadhan ini bakal membuka hati para teman yang bergelar suami dan isteri di luar sana agar merindui untuk dipimpin.


Izinkan rohani tuan-puan dipimpin melalui majlis-majlis ilmu. Usah katakan tuan-tuan sudah hadam perihal ilmu fardhu ain dari bab solat, zakat, puasa, haji dan lain pelbagai lagi fiqah ibadah di dalam Islam. Jika ya telah dihadami, makan aman tenteramlah dunia ini daripada kalangan mubtadi’, golongan syiah dan mujassimmah wahabbi.


Wallahu ‘alam.


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"


Petikan Kitab : Ihya’ Ramadhan


Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghaniy:


Almukminun


20 Ramadhan 1430H / 10092009


http://almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: