PERIHAL MEMBATALKAN PUASA
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه
Al-Haqir Ila ALLAH Al-QAWWIYY : Almukminun
6 Ramadhan 1430H
Dalam keinginan yang bersungguh melalui Ramadhan, persoalan dan kekeliruan perihal feqah Ramadhan acapkali menerjah ruang pemikiran. Moga dengan sedikit perkongsian artikel ini mampu mencerna kefahaman agar tenang merasai nikmat berpuasa.
Di antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah;
1.Makan dan Minum
Firman ALLAH SWT;
“Makanlah dan minumlah kamu sehingga sampai kelihatan benang yang putih dari benang hitam daripada fajar.(sehingga terbit fajar)” [Surah Al-Baqarah;187]
Walaupun hanya makan dan minum dalam keadaan yang sedikit, ia tetap membatalkan puasa, apatah lagi dengan sengaja. Jika tidak sengaja atau dalam keadaan lupa seseorang itu makan dan minum dalam jumlah yang banyak, maka ia tidaklah membatalkan puasa.
Daripada Abu Hurairah R.A, Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa lupa, bahawa dia berpuasa kemudian dia makan atau minum maka hendaklah disempurnakan puasanya. Sesungguhnya ALLAH SWT yang memberinya makan dan minum.”
[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dalam Mukhtasar Shahih Bukhari no.891 dan Mukhtasar Shahih Muslim no.587. Lafaz dari Muslim]
Dalam Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah, sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, sabda Saiyyiddina Muhammad SAW;
“Sesiapa yang makan dengan lupa, pada hal ia berpuasa maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya itu, kerana hanya ALLAH yang memberi makan dan memberikanya minum”
[Hadith no.271,Shaikh Mustapha Abdul Rahman dan Ibnu ar-Rawi mengatakan; “Maka dengan perbuatan demikian ini tidaklah payah diqadhakan puasanya itu sama ada wajib atau sunat.” Lihat cetakan pertama 1968,m/s 485]
2.Memasukkan Sesuatu Ke Dalam Rongga Badan (Lubang Yang Terbuka)
“Sesuatu” yang dimaksudkan ialah perkara yang dapat dilihat. Manakala “rongga badan” ialah kawasan dalam badan seperti otak, kerongkong dan perut, “lubang yang terbuka” merujuk kepada mulut, telinga, hidung, dubur dan kemaluan hadapan.
Contoh:
a.Titisan ubat ke telinga membatalkan puasa, kerana telinga lubang yang terbuka.
b.Titisan ubat ke mata tidak membatalkan puasa, kerana mata bukan lubang yang terbuka.
c.Suntikan untuk memasuki ubat melalui qubul atau dubur membatalkan puasa, kerana qubul dan dubur lubang atau rongga yang terbuka.
d.Suntikan kepada urat atau otot tidak membatalkan puasa, kerana urat dan otot bukannya rongga yang terbuka. Begitulah yang lainnya.
[Fatwa Majlis Majma’ al-Fiqhul Islami di Juddah Makkah pada Muktamar ke 10 pada 3 Julai 1997.Hal 213-215]
Masalah-masalah yang dapat membatalkan puasa tersebut sekiranya dilakukan secara sengaja maka jatuhlah hukum batal. Manakala, jika dilakukan secara lupa tidaklah memberi kemudaratan kepada puasanya qias kepada makan dan minum.
Manakala, jika masuk ke dalam rongganya sama ada mulut, telinga atau hidungnya seperti lalat, nyamuk, debu jalanan, tepung ketika diuli, tidaklah membatalkan puasanya oleh kerana susah untuk mengelak atau mengawalnya.
Jika menelan air liur yang terkumpul menjadi banyak, tidaklah membatalkan puasa atau qaul yang ashah, tetapi jika air liur bercampur darah gusi yang tidak diusaha mulutnya dicuci, maka batallah puasanya. [Al-Fiqhul Islami wa-Adillatuh 3/1719]
Air liur yang sudah terkeluar dari mulut, kemudian disedut masuk semula atau dijilat dengan lidah,membatalkan puasa serta-merta. [Al- Fiqhul Islami wa-Adillatuh 3/1719 dan Ibadutl-Islaam.191]
Merokok, menghisap curut, paip dan sebandingnya, membatalkan puasa kerana sampai sesuatu ke dalam rongga otaknya dan dadanya iaitu asapnya.
Bagi permasalahan fiqih lain, Kitab-kitab Fiqih berikut boleh dijadikan rujukan;
[Al-Fiqhul Islaami wa – Adilatuh 3/1718-1720; Ibaadaatul-Islaam.190-191; Hasyiyah al-Baajuri 1/290-291; Al-Bujairimi ‘Alal-Khatiib 3/109-111; Sabiilul-Muhtadiin 2/136-138 dll.]
3.Muntah Dengan Sengaja
Muntah dengan syarat disengajakan seperti yang dilakukan oleh pesakit yang mengalami Anoreksia Nervosa. Anoreksia Nervosa adalah aktiviti untuk mengurangkan berat badan dengan melakukan pembatasan makan secara sengaja (memuntahkan makanan selepas makan) dan melalui kawalan yang ketat. Penderita anoreksia sedar bahawa mereka berasa lapar, namun takut untuk memenuhi keperluan makan mereka kerana boleh mengakibatkan bertambahnya berat badan.
Manakala muntah tanpa diusahakan, tidak disengajakan, terlupa, dipaksa atau tidak tahu hukum haramnya tidaklah membatalkan puasanya. Sebagaimana kebiasaan orang mengeluarkan kahak selepas memberus gigi selepas terbit fajar Ramadhan.
Daripada Abu Hurairah R.A, Sabda Rasulullah Shollahu Alaihi Wassalam;
“Barangsiapa terpaksa muntah, tidaklah wajib ke atasnya qadha, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka hendaklah dia mengqadha puasanya”
[Hatih riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah dalam Mukhtasar Sunan at-Tirmidzi no.720(lafaznya);Mukhtasar Sunan Abu Daud no.2380;Mukhtasar Sunan Ibnu Majah no.1676.]
4.Keluar Darah Haid, Nifas dan Wiladah
Walaupun pada saat akhir sebelum terbenam matahari, maka puasanya terbatal dan wajib keatasnya qadha’, apabila telah keluar haidh,nifas atau wiladah.
Daripada ‘Aisyah r.anha, bahawasanya seorang perempuan berkata kepadanya; Adakah kita diperintah qadha solat kita apabila bersuci nanti?. Aisyah menjawab;
“Adakah kamu Haruriyyah? Kami pernah berkeadaan haidh di zaman Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam, Baginda tidak menyuruh kami mengqadha solat yang luput, atau Aisyah berkata ; Maka kami tidak melakukan qadha solat (tetapi melakukan qadha puasa)”
[Hadith Muttafaqun Alaih; Al-Lu’lu’uwal Marjaan,no.192]
[Haruriyyah;Nisbah kepada Haruura’, sebuah kampung berdekatan Kufah, di sana berlaku pertemuan pertama puak Khawarij, maksudnya; Adakah kamu Khawarij?. Kerana satu puak dari Khawarij mengatakan wajib keatas perempuan yang berhaidh qadha solat yang luput, ini adalah bercanggah dengan ijma’.]
5.Gila
Jika gila itu datang pada siang hari, maka batallah puasa walaupun sekejap.
6.Keluar Mani
Keluar mani yang dimaksudkan adalah disebabkan sentuhan, ciuman, pelukan dan sebagainya dan bukannya disebabkan bersetubuh. Walaupun melalui tangan sendiri atau dengan tangan sendiri ia adalah haram maka terbatalah puasanya.
Sekiranya keluar mani secara bermimpi, berkhayal atau melihat dengan syahwat tidaklah menjadi batalnya puasa. Tetapi sekiranya diulang-ulang khayalan atau melihat dengan syahwat walaupun tidak mengeluarkan mani hukumnya tetap menjadi haram.
Permasalahan:
a.Jika seseorang mengaru-garu kemaluanya kerana sangat gatal atau apa sahaja sehingga ia inzal , tidaklah batal puasanya.
b.Tiada batal puasanya dengan inzal sebab tergaru zakarnya dengan pelana kudanya (motosikal dsb) tatkala mengenderainya.
c.Jika gatal zakar seseorang dan diketahuinya apabila digarunya akan dia nescaya inzal ia, maka digarunya akan dia lalu inzal. Maka, jika tiada dapat ia menahan dirinya daripada menggaru dia, tiadalah batal puasanya, dan jika dapat demikian itu, maka batallah puasanya.
d.Tiada batal puasa dengan inzal sebab menyentuh faraj binatang.
[Sabiilul Muhtadiin 2/135-136 secara ringkas]
7.Mabuk Atau Pengsan Sepanjang Hari
Jika sedar akan ia walau sekejap, sahlah puasanya.
8.Wanita Yang Keguguran
Seperti wiladah iaitu bersalin, maka batalah puasanya atas qaul yang sah.
9.Murtad
Kerana riddah yakni menafikan ibadah dan keluar dari Islam.
10.Bersetubuh
...Bersambung...
Wallahu ‘alam.
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"
Petikan Kitab : Ihya’ Ramadhan
Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghaniy:
Almukminun
6 Ramadhan 1430H / 27082009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan