::Teman Bersama::

Selasa, 21 Oktober 2008

Seputar Wacana Pemikiran: Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani al-Makki :Masjid Wilayah P KL

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه


Seputar Wacana Pemikiran: Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki al-Asy’ari asy-Syadzili.

Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

12 Syawal 1429H

ALHAMDULILLAH, pada 12 Syawal 1429h lalu dan bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, berlakunya satu peristiwa penting kepada para pencinta-pencinta baginda Rasulullah Sholallahu alaihi wassalam juga para ahlul bait keturunan baginda Nabi. Program Wacana ini telah dianjurkan secara bersama antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur JAWI , Yayasan Sofa, Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM. Majlis ini telah dirasmikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hj Wan Zahidi Wan Teh.

Dalam Majlis Wacana Pemikiran Al-Muhhaddith Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki al-Asy’ari asy-Syadzili. Telah diizinkan oleh ALLAH SWT untuk berkumpulnya sekitar pendukung-pendukung Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak kira dari pelbagai tingkat usia. Semuda-muda pelajar Sekolah Agama Persekutuan seperti SAMBEST, SMAKL juga dari penuntut-penuntut bakal hufaz dari Darul Quran.

Kemeriahan yang menimbulkan kegembiraan apabila melihatkan kerusi di dewan utama yang disediakan untuk 1500 hadirin penuh sehingga ada yang duduk di lantai. Tidak lupa juga suasana muhibbah dan berkenal-kenalan di kalangan saudara seakidah yang sejalan dengan landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Bertemu sahabat-sahabat sebaris pengajian di Institusi Pengajian Pondok juga memberi ruang keceriaan tidak terungkap. Apatah lagi berkumpulnya para muallimin, Tuan-Tuan Guru Pondok dalam Majlis wangian syurga ini.

Sesi pembentangan pertama adalah daripada anaknda nya Sayyid Ahmad ibn Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki al-Asy’ari asy-Syadzili. Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki al-Asy’ari asy-Syadzili telah lahir di Makkah pada tahun 1365 H. Pendidikan pertamanya di Madrasah Al-Falah, Makkah, dimana ayah beliau Sayyid Alawi bin Abbas al Maliki merupakan guru agama di sekolah tersebut yang juga merangkap sebagai pengajar di halaqah di Haram Makki, dekat Bab As-salam.

Di sinilah pemikiran dan sumbangan Sayyid Muhammad ‘Alwi Al-Maliki dikupas dalam mengangkat ulama penuh barakah hasil pentarbiyyahan Nenda dan Ayahanda nya. Diceritakan oleh anakndanya Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad ‘Alwi Al-Maliki.

Bukanlah melalui penganjuran sebegini menampakkan ketaksuban kepada seorang tokoh. Tetapi lebih kepada mengenalkan jasa dan sumbangan tidak ternilai keturunan Ahlul Bayt ini kepada umum khusunya di kalangan anak muda yang kehausan tokoh-tokoh tauladan mutakhir. Dibandingkan dengan pengaruh media yang mengangongkan segala bentuk makhluk bertauladan kebaratan, ruang lingkup kehidupan yang diangkat pula adalah di kalangan contoh mungkar. Artis dan hiburan semacam didewakan, sehingga menjadi model wajib dicontohi.

Maka, dengan sedikit usaha daripada pihak JAWI (Pejabat Mufti WPKL), Yayasan Sofa, ABIM dan PKPIM ini diharap memberi perspektif baru kepada kalangan muda remaja untuk mencari contoh baru dalam memilih personaliti tepat kepada diri.


Ayah beliau, Sayyid Alwi bin Abbas Al-Maliki (kelahiran Makkah tahun 1328H), seorang alim ulama terkenal dan ternama di kota Makkah. Disamping aktif dalam berdakwah baik di Masjidil Haram atau di kota-kota lainnya yang berdekatan dengan kota Makkah seperti Thoif, Jeddah dan lain-lain kawasan, Sayyid Alwi Al-Maliki adalah seorang alim ulama yang pertama kali memberikan ceramah di radio Saudi setelah solat Jumaat dengan judul “Hadith al-Jumah”. Begitu pula ayah beliau adalah seorang Qadhi yang selalu di panggil masyarakat Makkah jika ada perayaan pernikahan.

Selama menjalankan tugas da’wah, Sayyid Alwi bin Abbas Al-Maiki selalu membawa kedua putranya Muhammad dan Abbas. Mereka berdua selalu mendampinginya kemana saja ia pergi dalam menyampaikan pengajian baik di Makkah atau di luar kota Makkah. Adapun yang meneruskan perjalanan dakwah setelah wafat beliau adalah Sayyid Muhammad bin Alwi Almaliki dan Sayyid Abbas selalu berurusan dengan kemaslahatan kehidupan ayahnya.

Sebagaimana adat para Sadah dan Asyraf ahli Makkah, Sayyid Alwi Al-Maliki selalu menggunakan pakaian yang berlainan dengan ulama yang berada di sekitarnya. Beliau selalu mengenakan jubbah, serban (imamah) dan burdah atau rida yang biasa digunakan dan dikenakan Asyraf Makkah.

Setelah wafat Sayyid Alwi Al-Maliki, anaknya Sayyid Muhammad tampil sebagai penerus usaha ayahnya. Dan sebelumnya ia selalu mendapatkan sedikit kesulitan juga kepayahan kerana ia merasa belum bersedia untuk menjadi pengganti ayahnya. Maka langkah pertama yang dilaksanakan adalah dengan melanjutkan pengajian dan ta’limnya terlebih dahulu.

Beliau berangkat ke Cairo dan Universiti al-Azhar Assyarif merupakan pilihanya dihatinya.. Disamping mengajar di Masjidil Haram dalam halaqah, beliau diangkat sebagai Dekan di Universiti King Abdul Aziz-Jeddah dan Univesitas Ummul Qura Makkah dengan dipertanggungjawabkan dalam pengajaran ilmu Hadith dan Usuluddin.

Cukup lama beliau menjalankan tugasnya sebagai Dekan di dua Universiti tersebut, sehingga satu masa beliau telah memutuskan untuk mengundurkan diri dan memilih mengajar di Masjidil Haram sambil menggarap untuk membuka majlis ta’lim dan pondok di rumah beliau.

Kasihnya Sayyid Muhammad ‘Alwi Al-Maliki kepada masyarakatnya, beliau telah membesarkan rumahnya bukan sahaja untuk anak muridnya, malah kepada seluruh masyarakat setempat. Rumahnya itu menampung 500 orang pelajar yang terletak di Hay al-Rashifah.

Dari rumahnya itulah menurut kata Baba Aziz yang merupakan pembentang kedua pada Wacana Pemikiran Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki al-Asy’ari asy-Syadzili. Sesekali Baba Aziz sebak menceritakan pengalamanya bersama As Sayyid Muhammad Al-Maliki. Kasihnya sayyid Muhammad Al-Maliki kepada anak-anak muridnya tidak dapat digambarkan. Sayyid Muhammad Al-Maliki melayani anak-anak muridnya bagaikan anak sendiri. Diminta beliau kepada anak-anak muridnya untuk memanggil beliau dengan panggilan”Abuya”. Dengan tujuan merapatkan hubungan antara beliau dan murid-murid yang dikasihinya. Di tangan beliau juga melalui izin ALLAH SWT, telah bertambah ulama-ulama serata alam. Dunia Eropah, Amerika Latin dan Asia berpergian anak-anak murid beliau menerus usaha dalam menyampaikan risalah Ahlul Haq. Murid-muridnya ramai yang menjadi marja’ (rujukan) di negara-negara mereka.

Salah seorang yang dekat dihati ummah di bahagian nusantara ini ialah Al-Fadhil Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dari Pesantren Maahad Az-Zein, Bogor, Jawa barat. Begitu gigih melebarkan sayap dakwah sehingga digelar Azharus Thani.

Begitu juga dengan lahirnya tokoh ulama seperti Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki yang istiqamah meneruskan pengajian di Rembau, Negeri Sembilan. Seorang ulama muda yang begitu hampir dengan gurunya. Syeikh Muhammad Fuad sendiri di usia 34 tahun telah melahirkan ratusan kitab-kitab hasil terjemahan kepada ulama-ulama dan penulisan beliau sendiri.

Begitu juga dengan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi, dikenali seorang yang tawadhu sifatnya. Berasal dari Banjarmasin, namun sentiasa penuh iltizam menaburkan jasanya kepada seluruh umat yang dahagakan ilmu. Beliau merupakan tenaga pengajar terkanan di Maahad Tarbiyyah Islamiah yang terletak di Derang, Pokok Sena, Kedah darul Aman.

Begitulah tidak sedikit sumbangan Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi. Seharusnya turut sama disambut oleh muslimin dalam mendekati keperibadian Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi hingga menyempurnai keperibadaian junjungan besar, Habibullah yakni Sayyidinna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam.

Dengan izin ALLAH SWT, bercambahnya pendokong panji-panji Rasulullah Shollahu alaihi wassalam dari tangan sayyid Muhammad. Dalam usaha beliau juga tidak terlepas daripada ancaman pemuka-pemuka wahabbi. Diusir dan dituduh dengan pelbagai tuduhan sesat, namun beliau tetap tabah dan sabar dalam meneruskan usaha.

Sumbangan Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi yang dikisahkan oleh Baba Aziz dengan penuh sebak, ialah usaha beliau mendirikan rubat-rubat di seluruh pelusuk dunia. Segala biaya dibiyai oleh Syeikh Muhammad ‘Alwi Al-Maliki. Setiap pelajarnya yang tidak berkemampuan, lalu diberikanya wang biasiswa dan dihantar pulang “anak-anak” nya yang telah matang ilmu ke negara-negara kelahiran mereka untuk ditumpahkan bakti. Dilayani anak-anak muridnya bagaikan anak-anaknya sendiri.

Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi Al-Maliki Al-Hasani dikenali sebagai ulama rabbani yang berwasatiyyah dan tidak keras. Beliau dikenali sebagai seorang pendidik, pengajar yang selalu menerima hiwar dengan penuh hikmah dan mauizzah hassanah.. Setiap muslimin yang berdepan dengannya pasti merasa dihormati. Begitulah perilaku Sayyid Muhammad ‘Alwi Al-Maliki penuh tawadhhu dalam muamalatnya kepada ALLAH SWT dan sesama manusia.

Beliau adalah seorang terhormat, cerdas dan terpelajar, berani dan jujur serta adil dan cinta kasih terhadap sesama manusia. Itulah ajaran utama Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki. Beliau selalu menerima dan menghargai pendapat orang dan menghormati orang yang tidak sealiran dengannya atau tidak searah dengan thariqahnya.


Dalam kehidupannya, beliau sentiasa bersabar dengan provokasi-provokasi orang-orang yang tidak bersependapat baik dengan pemikirannya atau dengan alirannya. Semua yang berlawanan diterima dengan sabar dan usaha menjawab dengan hikmah dan menukilkan sesuatu masalah dengan kenyataan dan dalil-dalil yang jitu bukan dengan emosi dan pertikaian yang tidak bermutu dan berkesudahan.

Beliau amat arif, bahawa dengan pertikaian di kalangan ulama akan menyebabkan musuh bertepuk riang. Beliau begitu tawaddhu menerima penolakan secara jahat daripada kedudukannya di Universiti dan majlis Ta’lim beliau di Masjidil Haram.

Tulisan Beliau

Mafahim Yujibu an-Tusahhah (Kefahaman yang wajib diluruskan) adalah salah satu kitab karya Sayyid Muhammad) bersinar bagaikan kemilau mutiara. Kitab ini dianggap sangat tinggi nilainya kepada Sayyid Muhammad Al-Maliki. Begitulah ungkapan beliau dalam mengambarkan isi kandungan Kitab Mafahim Yujibu an-Tusahhah. Kitab ini telah selamat dirasmikan terbitannya ke dalam bahasa Melayu oleh Sohibus Samahah Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hj Wan Zahidi Wan Teh.

Sayyid Muhammad Al-Maliki adalah seorang manusia yang sangat gigih menentang ummah Salafi-Wahhabi senegaranya dan membuktikan kesalahan doktrin-doktrin mereka dengan menggunakan sumber-sumber dalil mereka sendiri.



Keberanian intelektual yang ditunjukkan oleh Sayyid Muhammad, kitab-kitab karangan beliau telah dihalang dari diterbitkan kerana beliau telah dituduh sebagai penyebar ajaran sesat. Namun, dalam menghadapi semua tentangan tersebut, Sayyid Muhammad tidak sesekali mengatasinya dengan kekerasan dan melalui akal semata. Tetapi, dengan menyalurkan segala penentangan untuk memperkuatkan orang lain melalui ilmu tasawwuf dan ilmu pengetahuan.

Diceritakan, semasa akhir hayatnya berlaku kejadian aktiviti pengganas di Arab Saudi. Pada ketika itu, beliau telah mendapat undangan daripada ketua umum Masjidil Haram Syeikh Sholeh bin Abdurahman Al-Hushen. Jemputan tersebut sebagai memenuhi “Hiwar Fikri” di Makkah yang telah diadakan pada 5&9 Zulkaedah 1424h dengan tajuk “Al-qhuluw wal I’tidal Ruya Manhajiyyah Syamilah”. Ketika majlis tersebut, beliau telah diberi penghormatan untuk berkongsi mengenai pendapatnya mengenai thatarruf atau gerakan ekstremis agama. Melalui wacana dan perasmian kitab beliau “Alqhuluw Dairah Fil Irhab Wa Ifsad Almujtama”, pada majlis tersebut telah membuka ruang lebih luas kepada penduduk setempat dalam mengenali keperibadian Sayyid Muhammad.

Di samping tugas beliau sebagai da’i, pengajar, pembimbing, dekan, penceramah dan segala bentuk kegiatan yang bermanfaat bagi agama, beliau juga adalah seorang pujangga besar dan penulis unggul. Tidak kurang dari 100 buku yang telah dikarangnya, semuanya berlegar di seluruh dunia. Manakala terjemahan kitab-kitab beliau merangkumi bahasa dunia seperti bahasa Melayu, Indonesia, Perancis, Inggeris, Urdu dan lain-lain.

Pada tanggal 11 Oktober 1424, beliau mendapat kesempatan untuk memberikan ceramah di hadapan wakil raja Amir Abdullah bin Abdul Aziz yang isinya telah disentuh beliau dengan menggaris-bawahi akan usaha menyatukan suara ulama dan menjalin persatuan dan kesatuan da’wah.

Wafat

Beliau wafat meninggalkan 6 putra, Ahmad, Abdullah, Alwi, Ali, al- Hasan dan al-Husen dan beberapa puteri-puteri.

Beliau wafat hari Jumaat bersamaan 15 ramadhan 1425 dan dimakamkan di pemakaman Al-Ma’la disamping kuburan isteri Rasulullah SAW, Khadijah binti Khuailid ra.

Lautan manusia yang menghadiri penguburan beliau terdiri daripada jutaan umat Islam. Samada dari Makkah dan diluarnya serta dari seluruh pelusuk dunia.

Semuanya menyaksikan hari terakhir beliau sebelum disemayamkan, semua menyaksikan jenazah beliau setelah disembahyangkan di Masjidil Haram ba’da sholat isya.. Begitu pula selama tiga hari tiga malam rumahnya terbuka bagi ribuan orang yang ingin mengucapkan belasungkawa dan melakukan `aza’. Dan di hari terakhir `Aza, wakil Raja Saudi, Amir Abdullah bin Abdul Aziz dan Amir Sultan datang ke rumah beliau untuk memberikan sambutan belasungkawa dan mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin agama yang tidak akan dilupakan umat.

Semoga kita mampu meneladani beliau.

Semoga ruhnya Sayyid Muhammad Al-Maliki dilimpahi rahmat oleh ALLAH SWT Yang Maha Mulia… Amien.

Wallahu’alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

http://almukminun.blogspot.com/

21 Syawal 1429H

Tiada ulasan: