::Teman Bersama::

Rabu, 24 September 2008

Keindahan Tahajjud ila ALLAH SWT


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه


Keindahan Tahajjud ila ALLAH SWT


"Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebuti ALLAH." -Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa'id.

Malam adalah suatu kurniaan daripada ALLAH SWT dengan penuh hikmah tidak terjangkau oleh akal manusia. Merasakan suasana malam membuatkan hati berasa nyaman dan tenang.


Manakala, waktu terindah dalam malam adalah apabila tiba waktu senja dan masuknya Maghrib. Kenyamanan dan keindahan kurniaan ALLAH SWT ini juga merupakan ujian daripada ALLAH SWT.


Ditambah pula dengan desir bisik syaitan laknatullah ke dalam hati-hati muslimin yang leka. Sehingga meninggalkan solat fardhu Maghrib luput atau lewat ditunaikan.


Manakala, gambaran betapa qudusnya ruh iman seorang insan ialah pengorbananya kepada Pemilik Segala Makhluk (ALLAH SWT), dengan penuh kemahuan tunduk kepada TUHAN. Ketika manusia lain yang bergelar hamba kepada ALLAH SWT nyenyak tidur di pembaringan. Dikejutkan isteri tercinta agar turut sama merebut hadiah pemberian ALLAH SWT di hening malam.


Dipohon ampun dan sembah kepada ALLAH SWT, lalu diaminkan oleh sang isteri tercinta. Bersama-sama bercucuran air mata mereka memanjatkan puji dan harap, beserta kerisauan akan ampunkah dosa noda lama yang dilalui dengan suka, tanpa rela dan tiada sedar.


Keindahan berupa pengalaman ruhani, bersama-sama dua insan tercinta tunduk sujud menghadap ALLAH SWT dalam dunia gelap-gelita. Tanpa detik di hati mentassawurkan sifat ALLAH SWT sebagaimana makhluk. Alangkah indah penggisian ruhani mereka suami isteri. Dalam pekat malam si suami beserta isteri meringankan tidur mereka demi menyambut Firman ALLAH SWT Maha Mulia:


" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai solat tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." [Al-Isra’:79]


Betapa ALLAH SWT begitu menyanjungi hamba-hamba NYA yang ikhlas dalam menghidupkan malam sunyi dengan membesarkan ALLAH SWT. Mereka lantas mengakui lemah diri dalam menjalankan urusan keduniaan dan akhirat tanpa mendapatkan panduan dari ALLAHu Rabbihi. SUBHANALLAH hil Azim.


Taqwa diburui dalam menghidupkan amalan sunnah baginda Nabi Sayyidunna Muhammad SAW. Sebagaimana difirmankan oleh ALLAH SWT:


dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun).

[Az-Zariat:18]


Waktu solat itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di pertengahan malam dan di akhir malam selama solat itu dilakukan selepas solat Isya'. Menurut al-Hafiz, Rasulullah s.a.w. tidak sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.


Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas sembahyang Isya'. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :


"Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat."


Sungguhpun demikian, seseorang tidak pernah diberatkan ke atas dirinya dengan memaksa diri untuk mengerjakan solat di sepertiga malam. Hanya keikhlasan mampu menempatkan amalan di sisi ALLAH SWT. Apalah yang diharapkan dalam solat malam yang kedapatan perasaan lemah dan mengantuk sehingga bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran menjadi tidak ketahuan.


Rasulullah SAW bersabda :


" Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur'an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu."


Dalam satu Hadis lagi Rasulullah bersabda :


" Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu."

Tahajjud yang diisi juga boleh berupa bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran dalam menghidupkan malam serta hati. Kaedah dari haqir ini ingin dikongsikan ialah;

(1) Solatlah dan berdoalah sebelum melelapkan mata kepada pemilik segala hati hamba yakni ALLAH SWT agar membangkitkan diri tepat pada waktu solat sepertiga malam.

(2) Bersihkan diri, berwudhuk, bersugi, juga disunatkan membaca doa-doa khas bagi solat malam.

(3) Mulakan solat dihening malam itu dengan dua rakaat, kemudian sambunglah ia dengan penuh pengharapan kepada ALLAH SWT semahu hati.

(4) Gerakkan isteri tercinta agar bersama si suami menjalani ibadah dinihari.

Ketahuilah bahawa keterikatan antara suami dan isteri diikat dengan restu

utama daripada ALLAH SWT. Ketika keduanya redha bermujahadah

bertsabih, bertahmid, bersujud menghadap NYA.


Berbahagialah duhai jiwa yang sentiasa menetapkan imannya kepada ALLAH SWT tanpa berasa ragu dan tunduk kepada kemahuan iblis laknatullah. Dirujukinya Al-Quran, As-Sunnah Sayyidunna Muhammad Rasulullah beserta ijma’ juga qiyas para ulama, bila berdepan persoalan tidak mampu diselesai akal.


Bertahajjud demi mendapat bahagia abadi di akhirat sana.


Kaiffiyyat Solat ini diharap membantu;

Banyak ganjaran yang diperolehi bila selalu mendirikan Solat Tahajjud. Antara lain mudah mendapat rezeki dan doa dimakbulkan Allah.

Lafaz niat:

Usolli Sunnatal Tahajjud Rak'ataini Lilaahi Ta'ala, Allahu Akbar.

" Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta'ala
Pada rakaat pertama ucaplah Al-FatihahSelepas itu surah Al-Kafirun Rakaat kedua ucaplah Al-Fatihah, selepas itu surah Al-Ikhlas

Semasa sujud akhir pada rakaat kedua ucapkanlah sebanyak tiga kali,iaitu

Ertinya: "Oh Tuhanku masukkanlah aku daripada pintu kebenaran dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran juga dan kurniakanlah bagiku daripadamu seorang penolong "
Selepas memberi salam ucaplah doa :



Ertinya : " Ya Allah bagimu segala puji.

Engkaulah penegak langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagimulah segala puji,Engkaulah raja penguasa langit dan bumi.

Bagi Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi.,

Engkaulah yang hak dan janjimu adalah benar ,dan perjumpaanmu itu adalah hak dan firmanmu adalah benar dan syurga adalah hak dan neraka adalah hak dan nabi-nabi itu hak benar, dan Nabi Muhammad SAW adalah benar ,dan saat hari kiamat itu benar .

Ya Allah kepadamulah kami berserah diri(bertawakal), kepada Engkau jualah kami kembali, dan kepadamulah kami rindu,dan kepada engkaulah kami berhukum .

Ampunilah kami atas kesalahan yang sudah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan maupun yang kami nyatakan". Engkaulah tuhan yang terdahulu dan tuhan yang terakhir.

Tiada Tuhan melainkan engkau Allah Rabbul'alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah"

Bangkitlah ketika sunyi malam;

Semuga mendatangkan kesan kepada hati-hati yang telah bungkam,

Bermunajatlah muhon keampunan kepada ALLAH SWT,

Bahawa ALLAH SWT tidak pernah jemu,

hanya kamu selaku hamba mempunyai rasa jemu itu,

Ketika masih dirimu bernyawa,

Ketentuan sesaat akan datang bukan terletak pada kehendakmu,

Melainkan termaktub dalam suratan pengetahuan Al-KHALIQ,

Jangkaulah kesempatan yang masih berbaki,

Tabah dan kuat iltizam demi sabar dalam peribadatan.

Wallahu’alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

http://almukminun.blogspot.com/

18 Ramadhan 1429H

Tiada ulasan: