بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه
Wasiat Ulama Mengenai Taqwa
Para ulama ridhwanullahi ‘alaihim berkata: Taqwa itu adalah menuruti perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan NYA. Samada secara nampak dan batin.
Ia dicapai dengan merasakan bahawa kebesaran ALLAH SWT itu adalah hakiki dengan merasa kegerunan apabila disebut akan nama ALLAH SWT Yang Maha Penyayang, merasa ketakutan dengan kehebatan mutlak yang dimiliki oleh ALLAH SWT.
Orang-orang yang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, dan tidak semestinya orang-orang yang beriman itu bertakwa kepada Allah, sebagaimana firman-Nya menerusi ayat 102 surah Ali 'Imran:
102. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.
[Al-Imran:102]
Begitu pula orang-orang beriman adalah orang-orang Islam, tidak mesti orang-orang Islam itu beriman.
Mereka, yakni hamba kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia adalah golongan yang beriman pada perkara ghaib, mendirikan solat lima waktu, membelanjakan sebahagian rezeki yang ALLAH SWT anugerahkan kepada mereka, di samping keimanan mereka kepada kitab al-Quran dan kitab-kitab sebelum daripada itu.
Firman ALLAH SWT:
51. Sesungguhnya perkataan Yang diucapkan oleh orang-orang Yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat": dan mereka itulah orang-orang Yang beroleh kejayaan.
[Al-Nuur:51]
Ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT menyeru hamba-hamba-Nya agar menjadikan mereka golongan bertakwa, dan tidak selama-selamanya menjadi orang Islam yang tidak kenal erti agama mereka sendiri.
*Ibn Atho’illah Rahimahullah berkata: Bagi takwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan serta batinnya dengan niat dan ikhlas.
* Abu al-Husein al-Zanjani Rahimahullah berkata: Siapa yang modalkan hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.
* Al-Wasiti Rahimahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya yakni dari melihat ketakwaannya.
* Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.
* Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab sebutkan ciri-ciri takwa kepadaku? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hari bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah ketakwaan.
Para muffasirrin pula berkata pada hal mengenai Taqwa itu adalah ALLAH SWT itu harus ditaati, tiada boleh dimaksiati,
Harus diingati, tiada boleh dilupai,
Dan harus disyukuri dan tiada boleh dikufuri.
Rasulullah SAW yang diketahui kesempurnaannya dalam menunaikan akan hak-hak ALLAH SWT berdoa sebagai satu pengakuan daripada baginda kepada ALLAH SWT mengenai ketidakupayaannya hendak menunaikan kesyukuran sepenuhnya kepada ALLAH SWT:
“Aku berlindung dengan keridhaanMU daripada kemurkaanMU, dan dengan kesempurnaanMU dari pembalasanMU, dan aku berlindung denganMU daripadaMU, tidak mampu aku menghitung kepujian ke atasMU, seperti yang ENGKAU memuji keatas zatMU sendiri”
Imam Ghazali rahimullah berkata di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin mengenai ayat berikut:
284. Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. dan jika kamu melahirkan apa Yang ada di Dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa Yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Al-Baqarah:284]
Ketika ayat ini diturunkan, para sahabat merasa gelisah, lalu mereka mendatangi Rasulullah SAW seraya berkata: Kami telah dibebankan sesuatu yang kami tidak sanggup menghindarnya.
Mereka, yakni para sahabat menyangka bahawa ALLAH SWT akan membalas dan menghitung segala sesuatu yang mereka lakukan, hinggakan kepada perkara yang terlintas dipemikiran mereka.
Rasulullah SAW menyanggah pendapat tersebut dengan sabdanya: Apakah kamu mahu berkatas ebagaimana yang dikatakan oleh bani israel, iaitu: Kami dengar, tetapi tidak mahu patuh. Jangan begitu!
Tetapi katakanlah: Kami mendengar dan patuh. Kami memohon keampunanMU, wahai TUHAN! kepadaMu jualah kami akan kembali.
Para sahabat bersetuju dengan petunjuk Rasulullah SAW itu, maka oleh itu ALLAH SWT telah menurunkan ayat yang lain dengan firmanNYA:
285. Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman;
[Al-Baqarah:285]
Bahawa ALLAH SWT tidak akan memberatkan sesuatu perkara ke atas hambaNYA dalam keadaan hambaNYA yang tidak mampu. Maha Suci ALLAH SWT atas sifat keadilanNYA. Maka, ALLAH SWT tidak sesekali akan mengira salah atas perkara yang dilakukan didalam keadaan terlupa atau dalah keadaan tidak sengaja.
Rasulullah SAW telah memperjelaskan maksud ini didalam sebuah hadis:
“Dimaafkan (tidak kira salah) atas umatku khilaf atau lupa dan perbuatan yang dipaksakan, juga apa yang terlintas di hati, selagi mereka tidak menyatakan atau mengamalkan”
Maka, berusahalah atas nama ALLAH SWT Yang Maha Benar dalam menyampaikan tingkat hati kepada posisi Taqwa yang diredhai oleh ALLAH SWT. Bukan sekadar mengutara dan bijak berkata, tetapi mengamalkan segalanya secara istiqamah dalam mendapat naungan ALLAH SWT, dimana pada hari tiada lagi berguna duka dan sedih. Hanya yang dinanti pada hari akhir itu, penghisaban dan di mana kita bakal ditempatkan. Syurga atau neraka...ALLAHU ALLAH.
Wallahu A’lam
وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun
29 Rejab 1429H / 01-08-2008
http://almukminun.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan