::Teman Bersama::

Isnin, 4 Ogos 2008

PKPIM; Perjuangan Ulama dan Dasar Ilmu Islam Yang Dilupa



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره

ووالاه




PKPIM; Perjuangan Ulama dan Dasar Ilmu Islam Yang Dilupa




Teringat penulis kepada penyataan oleh Almarhum Tuan Syeikh Niamat Yusof, antara tokoh ulama penting dalam penubuhan PKPIM dan ABIM, yang suatu ketika dahulu pernah mengingatkan golongan muda;


“Saya berharap golongan muda dalam ABIM perlu ingat bahawa pada awalnya, penubuhan ABIM penuh dengan liku dan ranjau. Jadi, untuk menjaga dan memastikan kesinambungan ABIM, generasi muda perlu melihat ke belakang bagaimana ABIM telah memainkan peranan melahirkan tokoh-tokoh ulama dan intelektual yang melibatkan diri dalam gerakan Islam melalui pelbagai institusi. Gerakan ini perlu dipertahankan untuk memastikan masa hadapan ummah ”


Almarhum Syeikh Niamat Yusof jika diimbau perjuangannya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi bertuah Malaysia ini amat sukar perjalanannya. Beliau merupakan mudir pertama di Maahad Tarbiyyah Islamiah (Pondok Dehrang), Dehrang, Pokok Sena, Kedah.


Permulaan perjuangan beliau bermula sebagai Penolong Setiausaha kepada Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang merupakan Setiausaha kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).


Almarhum Tuan Syeikh Niamat Yusof telah mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan anjuran Liku, Alor Setar pada tahun 1972. Sejak itu bermulalah penyertaan seorang tokoh ulama ulung yang dirindui ummah selepas pemergiannya, di dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).


Justeru, para pemuda dan pemudi Islam khusus yang berada di lapangan PKPIM, harus kembali sedar mengenai asal penubuhan gerakan Islam ini yang pada asas dan tunjangnya adalah dipasak untuk mengembalikan Islam sebagai Nizamaul Hayya. Bahawa “kekukuhan” PKPIM adalah melalui membudayakan ilmu Islam yang “dicari”.


Perjuangan PKPIM ini harus diperhalusi adalah natijah kepada perjuangan daripada umat Islam yang faham akan keperluan ummah yang dahaga akan sentuhan ilmu daripada para ulama.


Berprinsip


Kita tidak mahu menjadi seperti umat yang taksub kepada parti dan individu. Kita juga bukan bermuka-muka dalam memperolehi laba dan untung di dunia. Kita tidak bermanis kepada pemerintah walau perbuatan mereka adalah melanggar syariah.


Manakala kepada lawan pemerintah, kita juga tidak sesekali berlembut lidah apabila melihat mereka melakukan kesalahan yang jelas menyimpang. Kita (PKPIM) tegas dengan prinsip tidak takut jika mereka “memerintah”, ketika itu, kita disanggah, kerana pernah berbeza pandangan.


Dalam perkara ini, PKPIM harus terus berpendirian jelas sebagaimana dfirmankan oleh ALLAH SWT:


“Dan berkatalah kepada hamba-hambaku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara musuh yang nyata bagi manusia”

[Surah Al-Isra’: 53]


Perjuangan yang kita sertai ini akan ada pada suatu ketika nanti, perlu menggunakan jihad lisan, jihad dengan pena, tangan serta perkataan benar disisi pemerintah yang zalim.


Maka, amat wajar kita mempertahankan prinsip non-partisan. Di kala sebilangan manusia rakus, takut dan kecut bila diizin oleh ALLAH SWT memegang tampuk kuasa. Mereka tidak lagi mewar-warkan isu umat Islam atas alasan mahu “tasamuh” kepada bangsa yang berbeza agama walau diinjak kemuliaan agama Islam yang mulia.


Arah Perjuangan


Mutakhir, kebanyakkan ahli PKPIM, punya kemampuan untuk berbicara perihal politik. Memiliki karisma menolak kerakusan yang dicetuskan oleh pemerintah melalui bacaan ilmiah dan penulisan. Kita juga juara dalam mendepankan isu Bahasa Melayu (kini Bahasa Malaysia).


Kita juga diberi keizinan oleh ALLAH SWT menjadi wira dan menjuarai isu-isu masyarakat. Contohnya, kita didengari oleh pemerintah dengan isu riba didalam PTPTN. Kita juga ampuh mempertahan agar digubal akta AUKU yang melayukan jati diri mahasiswa sehingga diambil kira untuk digubal kembali pada peringkat Parlimen sedikit masa lagi.


Walaubagaimanapun, kedengaran suara-suara mempersoalkan, adakah PKPIM juga sedang mengasimilasi dasar menjadi pejuang mahasiswa semata? Sehingga lupa kepada keutamaan membela agama Islam. Ketika ummah keliru dengan persoalan pelampau di dalam agama seperti wahabi dan syiah, kita masih berkompang mempersoal titik temu dalam politik.


Di kalangan ahli PKPIM dan masyarakat, ada yang menjadi keliru kerana dimomokkan dengan kehadiran pemuka pembid’ah dalam ibadah ummah. Apabila disoroti mengapa ummah begitu cepat mempercayai dan mengikuti adalah disebabkan “kemalasan” dalam mengusahakan hadir atau menganjurkan sendiri majlis-majlis ilmu yang khusus mensyarahkan perihal ibadah.


Bukti dapat dilihat dengan kesungguhan di kalangan ahli menyertai program-program bersifat mendidik masyarakat mengenai hal-hal semasa khusus menyentuh perihal politik, ekonomi dan sosial amat di luar jangka sambutan.


Begitu juga kepada majlis-majlis atau seminar yang membicarakan persoalan wanita, cinta, nikah dan munakahat. Sambutan adalah dijangka! Samada daripada pihak “ana dan enti”.


Kemudian, tuan-tuan bandingkan sahaja jumlah yang hadir dalam majlis seminar Ta’dib Islami dan Kuliyyah Daurah Haiah. Juga kehadiran yang boleh dikatakan secara umum “sifar ahli PKPIM” dalam majlis-majlis anjuran institusi luar seperti pengajian kitab-kitab turath walaupun melibatkan tokoh ulama besar dari serata pelusuk dunia sebagai tenaga pengajar. Sungguh menyedihkan melihat kepada jumlah yang hadir.


Pejuang Berpenyakit


Natijah kepada kekurangan tumpuan terhadap keilmuan yang lahir daripada guru-guru mursyid yang tidak berkepentingan duniawi, maka akan terhasil pula golongan pejuang yang berpenyakit.


Pejuang-pejuang ini yang terdiri dari kalangan lelaki dan wanita, menyeret sama orang-orang yang berada di dalam lingkungannya melalui program-program yang dijalankan atas nama persatuan dan mencontohi sifat buruk yang sama seperti mereka.


Kefahaman tentang iman yang lemah ditonjolkan dengan sifat riya’, ingin menjadi ketua, suka menonjol diri, mengadu domba, gemar kepada pangkat dan jawatan, kemewahan dunia serta pelbagai lagi penyakit yang asalnya adalah daripada hati yang telah mati iman kepada ALLAH SWT.


Kewujudan orang-orang sebegini di dalam jama’ah akan menghasilkan kesusahan dan kerosakan kepada ummah.


Justeru, para pejuang perlu memahami sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa mentaati aku maka ia telah mentaati ALLAH SWT dan sesiapa menderhakai aku, maka ia telah menderhakai ALLAH SWT. Sesiapa yang mentaati ketua maka ia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhakai ketua maka ia telah menderhakai aku”

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]


Nasihatilah Pemimpin


Manakala kepada para pimpinan, ketahuilah bahawa kelemahan dan kekurangan sentiasa bersama diri. Selaku mu’min, peringatan daripada kalangan yang dipimpin jangan dikesampingkan. Mu’min bersifat cerminan sesama pemimpin dan pihak dipimpin.


Hadith Rasulullah SAW:

Dari Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus ad-Dari Radhiyullahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘alaihi Wassalam bersabda:

“Agama adalah nasihat”. Kami bertanya: “Untuk siapa?” Kata Baginda: “Untuk ALLAH, KitabNYA, RasulNYA, pemimpin-pemimpin umat Islam dan keseluruhannya.”

[Hadith Riwayat Muslim]


Maka, perhubungan di antara pemimpin dan dipimpin adalah umpama urat saraf. Putus satu pertalian, maka gerakkan menjadi pincang dan lemah.


Kesimpulan


Justeru, dalam mendepani segala isu semasa, PKPIM sebagai sebuah gerakkan pelajar yang matang akal Islami, harus utuh dan kekal kepada prinsip, misi dan visi dalam melahir ummah bertamadun beracuan khayra ummah bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama. Kembali kepada menyubur ilmu usul di dalam Islam adalah tunjang kepada pemahaman ahli dan ummah agar bersatu dalam mendepani segala cabaran yang bakal didepani. Tinggalkan kepincangan dan kemahuan peribadi. Bergeraklah dalam lingkungan jihad yang ALLAH SWT redhai. Hamba yang haqir ini sekadar mencetus kembali semangat ukhuwwah dan perjuangan Islami, agar tidak lapuk dalam sorak retorik yang tidak menguntungkan ummah secara seluruh.


Alfatihah untuk roh Ayahanda Tuan Guru, Syeikh Ustaz Niamat Yusof..

Haul Tarikh pemergian Almarhum Syeikhuna, As-Syeikh Niamat Yusof pada 13 rejab yang lalu.


Tahun ini 13 rejab 1429 h jatuh pada 16 julai 2008.


Wallahu’alam


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"


Al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy:

almukminun

2 Sya’ban 1429H

http://almukminun.blogspot.com/2008/08/pkpim-perjuangan-ulama-dan-dasar-ilmu.html



1 ulasan:

Al haqeerah berkata...

Salam

Allahu Allah..Syukran atas artikel ni, teringat pada Tuan Guru Niamat yusof.

Semoga Allah memberkati dan meredhai beliau.Ameen..