::Teman Bersama::

Isnin, 14 Julai 2008

Memperkukuh Da’wah dan Tarbiyyah Generasi Muda

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه





Bicara Majlis Nuqaba di Kolej Dar Al-Hikmah 9 Rejab 1429 H :

Memperkukuh Da’wah dan Tarbiyyah Generasi Muda

Disampaikan Oleh : al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy : Al-Mukminun

Pengenalan

Generasi pertama pertama para pemikir da'wah, seperti Syeikh Hassan Al-Banna, Syeikh Al-Maududi, As-Syahid Sayyid Quthub dan lainnya, memfokuskan perhatian pada pembangunan ideologi.

Generasi kedua, seperti Syeikh Muhammad Al-Gazali, Al-Fadhil Dr. Fathi Yakan, dan lainnya memfokuskan perhatiannya pada pembangunan kerangka pemikiran pergerakan.

Hari ini, usaha dakwah telah memasuki ruangan terbuka dengan turut sama mengajak rakyat seluruhnya kepada konsep mengajak ma’ruf dan mencegah mungkar tanpa mengira latar belakang agama atau diajak berpegang kepada konsep sirr dan hazar.

Pertebaran usaha dakwah ke dalam masyarakat juga telah menjadi tajuk perbincangan hangat di mana ahli yang dimiliki tidak bersamaan dengan nisbah kumpulan untuk didakwahkan. Keterbatasan juga berlaku disebabkan pelebaran kawasan untuk tujuan dakwah.

Berlaku tekanan kerja untuk menuruti keperluan dalam berdakwah. Kecelikan mendadak masyarakat kepada Islam dilihat berkembang pada dekad 80-an dengan kemenangan-kemenangan luar jangka seperti di Algeria dengan diketuai oleh FIS dan Refah di Turki. Namun, nikmat kemenangan tersebut berhasil tidak lama disebabkan oleh penentangan terhadap sumber daya yang dimiliki sehingga tidak terlawan dengan proses “dididkan sekular” musuh.

Tugas Pemuda

Justeru, peranan kader-kader baru dalam bidang dakwah ini khususnya pemuda dan pemudi diberikan penumpuan serius ke arah membentuk tubuh-tubuh yang mempunyai keringanan dalam melakukan ketaatan dan mencegah mazmumah di kalangan ummah.

Jelas tergambar di dalam hakikat kepada usia yang muda, disinilah bermulanya cita-cita tinggi serta darah merah panas yang menginginkan segala perubahan dilaksanakan dalam masa yang segera. Pada usia muda juga terkenal dengan idealisme-idealisme yang kadangkala membingungkan kerana sikap “cepat percaya” dan “kurang periksa”.

Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:
“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa lapang kamu sebelum sibuk.”

Asas dan Dasar dalam memperlengkapkan Naqib:

1. Naqib dipilih oleh orang yang ahli dan memiliki persiapan yang rapi.
2. Persiapan dan didikan kepada naqib hendaklah dengan pendekatan yang integral dan menyeluruh
3. Waktu “pemantauan” dilaksanakan ke atas Naqib yang dilantik bagi memastikan keberkesanan tanggungjawab yang diberikan.

Dasar Pertama: Naqib dipilih oleh orang yang ahli dan memiliki persiapan yang rapi

Insan yang bakal dipilih selaku Naqib harus memiliki sifat-sifat tertentu yang dapat diyakini kemampuan mereka untuk mendukung tugas dan peranan selaku Naqib.

Sifat-sifat tersebut dibahagikan kepada dua:

Sifat Fitrah (dasar) yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hamba NYA.

Sifat Mukhtasabah (pembentukan). Orang yang memiliki sifat serta sikap Nuqaba dengan usaha, kesabaran dan kesungguhan.

Kedua-dua sifat tersebut perlu dimiliki oleh calon-calon Naqib yang bakal terjun ke dalam ruang da’wah.

Sifat Fitrah kepada Naqib

Ia merupakan kemampuan yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT berupa akal fikir yang dimiliki menerusi warisan daripada waris terdahulu. Di dalamnya terdapat kemampuan membuat tanggapan subjektif dan objektif, kreatif, kritis serta tepat dalam membuat keputusan.

1. Sifat-sifat yang dimiliki sebagaimana berikut:
-Kemampuan menggunakan pengalaman masa lalu untuk meghadapi persoalan baru
-Kemampuan mengubah sikap lama Naqib bagi berhadapan dengan sikap baru di kalangan mad’u
-Mampu memahami hubungan antara isu yang timbul dengan cara menghubungkannya
-Mampu memutuskan persoalan bagi mendapatkan kebenaran atau mendekati kebenaran, contohnya di antara maslahat besar dan maslahat kecil[Rujuk Al-Asybah Wa An-Nazair oleh Imam Jalaluddin As-Suyuti, Dar Al-Kutub Ilmiah, Beirut,1979]
-Mampu melakukan kritik dan perbezaan
-Mampu menganalisa dan membezakan tahapan masalah
-Mampu bereakreasi

2. ALLAH SWT mencampakkan potensi berupa amalan spiritual yang digerakkan melalui Iman, diformulakan oleh Islam dan dibimbing melalui Ihsan.

Potensi Spiritual adalah sebagaimana berikut:

-Kesedaran spiritual dan tindak balas segera kepada perkara yang mendepaninya.
-Berjuang atas kesedaran kepada kebenaran. Bukan taqlid semata-mata.
-Iman diperkuatkan dengan aqidah yang bersih, contoh tidak “menjisimkan” ALLAH SWT, jauh dari khurafat, batil dan bohong.
-Menyakini bahawa Islam adalah agama yang terakhir dan bersedia bersama orang-orang yang mendokong gerakan Islam, asalkan selari dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
-Kemahuan yang kuat tanpa kerap beralasan dan menolak andai diajak.
-Sensitif antara keindahan dan keburukan juga di antara kebenaran dan kekeliruan.
-Rindu dalam segala hal yang berkaitan ibadah khusus atau umum serta merindui Jannah dalam segala lapangan Jihad Fisabilillah. Serta yakin bahawa ALLAH SWT adalah matlamat utama dan akhir
-Berani, dermawan (sunduq dakwah) dan sabar. Sifat-sifat tersebut hanya terjelma melalui ikatan ruhani yang kuat bersama Khaliq.

3. ALLAH SWT turut mencampakkan ke dalam ruh hamba NYA yang terpilih dengan sifat istiqamah dalam ibadah, kemampuan fizikal sehingga menghasilkan kemampuan kepada pendukung Islam menjalankan usaha dakwah dengan penuh perencanaan, bertenaga dan berterusan hingga selesai. Kurniaan fizikal daripada ALLAH boleh dinyatakan sebagaimana berikut:

-Bebas daripada penyakit daripada menghalangi seseorang daripada menjalankan tugas selaku Naqib.
-Sehat segala panca inderanya dari bau, lihat, dengar dan berkata-kata.
-Sehat anggota dan tiada kecacatan.
-Mampu mencari nafkah.
-Bertenaga dan dinamis.
-Mampu melawan dorongan nafsu dan syaitan.
-Mampu dan sentiasa mahu belajar perkara yang baru.
-Mampu mentadbir urus keinginan syahwat.

Segala kemampuan fizikal dan rohani tersebut hanya termampu dilakukan dengan kekuatan jiwa lawammah (jiwa yang sentiasa bermuhasabah), lalu diperkuatkan dengan kekuatan fizikal.

Perkara tersebut amat penting untuk dimiliki oleh para Naqib kerana tugas selaku insan yang akan mentarbiyyah orang lain. Bukankah mukmin yang mempunyai kekuatan yang lebih kuat lebih disukai oleh ALLAH SWT?

Sifat Mukhtasabah (pembentukan).

Sifat mukhtasabah yang dimaksudkan ialah potensi yang diusahakan untuk dimiliki oleh para Naqib pada masa dia tidak memilikinya.

Sifat-sifat tersebut mempunyai senarai yang terlalu banyak. Sifat-sifat tersebut pada umumnya harus dimiliki oleh para Nuqaba ketika dan berterusan dalam proses berlangsungnya pentarbiyahan, mengarah serta mendidik personaliti lain untuk dibentuk menjadi barisan Nuqaba pada masa akan datang.

1. Wawasan Keagamaan Secara Umum:

-Mengenal agama-agama Samawi terutamanya yang diturunkan sebelum Islam
-Rukun Islam dan Iman wajib diselesaikan.

2. Wawasan KeIslaman yang khusus:

-Mengenal Al-Quran, berguru untuk membaca dan memahami ayatnya.
-Mempelajari dari yang ahli untuk Mengetahui hadith-hadith Rasulullah SAW dan memahami sebagai sunnah qauliyah.
-Menguasai sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai menyantuni sunnah fi’liyyah(perbuatan).
-Memahami secara jelas akidah serta fiqih Islam yang bersangkutan ibadah dan muamalah, agar terhindar dari kebodohan, kekeliruan serta berlepas daripada sikap “gila membid’ahkan”.
-Mempelajari sejarah kehidupan para sahabat.
-Mengikuti perkembangan dunia Islam.
-Mengenali arus pemikiran yang memusuhi Islam serta rencana dan program
mereka.

3. Wawasan Tentang Kehidupan Secara Umum:

-Mengenal aliran politik kontemporari.
-Memahami kepelbagaian pelaksanaan ekonomi
-Sosial masyarakat.
-Mengenali organisasi antarabangsa beserta tujuan pembentukkannya.
-Mengenali orientalisme, zionisme dan kapitalisme.
-Mengenali kepelbagaian media massa.
-Mengenali struktur dan gaya pemerintahan di dunia.

Rukun Da’wah:

1. Maudhu’ al – Da’wah / Topik utama dakwah
Maudhu’ ad-dakwah adalah ad-din atau al-Islam ‘aqidahnya, ‘ibadahnya, akhlaqnya, dan segala yang merangkumi usulnya. Furu’nya dan lain-lainnya.

2. Al – Qaim bi al – Da’wah (Al – Da’ie) / Para Pendakwah
Dari segi profesion dakwah yang sebenar, Allah SWT mengkhususkan dengan menyarankan:

Mafhumnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan,menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang memperolehi kejayaan”.
[Surah Ali ‘Imran: 104]

Istilah “dai’e” sudah difahami oleh masyarakat hari ini. Sebagai seorang islam yang memiliki profession khusus dalam arena dakwah. Para ilmuwan menyebutkan orang itu sebagai:

Pendakwah hendaklah menguasai ilmu-ilmu asas yang dikenali sebagai fardhu ’ain agar terhindar dari celaan masyarakat apabila mengetahui dan mendapati bahawa pendakwah yang dihadapannya itu belum bersedia dengan ilmu asas yang dengannya akan mengurangkan penerimaan mereka kepada apa jua yang didakwahkan itu.

Fathi Yakan didalam kitabnya “Musykilat al – Da’wah wa al – Da’iyyah“ halaman 78 telah memperturunkan kata-kata al-Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali:
Maksudnya: “Belajarlah kamu sebelum kamu menjadi pemerintah nanti kelak kesibukkan tugas kamu memerintah menghalang kamu dari menuntut ilmu”.

3. Al – Mad’un / Penerima dakwah
Penerima dakwah adalah manusia seluruhnya sama ada Muslim atau kafir. Adakalanya penerima dakwah itu ramai dan pelbagai peringkat pula. Maka para dai’e perlu menyedari tabiat mereka yang bukan semuanya akan menerima dakwah dan bukan pula semuanya menolak dakwah. Ikutilah kebenaran Rasulullah SAW dalam hal yang disebut itu dengan sabdanya:

Maksudnya: Bandingan dibangkitkan daku membawa petunjuk dan ilmu,sama dengan bandingan hujan lebat yang diturunkan keatas permukaan bumi. Ada bumi yang tanaman subur, menerima air lalu menumbuhkan rumput dan dan pokok yang banyak. Ada pula yang kering tetapi boleh menahan air untuk memberi manfaat kepada manusia untuk minum,mandi dan menyiram pokok. Ada lagi bumi kering kontang berlopak yang tidak mahu menyimpan air dan pokok pula tidak mahu tumbuh. Demikian itu pula bandingan orang yang memahami agamanya lalu mengajar orang ramai sehingga ada mendapat manfaat daripada ilmu dan ada pula yang tidak mahu menerima hidayah ALLAH dari ilmu yang disampaikan kepada mereka”.

Hadith di atas memberi isyarat yang amat berguna kepada pendakwah agar memahami psikologi golongan yang didakwahkan itu.

4. Uslub Al – Da’wah / Pendekatan dalam berdakwah
Ini merupakan perkara utama dalam sistem penyampaian dakwah kepada mad’u.

Uslub al - da’wah mestilah diasaskan di atas manhaj Rabbani. Itulah asas yang tidak dapat tidak dikembalikan kepada–Nya. Panduan utama kita adalah al – Qur’an al–Kareem, sebagai sumber paling berautoriti diikuti Sabda Rasulullah SAW dan ijmak ulama dan qias.. Panduan utama yang perlu dirujuk oleh setiap Muslim. Di dalamnya, Allah SWT menggariskan uslub dakwah dengan jelas dan terang:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”
[Surah al – Nahl: 125]
.

Uslub Da’wah:

Uslub perkataan berasal dari perkataan bahasa ‘Arab. Jama’nya (kata banyak) asaalib.Di dalam kamus al-Munjid diberi pengertian: At-thariq (jalan) atau al-fan min al–qaul au al-amal ( seni dalam percakapan atau pekerjaan.)Dalam istilah yang selalu dipakai hari ini ianya dikenali sebagai metodolgi yang juga mengikut Kamus Dewan diberi erti: Cara melakukan sesuatu dan dikatakan juga dikatakan sebagai sistem melaksanakan sesuatu.

Uslub Pertama: Al–Hikmah

Hikmah: Menemui kebenaran secara tepat dengan berbagai peringkat ilmu dan melalui pengayaan akal. Meletakkan kepada ALLAH SWT atas segala pengetahuan yang akal kita tidak mampu mentaqwilkannya. (Al-Asfahani dalam Al-Mufradat).
Firman Allah SWT:

يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka, Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya”.
[Surah al – Baqarah: 269]

1. Uslub al–‘ilm wa al–ma’rifah (Pendekatan ‘ilmu dan pengetahuan)

Uslub ini lebih mengutamakan pendekatan akademik yang berteraskan ‘ilmu pengetahuan yang mendalam dengan merujuk kepada sumber utama kenyataan yang diutarakan. Apa sahaja yang dijadikan bahan dakwah dalam uslub ini sifatnya jitu dan tepat, padat dan ketat.

Dakwah dalam uslub ini sesuai dengan ahli–ahli akademik yang mementingkan fakta dan ulasan bagi menghasilkan natijah yang dikehendaki untuk sampai kepada kepuasan mental yang akhirnya tunduk kepada kebenaran.

Dalam konteks ini elok diturunkan satu contoh uslub al- ‘ilm wa al–ma’rifah yang berlaku kepada pendakwah–pendakwah awal Islam yang berhijrah ke Habsyah. Mereka terdiri daripada 83 orang sahabat r.a termasuk Uthman bin ‘Affan, isterinya Ruqayyah binti Rasulullah s.a.w, Az–Zubair bin Al–Awwam, Ja’far bin Abdul Mutholib dan lain–lain.

Apabila golongan ini berhadapan dengan An–Najasyi (Raja Habsyah), maka peluang berdakwah terbuka luas untuk menyeru beliau serta masyarakat kuffar di Habsyah, memahami dan memeluk Islam.

An–Najasyi terlebih dahulu telah dimomokkan kepadanya maklumat yang negatif tentang Islam sebelum beliau mendapat penjelasan sebenar yang diberikan oleh ‘Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Amr bin al–‘As dengan tomahan mereka: Wahai tuanku, sesungguhnya telah tiba di negara tuanku dari negara kami segolongan manusia yang selekeh.

Mereka telah memecah – belahkan agama kaum mereka dan tidak akan menganut agama tuanku. Mereka datang ke sini membawa agama mereka ciptaan mereka sendiri. Kami tidak mengetahui agama yang dibawa itu dan begitu juga tuanku...”

Pembesar–pembesar an–Najasyi pula menyampuk: “Wahai tuanku kaum mereka lebih faham tentang mereka. Lebih mengerti tentang keburukan mereka. Oleh itu, serahkan mereka semua kepada mereka berdua biar mereka uruskan agar mereka pulang ke negara dan kaum mereka”.

Keadaan sebegini memerlukan kepada uslub yang sesuai untuk berdakwah mempertahankan yang hak dan menolak yang batil. Jika pendakwah– pendakwah ini gagal menyatakan sesuatu yang hak menurut uslub yang sesuai maka akan besarlah padahnya.
An–Najasyi berpaling kepada kumpulan umat Islam itu dan bertanya dalam uslub ‘ilmu: “Bagaimana keadaan kamu sebelum datang agama ini?

Ja’far bin ‘Abdul Mutholib tampil ke hadapan memberikan penjelasan. “Tuanku, kami adalah kaum yang jahil. Cari hidup kami menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perkara – perkara keji, menyakiti jiran, yang kuat menindas yang lemah sehinggalah datang agama kami membaiki (keadaan) kami”.

An – Najasyi bertanyakan tentang ‘Isa a.s (kerana beliau beranggapan Islam menghina ‘Isa dengan mengatakan ‘Isa adalah hamba). Jawab Ja’far r.a: “Islam memberitahu kami dengan firman Allah:

لَّن يَسْتَنكِفَ الْمَسِيحُ أَن يَكُونَ عَبْداً لِّلّهِ وَلاَ الْمَلآئِكَةُ الْمُقَرَّبُونَ وَمَن يَسْتَنكِفْ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيَسْتَكْبِرْ فَسَيَحْشُرُهُمْ إِلَيهِ جَمِيعاً

“(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat Yang sentiasa berdamping (dengan Allah). dan sesiapa Yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya”.
[Surah an – Nisaa’: 172]

An – Najasyi bertanya lagi pandangan Islam terhadap ‘Isa. Ja’far menjelaskan dengan membaca surah Maryam yang menerangkan di dalamnya perihal kelahiran ‘Isa tanpa bapa dan dipertikaikan oleh kaumnya. ‘Isa a.s ketika masih di dalam buaian berkata–kata kepada kaumnya dengan mengatakan bahawa dia adalah hamba Allah yang akan diturunkan al–Kitab (Injil) kepadanya dan akan menjadi nabi.

Setelah mendengar penjelasan yang begitu tepat lagi menusuk hati, an–Najasyi menangis sehingga basah janggutnya. Katanya: “Agama Islam dan agama yang dibawa oleh ‘Isa adalah datang dari sumber yang sama. Beliau mengambil sebatang kayu dan membuat garisan di atas tanah seraya berkata: “Agama aku dan agama kamu amat hampir. Pemisah kita adalah garisan yang halus ini”. Kerana itu, umat Islam diberi jaminan keselamatan tinggal di negara Habsyah dengan damai.

2. Uslub al–Latf wa al–Layn (Pendekatan lembut dan lunak)

Ada ketika dakwah memerlukan uslub yang lembut dan lunak. Berlembut pada tempat yang perlukan kelembutan adalah bukti kebijaksanaan pendakwah. Sama juga keadaan berkeras pada tempat yang memerlukan kekerasan juga adalah hikmah. Uslub al–Latf wa al–Layn ini diasaskan di atas firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s ketika mereka diperintahkan menyeru Fir’aun kepada agama Allah:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقُولَا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".
[Surah Thoha: 43 – 44]


Rasulullah s.a.w pernah memberi contoh tentang pendekatan lemah–lembut ini di dalam kisah seorang ‘Arab Badwi masuk ke dalam masjid dan membuang air kecil. Para sahabat yang menyaksikan kejadian tersebut meluru ke arahnya dan mengasarinya bagi memberi pengajaran kepadanya.

Rasulullah s.a.w segera bertindak mententeramkan keadaan dan mendekati Badwi tersebut dengan lemah–lembut serta bersabda:
“Sesungguhnya masjid tidak elok digunakan seperti yang anda lakukan, malah ianya digunakan untuk berzikir dan berdo’a” [Riwayat Muslim]
Badwi tersebut beredar dengan baik di samping berkata: “Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau kasihi selain dari kami walau seorang sekalipun”.
Uslub ini juga dikenali sebagai uslub al–Maddarah.


3. Uslub al–Quwwah wa as–Shiddah (Pendekatan kekuatan dan kekerasan)

Dalam menjalankan tugas dakwah, kadangkala penegasan perlu dilakukan. Contohnya, orang yang diketahui berpegang kepada mazhab Syafie, belajar pula akan dia di madrasah dengan lamanya.

Kemudian memasuki masjid dengan berseluar pendek, maka bagi orang yang mengenalinya, wajib menempelak agar beliau menyempurnakan aurat sebelum melaksanakan ibadah atas alasan beliau orang mengetahui dan tidak jahil.

Hikmah tidak selamanya bererti lemah–lembut. Ada masanya kuat dan kasar itu juga hikmah.

ALLAH SWT menurunkan ayat:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)”
[Surah al–Hajj: 39]

Uslub Kedua: Al–Mau’izoh al–Hasanah

Kaedah ini adalah khusus daripada al-Quran serta dalam bimbingan ar-Rahman. Mau’izah sebetulnya merupakan kata-kata lembut yang dapat melembutkan jiwa yang keras.

Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
[Surah al–Ahzab: 21]


Uswatun hasanah dan mau’izaoh hasanah terdapat banyak persamaan. Ibn ‘Athiyyah menyebut:

“Mau’izoh hasanah itu merupakan suatu usaha untuk memberikan manusia rasa takut dan mengharap serta melunakkan manusia agar menjadikan ceria dan bersedia untuk menerima nilai–nilai murni”.

Harus diingati kepada jiwa-jiwa yang berjanji untuk taat bersama dalam urusan dakwah, uslub al-Mau’izoh al-Hasanah memerlukan para duat menjadi model atas segala perkataannya.

Moga terhindar sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW mengingatkan:
“Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Didatangkan seorang lelaki (pendakwah) pada hari Qiyamah lalu dicampakkan ke dalam api neraka. Api neraka membakarnya hingga ke tali perutnya. Dia terseksa dan berpusing–pusing di dalam neraka seperti keldai berpusing–pusing di tempat kerjanya. Penghuni– penghuni neraka yang lain berkerumun kepadanya lalu mereka bertanya: Apa hal kamu ini? Bukankah kamu yang menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami kemungkaran? Jawabnya: Ya, aku menyuruh kamu membuat ma’ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku melarang menjauhi kemungkaran akan tetapi aku melakukannya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Uslub al–Murasalah / Cara menulis surat

Baginda menyuruh para sahabat r.a untuk menulis surat untuknya dan surat – surat itu kemudiannya di hantar kepada an–Najasyi (raja Habsyah), Kaisar (Raja Parsi), Hiraqqel (Raja Rom), Maqauqis (pembesar Mesir) dan banyak lagi. Ada yang menerima dakwah Islam seperti an–Najasyi, ada yang mengakui kerasulan baginda s.a.w seperti Hiraqqel akan tetapi tidak menerima Islam dan ada yang menentang bahkan mencabar nabi s.a.w seperti Kisra.

Uslub Ketiga: Al–Mujadalah

Terdapat 3 kaedah yang dikaitkan dengan uslub ini:

Mujadalah/Mujadilah (Bersoal–jawab)

Muhawarah (Berdialog)

Munazoroh (Berdebat / Berbahas)
“Perdebatan atau perbahasan antara dua belah pihak yang berselisih untuk menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan dengan hujah–hujah yang bernas dannyata”
(Ma’alim fi manhaj al–Da’wah: 212 – 213)

ALLAH SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh dengan berserah diri".
[Surah al–Ankabuut: 46]

وَإِن جَادَلُوكَ فَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan”
[al–Hajj: 68]

Kesimpulan

Jangan disebabkan kita tidak mampu mengajak orang lain mendekati agama, kita berasa duka.

Jangan disebabkan dakwah kita dihina, dicaci dan dimaki kita rajuk lalu menolak untuk dipujuk.

Jangan pula apabila ulama lama dihina, kita bingkas bangun dari membela.

Jangan dan tiada putus harapan dalam sifat pejuang, kerana pejuang itu sabarnya bukan kepalang, lembut dan kerasnya pada tempat dan tepat.

Pendakwah itu sabarnya tinggi, dicucuki api, balasnya air yang menyejuk.

Pendakwah itu tidak punya lintasan, andai gagal dalam dakwah bil’hal dan lissan.

Tanpa bertangguh, langkah disusun, bukan jumlah pengikut jadi ukur, Tetapi Iman serta amal jadi penyuluh dalam mengapai redha Illahi.

Ayuh Mujahhiddin, Ayuh Mujahhidah, Usah bertangguh, Gerakkan Usaha dakwah!

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy: almukminun
8 Rejab 1429H / 11072008
http://almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: