::Teman Bersama::

Selasa, 22 Januari 2008

Pembahagian Tauhid: Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa Siffat



بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh: al-Haqir Ila ALLAH al-GHANIY: almukminun

Maha Suci ALLAH Yang menjadikan dan meniadakan sesuatu. Kerana setiap inci yang ada di jagat raya ini adalah semata-mata kepunyaan sepenuhnya ALLAH SWT.


Maka, dengan kadar ilmu yang terhad ini, dinukilkan suatu artikel sebagai menyatakan kepada perbedaan tauhid uluhiyyah, rububiyyah dan asma’wal siffat.


Mudah-mudahan melalui artikel tidak seberapa ini dapat merungkai akan maksud ketiga-tiganya. Selaku hamba yang haqir di sisi ALLAH SWT Yang Maha Mulia, maka sebarang teguran serta penambahan amat diharapkan.


Persoalan mengenai keberadaan ketiga-tiga tauhid tersebut telah lama berada di kalangan masyarakat. Malangnya, atas kurangya keinginan serta kemahuan untuk mengetahui lebih lanjut, maka segala yang diajarkan hanya diterima tanpa ada satu rasa untuk mendalami sesuatu ilmu secara terbuka hati.


Maka, perlu diketahui bahawa, methodologi Ahli Sunnah wal Jamaah telah disusun oleh pelopornya iaitu Imam Abu Hasan al-Asy’ari r.a dan Imam al-Maturidi r.a. Keduanya tidak pernah menyatakan perihal pembahagian tauhid kepada tiga.


Tauhid


Ilmu-ilmu tauhid mengajar perkara-perkara berikut:


1. Zat ALLAH; perkara wajib bagi ALLAH, perkara mustahil bagi ALLAH dan perkara harus bagiNYA.


2. Zat para Rasul; perkara-perkara yang wajib bagi Rasul, perkara-perkara yang mustahil dan harus bagi mereka.


3. Perkara-perkara sam’iyyat; perkara-perkara yang wajib dan diimani dan tidak dapat disaksikan dengan mata kasar seperti syurga, neraka, azab dan nikmat kubur, Siratul Mustaqim, telaga kauthar, neraca timbangan dan sebagainya. Adapun masalah-masalah yang berkaitan dengan kubur, tawassul dan istighatthah bukanlah daripada permasalahan tauhid.

(Al-Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani)

Kalimah tauhid ialah firman ALLAH SWT:

“Maka ketahuilah, bahawasanya tiada TUHAN melainkan ALLAH”

(Muhammad: 19)

Penolakkan Ulama-Ulama


Berikut dinyatakan di antara ulama-ulama yang menyatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah rekaan serta ciptaan mereka yang terkeliru akan maksud sebenar ayat al-Quran dan Hadith.


Ulama-ulama tersebut ialah seorang Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al-Azhar, al Allamah al Mufassir al-Muhaddith Syeikh Yusof al-Dijwi r.a.


Beliau dengan jelas menolak dengan mengeluarkan fatwa terhadap penolakan al-Azhar akan pembahagian tauhid tersebut. Kenyataannya telah dipaparkan dalam Majalah Nur Islam, 1933 yang pada ketika itu ialah lidah rasmi al-Azhar.


Turut sama di dalam penolakkan pembahagian tauhid tesebut ialah Syeikh Izzuddin Abul Azaim r.a dalam Majalah Islam Watan. Al-Muhaddith al-Allamah Syeikh Salamah al-Qudhaii al-‘Azzami al-Syafi’i r.a dalam kitabnya al-Barahain al-Sati’ah fi Raddi b’adil al’Syai’ah turut menyokong.


Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani r.a di dalam kitab karangnya Huwallah beserta ulama nusantara dari Indonesia yang mana kitab karanganya ialah ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah’, iaitu Syeikh Sirajjuddin Abbas r.a. secara jelas menolak pembahagian tauhi tersebut.


Andai timbul persoalan, mana mungkin ulama-ulama yang dinyatakan tersebut maksum dari noda dan dosa. Lalu, mengapa diambil akan pendapat-pendapat mereka.


Maka jawaban yang harus dikembalikan ialah: penyataan itu merupakan ijmak para ulama yang ramai, maka selayaknya kita selaku insan yang haqir ini, menuntut ilmu, lalu disandarkan kepada mereka para ulama.


Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah


Asal Tauhid ulihiyyah dan rububiyyah ialah daripada Ibnu Taimiyyah manakala ada pendapat yang menyatakan tauhid tersebut diperkenalkan oleh Ibnu Bathah al-Hanbali al-Mujassim (307H-387H), kemudian dihidupkan semula oleh Ibnu Taimiyyah.


Persoalannya pernahkah di dalam mana-mana hadith junjungan mulia Rasulullah SAW yang menyatakan perihal pembahagian tauhid tersebut?


Maka, tauhid sebenarnya ialah kerana Illah yang benar adalah Rab yang benar juga dan Illah yang batil adalah Rab yang batil juga.


Firman ALLAH SWT:

“Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu sembahlah engkau akan DIA dan bersabarlah dengan bertekun tetap dalam beribadat kepadaNYA”

(Al-Maryam:65)


Tauhid Asma’ wa Siffat


Tauhid ini diyakini oleh pengamalnya sebagai menjunjung ketetapan terhadap sifat-sifat (seperti ALLAH bertangan, berwajah, turun naik dan lain-lain) yang ditetapkan oleh ALLAH bagi diriNYA dan menafikan apa yang dinafikan daripada sifat-sifat dan nama-nama oleh ALLAH bagi diriNYA, maka ditegaskan bahawa ALLAH SWT tidak bersifat sedemikian itu. (Al-Allamah al-Muhaqqiq Dr. Isa ibn Abdullah ibn Mani’ al-Himyari, 2000)


Persoalannya apakah pendapat kepada yang menyatakan ALLAH SWT bersifat seperti makhluk, dapat diterima oleh akal yang juga diciptakanNYA ini. Menggambarkan bahawa ALLAH SWT adalah duduk sebagaimana manusia duduk? Bertangan sebagaimana makhluk?


Nah, mana mungkin ALLAH SWT yang bersifat suci daripada segala kekurangan serta keaiban disamakan dengan makhluk? Adakah manusia selaku makhluk ciptaanNYA dapat meletak gambaran akan rupa bentuk ALLAH SWT Yang Maha Mulia? Sedang manusia itu fitrahnya adalah makhluk yang lemah.


Manusia diciptakan, bukan ia menciptakan. Sedangkan hanya ALLAH SWT Yang Maha Mulia sahaja yang berkemampuan atas segala sesuatu tanpa manusia itu dapat menghitung atau menggambarkan keadaanNYA.


Rasikhin (Proffesional); Bersifat Menyatu


Lalu, selaku insan yang cinta akan ilmu dan berpegang kepada metodologi ulama serta ilmuan terdahulu, insan yang bersifat rasikh dan beramal dengan ilmunya sentiasa cenderung kepada perkara yang mudah dan senang untuk diamalkan.


Sesuai dengan pelaksanaan oleh baginda Rasulullah SAW terhadap orang Islam yang mudah untuk diamalkan. Sudah tentu, mereka tidak mengingkari akan ulama terdahulu yang telah lama menyepakati segala perselisihan yang pendapat di kalangan mereka.


Mereka menghormati akan ijtihad setiap individu kerana sentiasa bersedia untuk berbincang di kalangan ulama. Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadis Sohih.


Mereka, para ulama yang rasikhin yakin apabila tersalah di dalam ijtihad, baginya satu ganjaran, maka apabila ijtihadnya tepat, maka baginya dua ganjaran.


Orang yang rasikhin juga tidak mengangkat atau meminta diagungkan pendapat mereka. Mereka tidak memaksa orang untuk mengikuti ijtihad mereka kerana sedar keberadaan diri mereka yang tidak maksum.


Apabila berdebat, didapati bahawa orang yang rashikin ini berbahas dengan cara dan adab yang baik. Mereka menghormati pendapat orang lain dan mengikutinya atas kefakihan serta fakta berasas yang dipersetujui. Maka, wujudlah keharmonian serta kekuatan Islam tanpa dapat diganggu gugat.


Kesimpulan


Justeru, sebagai penganut Islam yang disatukan bukan berdasarkan warna, bangsa, negara atau apa sahaja yang membawa kepada perbedaan, maka perlu diwujudkan rasa penyatuan. Caranya dengan mengikat diri agar beradab dengan perselisihan dan mencari titik persamaan.


"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH al-Ghaniy: almukminun

11 Muharram 1429

.........................................................................................................................................................

Bibliografi:

Al-Quran al-Kareem

Al-Allamah Syeikh Yusof al-Dijwi r.a ; Majalah Nur Islam (1993)

Al-Alamah Abu Abdullah ‘Alawi Al-Yamani; Agamamu dalam bahaya (1422h)

Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki: Kerapuhan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah (1426h)

2 ulasan:

Munirah Bahari berkata...

Assalamualaikum

Penjelasan yg baik utk persoalan tauhid pada usrah Qiyadah lps. Saya terkesan apabila Ustaz Hafiz Mustafa Labis yg menyatakan ttg psoalan tauhid kita jgn byk tanya, yg Ptg kita beriktiqad dgnnya.

Tanpa Nama berkata...

daripada ALLAH SWT Yang Maha Mulia jua.