Oleh: almukminun
Jutaan tahniah harus diutus kepada jutaan mukmin yang dipilih oleh ALLAH SWT sebagai para tetamuNYA yang dimuliakan, untuk menjalani ibadat haji yakni rukun Islam ke lima. Didoakan para tetamu ALLAH tersebut mendapat rahmat juga berkat dalam menjalani ibadat haji dalam penuh ketakwaan.
Kedatangan musim haji ini saban tahun harus dilihat secara holistik dengan berterusan tanpa bosan mengenangkan kebesaran ALLAH SWT ke atas diri hambaNYA.
Bagi yang terpilih bertamu di bumi Makkah dan Madinah, direnungi mereka berdepan dengan ribuan pengorbanan sebagai satu pelaburan dalam mendamba cinta Tuhannya.
Ibadat haji adalah kemuncak kepada pengharapan insan.
Ia juga adalah penunjuk aras kepada keikhlasan serta sumber ujian yang bukan kepalang. Ketiga-tiganya saling berkait rapat kerana kemuliaan hanya diberi oleh ALLAH SWT tanpa manusia dapat menilai siapakah yang layak tercatit namanya sebagai pemegang gelar “haji mabrur”.
Menerima jemputan bagi menunaikan ibadat haji adalah satu penantian mengharukan bagi insan yang beriman dengan Tuhannya. Insan beriman ini sudah tentu tahu, bahawa dia akan dituntut untuk mengorbankan masa, tenaga dan harta benda demi meyahut seruan serta suruhan kewajiban dari Tuhannya.
Tuntunan pengorbanan ini sudah tentu berbeza di antara insan. Maka rugilah kepada mereka yang beranggapan asal ada pangkat serta kemewahan, haji pasti dalam gengaman. Dapat ditunaikan mengikut kemahuan. Serta tiada kerisauan untuk mendapat segala kemudahan asal ada harta dan kuasa.
Begitu pula halnya dengan mereka yang serba kekurangan, kadangkala berlaku kemudahan yang tidak disangka-sangka, sememangnya telah diatur oleh ALLAH SWT untuk kemudahan hamba yang dicintaiNYA.
Pasti timbul sesalan andai ibadat haji tersebut tidak sedia untuk dilakukan atau dilakukan tidak dengan kesungguhan. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),- Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkanya). Sesungguhnya ALLAH tetapmelakukan segala perkara yang dikehendakiNYA. ALLAH telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. ”
(Surah At-Talaaq:65:2-3)
Maka, tiada ada daya serta kekuatan melainkan sepenuh pengharapan kepada ALLAH SWT. Dialah Maha Mengetahui akan kemampuan serta kelemahan hamba yang diciptakanNYA. Justeru, haji dilihat bukan hanya kepada mereka yang berpergian ke Tanah Suci, manakala stigma masyarakat bahawa ibadah korban hanya dilaksana bagi mereka yang tidak berpeluang menunaikan haji perlu ditolak.
Kedua-duanya apabila dilakukan, pasti disertakan dengan sejumlah pahala dan kasih sayang dari ALLAH SWT tanpa dapat dihitung oleh manusia.
Sedang jemaah haji menunaikan ibadah haji, realitinya mereka sedang berurusan dengan nasib mereka di akhirat. Sudah semestinya dengan menitiskan air mata apabila berdepan dengan Baitullahil haraam serta padang Arafah, air mata yang menitis sudah tentu dengan seribu satu pengharapan juga ketakjuban dengan kebesaran ALLAH SWT.
Manakan tidak, dengan hanya memandang rumah ALLAH, hati yang dulunya dirasuk serakah nafsu serta hampir mati diserikan kembali dengan pemberian ALLAH melalui rasa gerun serta insaf sang makhluk kepada Maha Memberi Petunjuk. Hanya melalui mata! SUBHANALLAH!
Para jemaah haji turut meninggalkan pakaian mereka yang berjahit, melaung-laungkan kata-kata taubat dan penyesalan dengan penuh kesungguhan serta dalam ribuan bahasa dunia. Mereka diuji dengan bermalam bersama-sama saudara seakidah yang lain di Muzdalifah dengan dihurungi kesejukkan malam hingga terasa sampai ke tulang.
Para jemaah haji turut berlumba-lumba melakukan lontaran jamrah bagi mengenangkan syaitan dan iblis yang dilaknat oleh ALLAH SWT. Melalui wajib haji tawaf yang dilalui dengan ketabahan, dicelah-celah kelompok manusia tanpa rasa letih dan penat.
Jika hukum logik manusia yang lemah yang disandarkan, bagaimana untuk menyelesaikan tawaf dalam kesesakkan manusia dalam tujuh pusingan lawan arah jam, sudah pasti tidak kesampaian oleh akal manusia. Maha Suci ALLAH Yang Maha Mengetahui! Dalam mengenang kesungguhan Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail tidak berputus asa daripada rahmat ALLAH. Maka, sai’e dilalui dengan sabar oleh para jemaah haji.
Mereka, para tetamu ALLAH tersebut tanpa mengenal putus asa terus mengatur langkah dan sabar dalam menjalani segala ujian daripada ALLAH SWT sebagai tanda kasih kepada hambaNYA. Begitulah sebahagian pengembaraan jutaan Muslimin dalam menuju keredhaan ALLAH SWT.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”
(Al-Hajj:22:27)
Justeru, ibadah haji bukan satu pelaksanaan ritual semata-mata, bahkan suatu konotasi abdi hamba kepada Penciptanya. Melaksanakan ibadah haji terbukti keberkesananya dengan tindak-tanduk serta kelakuan yang dahulunya ibarat tidak mengenal agama kepada mengenal tiang-tiang agamanya serta bersih akhlak dari perkara yang merosakkan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) ALLAH, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang lurus.”
(Ali-Imran: 3: 101)
Al-Haqir illa ALLAH Al-Ghaniy: almukminun
10 Zulhijjah 1428
Selangor D.E.
December 26, 2007
Selasa, 15 Januari 2008
Ibadah Haji: dari Sisi Muhasabah
Posted by almukminun at 4:50:00 PTG
Labels: muhasabah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan