::Teman Bersama::

Selasa, 15 Januari 2008

Berdakwah Tanggungjawab Semua

BERDAKWAH TANGGUNGJAWAB SEMUA
Ust. Hj. Roslan Ali : Khutbah Jumaat Masjid Universiti Malaysia Sarawak
24 Ogos 2007 الحمد لله الذي هدانا بهداية الإسلام، وجعلنا خير الامم، ونشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، و نشهد أن محمدا
عبده ورسوله. اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله، أوصيكم وإياي بتقوى الله. فقد فاز المتقون.

Kaum Muslimin Sidang Jamaah Yang Berbahagia,
Di mimbar yang mulia ini, saya ingin mengajak diri saya dan sidang jamaah sekalian agar janganlah kita jemu-jemu, bosan-bosan, untuk menambah dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan melaksanakan amar makruf nahi munkar.

Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat. Semoga syurga yang dijanjikan itu akan menjadi tempat tinggal kita yang abadi. Amiin. Saudara Sidang Jamaah Sekalian, Zaman jahiliyah yang telah meruntuhkan Tamadun insaniah sehancur-hancurnya itu telah dibaik-pulihkan oleh seorang yang bergelar nabi dan rasulullah.

Kalaulah bukan Nabi Muhammad yang diutuskan Allah itulah, yang sanggup buat kerja Maha berat ini, nescaya dunia tidak akan dapat dibebaskan dari cengkaman jahiliyah. Tidak ada siapapun selain rasulullah s.a.w, yang tahu dan mampu menyelamatkan manusia dari terus dijahanamkan oleh budaya nafsu syaitan itu.

Kaum Muslimin Yang Dimuliakan Allah, Kalau kita telusuri sejarah, menjejak semula ke zaman jahiliah, kita tidak akan lupa bagaimana Saidina Omar r.a. tergamak menanam anak perempuannya yang masih kecil, hidup-hidup ke dalam lubang yang dalam, sambil anaknya itu menjerit-jerit meminta tolong agar diselamatkan dan dikeluarkan dari lubang dan juga perbuatan yang tiada peri kemanusiaan itu.

Kita juga tidak akan lupa pada budaya dan tabiat masyarakat Arab yang gemar meminum darah segar dari binatang yang masih hidup, dengan menusuk sesuatu yang tajam ke dalam badan binatang tersebut dan kemudian, darahnya yang mengalir itu ditadah dan diminum dengan rakus sekali.

Rengekan binatang yang kedengaran, sedikitpun tidak mengundang rasa belas di hati, tidak dipeduli....

Kerana hati mereka telah mati. Alangkah kejamnya perbuatan mereka itu. Dimanakah perginya sifat insaniah sesama manusia dan sesama makhluk? Tiada siapapun yang mampu menghentikannya KECUALI Muhammad Rasulullah.

Tetapi malangnya, pada hari Isnin 13 Rabiiul-Awwal, Tahun 11 hijrah bersamaan dengan 08 Jun tahun 632 Masihi, Rasulullah SAW telah wafat, ketika usianya meningkat 63 tahun. Ke mana lagi harus kita bersandar dan mengadu kedongkolan di hati. Orang yang diharap, telah pergi. Apakah ini kesudahannya.

Apakah dengan wafatnya rasulullah s.a.w. maka berakhirlah zaman kegemilangan Islam, berkuburlah risalah Islam sekaligus empayar Islam yang dibina sekian lama. Apakah Allah mahu membiarkan hamba-hambanya ini terus-menerus dimusnahkan, dan nanti, akan dicampakkan ke dalam api neraka buat selama-lamanya?

Tidak adakah jalan keluar yang diberikan untuk ummat akhir zaman ini. Untuk menjawab persoalan ini cuba kita renungkan 2 rangkaian hadith yang masyhur ini. تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله و سنة رسوله “Telah Kutinggalkan kepada kamu dua perkara.

Sesungguhnya kamu tidak akan sesat selagi kamu masih berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah rasulullah. Kemudian hadith kedua menyebut: العلماء ورثة الأنبياء “Ulama itu adalah pewaris nabi” Dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan ummah tidak akan tersesat buat selama-lamanya selagi mereka terus berpegang teguh dengan Kitabullah dan Sunnah rasulullah.

Dalam pada itu, didikan para ulama juga jangan diabaikan. Persoalannya, adakah cukup tanggungjawab ini dibahukan, dibebankan ke atas para ulama sahaja?

Sedangkan muslim yang lain hanya duduk bertungku lutut mengharap kerja dakwah ini hanya tanggungjawab para ulama, para ustaz sahaja.

Jawabannya tentu sekali tidak. Berdakwah itu adalah tanggungjawab kita semua, tanggungjawab ummah keseluruhannya dan sifat suka berdakwah itu adalah sifat orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Buktinya surah Ali-Imran ayat 114 yang menceritakan ciri-ciri orang-orang soleh. (1ويؤمنون بالله واليوم الآخر : Mereka hendaklah beriman kepada Allah dan hari kemudian (2ويأمرون بالمعروف : Dan menyeru manusia kepada kebaikan (3وينهون عن المنكر : Dan mencegah manusia daripada kemungkaran (4ويسارعون في الخيرات : Dan adanya sifat suka berlumba-lumba membuat kebajikan (5واولئك من الصالحين : Dan mereka itu dalam kalangan orang-orang yang Soleh Sidang Jumaat Yang Dimuliakan Allah, Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa setiap manusia, setiap diri kita di sini adalah khalifatullah.

Sebagai khalifah, tugas dan peranan kita adalah untuk mengimarahkan bumi, tempat tinggal sementara kita sebeluk balik ke kampung asal kita iaitu akhirat. Tetapi apa yang ingin saya peringatkan disini ialah tugas utama kita, yang tidak lain ialah iqamatud diin iaitu untuk menegakkan agama Allah di setiap penjuru muka bumi ini.

Oleh itu sidang jumaat sekalian,

kerja menyebarkan agama, mengajak manusia kepada makruf dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran, mengingatkan mereka hamlum minallah wa hablum minan naas adalah kerja ummat Islam keseluruhannya. Bila kita mati besok, kita akan ditanya akan tanggungjawab utama kita ini.

Adakah pernah kita berdakwah selama diberi nikmat nyawa di dunia atau kita asyik dengan keseronokan sahaja? Pernahkah manusia Islam ditangan kita, atau berubah menjadi baik kerana dakwah yang dilakukan kita. Kalau belum, bila lagi, Kalau bukan kita siapa lagi yang hendak membela agama Allah ini. Bukti yang menunjukkan kita semua terlibat dalam kerja dakwah ini ialah dari surah Ali Imran : 110 كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang keluar kepada manusia dan mengajak mereka kepada yang makruf dan mencegah mereka daripada yang mungkar”.

Sidang Jumaat Sekalian,
Kalaulah ummah sekarang ini sedar akan peranan mereka untuk berdakwah, untuk menyedarkan hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia, maka tidak ada lagi kejahatan di muka bumi ini.

Maka hiduplah manusia dalam agama yang satu iaitu agama Islam di bawah pimpinan Islam. Kata-kata Sayidina Ali yang masyhur ada menyebut “Kebenaran yang tidak tersusun akan ditumpaskan oleh kebatilan yang tersusun”.

Oleh yang demikian, melihat kepada perkembangan kemajuan teknologi maklumat atau Information Technology (IT) hari ini, yang dari hari ke sehari semakin canggih dan sophisticated, maka mekanisme yang ada ini, wajar untuk digunakan dengan semaksimanya, sebagai salah satu methodologi penyampaian dakwah dan ilmu-ilmu Islam.

Kita tidak wajar membiarkan wadah ini hanya dimonopoli, dikuasai dan dimanipulasi oleh penyampai dakyah songsang, pencinta dunia, pengkagum materialistik, pencipta idealisme Baratism, para perencana kemaksiatan, penyebar bahan lucah dan video seks serta pengangkat budaya hiburan melampau dan hedonisme sahaja.

Malah kita tidak mahu dunia siber ini hanya menjadi medan kepada aktivis-aktivis dan pejuang sekularisme, liberalisme, kapitalisme, darwinisme, komunisme, sosialisme dan isme-isme sesat yang lain ligat memainkan pemikirannya, mempamerkan aksi jahiliyyah dan menyebarluaskan kebobrokannya.

Sungguh kita tidak mahu. Justeru itulah, kita memerlukan lebih ramai pekerja dakwah untuk mengaktifkan dakwah melalui alam maya yang mana kini segala maklumat boleh diperolehi di hujung jari dalam masa sesaat dan satu klik sahaja. Sudah tidak ada masa lagi untuk tidak berdakwah!

Ini adalah salah satu dari cara dan medium dakwah berkesan di dunia serba moden dan di era globalisasi kini. New World Disorder memerlukan dakwah sebegini dipersada. Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan betapa usaha-usaha dakwah dengan cara-cara yang lain dan manhaj yang berbeza juga perlu diteruskan kesinambungannya.

Bagi yang seronok berdakwah bil lisan dan bil hal, teruskan perjuangan. Bagi yang berbakat di bidang penulisan (sama ada fiksyen atau bukan fiksyen), kembangkan. Bagi yang memilih siasah dan NGO sebagai medan berdakwah, aktifkan.

Bagi yang memilih berdakwah melalui aktiviti-aktiviti usrah, tamrin, kem ibadah dan kuliah-kuliah, dialu-alukan. Bagi yang selesa berdakwah rumah ke rumah, teruskan usaha. Bagi yang mampu untuk berdakwah dengan khidmat masyarakat, turun padang dan program kebajikan, silakan.

Dan sesiapa yang mampu untuk melakukan kesemuanya, faya tafaddhal masykura! Pendek kata, jadilah pendakwah yang berdakwah mengikut kemampuan masing-masing dengan tujuan dan matlamat redha Allah.

Malah sebenarnya, di dalam cara berdakwah konvensional yang dinyatakan tadi pun, kemajuan teknologi maklumat dan teknologi perhubungan juga amat memudahkan usaha dakwah tersebut.

Penggunaan telefon, sms, mesin faks, e-mail, tele-conference, video-conference, tv internet, dan lain-lain lagi sewajarnya mengaktifkan lagi usaha dakwah liridhallah ini. Sekali lagi, sudah tidak ada masa untuk tidak berdakwah, Sudah tidak ada masa untuk beralasan itu ini dan begitu begini.. Persoalannya, hanyalah sama ada nak atau tak nak. Jangan tidak, tidak. Saya menyeru jadilah muslim yang berfungsi yang mampu mengfungsikan muslim yang lain.

Sidang Jumaat Sekalian,
Kalau kata nak, jangan bertanguh. Silakan, teruskan.

Sasaran dakwah ialah manusia keseluruhannya. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah (Saba’ 34: 48) “Tidak Kami utuskan engkau [wahai Muhammad] melainkan kepada sekalian manusia bagi menyampaikan berita gembira dan memberi peringatan”.

Jelas sasaran dakwah dalam ayat ini tidak terhad kepada manusia yang sudah Muslim, yang sudah menyerah dirinya kepada Allah, tetapi juga kepada manusia yang belum lagi menerima cahaya hidayah.

Oleh yang demikian pencapaian matlamat dakwah itu perlu mengambilkira faktor-faktor kemanusiaan dan juga kehidupan seperti faktor fizikal (fisiologi, keperluan hidup), mental (tahap dan pengalaman pembelajaran), perasaan dan ruh (psikologi).

Secara jelasnya, pelaksanaan dakwah itu bukanlah sekadar menyampaikan ilmu atau ajaran Islam kepada manusia yang diseru, tetapi komponen dakwah yang lebih besar adalah membawa manusia bersama menghayati ajaran Islam melalui proses merancang, mengajak, membimbing, memimpin, melaksana dan menyelesaikan masalah kehidupan secara bersama.

Inilah yang telah dicontohi oleh Rasulullah SAW dan para salafus soleh. Mereka bukan sahaja menyeru kepada Islam tetapi mengajar, membimbing dan hidup bersama dengan masyarakat yang mereka seru di mana sahaja mereka berada.

Akhi kata sidang jumaat yang berbahagia, dakwah bukan puasa yang muncul setahun sekali. Bukan haji yang cukup seluruh umur, buat sekali. Dakwah adalah ibadah jangka panjang. Sepanjang umur dan usia, 1000 tahun kurang 50, kata al-Quran dalam memaklumkan usia dakwah Nabi Nuh bersama umatnya.

Jadi secara konklusinya berdakwah itu tanggungjawab kita semua dalam menyambung usaha rasulullah, para sahabat dan salafus soleh dalam iqamatud diin iaitu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.

Semoga usaha memberiTAHU dan memberiMAHU ini dapat diterima oleh setiap yang bergelar khalifatullah di atas muka bumi ini. بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم. ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم. وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم. أقول قولي هذا واستغفر الله العظيم لي ولكم ولوالدينا ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات من كل ذنب فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين.

September 03, 2007

Tiada ulasan: