::Teman Bersama::

Jumaat, 9 Mac 2012

Tertipu Dengan Propaganda Kebenaran




Tertipu Dengan Propaganda Kebenaran
Al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin
[Sebagaimana dicatatkan oleh beliau di ruang FB]


Kenapa tidak setuju dengan seseorang (individu X) dalam sesuatu isu, maka orang itu perlu ditarbiah semula? Sejak bila kebenaran itu ukurannya adalah individu, bukan ilmu dan kefahaman yang sahih? Sedangkan, Saidina Ali r.a. menyebut: "Seseorang itu tidak akan mengetahui kebenaran melalui orang yang mendakwa memperjuangkannya. Tetapi, kenali dahulu apa itu kebenaran, maka akan ketahuilah siapa yang memperjuangkannya. "


Ini antara kerosakan cara berfikir secara logik :


Antaranya: "Media perdana selalu fitnah saya. Maka, semua cerita saya dalam media perdana pasti adalah fitnah."


Kesalahan logik ini dikenali sebagai a dicto secundum quid ad dictum simpliciter atau hasty generalization.


Padahal, dalam konsep Islam, setiap khabar perlu disiasat dan dibuktikan kebenarannya, bukan membuat hukum yang umum berdasarkan kes-kes khusus sebelumnya. Setiap isu perlu dikaji dan disemak kebenarannya biarpun melibatkan individu yang sama kerana asal pembenaran itu pada kes yang ditimbulkan. Hanya orang-orang yang tidak faham cara berfikir secara Islam sahaja tertipu dengan kesimpulan seperti di atas.


Antara kesalahan logik lagi adalah argumentum ad verecundiam sebagai contoh:


"Prof x kata ia benar, maka ianya pastilah benar. "


Padahal, kebenaran itu bukan mengikut individu tetap kaedahnya sebagaimana disebutkan oleh Saidina Ali r.a. : "Seseorang itu tidak akan mengetahui kebenaran melalui orang yang mendakwa memperjuangkannya. Tetapi, kenali dahulu apa itu kebenaran, maka akan ketahuilah siapa yang memperjuangkannya."


Dalam tradisi berfikir Islam, kebenaran berteraskan ilmu yang sahih terutamanya dengan panduan wahyu dan akal. Individu selain para Rasul tidak ma'shum (iaitu tidak terpelihara daripada kesalahan).


Antara bentuk kesilapan cara berfikir logik adalah, membuat kesimpulan sebagai muqoddimah kubra dengan menghukum umum perkara yang mempunyai pengkhususannya (a dicto simpliciter ad dictum secundum quid) lalu menatijahkan natijah yang salah dalam kaedah qiyas.


Sebagai contoh:


Semua perbezaan membawa kepada tiada keadilan.

Membezakan agama Islam dengan agama-agama lain adalah perbezaan.


Membezakan antara agama Islam dengan agama-agama lain adah tiada keadilan.


Kesalahannya adalah pada menghukum semua perbezaan sebagai tidak adil padahal keadilan itu dalam konteks Islam yang sebenar bukan sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya, samada berbeza ataupun sama rata. Ukurannya bukan pada perbezaan, tetapi pada definisi dan makna sebenar keadilan adalah pada meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Oleh sebab itulah, kita dapati, ramai orang boleh dipermainkan dengan kalimah yang mana di belakangnya adalah makna-makna yang tidak jelas bagi sesetengah pihak sehingga ada yang menyangka sudah sepakat dalam sesuatu isu kerana sepakat dengan kalimah dan lafaz, padahal mereka saling bermusuhan secara prinsip pada makna-makna yang bercanggah antara mereka di sebalik lafaz yang sama tersebut.


Antaranya adalah, kalimah "keadilan" yang mana jika ia dimanipulasikan oleh seseorang tanpa fokus kepada maknanya, maka dia boleh menundukkan dua pihak yang saling bermusuhan secara prinsip pada makna kalimah tersebut. Selagimana ia pada tahap idea, ia tidak akan menjejaskan kerjasama. Tetapi, ketika menuju perlaksanaan, permusuhan akan terus berlaku dan siapa yang lebih kuat akan mendominasi dan mengalahkan yang lebih lemah.


Hati-hati juga dengan argumentum ad misericordiam atau cara memancing simpati dengan menceritakan kisah-kisah kezaliman yang dialami olehnya demi menutup perjuangannya yang salah. Akhirnya, orang-orang yang menyokongnya hanya kerana simpati kepada kisah silamnya, bukan kerana perjuangannya. Ini kerana, jika diukur prinsip perjuangannya secara terasing, maka ianya boleh dipertikaikan lagi.


Ilmu mantik jika dipelajari dengan baik, seseorang ahli ilmu itu boleh mewarisi tradisi berfikir para ulama' muktabar dalam pelbagai bidang ilmu dan pelbagai lapangan praktikal.


Setiap logical-fallacy (mughallatat mantikiyyah/kesilapan secara logik) dalam penghujahan boleh dibendung dengan kaedah berfikir yang sahih sebagaimana diperkenalkan dalam ilmu mantik yang dipelajari oleh para ulama' Islam sejak zaman berzaman.


Penyusunan gaya berfikir yang baik telah mnjadi tradisi dan amalan para ulama' ahli sunnah wal jamaah terutamanya sejak perkembangan ilmu mantik dalam dunia Islam. Sebagaimana disebutkan, Ilmu mantik jika dipelajari dengan baik, seseorang ahli ilmu itu boleh mewarisi tradisi berfikir para ulama' muktabar dalam pelbagai bidang ilmu dan pelbagai lapangan praktikal.


Ada kaitan dengan pelbagai aliran pemikiran yang rosak juga pada zaman ini. Sebab itulah perlu kuatkan ilmu aqidah Islam agar seseorang muslim boleh melihat kewujudan dengan kaca mata aqidah Islam.


15 Rabiul'akhir 1433H/08032012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

(^__^)