::Teman Bersama::

Khamis, 2 Jun 2011

Seputar Majlis Riwayah Kitab Hadith Sohih Imam Bukhari




Seputar Majlis Riwayah Kitab Hadith Sohih Imam Bukhari.



Pimpinan : Syeikh Muhammad 'Awadh Manqoush



Tempat : Dar Hasani, Sg. Ramal Dalam, Kajang



Tarikh : 28 Jamadilakhir 1432H/02062011



Al-faqir dengan segala kekurangan menuliskan serba sedikit penggisian majlis. Mohon maaf, andai ada ketidakfahaman walhasil daripada kelemahan alfaqir.



Dalam majlis riwayah oleh Syeikh Muhammad 'Awadh semalam, Syeikh menegaskan antara lainnya Mengapa Pengambilan Riwayah Hadith Sahih Bukhori ini penting di kalangan umat Islam, bahkan keutamaan Kitab Hadith Bukhari untuk dibaca kedua selepas Al-Quran Al-Kareem :



Sanad yang ingin dikaji kini telah terhenti kepada sanad yang disebut oleh penulis atau pengumpul hadith yakni nama penuhnya :



Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Bardizbah. Dikenali beliau sebagai Imam Bukhuri.




Apa yang dimaksudkan sebagai terhenti di sini ialah kita tidak perlu lagi mengkaji sanad selepas pengumpul tersebut untuk mengetahui kesahihan hadith. Contohnya, sanad yang telah disebut oleh al Bukhari akan terhenti kepada beliau. Maka kita membulatkan tekad mengakui bahawa al Bukhari merupakan seorang imam hadith yang diterima riwayatnya.




Syeikh 'Awadh menambah lagi, tidak perlu kita "menyibukkan" diri dgn kajian-kajian ketulenan hadith-hadith sohih Bukhari. Bagi kita, kajian hanya bermula daripada al Bukhari sehinggalah kepada tabiin untuk memastikan kesahihan sanadnya. Sebagaimana yang berlaku pada masa kini, lambakan buku-buku yang menterjemah bulat-bulat hadith-hadith sohih Bukhari dikhuatiri berlaku pelbagai kesalahan.




Syeikh turut mengingatkan kami, “lihatlah daripada siapa ilmu itu diambil”.



Ini bagi mereka yang ingin mengkaji Sohih al Bukhari. Orang awam macam saya, hanya mengambil riwayah dan mengaji syarah hadith daripada ulama yang dikenali oleh para masyaikh dan diambil sanadnya dalam pengajian Kitab Hadith Sohih Bukhari. Justeru, yang "POTONG dan TAMPAL" hadith-hadith sohih daripada DVD, Syeikh GOOGLE dan lain-lain harus perhatikan pesan Syeikh Muhammad 'Awadh ini :




"Lahirnya banyak kitab-kitab terjemahan daripada bahasa Arab hari ini wajib diteliti keasliannya juga aliran sanad yang mengajar akannya. Jangan sesekali orang awam gopoh dan terpengaruh dengan pengajian yang diajar oleh mereka yang tiada SANAD pengajian Kitab Sohih Bukhari sehingga kepada Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam"




Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian daripada agama. Kalaulah tiada sanad, nescaya siapa sahaja akan bercakap apa yang dia ingin cakapkan”.




Imam al-Shafie Rahimahullah menegaskan dalam kitabnya al-Risalah [Hal: 510] yang bermaksud: Tidaklah berijtihad (qiyas) kecuali sesiapa yang mempunyai kemampuan iaitu ilmu mengenai kitabullah samada perkara fardhunya, kesusasteraannya (balaghahnya), nasikhnya, mansukhnya, ‘amnya, khasnya dan panduannya. Dia (mujtahid) berdalilkan pada perkara-perkara yang boleh ditakwilkan dengan sunnah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Sekiranya tidak ada, maka dengan ijma’ al-muslimin. Sekiranya tiada ijma’, maka dengan qiyas.



Kemudian Imam Syafie berkata lagi: Tidaklah boleh untuk sesiapapun berijtihad sehingga ia menjadi alim dengan sunnah-sunnah, perkataan-perkataan Salaf, persepakatan masyarakat dan perbezaan pandangan di kalangan mereka dan mahir bahasa Arab.




ALLAHU ALLAH. Mendengar kalam-kalam ini benar-benar menginsafkan diri alfaqir yang tersangat jauh daripada susur galur ilmu-ilmu yang disebutkan. Persoalannya, pada hari ini, begitu ramai yang mengaku sebagai ahli ilmu Quran, ahli hadith hanya bersandarkan kepada hujahan : “Islam itu mudah ”. Tetapi dari sudut akhlak dialah juara bid'ah, pemusnah kesatuan ummah dengan hal ehwal furu'iyah.




Tuan-Puan, jalan menjadi ahli agama bukan hanya dengan dakwaan : “saya ialah Ulama, saya ialah Ustaz”, tetapi berliku jalannya dan mereka yang ahli dalamnya sendiri seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada diperakukan sebagai ahli agama kerana khuatir fatwanya dijadikan hujah di mahsyar oleh para pengikutnya sedangkan dia bukanlah ahlinya.



ALLAH....manisnya.



WALLAHU'alam



Faqir :



almukminun



28 Jamadilakhir 1432H



http://almukminun.blogspot.com/



Jangan Pernah Berasa Diri Sholeh”



P/S :



Pengajian ini sedang berlangsung [1-11 Jun 2011] setiap hari di Taman Melati Sg. Ramal Dalam bersebelahan Kolej Dar Hikmah ABIM.



Pengajian Kitab Sohih Bukhari juga sedang berlangsung di Dar Maliki dipimpin oleh Syeikhuna Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki.



Tiada ulasan: