::Teman Bersama::

Isnin, 6 Jun 2011

Bir Halal dan Kalimah ALLAH Subhanahu Wa Taala


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ


Bir Halal dan Kalimah ALLAH Subhanahu Wa Taala.


Bukan main marah lagi rakyat Malaysia apabila isu Bir Halal menjadi intipati bualan masyarakat mutakhir ini. Ya, kerana semua mahu peduli. Ada yang mengatakan Bir Halal ini agenda 1 Malaysia. Saya tersenyum sinis. Biasalah, segala perkara mahu “diagendakan”. Natijah berlangsungnya adegan masalah sosial yang semakin membarah barangkali disebabkan hasil makanan haram yang semakin memenuhi tembolok perut rakyat.


Ada juga menjelaskan betapa lemahnya penguatkuasaan. Ya, kerana yang berkata, tidak berada dalam lingkungan mereka yang bertungkus lumus bertugas sebagai kakitangan awam yang amanah melaksanakan amal ma’ruf dan mencegah kemungkaran.


Imam Al-Ghazali R.A berkata:

يجب على العوام اتباع المفتى اذ دل الاجماع على وجوب اتباع العامى لمفتيه


Maksudnya:


Wajib bagi orang-orang awam mengikut mufti kerana ianya telah ditunjuki oleh ijma’ bahawa wajib seorang awam mengikut muftinya” [Al-Mustafa : 2/387]


Persoalannya siapakah yang membenarkan penggunaan HALAL pada akhir kalimah Bir ini? Saya masih ingat air Bir Halal ini diperkenalkan pada tahun 2007 merupakan sebuah produk dari Iran. Malah, perkataan Bir ini telah lama diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 70-an lagi. Dimana-mana terpampang iklan “Root Beer” keluaran syarikat A&W dengan maskot beruangnya. Tidak pula kecoh satu Malaysia ya. Uh ya, syarikat pengeluar air kencing syaitan terbesar juga terletak di Malaysia, maka apa yang mahu diendahkan.


Di mana-mana tempat boleh dijumpai Bir Halal Iran ini. Saya pernah kesebuah kedai di Bagan Serai, Perak yang dipenuhi pelbagai jenama makanan dan minuman daripada Iran. Didinding kedai ini pula dihiasi pelbagai wajah-wajah pemuka Syiah seperti Khoemeini yang diketahui di antara pembenci Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam, para sahabat Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam seperti Sayidina Abu Bakar As-Sidiq, Sayidina Umar Al-Khatab, Sayidina Uthman Affan, isteri Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam juga menjadi fitnah oleh syiah dan pernah secara terbuka menyokong penaklukan negara Iraq oleh tentera amerika laknatullahi alaih. Diselang seli pula dengan potret tokoh-tokoh ulama kita dikedai tersebut. Sungguh biadab sikap taqiyyah syiah ini. Mereka seperti wahabi giat menyusup masuk, bersembunyi disebalik kewarakan para ulama pimpinan parti-parti politik di Malaysia.


JERMAN PENGELUAR BIR HALAL


Negara Jerman begitu terkenal dengan penghasilan pelbagai “Beer” berjenama terkenal. Mereka berusaha menembusi pasaran umat Islam dan yahudi yang diharamkan meneguk air syaitan tersebut. Hasilnya, Granmalt ditubuhkan sebagai pemasar produk “bir halal” bagi segmen pasaran Timur Tengah. Saya tidak pasti samada jenama ini masih bertahan sehingga ke hari ini atau tidak di Timur Tengah. Manakala, bagi kaum yahudi pula, jenamanya ialah “Simcha”. Simcha menurut kata bahasa Ibrani ialah kebahagiaan. Pada produk Simcha ini disertakan sekali dengan pengesahan Rabai mereka bahawa proses penghasilan produk ini tidak menyerupai penghasilan arak. Betapa telitinya yahudi menjaga hasil makanan mereka. Kita ?


KELIRU


Kembali kepada Bir Halal, saya tatapi akhbar-akhbar arus perdana, semua menyatakan rasa kecewa dengan kekeliruan yang timbul walhasil penjenamaan Bir Halal.


Paling menarik, produk Bir Halal masih menunggu pengesahan status HALAL dari JAKIM. Tetapi bebas dijual di kedai-kedai. Bagaimana pula status minuman “Root Beer” ya. Pelik dan bagaikan satu penghinaan terhadap sumber makanan Muslim di negara berstatus Negara Islam ini. Apa yang nak dipelikkan di tanah air kita tercinta ini, tuan-puan masih ingat isu Bak-Kut-Teh yang mahu diberikan pengesahan HALAL walaupun isinya ialah ayam, kambing dan lembu. Jadi apa beza kalimah mulia ALLAH mahu digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia, jika status HALAL dan HARAM pun masih tidak selesai.


SYUBHAH


عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

[رواه البخاري ومسلم]


Terjemahan hadith :


Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir Radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembala haiwan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan ALLAH adalah apa yang DIA haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati “.

(Riwayat Bukhori dan Muslim)


TASYABBUH AIR HALAL KEPADA AIR HARAM


Orang-orang Yahudi dan Nasrani bergembira dengan perbuatan kaum muslimin yang menyerupai mereka sebagaimana firman ALLAH Subhanahu Wa Taala :


وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [Al-Baqarah : 120]


Tasyyabbuh disini bermaksud “meniru/menyerupai” yang haram sebagai halal. Sebagaimana yang berlaku kepada umat Islam perihal kekeliruan istilah untuk menjadikan sesuatu itu diterima. Negitulah yang berlaku apabila istilah “Beer/Bir” yang umum mengetahui sebagai haram diangkat menjadi halal. Lihat pula kepada rupa bentuk botol "Bir Halal" tersebut, tidakkah menyerupai botol-botol arak "Haram" di pasaran.


Tentangan yang paling hebat terhadap seseorang di hadapan kebenaran tauhid Islam yang murni adalah nafsu dalam dirinya sendiri, yang selama ini mereka jalani segenap hidupnya kerana nafsu tersebut.


Ketika Al-Quran mendatangkan kisah Nabi Ibrahim A.S. yang memusnahkan berhala, lalu dapat membuktikan hakikat “berhala” tidak dapat memberi manfaat atau mudarat, maka tiada sebab untuk seseorang untuk menyembahnya (berhala tersebut), namun ramai pembesar Arab yang terlibat dalam perniagaan “berhala” bersungguh-sungguh mempertahankan ketuhanan “berhala” kerana ingin mempertahankan perniagaan mereka. Andai “berhala” tidak disembah, maka siapa yang akan membeli berhala yang mereka jual? Cuba tuan-puan kaitkan dengan penggunaan istilah “Bir Halal”.


KALIMAH ALLAH


Maka tidak mengejutkan betapa kebiadaban ini terus berlangsung dengan penjenamaan semula kalimah ALLAH. Jika kita bersungguh bimbang perihal air haram yang menjadi darah daging kita, bagaimana pula halnya dengan mempermudahkan kalimah mulia ALLAH Subhanahu Wa Taala yang selepas ini akan dirujuk kalimah ALLAH sebagai hak Kristian atau Islam. Naudzubillahi miinzaliik.


Sengaja saya tidak mengulas panjang isu kalimah ALLAH, kerana ia telah dibahas dengan banyaknya oleh para masyaikh saya yang bersungguh memahamkan ummah perihal bahaya menyamakan kalimah mulia ALLAH dengan agama-agama yang lain.


Jangan nanti anak-anak kita apabila ditanya : “siapa tuhan kamu?”, mereka menjawab : “Tuhanku ialah ALLAH [Islam] bukan ALLAH [Kristian]”.


KESIMPULAN


Istilah “Bir/Beer Halal” telah mempersendakan syariat Islam. Bir/Beer adalah nama yang dikenali umum sebagai khamar. Apa perasaan anda apabila mendengar perkataan Babi Halal? Tuhan ALLAH untuk Kristian atau ALLAH Subhanahu Wa Taala untuk Islam?


Maka, saya yang faqir menyerahkan kembali kepada pemerintah perihal isu ini agar ditangani dengan hikmah sehingga tidak menggadaikan Islam hanya kerana mahu meraikan UNDI!.


Amru al imam yarfa’u al khilaf fi al masa`il al ijtihadiah [perintah khalifah/pemimpin dapat menghilangkan perbezaan pendapat dalam masalah-masalah hasil ijtihad/khilafiyah]


Kemunafikan akan meresap masuk ke dalam hati yang kelalaian memahami dasar (agama). ALLAH Subhanahu Wa Taala berfirman :


بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا * الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا


“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan ALLAH” [An-Nisaa : 138-139].



وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


WALLAHU’alam.

Al-faqir ilallah :

Almukminun

3 Rejab 1432H/05062011

BBST Sepang Selangor Malaysia

http://almukminun.blogspot.com/2011/06/bir-halal-dan-kalimah-allah-subhanahu.html


2 ulasan:

KudinMansor berkata...

saya suka penulisan ini, ramai remaja minum pun, sbb paras rupa seperti botol arak, & rasa gah seperti meminum dari botol berparas rupa botol arak, bukankah itu haram jawabnya.

maaf jika salah. masih mencari ilmu lagi.

Ali Assegaf berkata...

Subhanallah...Artikel ini memberikan cahaya di mana kita dapat mengamati realitas. Hal ini sangat bagus dan memberikan informasi yang mendalam. terima kasih atas artikel ini, bagus...