Loading...

::Teman Bersama::

Jumaat, 16 April 2010

Gelaran Syeikh Al-Islam


Gelaran Syeikh Al-Islam




Bukan sebarangan ulama yang memperolehi gelaran “Syaikh al-Islam”. Ulama yang memiliki ketinggian ilmu sahaja yang layak menyandangnya.





Gelaran *Syaikh al-Islam* biasanya
diberikan oleh beberapa ulama kepada seorang ulama atas ketinggian ilmunya. Ada beberapa kriteria untuk layak menyandangnya.





Ibnu Nashiruddin, dalam kitab Radd al-Wafir, mencatatkan beberapa kriteria tersebut.




Pertama:, seorang tokoh hendaklah seorang yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah dengan
perbedaan qira’ah dan asbab an-nuzul-nya.





Kedua :, tokoh tersebut perlu menguasai bahasa Arab secara sempurna.





Ketiga :, tokoh tersebut ialah seorang yang menguasai masalah ushul (pokok) dan furu’ (cabang) dalam Islam.





Empat :, beliau adalah ulama yang menjaga ibadahnya, tawadhu, dan tidak menganggap dirinya manusia maksum.





Walhal, tidak banyak ulama yang menyandang gelaran tersebut. Berikut ialah di antara ulama yang bergelar Syaikh al-Islam:






1. Ibnu Qudamah Al-Maqdisi




Nama lengkapnya ialah Asy-Syaikh Muwaffaquddin Abu Muhammad Abdullah bin Ahmad bin Muhammad Ibnu Qudamah al-Hanbali al-Maqdisi, lahir di Nablusi, dekat Baitul Maqdis, Palestin, pada 541 Hijriah. Pada usia 10 tahun, beliau sudah menghafal al-Qur`an.




Menginjak usia 20 tahun, Ibnu Qudamah, pergi ke Baghdad untuk menuntut ilmu kepada beberapa ulama, antara lain: Abu Zur’ah bin Thahir, Ahmad bin Muqarib, dan ulama wanita Khadijah an-Nahrawaniyah. Merasakan ilmu yang dimiliki belum mencukupi, beliau melanjutkan perjalanan menuntut ilmu kepada ulama di Damaskus dan Makkah.




Beberapa ulama, seperti Hafidz Dziya’ al-Maqdisi dan Hafidz al-Mizzi mengakui gelar Syaikh al-Islam amat tepat dianugerahkan kepada Ibnu Qudamah al-Maqdisi.




Semasa hidupnya, Ibnu Qudamah telah menghasilkan pelbagai karya. Di antaranya ialah al-Mughni (fiqih), al- I’tiqad (aqidah), ar- Raudhah, dan al-Burhan. Selain itu beliau menulis biografi para ulama yang telah menjadi gurunya.




Ibnu Qudamah wafat pada hari Sabtu, bertepatan dengan hari Aidilfitrah pada 620 Hijriah.





2. Izzudin bin Abdissalam (Sultanul Ulama)




Beliau yang bernama Izzudin, lahir pada tahun 577 hijriyah. Beliau berguru kepada ulama ternama, seperti Hafidz Ibnu Asakir dan Saif al-Amidi.




Beliau adalah ulama yang berani berkata haq di hadapan penguasa. Sikap beraninya ini membuatkan beberapa penguasa Mesir di waktu itu tidak mampu menentangnya, termasuk ketika Izzudin meminta agar mereka menyiapkan pasukan untuk menghadapi pasukan Tatar di Syam.




Beberapa karya yang pernah ditulisnya adalah al-Qawa’id al-Kubra, Majaz al-Qur’an, Tafsir al-Qur’an, Muhtashar Shahih Muslim, dan Al-Fatawa
al-Mishriyah.





Maka, Tajuddin as-Subki, Ibnu al-Imad, Tilmitsani, dan Imam as-Suyuthi memberikan gelar Syaikh al-Islam kepada Izzudin. Beliau wafat pada tahun 660 H dan dimakamkan di Cairo, Mesir.





3. Imam Nawawi




Lahir di Nawa, sebuah desa yang berada di daerah Dar’an Suriah pada 631 H. Keluarganya sangat menghargai ilmu Islam.




Pada tahun 649 hijriah, beliau melakukan perjalanan ke Damaskus, Syria untuk mempelajari kitab Tanbih dan al-Muhadzab. Kitab rujukan dalam madzhab Syafi’i itu berhasil beliau hadami dalam tempoh 4,5 bulan. Dalam sehari beliau menghadiri 12 majlis ilmu dalam berbagai macam disiplin ilmu.




Beliau juga termasuk ulama yang produktif, beberapa karya beliau ialah, Syarah Shahih Muslim, Syarah Muhadzab, dan Riyadh as-Shalihin.




Banyak ulama yang mengakui Imam Nawawi sebagai Syaikh al-Islam. Di antaranya, Tajuddin As Subki dalam Thabaqat-nya, Imam Sakhawi dalam al-Ihtimam, serta Syaikh Abdul Ghani Daqqar dalam karyanya Imam an-Nawawi Syaikh al-Islam wa al-Muslimin.




Beliau wafat pada tahun 676 H dan dikebumikan di Nawa.





4. Taqiyuddin Ibnu Daqiq al-Ied




Lahir pada 625 hijriyah, berasal dari keluarga terkemuka. Melalui ayahnya, Abu Hasan Ali bin Wahab yang juga seorang ulama,beliau mendalami fikih mazhab Syafi’i. Beliau juga mempelajari perkara yang sama kepada murid ayahnya, Al Baha’ al-Qufthi. Sedangkan, dalam ilmu bahasa Arab beliau berguru kepada Muhammad bin Fadh al-Mursi.




Semangatnya dalam menuntut ilmu begitu kuat. Taqiyuddin terus ke Cairo dan berguru kepada Izzudin bin Abdissalam.




Beliau pernah mengajar di Dar al-Hadits, Qahira. Banyak ulama yang mengakui ketinggian ilmunya. Al Adfawi pernah berkata, ”Tidak ragu lagi bahawa beliau adalah seorang mujtahid, tiada yang menyanggah, kecuali orang-orang yang keras kepala.”





Karya yang telah dihasilkan, di antaranya ialah Ihkam al-Ahkam, Syarah Umdah al-Ahkam, al-Iqtirah (Musthalah Hadits), dan Syarah Muqadimah Mathruzi (ushul fikih). Beberapa ulama telah menyebutnya sebagai Syaikh al-Islam, antara lain Tajuddin as-Subki dalam Thabaqat-nya, Imam ad-Dzahabi dalam Tadzkirah al-Huffadz, dan Ibnu Hajar al-Haitami al-Maki. Taqiyuddin wafat pada 716 H.





5. Ibnu Taimiyah




Setelah pasukan Tatar menguasai Harran (kini berada di Turki), beliau yang lahir pada tahun 661 hijriah, diajak ayahnya berhijrah ke Damaskus. Di sana, beliau berguru kepada beberapa ulama, salah seorang darinya ialah Ibnu Abdu al-Qawi at-Thufi.




Penguasaan terhadap ilmu tidak diragukan lagi, selain menguasai masalah ushul dan furu’, beliau juga seorang hafidz, faqih, dan mufassir. Tidak hairan pada usia 19 tahun beliau sudah berfatwa.




Beliau merupakan guru kepada Ibnu Qayim al-Jauziyah, dan Ibnu Katsir juga pernah membuat karya yang cukup terkenal, Majmu’ah al- Fatawa, Jawab As Shahih, Iqtidha’ Sirath al-Mustaqim, dan Qawa’id Nuraniyah.




Para ulama yang memperakuinya sebagai Syaikh al-Islam di antara lainnya ialah, Imam Dzahabi, Ibnu Qayim al-Jauziyah, dan Hafidz al-Mizzi.




Ibnu Taimiyah Wafat pada 20 Dzulhijjah 728 H, ketika beliau didalam penjara Qal’ah Dimasyq yang disaksikan oleh salah seorang muridnya Ibnu Qayyim.





6. Taqiyuddin as-Subki




As Subki lahir pada tahun 683 hijriah. Ayahnya, Zainuddin adalah sekaligus gurunya itu adalah seorang hakim. Beliau dihantar orang tuanya ke Mesir, untuk berguru kepada beberapa ulama, seperti Hafidz Dimyathi dan Syaikh al-Islam Ibnu Daqiq al-Ied.




Para ulama semasanya, seperti Al-Baji, Ibnu Rif’ah, dan Dimyathi memanggilnya dengan Imam Muhaditsin, Imam Fuqaha, dan Imam Ushuliyin. Tajuddin as-Subki dan Hafidz al-Mizzi pun memberikan gelar Syaikh al-Islam.




Beberapa karyanya antara lain, Tafsir Durar an-Nadzim, Al-Ibhaj Syarh Minhaj, dan Majmu’ Syarh al-Muhadzab.




Jasad as-Subki, yang wafat pada tahun 756 di Cairo ini diiringi ribuan umat Islam. Ada yang mengatakan bahawa tidak ada yang mampu menandingi jumlah orang yang memberi takziah kepada Imam Ahmad bin Hanbal, kecuali jumlah orang yang memberi takziah kepada as-Subki.





7. Ibnu Hajar al-Atsqalani




Beliau lahir dalam keadaan yatim pada tahun 733 hijriah di Mesir. Pada usia 9 tahun, beliau sudah mampu menghafal al-Qur’an, hafal al-’Umdah (kumpulan Hadits-Hadits hukum), Alfiyah Hadits Iraqi (ilmu Hadits).




Imam Syaukani menyebutkan bahawa guru-guru Ibnu Hajar adalah para pakar di bidang masing-masing, antara lain: Hafidz al-Iraqi (ahli Hadits), Ibnu Mulaqqin (ulama terbanyak berkarya), dan Al Bulqini (ahli fikih). Beliau telah melakukan perjalanan ke Hijaz, Yaman, Syam, dan Makkah untuk mecari ilmu.




Beliau merupakan guru kepada Imam Sakhawi dan Imam Suyuthi ini menghasilkan karya terkenal sehingga kini iaitu Fathu al-Bari, dalam waktu 25 tahun. Juga beberapa buku yang berhubungan dengan kedudukan periwayat Hadits, seperti Lisan al-Mizan dan Tahdzib at- Tahdzib.




Ulama yang menggelarkannya dengan Syaikh al-Islam adalah Imam as Suyuthi. Imam Sakhawi juga mengarang buku khusus yang berjudul Jawahir ad Dhurar fi Tarjamah Syaikh al Islam Ibnu Hajar. Beliau wafat tahun 852 H di Mesir.




Wallahu’alam




-----------------------------------------------------------------------------------
Nantikan artikel selanjutnya mengenai KRITIKAN Taqiyuddin As-Subki terhadap Ibnu Taimiyah, yang mana Taqiyuddin As-Subki juga sama-sama bergelar SYAIKH AL-ISLAM
------------------------------------------------------------------------------------


http://almukminun.blogspot.com/2010/04/gelaran-syeikh-al-islam.html


12 Rabiulawwal 1431H

Tiada ulasan: