بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه
ومن نصرهووالاه
Di sertakan di bwah satu esei yang pernah hamba coret berkaitan Ulil amri pada 1999. Ia merupakan kajian sejarah dan tamaddun secara ringkas sahaja kepada pentafsiran ulil amri oleh beberapa pentafsir mu'tabar terpilih.
Esei ini boleh dimasukkan ke dalam mana-mana blog tuan-tuan, jika dinilai bernafaat. Tetapi saya tidak bubuh footnotes sebab footnotesnya perlu dikemas semula.
Wassalam,
Ustaz Ismail
===============================================================
Tahqiq fakta sejarah ke atas esei “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar
Kertas kerja ini cuba mengulas dan mentahqiq fakta sejarah satu esei “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” oleh Dr. Ibrahim Abu Bakar yang telah dimuatkan di dalam Terbitan Tak Berkala No.2 Jabatan Usuluddin Dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam, UKM, 1993 bertajuk “Kajian Sekitar Permasalahan Al-Tafsir dan Al-Hadith”.
Esei tersebut membincangkan konsep “Uli al-amr” berdasarkan tafsiran mu’tabar oleh Al-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.), Al-Razi (545-606 H./1150-1209 M.), Al-Qurtubi (w. 671 H./1272 M.), Ibnu Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.), Al-Baydhawi (w. 791 H./1388 M.) dan Al-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834 M.).
Asas Perbincangan
Esei “The Uli al-Amri In The Qur‘anic Exegeses” membincangkan konsep “Uli al-amr” berdasarkan kalimah-kalimah “Uli al-amr” yang terdapat di dalam ayat 59 Surah An-Nisaa yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga kepada “Uli al-amr” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikan kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (Sunnah) Rasulnya, jika sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok kesudahannya.”
1. Tafsiran Al-Tabari (224-310 H./ 838-923 M.)
Pengarang Jami’ al-Bayan Fi Tafsir al-Qur‘an, Imam Abu Ja’afar Muhammad b. Jarir Al-Tabari yang juga merupakan seorang ahli Hadith, ahli Fiqh yang mempunyai madzhab tersendiri, ahli Qiraah serta ahli sejarah yang telah mengarang Tarikh al-Umam wa al-Muluk wa Akhbarahum hidup ketika kerajaan Bani ‘Abbasiyyah dikuasai pemimpin-pemimpin tentera Turki yang membolot jentera pentadbiran, pengawal dan ketenteraan sehingga khalifah-khalifah bebas dilantik, dipecat dan bahkan dibunuh sekehendak hati mereka. Di zamannya, wilayah Trans-Oxiana telah jatuh kepada kekuasaan Nasir bin Ahmad dari puak Syi’ah Samaniyyah pada 260 H/ T.M. 874 M. dan kawasan di antara Tunisia hingga Mesir di utara benua Afrika telah dikuasai oleh ‘Abdullah bin Al-Mahdi yang mengasaskan kerajaan Fatimiyyah pada 296 /T.M. 909.
Ketika mentafsirkan konsep “uli al-amr”, Al-Tabari yang wafat ketika pemerintahan Khalifah Al-Muqtadir (295-320H/908-932M.) tidak menggunakan istilah al-khilafah atau amir al-mu’minin. Sebaliknya beliau menggunakan istilah al-umara wa al-wulat yang bermaksud golongan sultan atau penguasa dan gabenor. Di beberapa wilayah seperti di Trans-Oxiana, penguasa-penguasa Syi’ah menguasai wilayah-wilayah yang didiami golongan majoriti Sunni atas nama khalifah-khalifah ‘Abbasiyyah.
Pemerintahan Khalifah Al-Muqtadir merupakan pemerintahan yang penuh huru-hara kerana pendiriannya tidak ubah seperti bulu ditiup angin. Al-Tabari berpendapat bahawa rakyat Sunni boleh mentaati penguasa-penguasa dan gabenor-gabenor Syi’ah demi kemaslahatan umum mereka.
Al-Tabari menolak pentafsiran “uli al-amr” sebagai para ‘ulama kerana beliau menyedari bahawa di zamannya, para ‘ulama berkedudukan lemah sehingga pandangan dan nasihat mereka tidak diterima dan dipatuhi. Al-Tabari hidup di zaman pembukuan ilmu hadith dan kemunculan tokoh-tokoh tasawuf. Ahli hadith terkemuka seperti Ahmad bin Hanbal (w. 241 H.), Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (w. 256 H.), Muslim al-Naysaburi (w. 261 H.), Ibnu Majah (w. 273 H.), Abu Daud al-Sijistani (w. 275 H.), al-Turmidzi (w. 279 H.) dan Al-Nasa‘i (w. 303 H.); serta tokoh-tokoh tasawuf terkemuka seperti Harith al-Muhasibi (w. 243 H.), Sirri al-Saqiti (w. 253 H.), Abu Yazid al-Bustami (w. 261 H.), Ibrahim bin Adham (w. 262 H.) dan Junayd al-Baghdadi (w. 298 H.) yang hidup sezaman dengan Al-Tabari lebih menumpukan hayat mereka di dalam bidang ilmu masing-masing tanpa berkecimpung secara langsung dengan urusan politik dan pentadbiran umat Islam.
2. Tafsiran Al-Razi (545-606 H./ 1150-1209 M.)
Imam Fakhr al-Din Abu ‘Abdullah Muhammad b. ‘Umar bin Husayn bin al-Hasan bin ‘Ali Al-Taymi Al-Bakri Al-Tabrastani Al-Razi Al-Syafi‘i, pengarangAl-Tafsir Al-Kabir (Mafaatih al-Ghayb) yang juga merupakan seorang ahli kalam serta usul menolak kemungkinan maksud “uli al-amr” sebagai Khulafa al-Rasyidin kerana Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali menguasai umat Muslimin di abad pertama hijrah sahaja. Tetapi, golongan umara al-saraya (pemimpin-pemimpin tentera) di zamannya pula lemah kerana mereka berkhidmat kepada al-salatin (golongan sultan). Al-Razi sebagai seorang Sunni menolak konsep imam-imam yang ma’sum yang wujud di dalam ‘aqidah dan politik Syi‘ah sebagai pentafsiran “uli al-amr”.
Al-Razi hidup ketika kuasa sultan-sultan Seljuq (447-594 H/ 1055-1195 M.) di Baghdad mula beralih kepada sultan-sultan Atabakiyah yang kemudian dirampas pula oleh khalifah ‘Abbasiyyah Al-Nasir (572-622 H./ 1179-1225 M.) pada 592 H./ T.M. 1194. Sebelum itu, Baghdad dikuasai sultan-sultan Seljuq yang telah mengalahkan penguasa-penguasa dan gabenor-gabenor Syi’ah kecuali pemerintah Syi’ah Fatimiyyah di Mesir.
Al-Razi mempunyai sikap negatif terhadap pemimpin-pemimpin Seljuq yang dinamakannya al-umara (penguasa-penguasa) dan al-salatin (golongan sultan). Khalifah-khalifah Bani ‘Abbasiyyah juga tidak diiktirafnya sebagai “uli al-amr”.
Bagi Al-Razi, “uli al-amr” adalah para ‘ulama golongan ahl al-hall wa al-‘aqd (orang-orang yang berpengaruh yang diberi kuasa di dalam melakukan keputusan di dalam pemerintahan) sahaja. Sebagai menyokong pendapatnya, Al-Razi berhujah bahawa Allah SWT melalui ayat 59 surah Al-Nisaa tersebut memberikan perintah secara pasti supaya mentaati “Uli al-amr”. “Uli al-amr” menurutnya mesti terpelihara daripada perbuatan dosa kerana Allah SWT tidak membenarkan seseorang Muslim mentaati pemimpin yang fasiq. “Uli al-amr” bermaksud ahl al-hall wa al-‘aqd, dan bukannya al-umara (penguasa-penguasa) dan al-salatin kerana kaum Muslimin telah berijma’ bahawa mereka perlu taat atau diperintahkan supaya taat kepada pemimpin-pemimpin yang ‘adil dan sah berdasarkan Al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja. Ketaatan kepada pemimpin kaum Muslimin dan sultan adalah tidak mutlak dan hanya sah selagi mereka berpegang kepada kebenaran.
Al-Razi mendakwa bahawa sebahagian besar ‘ulama umat Islam tidak melihat perlunya mentaati pemimpin-pemimpin yang zalim dan fasiq. Menurut Al-Razi, jumhur ‘ulama berpendapat bahawa haram untuk menyerahkan ketaatan kepada pemimpin yang tidak bertaqwa. Al-Razi berpandangan demikian kerana beliau menyaksikan bagaimana ruginya umat Islam apabila dikuasai golongan al-salatin yang lebih mementingkan kehidupan duniawi setelah Sultan Salah al-Diin al-Ayyubi yang berjaya memimpin umat Islam merampas Bait al-Maqdis daripada tentera Salib wafat pada 589 H.
Sekiranya kita membandingkan pendapat Al-Tabari dengan pendapat Al-Razi mengenai identiti “Uli al-amr” di dalam Al-Qur‘an, kita akan jelas melihat bahawa Al-Tabari mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai al-umara wa al-wulat, iaitu pemimpin-pemimpin umat Islam dan penguasa-penguasa mereka manakala Al-Razi mentafsirkannya sebagai ahl al-hall wa al-‘aqd, iaitu para ‘ulama yang menjelaskan peraturan agama dan memimpin manusia kepada agama.
3. Tafsiran Al-Qurtubi (w. 671 H./ 1272 M.)
Imam Abu ‘Abdullah Muhammad b. Ahmad b. Abu Bakr b. Farah al-Ansari Al-Khazraji Al-Andalusi Al-Qurtubi pengarang Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an Al-‘Azhim pula tidak bersetuju dengan pandangan Al-Tabari dan Al-Razi kerana beliau berpendapat bahawa istilah “Uli al-amr” lebih tepat bermakna dua golongan kaum Muslimin; iaitu al-umara (penguasa-penguasa umat Islam) dan juga ‘ulama umat Islam.
Sebagaimana pentafsir-pentafsir sebelumnya, Al-Qurtubi menyedari bahawa terdapat pentafsiran yang berbeza mengenai identiti “Uli al-amr”. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa pandangannya lebih benar. Al-Qurtubi berhujah bahawa “Uli al-amr” adalah al-umara, kerana ayat 59 Surah Al-Nisaa menyebutkan wajib taat kepada Allah SWT, taat kepada Rasulullah SAW serta para penguasa umat Islam.
Al-Qurtubi menjadikan hadith riwayat Syaikhan dari Ibn ‘Abbas sebagai dalil. Menurut hadith tersebut, ayat ini diturunkan sehubungan dengan perutusan sepasukan tentera Rasulullah SAW ke Syam yang diketuai oleh ‘Abdullah b. Hudzaifah untuk mengahadapi kaum Musyrikin di sana. ‘Abdullah yang marah terhadap tenteranya telah memerintahkan para pengikutnya supaya terjun ke dalam api yang dinyalakan.
Walau bagaimanapun, mereka enggan. Setelah kembali ke Madinah, mereka menemui Rasulullah SAW yang menerangkan bahawa ketaatan hanya diperintahkan untuk perkara-perkara ma’ruf sahaja. Islam mengharamkan bunuh diri kerana ia merupakan perbuatan ma’siat terhadap Allah SWT.
Al-Qurtubi mengemukakan bahagian kedua daripada ayat dan surah yang sama “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikan kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Al-Sunnah) Rasulnya, jika sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat” untuk menyokong pendapatnya mengenai makna kedua tentang “Uli al-amr” sebagai ‘ulama umat Islam. Al-Qurtubi mentafsirkan bahawa ayat tersebut mewajibkan umat Islam bertanya dan merujuk kepada ‘ulama serta mematuhi perintah-perintah agama yang dijelaskan oleh ‘ulama kerana menurutnya, hanya para ‘ulama sahajalah yang benar-benar tahu untuk mengistinbat hukum daripada Al-Qur‘an dan Al-Sunnah kerana mereka sahaja layak mentafsirkan kedua sumber hukum Islam tersebut.
Jelasnya, Al-Qurtubi berpendirian bahawa penguasa-penguasa umat Islam di zamannya sebagai tidak memiliki ‘ilmu seperti yang dikehendaki oleh syari‘at Islam menurut Ahl al-Sunnah Wa al-Jama‘ah. ‘Ulama lebih mengetahui mengenai Al-Qur‘an dan Al-Sunnah dan oleh itu para pemerintah mesti merujuk kepada mereka sehingga wujud kerjasama erat di antara para pemerintah dengan golongan ‘ulama. Sebagaimana Al-Razi, Al-Qurtubi berpendapat bahawa umat Islam tidak perlu taat kepada pemimpin yang fasiq dan zalim.
Walau bagaimanapun, Al-Qurtubi yang hidup sezaman dengan pengasas Kerajaan Nasriyyah (Bani al-Ahmar) di Andalus, Muhammad Al-Ghalib (630-672 H./ 1232-1273 M.), berfatwa bahawa umat Islam wajib keluar berjihad menentang orang-orang kafir walaupun dipimpin oleh penguasa-penguasa yang fasiq. Andalus merupakan bumi tempat berlakunya perebutan sengit di antara umat Islam yang mempunyai penguasa-penguasa yang sering merebut kuasa di antara satu sama lain dengan tentera kristian Sepanyol. Al-Qurtubi menyedari bahawa Kerajaan Nasriyyah merupakan satu-satunya benteng terakhir bagi umat Islam di Andalus walaupun beliau tidak sempat menyaksikan kejatuhan Gharnadhah (Granada) kepada Isabella dari Aragon dan Ferdinand dari Castille pada T.H 898/ T.M. 1492.
4. Tafsiran Ibn Kathir (705-774 H./ 1305-1372 M.)
Al-Hafiz Imad al-Din Abu al-Fida Isma‘il b. ‘Umar b. Kathir b. Dhau‘ al-Basry Al-Dimasyqi Al-Syafi‘i telah meriwayatkan di dalam Tafsir Al-Qur‘an Al-‘Azhim banyak kisah-kisah mengenai asbab al-nuzul ayat 59 surah al-Nisaa. Banyak di antara catatannya adalah mengenai pemimpin-pemimpin peperangan yang dilantik dan diutus oleh Rasulullah SAW. Terdapat kes-kes di mana tentera-tentera Islam tidak mentaati pemimpin mereka dan salah satu daripada kisah yang dinukil Ibn Kathir adalah mengenai keengganan para perajurit untuk membakar diri mereka seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Kisah yang lain mencatatkan satu ekspidisi peperangan yang diketuai oleh Khalid b. al-Walid dan ‘Ammar b. Yasir. Di dalam peristiwa tersebut, berlaku perbalahan sesama mereka kerana Khalid menentang keputusan ‘Ammar untuk melindungi seorang lelaki yang mendakwa telah memeluk Islam. Kes tersebut telah dibawa kepada Rasulullah SAW yang menyetujui tindakan ‘Ammar.
Ibn Kathir mencatatkan dua pentafsiran mengenai “Uli al-amr”. Kedua-dua tafsiran tersebut bermaksud ‘ulama umat Islam. Menurut Ibn Kathir, ‘Ali b. Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa “Uli al-amr” adalah ahl al-fiqh wa al-din manakala Mujahid, ‘Ata’, Hasan al-Basri dan Abu al-‘Alibah mengatakan “Uli al-amr” adalah para ‘ulama. Walau bagaimanapun, Ibn Kathir juga tidak menthabitkan maksud sebenar “Uli al-amr” sebagai para ‘ulamasahaja.
Ibnu Kathir hidup di zaman Kesultanan Mamalik Bahriyah (648-784 H./ 1250-1382 M.). Lebih tepat lagi, Ibnu Kathir yang wafat semasa pemerintahan Sultan Al-Asyraf Zain al-Din Abu al-Ma‘ali Sya’ban b. Hassan b. Muhammad b. Qalawun (764-778 H./ 1363-1376 M.) dan beliau dilahirkan setengah abad selepas berlakunya pemusnahan Baghdad oleh bangsa Tartar pada 656 H. (T.M. 1258).
Semenjak serangan Tartar dibendung di ‘Ayn Jalut (658 H/ 1259M.) ketika pemerintahan Sultan al-Muzaffar Qutaz dengan bantuan dan dorongan Qadhi al-Qudhat Mesir ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam (w. 660 H/ 1261 M.) sehinggalah era guru Ibn Kathir iaitu Ibn Taimiyyah al-Harran (661-728 H./ 1263-1327M.) yang turut terlibat menahan ancaman Tartar di Dimasyq, kerjasama di antara para penguasa dan golongan ‘ulama di Mesir dan Syam membuktikan kepada Ibnu Kathir bahawa “Uli al-amr” adalah istilah umum yang merangkumi penguasa-penguasa umat Islam dan para ‘ulama Islam.
5. Tafsiran Al-Baydhawi (w. 691 H./ 1291 M.)
Qadhi al-Qudhat Nasir al-Din ‘Abdullah b. Muhammad ‘Ali Al-Baydhawi Al-Syafi‘i di dalam kitabnya, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai umara al-muslimin (pemimpin-pemimpin umat Islam) ketika dan selepas era Rasulullah SAW. Menurut Al-Baydhawi, pemimpin-pemimpin umat Islam adalah para khalifah, golongan Qadhi serta pemimpin-pemimpin tentera.
Allah SWT memerintahkan umat Islam mentaati mereka selagi mereka berada di dalam kebenaran. Al-Baydhawi berhujah bahawa tidak mungkin berlaku perbezaan pendapat di antara seorang Muslim biasa (muqallid) dengan seorang mujtahid mengenai persoalan agama walaupun ada kemungkinan terjadi perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin umat Islam dan umat yang diperintah mereka. Perbalahan di antara mereka mewajibkan semua pihak merujuk kembali kepada Al-Qur‘an dan al-Sunnah sebagaimana tersebut di dalam bahagian kedua ayat 59 Surah Al-Nisaa sebagaimana disebutkan sebelum ini.
Al-Baydhawi yang berasal dari daerah Syiraz, Farsi Selatan memahami skop tanggungjawab Qadhi sebagai “Uli al-amr” kerana beliau merupakan seorang Qadhi al-Qudhat di wilayah Syiraz ketika Farsi berada di bawah kekuasaan Il-Khan keturunan Hulagu (w. 664 H./ 1265 M.) yang bertanggungjawab memusnahkan Baghdad.
Allah SWT telah mentaqdirkan putera Hulagu yang merupakan Il-Khan ketiga, Ahmad Takudar (680 – 683 H. /1282-1284 M.) menjadi seorang Muslim. Al-Baydhawi yang wafat di kota Tibriz ketika kekuasaan Il-Khan kelima, Gaykhatu (690-694 H./ 1291-1295 M.) menyaksikan bahawa jawatan Qadhi al-Qudhat diwujudkan semula ketika Ahmad Takudar berkuasa.
6. Tafsiran Al-Syawkani (1173-1250 H./ 1759-1834 M.)
Imam Muhammad b. ‘Ali b. ‘Abdullah Al-Syawkani pengarang tafsir Fath al-Qadir yang juga menyusun kitab Naylul Autar syarah kitab hadithMuntaqa al-Akhbar pula mentafsirkan “Uli al-amr” sebagai al-a’immah (pemimpin umat Islam), as-salatin, golongan Qadhi dan sesiapa jua individu Muslim yang memiliki wilayah syar‘iyyah yang berbeza daripada wilayah taghutiyyah. Menurutnya, ayat 59 surah Al-Nisaa memerintahkan umat Islam supaya mentaati perintah dan suruhan yang tidak bertentangan dengan syara’. Al-Syawkani mengkaji pandangan-pandangan pentafsir lain mengenai konsep “Uli al-amr” walaupun menganggap pandangannya sebagai pandangan yang paling rajih.
Al-Syawkani yang asalnya bermadzhab Zaidiyyah adalah seorang penentang taqlid dan beliau banyak bersandar kepada tafsir-tafsir sebelumnya seperti karangan-karangan al-Nahhas, Ibn ‘Atiyyah, Al-Qurtubi dan Zamakhsyari. Beliau hidup di kalangan penganut-penganut Madzhab Zaidiyyah di San‘a ketika dunia Islam berada di dalam era kelemahan kekuasaan Khalifah ‘Uthmaniyyah.
Tafsir Fath al-Qadir ditulis di antara 1223H/1808M. hingga 1229H./1813M. ketika pemerintahan Sultan Mahmud II (1223 H./1808 M. - 1255 H./1839 M.). Wazir kerajaan ‘Uthmaniyyah di Mesir ketika itu, Muhammad ‘Ali Pasha (1215 H./1800 M.-1265 H./1848 M.) mempunyai kuasa autonomi dan pada hakikatnya menguasai wilayah-wilayah ‘Arab termasuk Yaman, wilayah kelahiran Al-Syawkani. Al-Syawkani menulis tafsirnya di zaman perebutan kuasa ke atas daerah Hijaz di antara puak Wahhabi dengan Muhammad ‘Ali Pasha yang melibatkan campurtangan kuasa-kuasa Barat yang kafir. Adalah munasabah bahawa beliau prihatin terhadap penjajahan British dan Perancis ke atas wilayah-wilayah umat Islam di dunia ‘Arab ketika itu.
Sejarah juga mencatatkan bahawa Al-Syawkani hidup sezaman dengan tragedi yang berlaku ketika Sultan Mahmud II memusnahkan pemberontakan 40,000 tentera tradisional Inkisyariah yang menentang pembaharuan ketenteraan oleh baginda sultan yang dianggap meniru sistem ketenteraan Barat yang kafir.
Fakta sejarah membuktikan bahawa Al-Tabari, Al-Razi, Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Al-Baydhawi dan Al-Syawkani dipengaruhi oleh suasana persekitaran dan pemerintahan zaman mereka di dalam mentafsirkan konsep “Uli al-amr” yang terdapat di dalam ayat 59 surah An-Nisaa. Walau bagaimanapun, perbezaan pentafsiran mengenai konsep “Uli al-amr” di antara enam pentafsir tersebut tidak terlalu besar kerana kesimpulannya, “Uli al-amr” ditafsirkan sebagai golongan yang bertanggungjawab dan berkuasa terhadap umat Islam.
Kita boleh membenarkan pendapat Dr. Ibrahim yang mengatakan bahawa istilah “Uli al-amr” termasuk di dalam istilah yang mutasyabihat (samar-samar) serta memerlukan ijtihad untuk memahaminya.
Bagi kita yang berada di zaman mutakhir ini, jurang perbezaan memang wujud di antara golongan yang tidak berpendidikan agama yang menerajui kepimpinan hampir semua negara-negara Islam dengan golongan ‘ulama yang hanya mampu berfatwa sehingga wujud dichotomy di antara golongan al-umara dan‘ulama; mengakibatkan umat Islam tidak mempunyai “Uli al-amr” yang benar-benar berwibawa.
Al-umara yang di zaman kini lazimnya merupakan golongan profesional serta terlatih dengan berbagai disiplin ilmu semasa perlu menggembeling tenaga dengan golongan ‘ulama yang sepanjang hayat mereka mendalami ilmu-ilmu turath Islam untuk diamalkan pelbagai aspeknya serta memimpin khususnya dari segi ‘aqidah yang sahih serta kerohanian murni yang hanya boleh dicapai dengan menceburkan diri di dalam sistem pengajian Islam secara tradisional yang penuh berkat.
Walau bagaimanapun, penguasaan kedua-dua disiplin ilmu sekaligus oleh umat merupakan kaedah terbaik. Kita impikan lahirnya generasi yang dikurniakan Allah SWT dengan kecerdasan, keupayaan, adab dan kewaraan supaya lahir “Uli al-amr” dari golongan ‘ulama-umara yang amanah mewarisi Rasulullah SAW serta cekap dan berkesan di dalam tindakan mereka persis Khulafa al-Rasyidin; sebelum ketibaan kepimpinan Imam Mahdi al-Muntazar agar terubat luka umat yang telah kehilangan kepimpinan khilafah semenjak pupusnya Kesultanan ‘Uthmaniah pada 3 Mac 1924.
Wallahu a’lam.
http://almukminun.blogspot.com/2010/01/tahqiq-fakta-sejarah-ke-atas-esei-uli.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan