::Teman Bersama::

Jumaat, 19 Disember 2008

Apabila Meyakini Taqdir ALLAH SWT, ALLAH SWT Pasti Realisasikannya


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه


Apabila Meyakini Taqdir ALLAH SWT, ALLAH SWT Pasti Realisasikannya


Diriwayatkan dari Syidad bin Haad, dia menyatakan, “suatu saat, seorang lelaki badawi mendatangi Nabi Muhammad SAW. Lalu menyatakan keimanan akan kenabian beliau dan menjadi pengikutnya, seraya berkata, “aku akan hijrah bersamamu.”


Kemudian, Nabi menitipkan lelaki badawi itu kepada beberapa orang dari sahabat beliau. Selanjutnya, ketika perang Khaibar telah selesai, Nabi mendapatkan beberapa ghanimah lalu dibahagi-bahagikan dan lelaki badawi itu termasuk yang mendapatkan ghanimah tersebut. Kemudian, lelaki badwi itu mendatangi Nabi Muhammad SAW sambil membawa harta ghanimah bahagiannya tersebut seraya berkata, “apa yang kamu berikan ini, ya Rasul?” aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan ini akan tetapi aku mengikutimu karena aku ingin dilempar panah tepat disini sambil menujuk ke tenggorokannya sehingga aku meninggal dan dapat masuk syurga.”


Nabi SAW. lalu menjawab, “jika kamu yakin kepada takdir ALLAH maka AlLLAH akan merealisasikannya.”


Tidak lama kemudian, lelaki badwi itu bangun dan pergi ke medan perang dan kembali mendatangi Rasul ketika ia sudah menjadi mayat. Kemudian Rasul SAW. bertanya, “apakah mayat ini lelaki badawi yang berjumpa ku waktu itu?”

Para sahabat menjawab, “betul, ya Rasul.”


Nabi SAW. segera berkata, “ia telah yakin kepada takdir ALLAH maka ALLAH pun merealisasikan keinginannya itu.”

Kemudian Rasulullah SAW. mengkafani lelaki badui itu dengan jubah beliau lalu menshalatinya dan memanjatkan doa, “ya ALLAH, ini adalah hamba-Mu telah keluar berhijrah di jalan-Mu, lalu ia meninggal sebagai mati syuhada dan aku sebagai saksi untuknya.”

ALLAHU ALLAH...

Selaku hamba, selayaknya harapan diletakkan hanya kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Namun, bukanlah kita meletakkan harap atas segala ketentuan yang dikurniakan tanpa menjalankan usaha. Itu namanya sia-sia. Barangkali ada yang membuat sangkaan-sangkaan buruk kepada ALLAH SWT selaku Rabb yang tunggal, serta tiada pula persamaan dengan segala makhluk ciptaanNYA. Firman ALLAH SWT:

“Tiada suatu pun yang sama seperti-NYA (ALLAH SWT)” [Al-Shura:11]

Mengapa sehingga mempertikai segala kehendak iradat ALLAH SWT ke atas diri kita yang terbatas pemikirannya ini. Dijadikan oleh ALLAH SWT kepada kita kerjaya yang menjadi sumber pendapatan kehidupan.

Walaubagaimanapun, di dalam bekerja, kita berasa tidak ada keserasian akannya. Sehingga kita terus-terusan meminta-minta diberikan kerjaya lebih baik berbanding yang dimiliki kini.

Dalam permintaan-permintaan itu pula, kita seakan lupa untuk mensyukuri kurniaan kerjaya terdahulu daripada TUHAN Yang Esa. Seolah-olah kerjaya yang diterima mendatangkan kesan kepada binasanya akidah atau akhlak.

Itu semua tidak menjadi penilaian kepada mata yang melihat serta akal yang diizin oleh ALLAH SWT untuk berfikir. Semua kehendak dituruti atas nafsu semata. Katanya untuk mendapat selesa, agar mudah untuk membiaya dunia. Katanya untuk kemudahan keluarga, agar tidak sesak berpanjangan.

Dalam diam, rupanya hati-hati yang meminta kepada ALLAH SWT sebenarnya dihilangkan perasaan qanaah atas segala pemberian ALLAH SWT Yang Maha Penyayang. Kita melihat kebaikan yang dikurniakan ALLAH SWT hanya dengan bilangan nikmat yang diperolehi di depan mata. Itulah natijah kepada hati yang kelam sifatnya daripada rahmat ALLAH SWT.

Kita gagal melihat kurniaan yang dimiliki berupa kerjaya, memungkinkan kita aman daripada fitnah dunia. Kita zalim dalam menilai, kerana menjadikan kayu ukur selesa di dunia sebagai tumpuan.

Begitulah salah satu jalan penolakan taqdir yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT ke atas diri-diri kita. Seolah-olah kita beramal demi kemaslahatan dunia. Hingga lupa perjalanan yang ditetapkan ALLAH SWT ini mempunyai nilai tertinggi disisiNYA.

Bukanlah sehingga tidak perlu berusaha, atau melipatgandakan amalan demi redhaNYA. Tetapi, dahulukanlah ia dengan berbaik sangka kepada ALLAH SWT Yang Maha Memiliki jagat raya ini, atas segala kurniaanya.

Bahawa DIA adalah TUHAN buat seluruh alam. Kekuasannya adalah ketetapan buat seluruh makhluk ciptaanNYA. Jika ALLAH SWT mendatangkan kesusahan, pasti DIA sertakan jalan kesenangan. Jika ALLAH SWT datangkan ujian berupa kesenangan dan kejayaan, ingatilah perkara berkaitan istidraj.

Bahawa kemungkinan atas nikmat dan kejayaan merupakan ujian. Sengaja ALLAH SWT kurniakan. Bagi hambaNYA yang beriman, dikurniakan mereka akan kesedaran. Agar menggunakan keupayaan demi tujuan kebaikan dan mendapat keredhaan ALLAH SWT beserta makhlukNYA.

Begitu pula kepada yang berbapa seorang yang pemabuk. Mempunyai keluarga yang huru hara kehidupan dengan segala dosa. Siapa yang akan mampu bertahan dalam keadaan penuh kehinaan ini. Namun, adakah mencela atau lari meninggalkan mereka satu-satunya jalan? Mungkin jua menyalahkan taqdir yang dikurniakan kita beroleh ketenangan? Jika berkelakuan demikian, maka jelaslah bahawa kita hampir tergelincir ke arah kemurkaan ALLAH SWT.

Justeru, dalam membicarakan perihal taqdir juga ketentuan oleh ALLAH SWT Yang Maha Mulia ke atas diri selaku hamba kepadaNYA Yang Maha Memiliki. Konsep qada dan qadar perlu difahami sebaiknya.

Fahamilah bahawa hanya ALLAH SWT memiliki hak ke atas kita, kerana DIA adalah Khaliq. Manakala kita selaku hamba kepadaNYA hanya memiliki hak selaku makhluk yang diciptakan oleh ALLAH SWT.

Hak ALLAH SWT meliputi perkara yang telah ditetapkanya di Luh Mahfuz sebagaimana difirmankan ALLAH SWT;

"Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang ada di langit dan di bumi, sesungguhnya itu terdapat dalam debuah kitab yakni (Luh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah".

[Surah Al-Hajj : 70]


Imanilah Khalkullah (ciptaan ALLAH) dengan sentiasa mengingati bahawa ALLAH SWT adalah Pencipta kepada setiap sesuatu yang berada di langit dan di bumi. Sebagaimana kalam ALLAH SWT;

"Demikian itu ialah, ALLAH Tuhan kamu, tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia, dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu". [An'am ayat 102]

Kemudian, berimanlah kamu dengan kehendak ALLAH SWT Masyiatullah. Hadirkan dengan sesuatu yang berlaku, samada ia menjadi kesukaan atau kebencian kita yang meliputi langit dan di bumi adalah hak mutlak ALLAH SWT. ALLAH SWT telah berfirman di dalam surah Yassin;

“Sesungguhnya perintahNya apabila Dia menghendakki sesuatu hanyalah berkata kepadanya jadilah maka terjadilah ia”

Lalu, sebagai pujukan buat diri yang lemah, imanilah dengan Ilmullah. Yakni ilmu ALLAH SWT itu meliputi segala yang berlaku di dalam alam maya ini. Tidak ada, bahkan keatas atau tersembunyi bagaimanapun sesuatu perlakuan itu tanpa ALLAH SWT mengetahui akannya. Usahlah kalian mendabik dada dengan sekelumit ilmu yang dimiliki. Tiadalah ia hanya daripada ALLAH SWT semata. Sebagimana firmannya;

"ALLAH mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang di bumi dan Allah maha kuasa atas segala sesuatu"

Usahlah berasa dukacita akan kelemahan yang didatangkan ke atas diri-diri kita. Usah juga merasa kecewa andai usaha masih belum menampakkan hasil. Yakinilah akan firmanNYA ;”

123. (balasan Yang baik Yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya Dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula Dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). sesiapa Yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas Dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun Yang akan melindunginya, dan tidak ada juga Yang dapat menolongnya.

Justeru, taqdir ALLAH SWT itu, walau mulanya nampak sebagai bencana, lebih penting, anadai kita sabar dan menghadirkan redha, kurniaNYA lebih besar daripada jangkauan akal.

Wallahu’alam


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين، والحمد لله رب العالمين

Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

http://almukminun.blogspot.com/

11 Zulhijjah 1429H



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum. Tuannye blog saye salah seorg pembaca blog saudara bg sebulan yang berturutan. Boleh tak saye menggambil bahan dari blog saudara dan berkongsi dengan rakan-rakan saya. Banyak ilmu baru saye dapat dari blog saudara. Saye berharap Saudara akan memberi kebenaran untuk mengambil bahan dari blog saudara. saye akan menunggu jawapan dari saudara.
email saya seperti berikut:-
psychothron08@gmail.com