بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه
Perkaitan Pengkid dan Kesuciaan Kemanusiaan
Homoseksual
Homoseks adalah tingkahlaku seks sesama jantina. Hubungan seks yang berlaku adalah antara lelaki dan lelaki atau wanita bersama wanita. Islam telah menukilkan kisah kaum “songsang” sebagai pengajaran buat manusia kemudian dengan kisah Kaum Luth;
Firman ALLAH SWT:
80. dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
81. "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".
82. dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya Yang taat) dari bandar kamu ini, Sesungguhnya mereka adalah orang-orang Yang (mendakwa) mensucikan diri".
83. maka Kami selamatkan Dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang Yang dibinasakan.
84. dan Kami telah menghujani mereka Dengan hujan (batu Yang membinasakan). oleh itu, lihatlah, Bagaimana akibat orang-orang Yang melakukan kesalahan.
[Al-A’raaf 80-84]
Mahmood Nazar(2005) menyatakan bahawa homoseksualiti Ego-distonik merupakan kecelaruan yang berlaku apabila heteroseksual kurang berkehendakkan hubungan heteroseksual yang normal.
Jika setiap masyarakat Islam celik akalnya dengan IQ terarah kepada keamanan dan kebajikan, sudah pasti perihal melanggar undang-undang syariah Islam, malah undang-undang sivil (Seksyen377A, Seksyen 377B, Seksyen 377C, Seksyen 377D, dan Seksyen 377E), pasti dijauhi. Sebagaimana Islam menetapkan di dalam hadith daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa yang kalian temukan melakukan perbuatan seperti yang dilakukan kaum Luth, maka bunuhlah orang yang melakukan (subjek) dan yang diperlakukan (subjek dengan rela)”.
Ini membuktikan kesucian agama Islam dalam menolak sebarang kerosakan kepada fitrah manusia. Dengan berkiblatkan nafsu, manusia yang mengaku bertamadun lagi berakhlak, tiba-tiba mengakui dan mengesahkan bahawa hubungan sejenis yang diluar tabiie kemanusiaan dianggap sebagai kemuliaan. Apakah manusia semakin galak dalam merendahkan martabat kemanusiaan dengan berperilaku kebinatangan?
Heteroseksual
Manakala heteroseksual adalah hubungan seks antara berlainan jantina. Ia dijelaskan sebagai pelakuan seks normal antara lelaki dan wanita dan wanita serta lelaki. Walaubagaimanapun, di dalam konteks Islam, hubungan heteroseksual ini hanya dibolehkan setelah akad nikah berlangsung.
Justeru, Islam sama sekali tidak pernah melarang keinginan syahwat umatnya, sebagaimana dinyatakan oleh ALLAH SWT;
21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.
Asal sahaja keinginan syahwat itu disalurkan di jalan yang ALLAH SWT redhai, itu sudah memadai. Dalam merungkai isu pengkid dari sudut psikologi manusia, pandangan Islam seharusnya diutamakan sebagai sumber paling berautoriti dalam mendepani permasalahan kecelaruan jantina ini.
Pendifinisian pengkid
Di antara ciri-ciri pengkid itu yang boleh dinyatakan ialah; wanita yang berpakaian dan bergaya seperti lelaki (pakaian dan cara hidup), wanita yang sengaja mengubah bentuk tubuh badan dan rambut sama seperti lelaki, wanita yang menjalin hubungan dengan wanita sehingga ada yang bercinta dan melakukan seks, wanita yang membengkung payudara, wanita yang tertarik dengan wanita cantik dan wanita yang menganggap diri seperti lelaki yang boleh menjaga pasangan, terutama apabila diganggu (Ramlan Nordin, Mohamaed Sharif Mustaffa dan Mohd Tajudin Ninggal, 2008)
Kajian yang telah dijalankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pengharaman isu pengkid ini perlu diketengahkan di kalangan masyarakat. Mana mungkin keputusan yang diambil tidak difikirkan implikasi baik dan buruknya. Walaubagaimanapun, telah jelas bahawa setiap hubungan di luar tabiie adalah haram disisi Islam.
Begitu juga dengan perhubungan antara lelaki dan wanita bukan muhrim yang berpeluk cium di khalayak. Ia harus ditegaskan sebagai budaya songsang, kerana melakukan perlakuan di luar batas pernikahan. Tanpa perasaan segan silu menunjukkan keintiman di khalayak.
Isu ini juga perlu di tanggapi dengan lebih teliti. Agama dan budaya ketimuran semakin dihakis, jika tindakan tegas tidak dilakukan. Tanpa bersikap stigma kepada pihak berkuasa dalam mendepani gejala songsang ini, setiap pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, pembuat dasar kerajaan perlu sepakat membendung isu-isu pergaulan bebas secara tuntas.
Adalah sangat wajar bagi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melaksanakan tugas pembasmian dengan megeluarkan fatwa pengharaman pengkid tanpa menunggu gejala haram ini bernanah di kalangan masyarakat Islam. Apakah menjadi kewajiban untuk menunggu jumlah bilangan kemusnahan akhlak umat Islam baru kemudian hendak difatwakan. Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan ini harus dipuji kerana bergerak secara pro aktif dalam menyedarkan masyarakat tentang bahaya pengkid.
Isu pengkid ini adalah isu umat Islam, merentasi pemikiran logik akal. Perletakkan hukum di dalam Islam bukan dikeluarkan mengikut individu, tetapi dengan 12 ambilan hukum lainnya. Manakala hukum haram yang telah disepakati oleh Majlis Fatwa, jatuh hanya kepada seluruh wanita muslim, bukan melibatkan golongan wanita bukan Islam.
Persoalanya, mengapa mahu mempertikaikan hukum Islam, dimana mereka tiada kena mengena dengan fatwa yang telah ditetapkan. Tindakan NGO-NGO bukan Islam yang bersungguh menentang kredibiliti Majlis Fatwa Kebangsaan, jelas melanggar Perlembagaan negara di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Bahaya Pengkid kepada masyarakat.
Secara psikologinya, adakah kita bersedia melihat seluruh zuriat keturunan kita nanti berkahwin hanya sesama jantina. Kemudian tidak wujud lagi sistem kekeluargaan murni. Gejala homoseksual secara umum dan yang melibatkan golongan pengkid akan mengakibatkan manusia berjangka hayat pendek(UNAIDS: 2000)
Bieber, 1976 menyatakan 90% lelaki homoseksual tidak mempunyai hubungan baik dengan bapanya. Bayangkan apabila golongan homoseks ini mengambil anak angkat, cara didikan anak-anak pasti menjadi kecelaruan berbanding ibu bapa heteroseksual. Anak-anak beribu bapakan homoseksual pula akan mengalami tekanan perasaan, kemurungan, rendah diri dan akhirnya membawa kepada penyakit-penyakit mental.
Kesimpulan
Perhatikan sabda Rasulullah SAW dalam mencela golongan yang tidak mempunyai ilmu, namun berkelakuan seperti berilmu, sedangkan dirinya adalah jahil. Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi SAW menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.””
Ketika inilah zaman ketandusan pemikiran berlaku. Manusia sibuk memperjuangkan kebenaran pada perkara yang dia sendiri tidak mengetahui. Manakala, orang kebanyakan, masih tetap mengikuti galakan golongan-golongan fasiq tersebut disebabkan kedua-duanya tidak berilmu perihal keduniaan dan akhirat atau telah memisahkan keduanya.
Wallahu’alam
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين، والحمد لله رب العالمين
Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:
Almukminun
15 Zulkaedah 1429H / 13 November 2008
http://almukminun.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan