::Teman Bersama::

Jumaat, 29 Ogos 2008

TANAH MELAYU (MALAYSIA) MERDEKA DENGAN PERJUANGAN ULAMA’



بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه



TANAH MELAYU (MALAYSIA) MERDEKA DENGAN PERJUANGAN ULAMA’


Kehadiran tarikh kemerdekaan negara bagi tanah air Malaysia tercinta pada 31 Ogos 2008 ini menandakan seribu satu kisah perjuangan orang terdahulu. Bermakna telah 51 tahun kita berstatus bangsa “merdeka”, lebih kritis sekadar pada nama.


Pastinya golongan pasca kemerdekaan adalah antara orang yang paling signifikan dikisahkan dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British.


Walaubagaimanapun, seolah-olah menidakkan perjuangan tokoh perjuangan para ulama Islam hanya dipandang sepi dalam sambutan atau pengkisahan tokoh-tokoh perjuangan ulama selama ini.


Seharusnya kita menyedari bahawa orang Melayu tidak secara tiba-tiba timbul kesedaran pada tahun 1946 dalam menentang gagasan Malayan Union.


Bagaikan diskriminasi kepada jasa para ulama di bumi “negara Islam” ini. Sekadar berkongsi beberapa nama tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu sehingga wujudnya bumi berdaulat bernama Malaysia.


Para muallimin turut sama memegang bebanan amanah dalam urusan da’wah daripada Baginda Rasulullah Shollallahu alaihi wassalam. Penjajahan barat yang dibawa dengan pelbagai slogan jelas merupakan satu perangkap kepada gerakan kristianisasi umat Melayu yang masih teraba-raba dalam gelap tanpa cahaya agama pada waktu itu.


Justeru, telah bangkit para alim ulama dengan menyising lengan, berkorban masa bersama keluarga atas tujuan menyedarkan rakyat yang kelabu pandangan kerana tidak disuluhi cahaya pemahaman Islam yang syumul. Bahaya keberadaan penjajah di bumi Tanah Melayu lantas diapikan oleh para ilmuan dalam usaha menolak penjajahan barat.


Jika diteliti dengan hati yang bersih tanpa sangkaan, maka terbukti bahawa ulama adalah golongan “pemula” kepada perjuangan memartabatkan kemerdekaan Tanah Melayu.


Bukan mahu menidakkan golongan nasionalis yang dipasak fahaman songsang sekularisme. Lalu, diminta diangkat sebagai watak utama kepada pembebasan Tanah Melayu daripada belenggu penjarah darah bangsa. Tetapi ini adalah realiti kepada pengkisahan perjuangan para ulama dalam menegakkan sebuah negara yang dikenali Malaysia sehingga kini.


Almarhum Tokku Paloh


Antara yang boleh diketengahkan ialah Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus adalah ulama tasawwuff yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Tokku Paloh diizinkan oleh ALLAH SWT untuk hidup dan berbakti dalam zaman pemeritahan lapan orang sultan silih berganti; paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-II.


Kewibawaan Tokku Paloh dibuktikan dengan perkenan Sultan untuk mewakili Baginda dalam sebarang diplomasi bersama British. Selain daripada mandat yang diberikan oleh Sultan untuk Tokku Paloh memerintah kawasana Paloh di Hulu Terengganu.


Tokku Paloh jika ditanggapi secara halus adalah antara pelopor dan penggerak kepada semangat kesedaran di kalangan umat Islam khususnya di Tanah Melayu dalam bengkit menentang penjajahan Inggeris.


Kemunculan tokoh ulama seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pondok-pondok yang terkenal dengan markas-markas penentangan terhadap penjajah seperti di Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Gunung Semanggol semua ini membuktikan bahawa pejuang Islam tidak hanya memperjuangkan ideologi yang sempit tetapi lebih daripada itu mereka juga adalah pejuang bangsa dan kemerdekaan (Siddiq Fadzil, Ulama’-Umara’ dan Hala Tuju Kemerdekaan, 2007:3).


Syeikh Abdullah Fahim


Jika jasa dan sumbangan ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu ditidakkan, bagaimana pula dengan jasa ALLAHYARHAM Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Abdullah Fahim. Beliau adalah ulama terkemuka di Tanah Melayu dan seluruh Nusantara antara tahun 1930-an hingga 1950-an.

Jasa datuk kepada Perdana Menteri Malaysia ini adalah antara yang tidak ternilai sehingga kepakaran beliau dalam bidang agama dan astronomi telah diberi pengiktirafan negara. Pada waktu itu, Syeikh Abdullah Ibrahim telah diminta pendapatnya oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Allahyarham Tun Saadon Jubir pada 1955 sejurus sebelum menyertai rombongan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London.

Beliau juga harus diingati adalah tokoh ulama yang begitu lantang menolak fahaman mujassimmah wahabbiah, antara kata-kata Almarhum Syeikh Abdullah Fahim mengenai kesatuan Islam-Melayu dalam menolak fahaman wahabbiah ini ialah;


“ Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu. Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah”.

Almarhum Tuan Syeikh Abdullah Fahim juga adalah pencipta kepada Takwim Solat pertama bagi umat Islam di Tanah Melayu.

Syeikh Junid Tola


Selain daripada ulama-ulama tersebut, tidak kurang juga pejuang dalam memartabatkan kemerdekaan Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Tola yang merupakan pengasas kepada institusi pondok Madrasah Diniah Padang Rengas. Almarhum Tuan Syeikh berasal daripada Tapanuli dengan menjadikan Madrasah Dinniah sebagai pusat gerakan merdeka.


Di Madrasah inilah lahirnya tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan “dilupakan” seperti Burhanuddin al-Helmi, Ishak Hj. Muhammad, Abu Bakar al-Baqir dan Shamsiah Faqeh.


Pengaruh Syeikh Junid Tola adalah antara pembentuk draf kemerdekaan terawal Tanah Melayu dan diisytihar di Masjid Hurriyyah yang bermakna Masjid Merdeka. Kaum wanita tidak dinafikan akan sumbangan mereka oleh Syeikh Junid Tola dengan turut sama menggalakkan mereka turut berarak berjalan kaki daripada Padang Rengas ke Kuala Kangsar sejauh 10 kilometer. Tidak sebagaimana fatwa wahabbi yang menidakkan hak kaum wanita seperti memandu [oleh ibn baz dalam Fatwal Mar’ah,]m/s:192, darul watan, Riyadh] dan berseluar[oleh ibn baz dalam Majalah Dakwah, bilangan:1493, tahun 1995. m/s:28] .


Ketika itu, perjuangan para ulama dan ada di kalangan mereka adalah syuhada’ telah diisytihar oleh British sebagai golongan kiri. Segala golongan agama dianggap sebagai pemberontak.


Maka, sorakkan para Nasionalis kedengaran dalam mengisi kekosongan peranan Ulama akibat sekatan British sepanjang tahun 1948-1951.


Kesimpulan


Justeru, sebagai satu usaha mengangkat peranan ulama-ulama di Tanah Melayu, adalah menjadai satu harapan agar generasi muda ini tidak sewenang-wenangnya menidakkan daya upaya para ulama Nusantara khususnya dalam menjadi percikan api perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. YM Raja Nazrin Shah di dalam titah utama sempena Muzakarrah Ulama di Perak pada bulan Julai tahun 2007, menekankan peranan ulama di dalam pembentukkan negara Malaysia sehingga hari ini. Isu ini telah diangkat berkali-kali oleh YM Raja Nazrin dalam menyedarkan rakyat kepentingan berpaut kepada ulama sebagai satu sandaran kepada Nabi junjungan besar ummah, Sayyidinna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalamm.


Wallahu’alam


وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم


Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun

26 Sya’ban 1429H

http://almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: