::Teman Bersama::

Selasa, 8 Julai 2008

Mencari Hakikat Rejab




MENCARI HAKIKAT REJAB


Oleh :

Syeikh Zamihan al-Ghari

Pen Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
JAKIM

Definisi Rejab

Rejab berasal dari kalimah tarjib bermaksud kemuliaan atau keagungan. Dikatakan juga kalimah rejab itu diambil dari perkataan arab “aku memuliakannya dengan penuh kemuliaan”.

Ada juga pendapat ulamak yang mengatakan bahawa rejab bermaksud berpenat-lelah dan mencari stamina kerana banyak kebaikan padanya.

Ada pula yang mengertikan rejab dengan berulang-ulangnya ingatan terhadap Allah dan mengagungkanNya. Ia disesuaikan dengan satu pendapat bahawa para malaikat mengangkat suara untuk bertasbih, bertahmid dan mentaqdiskan Allah sempena bulan ini.
Segelintir ulamak berpendapat bahawa rejab itu dikenali dengan rejam kerana Syaitan itu dikatakan direjam sehingga tidak dapat menyakiti orang yang beriman di bulan keagungan Allah.


Tafsiran Kesufian

Lebih halus, rejab terdiri daripada tiga abjad. Iaitu terangkai dengan huruf ra’, ba dan jim. Sultan Para Wali, Syeikh Abdul Qader al-Jaylani pernah mentafsirkan kalimah tersebut satu persatu.

Huruf ra mewakili rahmat Allah, jim mewakili sifat Jud (kedermawanan) Allah dan ba’ mewakili birr (kebaikan) Allah. (Abd al-Qader al-al-Jaylani, al-Ghunyah li Thalib Tharik al-Haq Azza WaJalla, 1996-1416H, Maktabah Usamah bin Zayd, Halab : Syiria, hlm 229)

Pentafsiran terhadap rangkaian abjad ini ada kebenarannya apabila diintegrasikan dengan ayat suci al-Qur’an al-Karim terutamanya basmalah yang terletak pada permulaan surah al-Fatihah.

Dan Basmalah dibaca secara minima sebanyak 17 kali sehari semalaman melengkapi baki al-Fatihah. Maka teramat mudah bagi kita untuk memahami dan menjiwai kebaikan, kedermawanan dan kasih sayang Allah dalam basmalah untuk menikmati kebesaran dan keagungan Allah.

Sayangnya, hakikat rejab semakin tenggelam kerana manusia semakin ketandusan iman.

Panggilan Rejab

Bulan rejab turut dikenali dengan beberapa panggilan. Antaranya ialah Rejab al-Mudar, Mansil al-Asinnah, Syahr al-Asham , Syahr al-Asob, Rejabal-Muthahhir, Rejab al-Fard dan lain-lain.

Rejab al-Mudhar merujuk kepada qabilah Mudhar dari suku bangsa Quraisy. Golongan ini amat memuliakan bulan rejab dengan pelbagai acara ibadat. ...”(Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986, Cetakan ke-3, Muassasah al-A’lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)

Rejab juga dikenali dengan al-Mudhir bermaksud memudharatkan. Iaitu persengketaan dan pertempuran senjata tidak atau jarang kedengaran berlaku kerana kemudharatan berperang pada bulan berkenaan.(al- Qurtubi, Jami’ lil Ahkam al-Qur’an, 1372H, Cetakan ke 2, Dar al-Sya`ab : Qaherah, hlm 326 juz 6).

Rejab al-Mudhir juga dinisbahkan kepada pemimpin jahiliyyah Rabi’ah bin Nizar yang mengharamkan bulan Ramadhan dan menggantikan Ramadhan dengan panggilan Rejab. Dan perbuatannya itu sebenarnya memudharatkan dirinya sendiri.(ibid, hlm 133 juz 8)

Manakala Mansil al-Asinnah bermaksud bulan perdamaian atau gencatan senjata. Lazimnya, bangsa arab jahiliah yang berbalah, berdendam, berperang dan berbunuh-bunuhan akan meletakkan senjata mereka sempena kedatangan bulan Rejab yang mulia.(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, 1987, Cetakan ke 3, Dar Ibn Katsier, hlm 1591 juz 4)

Mereka mempercayai wujudnya kedamaian dan kegencatan pada bulan rejab. Akhirnya, rejab itu sinonim dengan kepercayaan dan cara hidup mereka.

Realitinya, kita turut melihat bahawa pada bulan ini kegemparan, kegoncangan dan keganasan sedikit menurun berbanding sebelumnya.

Begitu juga dengan fenomena gempa bumi, gunung berapi, tsunami dan beberapa malapetaka yang melibatkan angka korban yang besar turut menyusut.

Mungkin, inilah sebahagian wajah kedamaian yang tersurat dalam bulan Rejab. Subhanallah!

Rejab al-‘Ashom bermaksud bulan kebisuan. Iaitu satu bulan yang tidak kedengaran kemurkaan Allah yang besar kepada umat manusia pada bulan ini.

Bahkan dalam masa yang sama, Allah menghapuskan kejahatan, kesyirikan dan kesengsaraan hambaNya. Hal ini selari dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ibrahim al-Nakha’ie rhm berbunyi : Sesungguhnya Rejab itu adalah bulan Allah. Padanya Allah SWT melayarkan Nabi Nuh AS dan kaumnya. Baginda dan kaumnya berpuasa. Lalu Allah selamatkan mereka dari ribut taufan dan menyucikan bumi ini dari sirik dan permusuhan.” (Abd al-Qader al-al-Jaylani, al-Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq Azza WaJalla, 1996-1416H, Maktabah Usamah bin Zayd, Halab : Syiria, hlm 230)

Sayyidina Utsman bin Affan juga menyifatkan Rejab al-‘Ashom sebagai bulan penyucian harta dari unsur yang haram. Iaitu dengan membayar segala hutang piutang dan mengeluarkan zakat jika masih berbaki. (ibid, hlm 230)

Anjuran diatas amat praktikal dalam masyarakat memandangkan kita telah menikmati kenaikan gaji dan menunggu pengumuman bonus sebulan dua lagi.

Justeru, jangan diikut prinsip nafsu: bila susah menagih kasihan, bila senang lupa daratan. Dikhuatiri kita tidak mampu merasai keagungan Allah di bulan Rejab. Bahakan bercerai kasih dengan Allah tiada talakNya. Justeru, binalah batas kesucian, semailah benih kezuhudan. Nescaya dalam kezuhudan adanya kebesaran dan keagungan Tuhan.

Di samping itu, rejab juga dikenali dengan panggilan Syahr al-Asob. Iaitu bulan Allah mencurahkan kasih sayang keatas hamba-hambaNya. Ada padanya rahmat yang tidak dapat dilihat dengan mata, tidak terdengar dengan telinga dan tidak terlintas di hati manusia.(ibid, hlm 231)

Ia juga turut dikenali dengan Rejab al-Muthahhir bermaksud bulan penyucian. Iaitu menyucikan dosa hamba-hambaNya daripada salah silap dosa dan noda.

Terutamanya dosa mereka yang melakukan ibadat puasa. Imam Hibbatullah bin al-Mubarak al-Saqathi meriwayatkan dengan isnadnya daripada al-A’masy daripada Ibrahim daripada Alqamah daripada Abu Sa’id al-Khudri rhm bahawa Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. Rejab dikenali dengan al-Ashom. Dan tiga bulan haram yang berturutan (Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Rejab itu bulan Allah, Syaa’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku. Barangsiapa yang berpuasa sehari di bulan Rejab dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah nescaya dia akan mendapat keredhaan Allah yang besar..”(ibid, hlm 231)

Amalan sunat

Islam menawarkan solusi kehidupan yang sempurna dan mantap. Disamping kita mempertingkatkan quantiti dan qualiti ibadat solat di bulan Israk dan Mikraj, qualiti puasa juga harus dipertingkatkan sempena bulan Rejab.

Umum mengetahui bahawa puasa adalah diet yang paling balik. Raja segala ubat. Elok dipraktikkan samada di awal bulan, pertengahan bulan dan diakhir bulan dalam Islam. Asalkan ia tidak bertentangan dengan hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti hari raya dan sebagainya.

Begitu juga puasa Isnin dan Khamis dalam bulan Rejab. Jika diamalkan, ia benar-benar bertindak sebagai set penyucian jiwa yang paling baik dan berkesan berbanding produk-produk ciptaan manusia.

Ia merupakan pemangkin nilai-nilai murni dan integriti. Ia juga merupakan warming up untuk mendekati Sya’ban dan seterusnya Ramadhan. Ternyata, amalan memerlukan stamina. Tanpa stamina kita pasti akan dibelasah oleh runtunan jiwa dan keinginan dunia.

Merancanglah untuk beramal. Putaran masa sesekali tidak kasihan belas kepada kita. Sedarilah firman Allah SWT. Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan melakukan amal soleh…”

http://almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: