::Teman Bersama::

Ahad, 11 Mei 2008

Titik Persamaan Di Dalam Kerangka Pemikiran

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه



Titik Persamaan Di Dalam Kerangka Pemikiran



Dalam mewujudkan budaya ilmu serta menjadi penyumbang kepada ketinggian Islam,pencarian jalan bagi mengatasi krisis pemikiran yang menjadi penyebab kepada berlakunya perselisihan di kalangan umat Islam adalah dituntut pada waktu mendesak ini. Maka, adalah menjadi satu usaha sebagai seorang dai’e yang sedar bahawa mengharmonikan keadaan yang sedia berkecamuk adalah tugasan utama bagi menguatkan jati diri ummah.



Justeru, dalam mewujudkan kekukuhan bangunan Islam disamping tentangan dan tekanan dari orang yang bukan Islam, maka, adalah penting bagi kelompok Muslim menyedari bahawa kelebihan yang dimiliki adalah iman yang kuat dan fahaman yang sihat sebagai jaminan dalam menyubur kekuatan serta membersihkan segala pertikaian dan penyelewengan.



Barangkali kita sememangnya memiliki ilmu pengetahuan yang tidak sedikit, tetapi masalah yang dihadapi kini ialah kehilangan kepimpinan sebenarnya yang dapat memberi jaminan kepada ketetapan dan keselamatan ilmu pengetahuan itu.



Hari ini, kita dilihat berusaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, tetapi kita kehilangan akhlaknya. Kita juga memiliki kaedah serta cara-cara mendapatkannya, namun kita kehilangan tujuan dan matlamatnya.



Seolah-olah menjadi keharusan dalam pertikaian mengenai perkara sunat dan harus, kita luput dari perkara fardhu dan wajib. Tanpa disedari, kita sangat mahir dalam soal perbezaan pendapat, tetapi kita kehilangan adab dan melazimi akhlak penuh kebenaran.



Kita jatuh dan menjadi lumpuh disebabkan pertengkaran dan pertikaian sesama kita. Lalu melahirkan kegagalan kepada kekuatan di kalangan umat Islam. Firman ALLAH SWT:



“Jangan kamu bertengkar yang menyebabkan kamu gagal dan hilang kekuatanmu”

(al-Anfal:8:46)



Telah kita diingatkan oleh ALLAH SWT mengenai sebab musabab kejatuhan umat terdahulu adalah sebagai ibrah atau pengajaran berguna kepada mereka yang celik imannya. Firman ALLAH SWT:



“Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan ALLAH, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”

(al-Rum:30:31-32)



Mengapa pantas mempersoal perbezaan, sedangkan ketidakfahaman jelas kelihatan terhadap jiwa-jiwa yang membuat pertikaian. Perselisihan pendapat yang menatijahkan perpecahan di kalangan ummah adalah dianggap jauh daripada petunjuk kenabian dan kerasulan. Firman ALLAH SWT:



“Sesungguhnya orang-orang yang berpecah-belah dalam agamanya dan mereka menjadi bergolong-golongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawab terhadap mereka”

(al-An’am:6:159)



Manakala, kehancuran ahli kitab terdahulu harus direnung oleh ummah kini adalah bukan disebabkan kekurangan ilmu dan pengetahuan. Tetapi, mereka menjadikan ilmu dan pengetahuan sebagai senjata dalam melakukan penyelewengan dan kezaliman ke atas manusia. Firman ALLAH SWT:



“Tiada berselisih orang-orang yang diberi al-Kitab, kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian di antara mereka”

(Ali-Imran:3:39)



Kita Pewaris Kedengkian?




Adakah kita bersetuju untuk mewarisi kedengkian ahli kitab serta menjadi pendukung penyelewengan?




Sesungguhnya perselisihan, kedengkian dan perpecahan agama adalah penyakit ahli kitab yang menyebabkan kehancuran mereka dan dinasakhkan agama mereka. Maka, kisah-kisah mereka menjadi tinggalan kepada generasi kemudian, didalamnya penuh dengan pengajaran kepada orang-orang yang mewarisi al-kitab dan kenabian.




Sedangkan orang-orang Islam sendiri tidak ada jalan untuk meminta ganti atau nasakh, disebabkan mereka adalah pemilik risalah yang terakhir. Perlu disedari, bahawa penyakit umat hari ini, adalah ditentukan oleh ummah. Samada “penyakit pertikaian” ini berterusan sehingga mengakibatkan ummah lemah, atau di kalangan ummah yang bertikai ini mencari kaedah pengubatan terbaik dengan berusaha untuk bangkit dan menghentikan pertikaian sesama sendiri, hanya disebabkan perkara yang khilaf lagi furu’.




Sesungguhnya, apa yang dihadapi oleh Muslimin hari ini, sudah pasti tidak terlepas pandang daripada perkiraan strategik kaum yang menentang Islam. Mereka berusaha menabur budaya asing dan pencemaran didalam keperibadian Islam serta meningkatkan krisis akhlak di kalangan ummah. Pada waktu ummah berantakan inilah paling sesuai menaburkan bibit fitnah di kalangan ummah.




Maka, dalam mencari titik penyelesaian, adalah menjadi satu keperluan dalam menilai bibit-bibit yang menimbulkan krisis, seterusnya membetulkan kefahaman dan mengembalikan sikap dan cara hidup berakhlak sebagai satu keperluan. Umpama kata pepatah, keadaan kita kelak bagaikan memukul besi dingin. Tidak berubah, walaupun segala usaha dilakukan kerana usaha mengubah tidak dari dasar.




Perbezaan Pendapat Adalah Fitrah




Sudah semestinya, perbezaaan pendapat dan dalam berfikir, menilai dan menghukum sesuatu adalah fitrah yang bersifat tabi’ie, yang mempunyai hubungan-hubungan dengan kelainan peribadi. Oleh itu, tidak mungkin sesebuah pendapat hanya ditegakkan atau dibuat oleh seorang sahaja, sedangkan di dalam keperluan sosial, pemikiran dan amalan itu memerlukan kemahiran yang berbeza-beza.




Adalah menajdi Sunnahtullah, hikmah penciptaan oleh ALLAH SWT Yang Maha Mulia kepada hambaNYA yang mempunyai bakat dan perbezaan masing-masing. Ia berbeza dari pelbagai sudut seperti keadaan fizikal, bentuk kejadian atau sifat-sifat yang dilakukan dan tiap-tiap sesuatu tersebut dipermudahkan oleh ALLAH SWT mengikut kejadian yang telah diciptakanNYA.




Di kalangan manusia sendiri mempunyai kepelbagaian. Ada di antara mereka kerap menganiayai diri sendiri, ada yang mengambil jalan pertengahan dan ada yang mendahulukan kebaikan. Firman ALLAH SWT:



“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu DIA menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sering berselisih pendapat”

(Hud:11:118)




Sebagaimana yang umum ketahui, manusia yang diciptakan oleh ALLAH SWT itu adalah berbeza rupa paras, warna kulit, bahasa, agama dan kepelbagaian lain. Maka, dalam mendepani segala kepelbagaian ini, mengapa ia makin disukarkan oleh kalangan umat Islam sendiri, hanya kerana kepelbagaian dalam wadah yang dipegangi.




Malang, kepada umat Islam yang menyangka perjuangan sebenar adalah berdasarkan kepada kelompok serta perkumpulan tertentu. Mengapa matlamat satu ummah yang diikat atas Aqidah Islam yang satu tidak dijadikan matlamat perjuangan bersama?




Perbezaan Pendapat Yang Rosak




Maka, melalui perbezaan pendapat, ia menggambarkan ketinggian ilmu seseorang. Ia adalah fenomena yang sihat dengan menunjukkan kekayaan pemikiran serta kesediaan melihat dan menilai dari pelbagai sudut dan saling menjadi pelengkap kepada satu dengan yang lain.




Adalah menjadi satu kesalahan kepada sesetengah golongan yang emosional dalam berbeza pendapat. Mereka berusaha bagi melenyapkan lawanya atau meminta tolong daripada musuh-musuh Islam untuk menghapuskan orang-orang yang berbeza pendapat denganya.




Seringkali seseorang itu tidak mampu memberi pandangan yang menyeluruh terhadap pelbagai perkara dan tidak mampu memberikan pendapat yang komprehensif terhadap pelbagai aspek. Kemudian, dia bersembunyi disebalik persoalan kecil dan diperbesarkannya sehingga tersembunyi segala kebenaran dan tidak mampu dia melihat kepada hal-hal lain atau pendapat orang lain. Disebabkan merasa ujub akan kemampuan akal sendiri.




Malah, pendapat musuh yang sangat hampir dengan dirinya diangkat sebagai jaminan bagi kepentingan diri. Manakala pendapat saudara yang diikat dengan aqidah yang sama tidak diendah, malah dicerca. Demikianlah runcingnya perselisihan pendapat sehingga seorang musyrik lebih dipercayai berbanding teman saudara seaqidah. Manakala yang hanya berbeza pendapat denganya dari sudut aliran pemikiran dan ijtihad diabaikan kerana tidak sehaluan.




Perselisihan pendapat yang furu’ akhirnya mengakar kepada yang lebih besar sehingga memisahkannya tanpa sedar kepada perpecahan ummah yng tidak berkesudahan. Pandangan yang berat sebelah berlaku dan tertumpu kepada penilaian yang kacau bilau daripada zanni bertukar kepada qat’i, mutasayabih kepada muhkam dan am kepada khas.




Petanda jiwa yang sakit adalah merasa senang berada dalam perselisihan serta bangga memainkan peranan dalam kafir mengkafirkan orang-orang Islam yang telah lama beramal kepada perbuatan warisan bersanad. Manakala orang-orang kafir lagi musyrik diutamakan dari kaum Muslimin.




Bertambah malang lagi di kalangan pendapat-pendapat ijtihad aliran-aliran fikrah yang dihasilkan oleh ahli-ahli pemikir dan mujtahid telah bertukar menjadi kelompok-kelompok taksub politik dan pemecah-belah masyarakat ditangan orang-orang yang bertaqlid buta.




Bagi membela kumpulan masing-masing, al-Quran dan Hadits sewenang-wenangnya digunakan mengikut kepentingan sendiri. Ia ditakwilkan sesedap rasa agar mencapai maksud kepada mengesahkan tingkahlaku yang menyesakkan. Maka, menyala-nyala perasaan fanatik, sehingga mengulang-ulang kata-kata jahilliyyah.




Tidak Melihat Diri Sendiri




Di kalangan umat Islam sendiri amat jarang melihat ke dalam diri sendiri. Ini diseakan kesibukkan memperkatakan aib orang lain, sehingga masa yang ada tidak sempat untuk digunakan bagi bermuhasabah ke dalam diri. Perkara ini penting dalam mengusahakan pembinaan kendiri agar selari dengan kehendak syarak. Manakala dalam athar yang mahsyur ada menyatakan “Berbahagialah orang yang sibuk dengan aib dirinya sendiri daripada aib orang lain.”




Jika dilihat sejarah terdahulu, para Salaf Salihin Ridwanullahi ‘Alaihim selalu berbeza pendapat, namun perbezaan tersebut tidak sampai kepada menjadi sebab persengketaan sesama mereka. Ini disebabkan sifat tawadhu’ yang dipupuk di kalangan mereka bahawa teguran adalah jalan kepada kebenaran. Jelas membuktikan, contoh yang dianjurkan kepada ummah terkemudian ini adalah faktor kesatuan hati mereka melebihi segala-galanya.




Setiap urusan perbezaan mereka dikembalikan kepada empunya segala hak iaitu ALLAH SWT. Atas sikap merendah diri kepada ALLAH SWT, maka para Salaf Salihin Ridwanullahi ‘Alaihim ini terselamat dari penyakit kejiwaan, walaupun di kalangan mereka diuji oleh ALLAH SWT dengan penyakit fizikal.




Para sahabat, pernah mendengar Rasulullah SAW memberitahu berkenaan seseorang yang muncul ditengah-tengah mereka bahawa dia adalah ahli syurga. Lalu, selepas diselidiki oleh para sahabat mengenai keadaan amalnya, maka dilihat ahli syurga tersebut tidak akan tidur selagi hatinya tidak bersih dari perasaan dengki kepada saudaranya yang Muslim.




Slogan Kepura-puraan




Manakala kepada kita hari ini, musibah yang berlaku ke atas diri kita adalah disebabkan hati yang mati rasa kecintaan kepada Tuhan. Oleh itu, slogan persatuan demi kesatuan hanyalah bersifat pura-pura dan menipu diri sendiri, yang berkemungkinan tidak banyak berbeza dari musuh kita. Firman ALLAH SWT:



“Dan tinggalkan dosa yang nampak dan yang tersembunyi”

(al-An’am:6:120)




Akibat seruan kepura-puraan itu, dunia Islam yang dahulunya amat teguh kesatuanya, yang diperintah oleh satu negara berlandaskan kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW, hari ini berpecah kepada lebih lapan puluh tujuh buah negara. Setiap negara tersebut mempunyai perselisihan yang mana hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahuinya.




Setiap negara melaungkan slogan kesatuan, maka didalam setiap negara pula mempunyai kepelbagaian persatuan atau pertubuhan yang mengaku bergerak demi kepentingan agama, bangsa dan negara.




Tetapi, dalam laungan kesatuan di kalangan mereka, faktor perbezaan dan mengangkat sesebuah pertubuhan yang menjadi tujuan. Mereka melupai, dalam perbezaan pasti punya persamaan. Justeru, kepada golongan mukminin, persamaan yang dicari tentulah Islam dan aqidah yang satu.




Krisis Pemikiran




Krisis yang dihadapi oleh ummah adalah krisis pemikiran dan masalah yang kita depani ialah ketiadaan kepimpinan yang menghadami tuntutan syariah Islam.Sekiranya umat Islam memiliki alam pemikiran yang sihat serta berasa yakin dengan menjunjung penuh undang-undang berdsarkan al-Quran dan Sunnah, nescaya risalah kemajuan bercirikan acuan Islam dapat ditegak teguh.




Walaupun umat Islam menghadapi kesukaran hidup dan berdepan dengan cabaran kebendaan, namun keyakinan bahawa setiap kesukaran itu pasti ada kelapangan pasti akan memartabatkan kekuatan Islam.




Islam telah menghentikan perpecahan dan percakaran sesama sendiri, dan Islam juga telah mengarahkan bangsa Arab kepada penyembahan TUHAN Yang Maha Esa lagi Hak. Islam juga membatalkan semua tuhan yang palsu.




Umat Islam pada hari ini bukan menderita disebabkan kekurangan kebendaan dan keperluan. Tetapi mereka lantas bertukar menjadi ummah yang pasif dan rosak disebabkan kehilangan makna perpaduan dan persamaan hak. Malah ummah hari ini juga rosak disebabkan kecederaan kepada akhlak dan menolak hukum syarak.




Kembali Kepada Disiplin Ilmiah




Justeru, perlu ada usaha pembinaan semula di kalangan umat Islam ini dengan mengembalikan disiplin dalam kaedah berfikir. Mengembalikan umat ini kepada kitab-kitab usul adalah satu permulaan ke arah kejayaan. Di dalamnya, para ulama kita telah menyusun garis panduan, kaedah-kaedah untuk membanding dan menilai disiplin ilmu pemikiran dan keharusan membuat keputusan ketika berlaku pertembungan.




Melalui pengkajian akan berlaku pengembangan kekuatan perpaduan ummah. Titik-titik perselisihan yang tidak menggugat aqidah hendaklah ditinggalkan. Manakala, usaha menonjolkan titik persamaan perlu dipertingkatkan demi kesejahteraan umat Islam.




Kesedaran bahawa seseorang yang ingin menyertai lapangan ijtihad perlu menguasai alat-alatnya, di samping akhlak dan adabnya supaya ia terpelihara daripada penyelewengan. Maka, adalah menjadi harapan agar ummah diutamakan, serta titik perbezaan ditinggalkan. Kepentingan ummah harus diangkat menjadi tujuan dan matlamat yang pada akhirnya bersifat menyatu.




"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"




almukminun

21 Jamadil awwal 1429 / 08 Mei 2008

Tiada ulasan: