::Teman Bersama::

Jumaat, 18 April 2008

Khabar Kematian

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه

Khabar Kematian


Dengan mengingat mati,kita berupaya mengecap usaha takziyah atau menziarahi keluarga dan orang yang meninggal. Apa yang dimaksudkan dengan takziyah ialah dengan untuk mendoakan mereka yang mati, menggembirakan anggota keluarga yang ditinggal, serta ikut mengurus jenazah dengan memandikan, menshalatkan, dan menguburkannya. Cukuplah mati sebagai pelajaran (guru) dan keyakinan sebagai kekayaan. (HR. Thabrani)


Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

(al-Jumu’ah:8)


Pada malam 4 Rabiulakhir 1429H, ketika sedang menghadiri majlis yang dianjurkan oleh para pelajar MMU Cyberjaya, yang komited hati-hati mereka dalam melaksanakan urusan kerja TUHAN tanpa biaya, saya dikejutkan dengan panggilan daripada bapa tercinta pada jam 2200. Ketika itu dinyatakan bahawa Kakak saudara saya yang bernama Hajjah Kamaliah Nasir dalam keadaan tenat. Beliau telah lama menanggung ujian dari ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui dengan menghidap kanser payudara.


Perhubungan kami kedua keluarga amat rapat dengan bapa saya adalah bapa saudara kepada ALLAHyarhamah. Manakala kami adik-beradik tidak sah jika tidak berkunjung ke rumah beliau jika berziarah ke kampung halaman di Johor Darul Takzim.


Ditakdirkan oleh ALLAH SWT,dalam berlangsungnya majlis, hati saya tidak keruan sambil menetapkan-netapkan di dalam perkiraan untuk meminta izin daripada empunya majlis dan bertolak pulang ke rumah dalam kadar segera. Memandangkan tetamu yang hadir dari kejauhan adalah merupakan sahabat seperjuangan lagi bersefahaman.


Ketika sedang berlangsung pembentangan, dalam monolog abdi kepada Illahi, saya mendoakan beliau dalam kesejahteraan dan dalam pembelaan. Saya terfikir akan dua suasana insan. Ketika berlaku saat-saat Malaikatul Maut bersedia menarik nyawa, pada masa yang sama pelbagai onar dari umpatan hingga celaan berupa fitnah di lakukan. Itu belum lagi dengan majlis tari-menari yang diisi dari usia tua hingga ke muda tanpa lupa soal mati yang menanti.


Manakala yang mempunyai upaya untuk hadir ke majlis-majlis ilmu serta dijemput dengan penuh hormat, menolak dengan alasan-alasan; mengapa perlu persatuan yang baru, tidak cukupkah persatuan yang satu itu?


Da’wah itu Eksklusif

Hakikat mati juga menerus bicara, apakah dengan berpaksi kepada persatuan yang satu menjamin kejujuran dalam perjuangan. Adakah juga ia satu kemestian bahawa setiap kepelbagaian mad’u dapat diraikan, dari yang “berfikrah” hingga mencari-cari fikrah Islammiyyah? Menjadi satu kesalahankah dalam merai kepelbagaian usaha dakwah bagi memantapkan akidah ummah?


Kadangkala manusia terlalu sibuk memperbetulkan ummah, mengajar dalam kapasiti tidak ketahuan, hanya ikut-ikutan. Maka, dalam merai kepelbagaian orang yang hendak didakwah adalah perlu kepada usaha “bersama”. Hak da’wah bukan eksklusif kepada “jamaah tertentu” atau mungkin sahaja berpersatuan tanpa ada kesinambungan itu dikatakan jamaah? Mungkin tidak cukup kepada usrah pembentukkan tanzim atau lupa sejarah pembentukkan sesuatu jamaah?


Setelah selesai majlis, saya bersalaman dengan para tetamu, ketika itu juga saya menerima panggilan dari ibu tercinta, bahawa pada jam 2307, 14 Rabiulakhir 1429H, Hajjah Kamaliah Nasir yang juga merupakan ahli keluarga kami dan juga hamba kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia, telah dijemput ILLAHi.


Selawat Mukhatab (dalam Hanafi Mohammed;1998):

“Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atasmu ya penghuluku, ya Rasulullah, pegangilah tanganku, kuranglah dayaku dan bantulah aku”


Kami sekeluarga bertolak dari rumah, jam 0240. Kami tiba jam 0445 dan tebujur jenazah ALLAHyarhamah di halaman rumah ibunya tercinta yang juga merupakan Atuk saudaraku Hajjah Pungut. Nah, kelihatan anaknya yang masih kecil tertidur bersebelahan ibunya yang terkujur kaku. Sesekali si anak kecil berusia lima tahun ini terjaga, lalu menciumi dahi ibunya. Kira-kira sepanjang saya menggaji disisi ALLAHyarhamah, tidak terkira si anak bongsu bernama Mashitah mencium dahi ibunya. ALLAHu ALLAH...


Anak sulung ALLAHyarhamah tidak henti-henti membacakan surah-surah suci al-Quran disisi ibunya sebagai sedekah yang hanya ALLAH SWT yang bisa menyampaikannya. Kelihatan para sahabiah si anak sulung (Kak Long) turut sama hadir menemani beliau. Sebagai tuntutan sunnah menghadirkan diri pada urusan-urusan pengurusan jenazah. Disamping itu, adalah dituntut supaya yang hadir mententeramkan dan mempermudahkan isi hati keluarga si mati yang dilanda kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga tercinta.


Perlu juga diingati antara adab menziarahi jenazah, jangan pula disulami umpat keji kepada si mati, atau perbualan kosong mengenai keduniaan disulami ketawa terbahak-bahak. Sehingga lupa menginsafi kematian itu nanti pasti menjemput diri pada waktu yang tidak ketahuan. Teruskanlah berdoa dan disedekahkan kepada si mati.


Apakah akan sampai doa-doa yang diniatkan itu? Adakah ia mampu mempermudahkan urusan si mati ketika menghadap ILLAHi?


Diriwayatkan daripada Anas ibn Malik R.A berkata, sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepada kaum keluarga dan kerabat kalian yang telah meninggal dunia. Jika baik, mereka akan menyambutnya dengan gembira. Jika sebaliknya, mereka akan berdoa: Ya ALLAH! Janganlah ENGKAU wafatkan mereka sehingga ENGKAU berikan hidayah kepada mereka sepertimana yang ENGKAU berikan kepada kami”

|Lihat Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal, Jilid:4, H: 329, no. Hadith:12683|


ALLAHyarhamah beserta abang saudaraku Ismail, juga bertuah memiliki seorang putera (Angah) yang telah tiga tahun mengabdikan diri di Pondok Kandis, Kelantan. Tekun dan sabar mendalami ilmu. Nah, satu pelaburan besar yang tepat dipilih dengan memperlengkapkan “mutiara” yang dimiliki dengan ilmu ukhrawi sebagai benteng penyelamat diri.


Mutakhir: Sikap Ibu Bapa

Mutakhir, ibu bapa berkira-kira dalam “mengorbankan” anak yang dimiliki ke jalan TUHAN! Persoalan, apakah dengan ilmu agama anakku boleh menjadi kaya? Terkenal dan dipuja? Istighfar..Istighfar lah wahai teman. Bahawa pelaburan kamu itu adalah untuk kesejahteraan dari anak-anak yang soleh, apabila mereka tidak putus-putus mendoakan kesejahteraanmu di akhirat nanti.


Berpagi-pagian kami menjalankan tuntutan fardhu kiffayah bagi melengkapkan urusan pengebumian simati. SUBHANALLAH, urusan dipermudahkan dengan muafakat bermasayarakat di kalangan penduduk kampung. Pemerhatian yang semakin jarang ditemui di kalangan penduduk bandar. Setiap urusan diuruskan dengan menggunakan khidmat swasta. Maka, timbul mati rasa dalam menyubur semangat muafakat di kalangan masyarakat. Sedikit demi sedikit budaya “aku-aku” dihidupkan sehingga jati diri semangat kejiranan mati ditelan kemodenan.


Selesai urusan memandikan jenazah, anak bongsu yang pada mulanya tidak merasa kesedihan umpama orang dewasa, mula merasa kesayuan di hati, teresak menangisi dan semakin memahami bahawa sebentar lagi jasad ibunya yang dikasihi akan berpisah memasuki perut bumi. Para tetamu yang menziarahi, kesayuan melihatkan anak-anak simati yang masih kecil dan masih kepingin akan kasih si ibu tercinta.


Dalam solat jenazah yang diimami seorang pak tua yang alim, para makmum juga tetamu disekeliling tidak mampu membendung perasaan sedih. Mendengar esak tangis anak-anak kecil ALLAHyarhamah, membuatkan airmata tidak putus-putus mengalir.


Bagi diri saya, dalam menyolatkan dan mengaminkan doa dalam solat jenazah, tidak tergambar adakah nasib kematian saya pada masa hadapan sebaik ini?


Dengan dihadiri seluruh sanak saudara juga insan-insan yang tidak henti-henti menziarahi keluarga, menyolatkan jenazah dan mendoakan kebahagiaan jenazah. ALLAHU ALLAH, betapa kematian itu perlu diinsafi. Ia janji pasti dari Pemilik diri.


Kepada persoalan: Adakah disunatkan menziarahi kubur bagi lelaki dan perempuan?

Ya,disunatkan menziarahi kubur kerana hadith Rasulullah SAW:

“Dahulu aku telah menegah kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang ini) silalah menziarahinya kerana ia akan mengingatkan kamu kepada akhirat”

|Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab Intibah Dinnika Fi Khatar: Al-Allamah Abu Abdullah ‘Alawi Al Yamani|


Daripada Aisyah RA, beliau berkata kepada Rasulullah SAW:

“Apakah yang perlu aku baca ketika menziarahi perkubura Baqi’? Sabda Baginda SAW, “Katakanlah: Salam sejahtera ke atas penduduk perkampungan ini dari kalangan Mukminin dan Muslimin”

|Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam Kitab Intibah Dinnika Fi Khatar: Al-Allamah Abu Abdullah ‘Alawi Al Yamani |


Sekiranya menziarahi kubur diharamkan bagi kaum perempuan, sudah pasti Rasulullah SAW berkata kepada Sayyidatuna Aisyah RA, “Janganlah kamu pergi ke Baqi’.” (Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki dalam Kitab Agamamu Dalam Bahaya:1426H)


Kepada Para Pejuang

'Dakwah dan jihad tidak mempercepatkan ajal, (begitu juga sebaliknya, duduk relaks tanpa dakwah tidak akan melambatkan ajal) tetapi dakwah dan jihad akan mengangkat daei ke syurga Firdaus.


Sekiranya seseorang muslim itu tidak mahu bergabung bersama dengan Imam Ahmad atau pewaris Imam Ahmad pada hari ini dan dia duduk sahaja kerana uzur atau seolah-olah ada uzur, maka dia disepatutnya merasa sedih. Paling kurang dia sepatutnya mencela dirinya sendiri kerana tidak bersama-sama dalam gerombolan daei di siksa.'


Dalam suatu hadih Qudsi, Rasulullah telah bersabda ertinya:
(Allah telah berfirman):

'Sesungguhnya sudahlah terlaksana kasihku terhadap orang yang berkasih sayang keranaku, dan sudahlah terlaksana kasihKu terhadap mereka yang saling bekorban keranaKu dan sudahlah terlaksana kasihKu terhadap mereka yg bersahabat kerana-Ku...'


Bak kata Tuan Guru saya yang dikasihi, kehadiran tetamu disaat jenazah disolatkan dan disemadi adalah petanda kebaikan yang menanti.

Manakala, ketika iringan bacaan talkin sayu dibacakan kepada tetamu-tetamu yang menziarahi, bercucuran airmata berlinangan mengenangkan nasib diri yang tidak ketahuan ketika ajal menemui. Itulah hakikat kepada hidup, bahawa setiap yang bernyawa akan menemui PENCIPTAnya.


Adakah mayat yang dibacakan talkinnya mendengar akan suara orang yang masih hidup?

Ya, mayat mendengar suara orang yang masih hidup. Terdapat banyak dalil yang perlu kita perhalusi dengan guru-guru mursyid, bukan sekadar membaca dan memahami secara literal, lalu disampaikan dengan emosi dengan mengharamkan itu dan ini.


Diantara sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya seseorang hamba itu, apabila telah disemadikan di dalam kuburnya (dimasukkan ke dalam liang lahad) dan sahabat-sahabatnya telah berpaling dan pergi (meninggalkannya) sehingga dia mendengar pijakan kaki mereka..”


|Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim|

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”

(Al-Ankabut:57)

Wallahu’alam...Bagaimana pula nasib diri ketika dijemput ILLAHi? Ya ALLAH, ENGKAU permudahkanlah urusan kematianku nanti.

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

almukminun

15 Rabiulakhir 1429H

1030pagi

Kajang, Selangor

http://www.almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: